BAB 1

Humor Completed 508

DI warung Walid-Walid kepunyaan Deraman dikerumuni orang. Ingat ada ada
mesyuarat tergempar tetapi hakikatnya ada seorang yang mengamuk tidak
puas hati. Panas hatinya pada Pak Mael yang baru berpindah ke kampung
ini duduk sendiri di lereng bukit. Penghulu kampung ini murah hati bagi
tanah untuk dijaga oleh Pak Mael. Kebun pisang milik tok ketua kampung
diuruskan oleh Pak Mael. Memang Pak Mael menjadi orang kesayangan tok
ketua.

Deris memang panas hati. Semenjak Pak Mael si tua kerepot itu masuk
kampung ini, macam-macam hal berlaku. Keamanan kampung ini sudah
tergugat gara-gara selalu kedengaran bunyi orang menangis dalam semak.

Kadangkala dengar orang gelak disusuli pula dengan suara orang
berlari-lari tengah malam. Hinggakan budak-budak hendak pergi mengaji
pun takut dan lari litang pukang macam lipas kudung terus menyorok di
balik selimut. Tidak kurang hebatnya ada yang terperap bawah katil takut
diganggu. Anak-anak yang soleh terus sahaja menonong masuk celah ketiak mak.

Pian dan Ropi berpandangan semasa sendiri. Lagut mendengar Deris membuat
spekulasi sambil melambai-lambai bersama sebilah kapak. Kapak itu
digunakan semasa memotong kayu untuk dijadikan arang. Kalau silap lambai
boleh tekena kepala mereka.

mereka sibuk memperkatakan tentang kaki Pak Mael. Orang tua itu
kelihatan terhincut-hincut sahaja sejak kebelakangan ini. Pian kata,
kaki Pak Mael kena paku masa baiki rumah Pak Lebai Bulus dan Ropi pula
kata Pak Mael tersadung batu depan rumah Si Senah masa tengah syok
tengok Senah bergelek sambil sidai kain di jemuran.

"Aku dah kata! toyol tu memang suka isap darah dari ibu jari kaki! kau
tak nampak ibu jari kaki Pak Mael tu? Berparut! tak perasan ke?" ujar
Deris dengan bersungguh menyatakan Pak Mael bela toyol.

"Benarkah dia bela toyol? aku rasa dia bela hantu raya.." Pian menafikannya.

Biar apa pun andai mereka, Pak Mael memang bela semua tu. Hantu raya,
toyol dan bermacam jenis hantu dia bela. Yang Musykilnya, dari mana dia
dapat semua hantu itu?

"Aku kena siasat kes kehilangan barang! dan aku pun tahu macam mana
rumah pak lebai yang kena ribut tu boleh diperbaiki oleh Pak Jebat dalam
masa yang singkat sahaja," Deris kekal menaruh curiga.

Lelaki yang berbaju melayu dan bersongkok ini segera bercekak pingang.
Nampak gelisah sahaja. Dia memang kurang gemar kalau ada orang buat
benda yang tidak elok di kampung ini. Tambah lagi Pak Mael itu bukan
penduduk asal kampung ini.

"Kalau kau nak siasat kau siasatlah, aku tak nak masuk campur," Pian
tidak mahu ikut menyiasat kerana sebelum ini dia telah diganggu
kuntilanak menumpang motornya mahu balik ke kuburan.

Kebiaasaannya kalau sudah diganggu makhluk tersebut selalu sangat mahu
berhenti di kubur. Tiada tempat lain hendak berhenti. Berhentilah ke
Shoping complex ke atau di mana-mana tempat yang seronok.

Orang-orang Kampung Pasir Secotek mula berasa bimbang. Bimbang tatkala
banyak binatang ternakan kurus kering jadinya. Seperti kejadian lepas.
Lembu Kazam segar gebu malah berseri-seri lagi. Tapi dilihat pada
keesokan harinya di dalam kadang, didapati semua lemak lembu habis
disedut. Menatang (binatang) apalah yang meminum darah dan lemak
lembu-lembunya itu.

Selain itu tanaman-tanaman Pak Murad seperti kangkung, kobis, patola dan
bermacam-macam lagi lesap. Tidak lupa juga baja tahi ayam yang digunakan
untuk menyuburkan tanaman turut lesap.Hairan sungguh!

"Apa yang berlaku di kampung ni memang kerja Pak Mael tu! sah! tiada
orang lain lagi!" Deris suka memaku deras apa yang muncul di benaknya.

Pian kadang-kadang jenuh dengar Deris sibuk provokasi di warung
Walid-Walid ini. Dia hendak minum pun tidak senang. Sekejap lagi dia
mahu balik makan tengah hari di rumah. Rindu masakan isterinya. Sungguh
sedap ikan tawar dicicah dengan sambal belacan.

"Woi! kau dengar tak aku cakap dengan kau ni!" marah Deris bila tengok
mulut Pian terlopong sambil meleleh air liur.

Ropi pula seperti biasa menongkat dagunya mendengar dengan penuh teliti.
Bukan pada ucapan Deris tapi pada lagu yang terpasang di warung itu.
Lagu Ramlah Ram katanya. Sedap sungguh dia mendengar lagu Kau Kunci
Cintaku Dalam Hatimu.

Masing-masing buat tidak tahu dengan ucapan Deris lagi. Bosan agaknya.
Bukan mereka tidak tahu sikap Deris. Suka perbesarkan hal yang remeh.
Ropi dengan semangatnya ikut-ikut nyanyi. Pakcik yang duduk sebelah Ropi
pun suka lagu itu. Bergerak-gerak bibir pak cik berkopiah putih
menghafal lagu itu.

Ada di antara mereka meneruskan aktiviti mengisi waktu yang bersisa
dengan main dam haji. Deris tarik muka bila tengok masing-masing buat
tidak tahu. Cepat-cepat dia atur langkah pergi dari situ. 'Ooo korang
tak percaya cakap aku ya, nanti kalau korang kena baru tahu. Aku cerita
benda betul korang ingat aku main-main ya,' gerutu Deris dalam hati
lantas mencapai basikal tuanya terus berlalu dari situ dengan perasaan
geram bercampur kecewa.

Alahai kau Deris, susahnya orang hendak percayakan cakap si penipu yang
pernah menipu orang. Dulu kain pelikat Pak Lebai Bulus kau curi buat
pergi sembahyang Jumaat. Naif sungguh kau Deris. Tidak cukup dengan itu
selepas berjanji dengan Tuhan untuk berbuat amal dengan mudah
dilupakannya pula. Turun saja di kaki masjid, selipar orang lain yang
dikebasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience