Chapter 47

Mystery Completed 14818

Bab 47

Dia lega sekali kerana dapat membawa ibunya bersama tinggal di situ buat sementara waktu.

Affendi kini menginap di sebuah rumah kawannya di Kuala Selangor. Sudah dua hari berada di situ. Walaupun berada jauh dari pejabat, tetapi dia mengarahkan Noreen supaya terus memantau setiap perkembangan. Malah sekarang Noreen pasti sedang mengintip pergerakan Puan Suriati melalui laptop yang sentiasa terpasang di dalam bilik kerja Affendi.

Affendi mengarahkan Noreen mengunci pintu setiap kali masuk ke biliknya itu. Dia tidak ingin sesiapa pun tahu ada rahsia yang teramat rahsia di dalam bilik itu. Kegiatan mengintip itu amat bahaya sekiranya dihidu oleh Puan Suriati, Hamzah dan Airiel.

Pada jam sepuluh pagi itu dia mendapat panggilan daripada Noreen. Noreen menceritakan apa jua perkembangan dan maklumat yang didapati. Maklumat itu benar-benar mengejutkan. Affendi segera meminta Noreen membuat salinan CD ke atas rakaman yang dibuat pada hari itu. Noreen melakukan apa yang disuruh. Pada petang itu juga mereka dapat menonton dan mendengar sendiri apa yang diperkatakan oleh Puan Suriati dan Airiel di dalam biliknya pagi tadi.

“Jadi Airiel adalah saksi kita yang penting, Leo. Kita mesti pergi selamatkan Airiel malam ni.”

“Kau tahu di mana kondo Irfan?”

“Aku tahu…” balas Affendi.

*****

Kedengaran pintu diketuk dengan kuat. Airiel berjalan malas membuka pintu. Tiba-tiba empat lelaki bertopeng ski hitam menerjah masuk, lalu segera menutup pintu. Airiel terperanjat. Siapakah empat orang lelaki itu? Mereka bergerak bebas di dalam rumahnya, mengawasi setiap sudut. Senjata api berada di tangan masing-masing.

Airiel cuba melarikan diri tetapi seorang lagi lelaki menahannya dari bergerak.

“Percaya pada kami!” kata lelaki itu.

“Kau dalam bahaya Airiel. Kami datang nak selamatkan kau!”

“Bullshit!” jerit Airiel.

Orang yang bercakap itu kenal padanya, tetapi Airiel tidak cam suara itu.

Dia semakin kalut. Di rumah dia tidak memiliki senjata api. Apakah Puan Suriati mengupah orang untuk membunuhnya? Mengapa dia tidak terfikir bahawa perempuan itu hanya berpura-pura sahaja? Dia tahu Puan Suriati jenis manusia pendendam. Tentulah dia tidak akan melepaskan Airiel begitu sahaja.

“Ikut saja kami. Kau akan selamat!”

“Tidak!” jerit Airiel.

Salah seorang lelaki itu menghentak tengkuk Airiel dengan sikunya. Sekali hentak saja Airiel sudah rebah pengsan.

Salah seorang dari empat lelaki itu memikul tubuh Airiel di atas belakang, lalu membawanya turun. Di bawah sebuah van hitam menunggu. Sementara seorang lagi lelaki tinggal di dalam kondo. Dia masuk ke dalam bilik tidur, lalu menyusun bantal dan menutupinya dengan selimut. Sekali pandang, dalam suram malam katil itu kelihatan seperti ada seseorang tidur di situ. Kemudian lelaki itu segera turun ke tingkat bawah bangunan kondo, mendapatkan van yang sudah menunggu.

Sekitar jam dua belas tengah malam, seorang wanita berpakaian serba hitam kelihatan berjalan masuk ke kondo Irfan menggunakan kunci yang dimilikinya. Dia masuk ke dalam rumah. Langsung tidak menyalakan lampu. Di tangannya terpegang lampu suluh kecil. Dia berjalan menghala ke bilik dengan menggunakan lampu suluh tersebut.

Dia membuka pintu bilik tidur di kondo itu. Lampu suluhnya dihalakan ke atas tilam. Di atas tilam kelihatan susuk tubuh berselimut hingga kepala. Wanita itu terus menyuluh ke arah lembaga yang berselimut itu. Dia mengangkat pistol, menghalakannya ke arah tubuh itu. Lantas picu pistol ditarik, tembakan dilepaskan bertalu-talu.

“Mampus kau!” katanya sambil tergelak kecil.

Untuk memastikan lelaki itu benar-benar mati, dia bergerak ke arah katil lalu menyelak selimut. Lampu suluh di halakan ke arah tubuh yang berselimut itu. Dia terperanjat kerana di bawah selimut itu bukannya orang tetapi bantal yang disusun seperti bentuk tubuh. Dia mendapati kapas bertaburan di bawah selimut.

Puan Suriati terperanjat besar. Dia menjerit-jerit sambil berlari menghala ke pintu. Dia terus keluar meninggalkan pintu yang tidak bertutup. Dia benar-benar geram, tidak percaya. Bagaimanakah Airiel tahu dia akan datang membunuhnya malam ini? Bagaimana? Siapa yang memberitahunya? Siapa? Dia tidak pernah memberitahu niatnya itu kepada sesiapa… kecuali Hamzah.

Hamzahkah yang membocor rahsia itu? Tak mungkin! Hamzah bukannya baik dan karib dengan Airiel. Puan Suriati memandu pulang. Dia masih lagi tidak percaya, dia tidak berjaya menghapuskan Airiel. Di mana jantan tak guna tu?

*****

“Sorry, Airiel… Aku terpaksa buat macam ni!” kata Leo sambil merenung Airiel yang baru sedar dari pengsan.

Leo dan Affendi yang mendatangi kondo Irfan dengan dibantu oleh dua orang lagi rakan mereka. Mereka tiada jalan lain untuk menyelamatkan Airiel. Airiel adalah saksi penting yang boleh digunakan oleh mereka untuk menentang dan menyabitkan Puan Suriati dengan jenayah yang dilakukan.

...bersambung

Bab akan datang:

Mahukah Airiel bekerjasama dengan Leo dan Affendi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience