BAB 19

Romantic Comedy Completed 5761

“Nak ais krim?” soal Qairin. Wieyda geleng tapi lelaki itu sudah melangkah laju ke arah pakcik yang menjual pelbagai jenis ais krim dengan bermotosikal itu. Wieyda hanya memandang. Tapi dicapainya juga ais krim itu dengan senyuman. Mengadap kebaikan Qairin, kadang-kadang buat dia sesak nafas. Lelaki ini baik, tapi hatinya masih belum dapat menerima seratus peratus. Sudah beberapa kali Qairin mengikut Nazmi dan Ameena balik kampung, tapi seingatnya layanannya pada Qairin cuma biasa-biasa saja, sampaikan ibu adakalanya menegur bila melihat dia bagaikan tidak menghormati perasaan Qairin.

“Pandai masak laksa?” soal Qairin tiba-tiba pada petang itu ketika mereka berdua di pangkin bawah pokok sambil makan ais krim. Qairin tidak tunjuk rasa kecil hati langsung. Malah selalu senyum.

“Abang suka makan laksa..tambah-tambah macam yang mak Wieyda buat. Kalau kat sana, nak jumpa kuah lemak macam kat sini susah. Nanti boleh je kan buat untuk abang? Tu pun kalau tak menyusahkan dan sudi…” Qairin berkata. Tenang. Ayat terakhirnya membuat Wieyda tergamam sedikit. Hatinya diterpa rasa bersalah. Dia memandang Qairin. Tiada yang kurang dengan lelaki ini. Matang, baik hati, tenang, dan sabar. Lelaki ini mampu memilih ramai lagi perempuan yang lebih baik darinya yang masih mentah dan baru nak masuk umur 24 tahun itu. Tapi Qairin telah memilihnya. Kenapa dia tidak mahu sedar dan bersyukur? Kenapa harus diingat pada kisah duka, pada Hazimi. Sedangkan belum tentu kalau dia kahwin dengan Hazimi dia akan bahagia juga.

Perlahan-lahan Wieyda angguk, dan senyum.

“InsyaAllah, abang..” ujarnya. Qairin yang menyedari gadis itu pertama kali memanggilnya abang tersenyum simpul. Oh, kalau tidak kuat iman di dada, sudah lama gadis lembut ini akan ditarik dalam pelukannya.

*******

Wieyda senyum. Hari ini sudah dua hari dia bergelar isteri kepada seorang lelaki yang hampir sempurna, bernama Muhammad Qairin Azmi. Dia menatap wajah Hazimi yang ada di skrin komputernya. Gambar yang tanpa sedar masih tersimpan dalam foldernya. Cintanya pada Hazimi membuatkan hatinya terluka. Dalam kelukaan itu dia kembali mencari cinta Tuhan. Dia menjadi dekat dengan Tuhan, dan rasa mengharap kepada Tuhan itu semakin menebal. Kerana cintanya pada lelaki itu telah membuatkan dia sedar, cinta pada manusia tidak pernah menjanjikan apa-apa yang pasti, hanya cinta Tuhan yang abadi.

Dan dalam dia mencari cinta Yang Esa itu, dia berusaha menjadi seorang hamba yang baik. Tanpa dirancang sebenarnya dia berubah menjadi muslimah yang lebih baik. Dia mula menjaga perwatakannya. Luaran dan dalaman. Dia mula menjaga tingkahnya, agar tidak terlalu berhubungan rapat dengan lelaki bukan mahram, kerana dia tahu, hubungan yang tidak terjaga membuatkan senangnya syaitan mencucuk jarumnya. Cintanya yang tidak kesampaian pada Hazimi telah mengubahnya ke arah yang lebih baik. Cukuplah sekali hatinya teruji dengan cinta akibat tidak menjaga hubungan seperti yang sepatutnya.

“Ralitnya pandang orang tu.. sampai nak tembus skrin..”suara Qairin kedengaran dari belakang. Dia menoleh. Senyuman diukir. Dan saat itu dia kembali berpaling pada skrin, dan seperti mana cursornya yang sejak tadi terletak elok pada perkataan delete, dia terus mengkliknya di situ. Yeah. Deleted!

Qairin yang nampak perlakuannya mengangkat kening. Dia menunduk sedikit, merenung skrin yang sama. Sempat pula dia memberikan sebuah kucupan di ubun-ubun Wieyda.

“Kenapa delete..?”

Wieyda tidak menjawab. Dia harap Qairin mengerti sendiri.

“Tak menyesal..?”

“Wieyda akan lebih menyesal kalau Wieyda lukakan hati abang..”

Qairin merenung Wieyda dalam-dalam. Redup pandangannya seredup kasihnya yang bertapak di hati.

“Semua tu kisah lama. Kita melangkah ke depan kan. Bukan mengundur ke belakang. Di depan Wieyda sekarang adalah abang. Yang paling penting sekarang, adalah abang. Terima kasih sebab terlalu memahami selama ni. Wieyda mintak maaf kalau Wieyda buat abang terasa tanpa sedar.” Wieyda mencapai tangan Qairin dan mengucupnya. Setitik air mata yang sejuk menyentuh tangan sasanya membuatkan Qairin terpana. Ya Tuhan. Betapa aku menyayangi wanita di hadapanku ini.. hatinya berbisik.

“Wieyda tak ada salah apa-apa.. Jatuh cinta itu perkara biasa sayang. Cuma kita kena pandai menilai dan menghadapinya. Kalau dulu Wieyda rasa terluka oleh sesuatu yang Wieyda namakan cinta, izinkan abang sekarang mengubati luka itu dengan sesuatu yang abang namakan cinta juga..izinkan abang..” Qairin tunak memandang Wieyda . Wieyda terdiam. Lama. Mengangguk. Senyum. Qairin membalas. Wanita yang baru menjadi isterinya dua hari itu dipeluk erat. Entah bila dan bagaimana, dia sedar-sedar saja ada rasa cinta pada gadis ini saat pertama kali memandang. Dia tahu, rasa cinta itu dari Tuhan yang mengaturkan. Dan dia mengharapkan agar Allah menurunkan rasa cinta yang sama dalam hati Wieyda. Untuknya. Hanya untuknya. Dan sekarang, dia yakin, doa itu sudah hampir termakbul. Dia yakin, hati Wieyda setia dan hanya untuknya. Dia dapat lihat keikhlasan itu kini di mata seorang bidadari hatinya itu.

“So dah boleh offkan laptop tu? Sebab abang perlukan Wieyda sekarang ni,.” Qairin menjelin skrin komputer.

“Hah?”

“Untuk jadi makmum abang..” ujar Qairin sambil tergelak. Wieyda senyum sipu. Lupa tadi dia menanti Qairin untuk bersolat Isyak bersama. Dia ukir senyum kecil. Qairin angkat kening. Wieyda berpaling menuju ke bilik air dengan senyum sipu. Giler malu bila Qairin pandang dia begitu! Ya Allah.. indahnya perasaan ini. Tiba-tiba ia datang dan mengalir dalam jiwa.

Qairin tersenyum melihat wajah Wieyda yang kemalu-maluan. Ini baru permulaan kisah. Dia memang akan membuat Wieyda mencintainya sepenuh hati selepas ini. Hanya dia.

“Abang sayang… cepatlah..” suara Wieyda mengejutkannya. Sejak bila pula Wieyda sudah keluar dari bilik air, dia pun tidak sedar. Itulah, melayan lagi fikirannya itu. Dia tersenyum bila menyedari sesuatu.

“Pernah panggil macam tu dekat orang lain tak..?” Dia mendekati Wieyda . Wieyda sedikit beralih. Nanti kang tak pasal-pasal kena wudhuk sekali lagi.

“Panggil apa?”

“Abang sayang..” balas Qairin dengan senyuman dan nada yang sedikit manja. Wieyda tergelak kecil melihat telatah Qairin. Hai la lelaki ini. Nama saja sudah masuk 30 tahun tapi macam budak-budak..

Wieyda menggeleng.

“Tak pernah..tadi tersasul untuk abang je..” jawabnya malu-malu, tapi nakal dan mengusik. Qairin senyum.

“Kalau tersasul hari-hari macam tu pun tak apa, sayang..abang suka.” ujarnya sambil berlalu ke bilik air. Wieyda senyum lebar. Sejak akhir-akhir ini dia sudah kerap tersenyum…terutama apabila dengan Qairin. Baru dua hari hidup bersama lelaki ini dia sudah rasa lain macam.. Oh Tuhan.. Perasaan cintakah ini? Kenapa aku selalu tersenyum bila dengannya.. Wieyda memejam mata. Benarlah. Ini cinta. Dan dia akan belajar menerima dan memberi cintanya hanya kepada Qairin, lelaki yang telah dipilih Allah untuk jadi teman hidupnya. InsyaAllah, dunia dan akhirat.

Malam itu, tidak seperti hari-hari sebelumnya, Wieyda tidur lena didakapan sang suami bermimpi bermadu kasih hingga ke bulan bersama senyuman puas terukir di bibir kerana dia tahu, dan bila esok mentari pagi datang menyapa, si dia akan berada di sisi menyintainya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience