KEDUA-DUA lelaki itu duduk berdepan dengan mereka di meja makan. Syaira sedar dirinya sedang diperhati oleh semua mata-mata yang ada di situ, namun dia buat-buat tenang dan meneruskan suapan ke mulutnya, padahal wajahnya sudah terasa kebas kerana berasa terlalu canggung dan malu.
"Siapa nama kawan Nia ni?" Rafiqi menyoal.
"Syaira bang," jawab Rania setelah makanan di dalam mulutnya habis ditelan.
"Oh, Syaira. Hai,Syaira. Saya abang Rania, Rafiqi. Oleh kerana Syaira sebaya dengan Nia, Syaira boleh panggil abang, Abang Fiqi je, okey?" Rafiqi menegur mesra lalu tersenyum.
"Hai." Syaira membalas sepatah dan turut tersenyum. Secara tidak sengaja matanya bertembung dengan mata lelaki yang duduk di sebelahnya.
"Eleh! Abang konon!" ejek Rania lalu mencebik.
"Kalau nak panggil darling pun boleh juga," balas Rafiqi lalu ketawa.
"Tak tahu pula taste kau macam tu." Rizuan berbisik perlahan dengan senyuman mengejek di sebelah Rafiqi sambil memandang Syaira, namun Syaira dapat mendengarnya.
"Rambut dia je macam kita, tapi dia tetap perempuan," balas Rafiqi turut berbisik lalu ketawa.
Kambing kau! Sempat lagi nak membahan! kutuk Syaira dalam hati sambil mengetap gigi dan berbalas renungan dengan Rizuan.
"Oi, Bang Riz! Tengok orang macam tu kenapa? Macam nak cari gaduh je!" tegur Rania.
"Eh, mana ada. Tengok je," kata Rizuan dengan sengihan lalu berpura-pura mencedok nasi.
"Haa, tambahlah lagi Ira, tu banyak lagi lauk tu. Nia, tolong ambilkan nasi untuk Ira," kata Datin Fauziah.
"Eh, takpe, takpe auntie, Ira dah kenyang ni," tolak Syaira sambil menggeleng-geleng.
Usai makan, Rania mengajak Syaira untuk mengikutnya naik ke bilik. Mereka menaiki tangga berpemegang yang diukir cantik berwarna emas dan terdapat sebuah lampu gantung yang begitu besar sekali tergantung di siling bersebelahan dengan tangga.
Rania menolak pintu bilik dan menarik tangan Syaira masuk. Sekali lagi Syaira terpegun dan terpana. Keluasan bilik itu sama besar dengan rumah kediaman mereka di kampungnya.
"Kejap, aku nak ke tandas. Kau duduklah dulu kat sofa tu," kata Rania sambil menuding ke arah sofa di tepi dinding lalu menuju ke arah sebuah pintu gelangsar di sudut bilik.
Syaira berdiri di tengah-tengah ruangan bilik itu sambil berpusing perlahan melihat di sekeliling bilik. Dalam hatinya tidak berhenti memuji akan kecantikan dan kemewahan yang dilihatnya.
Bahagianya hidup kau Nia, getus hati Syaira. Pandangannya tertancap pada sebuah rak hiasan yang bersebelahan dengan sofa lalu dia melangkah menuju ke situ dan mencapai satu barang.
"Kau masih ingat lagi tu?" soal Rania yang baru keluar dari tandas menyebabkan Syaira sedikit tersentak dan menoleh ke arahnya.
Mana mungkin dia lupa. Itu merupakan botol air yang dia berikan kepada Rania sebagai ganti kerana tidak sengaja terlanggarnya ketika dalam perjalanan masuk ke kelas buat pertama kali menyebabkan botol air Rania pecah dua tahun lepas. Itulah pertemuan pertama mereka yang membawa kepada hubungan persahabatan mereka sampai sekarang.
"Ingat." Syaira menjawab sepatah. Botol air itu dibelek lama sebelum meletakkannya semula di atas rak perhiasan.
"Marilah sini," panggil Rania yang sudah duduk di hujung katil.
"Luasnya bilik kau. Macam besar rumah aku. Dahlah luas, cantik pula tu." Syaira memuji dengan rasa kagum lalu duduk di sebelah Rania. Matanya masih menjelajah di seluruh ruangan bilik itu.
"Ya. Besar, cantik, tapi hidup aku macam ni je lah sekarang. Kalau dulu, aku rajin juga keluar, tapi sekarang ni, hidup aku ibarat Rapunzel yang terkurung di atas menara," balas Rania sambil memegang kedua-dua belah pipinya dengan mata yang dikerdipkan beberapa kali lalu ketawa.
"Sekurang-kurangnya kau tak struggle nak teruskan hidup. Bukan macam aku," kata Syaira perlahan sambil menekur lantai.
"Jalan hidup orang tak sama, Ira. Ayah kau kerja apa?" Rania menyoal ingin tahu. Selama mereka kenal, Syaira tidak pernah bercakap langsung mengenai hal peribadinya.
Apa yang dia tahu hanya tentang dia bekerja di bengkel sahaja. Itu pun kerana Rania pernah bertanya kenapa tapak tangannya kasar dulu.
"Kerja tukang tombak kelapa sawit je. Sebab tu aku kerja kat bengkel, sebab tak nak susahkan ayah aku. Aku orang miskin, sebab tu aku malu nak berkawan dengan kau sebenarnya," jawab Syaira terus-terang disertai dengan senyuman nipis.
"Aku tak sukalah kau cakap macam tu! Kau cakap macam tu lagi, aku terjun dari tingkap tu. Nampak tu?" ugut Rania sambil menuding ke arah jendela biliknya. Wajah Syaira dijeling tajam.
"Kau nak tahu tak, seumur hidup aku sebelum aku sambung kolej, aku berkawan dengan orang-orang kaya je sebab sekolah aku dulu majoriti anak-anak orang kaya, tapi semua hipokrit! Aku suka berkawan dengan kau sebab kau natural lepas tu tak pandai nak menyundal macam kawan-kawan aku dulu." kata Rania membuka cerita sambil otaknya mengimbas peristiwa lalu.
"Geli aku dengar ayat last tu," ujar Syaira lalu tergelak kecil disusuli oleh Rania.
"Kau ada berapa orang adik-beradik sebenarnya Nia? Si Rizuan tu abang kau juga?" Syaira menyoal ingin tahu kerana lelaki itu tidak memperkenalkan dirinya pun ketika di meja makan tadi.
"Eh, tak lah. Aku dua beradik dengan Abang Fiqi je. Rizuan tu anak kepada best friend mama. Sejak kecil memang rapat dengan kitorang, tapi Abang Riz tu jenis pemarah sikit tau. Dia running syarikat delivery dengan kilang fabrik ayah dia punya," jawab Rania sambil memandang ke arah jam besar di dinding biliknya.
Bos rupanya. Patutlah perangai macam kambing, getus hatinya.
"Jom kita lepak kat kolam renang. Boleh sembang-sembang sambil rendam kaki. Tak panas kat situ sebab ada bumbung. Jom!" Rania bingkas berdiri dan menarik tangan Syaira.
"Eh, abang tak balik office ke?" soal Rania kerana hairan abangnya masih ada di situ dan sedang bermain ping-pong dengan Rizuan yang berada tidak jauh dari kolam renang di tepi dinding.
"Tak, meeting kena cancel. Petang ni abang nak santai," balas Rafiqi tanpa memandang kerana fokus bermain.
"Abang Fiqi yang urus syarikat lepas papa meninggal tiga tahun lepas. Syarikat pemaju hartanah." Rania memberitahu tanpa disoal.
Syaira hanya membulatkan mulut dengan dahi berkerut hairan. Penampilan dan perwatakan Rafiqi tidak nampak seperti seorang CEO. Perwatakannya begitu santai dan ceria. Mudah untuk sesiapa yang baru pertama kali berjumpa dengannya rasa seperti sudah lama kenal.
Syaira berjalan di belakang Rania dan mengekori langkahnya menelusuri lorong pejalan kaki menuju ke kolam renang.
"Nia! Jom lawan! Boy versus girl!" Rafiqi melaung dari jauh.
Rania dan Syaira yang sedang bersembang sambil merendamkan kaki di dalam kolam sejak 10 minit lalu, serentak menoleh ke arah Rafiqi dan Rizuan.
"Ira, jom!" kata Rania lalu menarik lengan Syaira.
"Team siapa yang kalah, belanja kopi Starbucks." Rafiqi membuat pertaruhan.
"Okey, cabaran disahut!" kata Rania dengan yakin lalu mengambil sepasang raket pingpong di atas kerusi panjang yang bersandar di tepi dinding.
Satu jam kemudian, keempat-empat mereka duduk di atas kerusi panjang dengan nafas yang tercungap-cungap dan peluh membasahi seluruh wajah.
"Ira, nah!" kata Rania lalu menghulurkan sebotol air mineral besar kepadanya yang Mak Ana baru hantar tadi.
"Tak acilah Nia! Main kasar!" omel Rafiqi sambil memandang ke arah Syaira.
"Eh? Main kasar apa pula? Dah memang itu cara main. Kalau nak tahu, Ira ni pemegang pingat emas solo sukan pingpong kat kampus dua tahun berturut-turut tau," balas Rania lalu ketawa melihat reaksi wajah Rizuan dan abangnya yang tidak berpuas hati.
"Cadangan kaulah ni. Buat malu je kalah dengan perempuan," bebel Rafiqi sambil menolak bahu Rizuan yang sedang meneguk air dari botol.
"Eh, salah aku pula? Kau yang letak taruhan tadi kan, jadi kaulah yang pergi beli," bidas Rizuan tidak mahu kalah.
"Sebab kita dah penat je. Dah beberapa game kita main tadi kan? Saja je kita bagi chance kat diorang. Nanti kalau kalah, ada pula yang menangis," kata Rizuan sambil memandang Syaira dan Rania silih-berganti.
"Jangan banyak alasanlah Bang Riz. Kalau dah kalah tu, mengaku kalah jelah," balas Rania lalu ketawa.
"Nanti kita lawan lagi, tapi ganti pasangan. Abang dengan Ira, Nia dengan Riz. Amacam?" cadang Rafiqi sambil memandang ke arah Syaira.
"Mana-mana je." Syaira membalas ringkas.
"Confirm korang kalah! Hah! Fiqi, pergilah beli kopi. Starbuck tau! " kata Rizuan sambil menepuk bahu Rafiqi.
"Haa, yelah, yelah." Rafiqi terus berdiri dan beredar untuk keluar.
"Ira, tunggu kejap tau. Aku nak naik kejap ambil phone aku," kata Rania lalu berdiri dan berjalan masuk ke dalam.
Kini tinggal Rizuan dan Syaira lagi di situ. Kekok, namun Syaira buat-buat tidak peduli dan pandangannya tertumpu ke arah kolam renang yang luas.
Suasana sunyi seketika.
"Kau lesbian ke?" Rizuan menyoal selamba memecah kesunyian.
Syaira menjegilkan matanya memandang lelaki di depannya.
"Banyak cantik soalan kau, kambing!"
"Aku tanya je kan? Aku hairanlah macam mana korang boleh rapat eh? Nia tu jenis yang picky tau. Kawan-kawan dia sebelum ni, semua jenis yang berjalan catwalk, berdandan, lepas tu seksi, yang kau ni pula..." Ayatnya tergantung di situ.
"Melainkan korang ada hubungan pelik," sambungnya lagi sambil memandang Syaira dari atas sampai ke bawah lalu tersenyum mengejek sambil menggeleng-geleng.
"Kambing kalau kau pakaikan baju pun, dia tetap kambing. Terpulanglah apa pandangan kau. Macam kau, orang lain nampak kau manusia, tapi apa yang aku nampak kau ni sebenarnya tak jauh beza pun dengan kambing. Bercakap tak guna otak." Syaira membalas geram.
"Kau ni memang jenis yang main cakap lepas je kan? Kalau dah memang perempuan, buatlah cara orang perempuan," kata Rizuan dengan nada sinis. Wajah Syaira direnung tajam.
"Amboi! Mulut! Cakap orang, dia sendiri pun sama! Suka hati akulah! Aku kalau orang baik dengan aku, aku baik. Tapi kalau dengan orang macam kau, aku letak kat sini je," balasnya sambil menuding jari ke arah tapak kakinya.
"Haih! Kecik besar, kecik besar je aku tengok kau sekarang ni tahu tak?!" kata Rizuan sambil mengetap gigi.
"Kau nak buat apa? Kau ingat aku takut?" balas Syaira sambil menjongketkan kedua-dua keningnya memandang Rizuan.
Beberapa saat kemudian, Rania muncul dan berjalan menghampiri mereka. Kedua-duanya terus berlagak tenang seperti tiada apa-apa berlaku.
- - - - - - - -
"Kali ni aku hantar sampai depan rumah tau. Hari tu kau turun kat kedai runcit tu kan?" soal Rania sambil memandang ke arah kedai runcit yang sedang dilepasi oleh mereka.
"Hm, kat depan tu je. Pagar kayu depan tu," kata Syaira sambil menudingkan jari ke arah pagar kayu yang tidak jauh di depan.
"Boleh masuk dalam tak?" Rania menyoal sambil memanjangkan lehernya melihat ke arah kawasan rumah Syaira.
"Takpe, berhenti kat luar je. Aku malu, rumah kecil, buruk pula tu," kata Syaira merendah diri.
Itulah sebenarnya alasan kenapa dia minta diturunkan di kedai runcit sahaja tempoh hari.
Papp!
"Aduh!" serta-merta Syaira menggosok bahunya.
"Kau boleh tak jangan cakap macam tu kat aku?" Rania membentak marah berserta dengan satu renungan tajam.
"Aku cakap betul kan? Aku..." Syaira tidak jadi meneruskan kata-katanya kerana Rania sudah menjegilkan mata memandangnya.
"Yelah. Sorry," ucap Syaira sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal lalu memandang ke arah rumah.
"Aku pergi dulu. Jumpa lusa ni," ujarnya lagi setelah dia perasan ibu tirinya sedang berdiri bercekak pinggang di kaki lima rumah dan sedang memandang ke arah mereka.
Mungkin hairan melihat kereta besar yang tidak dikenali berhenti di depan rumah.
"Mak kau ke?" soal Rania setelah Syaira membuka pintu.
"Mak tiri aku. Aku pergi dulu. Thanks tau sebab hantar aku balik."
"Small matterlah. Jumpa lusa ni. Bye!" balas Rania sambil melambai dan tersenyum.
"Siapa tu?" Puan Alimah menyoal kasar dengan matanya yang masih memandang ke arah kereta Rania yang baru meluncur pergi.
"Kawan." Syaira menjawab sepatah lalu duduk di atas tangga membuka kasutnya.
"Pandai pula kau pilih kawan kan?" perlinya sambil mencebikkan bibir.
Syaira tidak mempedulikan kata-kata ibu tirinya lalu dia menaiki anak tangga terakhir dan berjalan melepasi ibu tirinya.
"Farish datang singgah tidur sini malam ni. Kau keluarkan daging dari dalam peti, lepas tu masak," arah Puan Alimah.
Langkah kaki Syaira serta-merta terhenti sebaik sahaja mendengar nama itu disebut. Giginya diketap kuat sehingga menghasilkan bunyi berkeriut sambil mengepal penumbuk.
"Suruhlah Lena yang masak. Tu abang dia kan?" balasnya sinis dan bersahaja lalu menyambung semula langkah kakinya.
"Hoi, budak! Kau dah pandai melawan aku kan? Kau memang anak yang tak tahu diuntung tahu tak?! Entah siapalah mak kau ni! Mungkin menurun dari mak kaulah ni perangai macam ni! Biadab!" tengking Puan Alimah.
Syaira tidak peduli, dia terus masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu. Begnya dilepas dari tubuh dan dihempas kasar di atas katil lalu dia duduk di atas lantai menyandarkan tubuh di tepi katil sambil memeluk sebelah lutut. Sebelah tangannya mencengkam rambut sambil merenung permukaan lantai.
Hatinya sakit setiap kali ibu tirinya mengutuk ibunya walaupun dia tidak pernah tahu siapa ibunya. Masih hidupkah dia? Kalau masih hidup, di manakah keberadaannya sekarang? Dia tiada jawapan untuk persoalan-persoalan itu. Setiap kali dia bertanyakan perihal ibunya dengan ayahnya, ayahnya pasti akan mengelak.
Syaira terjaga pada waktu tengah malam kerana rasa dahaga. Dia bingkas bangun dan turun dari katil. Dengan lampu yang sedia menyala, dia mengerling sekilas ke arah jam yang menunjukkan hampir pukul 1:00 pagi. Baru beberapa tahun ini dia mula tidur dengan lampu menyala kerana bersebab. Dia melangkah perlahan-lahan keluar dari bilik. Dia yakin semua orang sudah tidur pada waktu-waktu sebegini.
Selepas solat isyak tadi, dia tidak keluar-keluar lagi dari bilik dan tidak menyertai penghuni rumah itu makan malam kerana dia masih kenyang sejak petang tadi lagi.
Setibanya di dapur, dia melangkah lurus menuju ke arah rak piring untuk mengambil botol airnya dan mengisi air dari dalam jag. Suasana malam pada ketika itu hanya ditemani oleh bunyi riang-riang dan cengkerik yang bersahutan seakan-akan sedang berbicara sesama sendiri. Selesai mengisi air ke dalam botol, Syaira kembali masuk ke dalam bilik.
Belum sempat pintu biliknya tertutup rapat, seseorang menolak pintu biliknya dengan kuat membuatkan dia terundur selangkah.
"Apa ni?! Keluar!" marahnya dengan suara berbisik yang ditekankan sambil berjalan secara mengundur lalu meletakkan botol airnya di atas meja.
"Lama tak jumpa. Rindulah. Erm, kau potong rambut macam ni pun, kau tetap sama pada pandangan mata aku," ujarnya perlahan dengan sengihan nakal sambil melangkah menghampiri Syaira.
"Apa kau nak buat ni?! Kau keluar sekarang, kalau tak...."
"Kalau tak, apa?" Dia memintas kata-kata Syaira lalu cuba menerpa tubuh Syaira.
Bukkk!
"Aduh! Sakitlah, bodoh!" tempelak Farish lalu membongkok sambil memegang bahagian celahan kakinya yang ditendang tadi.
"Aku suruh kau keluar kan?! Keluarlah!" tengking Syaira dengan perasaan marah yang semakin membuak-buak.
Farish menyeringai kesakitan lalu bersandar pada dinding dengan hentakan kuat menyebabkan bunyi bising.
"Apa bising-bising ni?" Kedengaran suara Puan Alimah dari luar menyoal dan dia terus meluru masuk ke dalam bilik Syaira.
"Apa ni? Kenapa Farish ada dalam bilik ni?!" Puan Alimah menyoal dengan mata terbeliak.
Farish berdiri tegak lalu menghampiri ibunya. "Ira, mak! Dia goda Arish. Arish dah balik-balik tolak. Arish cakap Arish dah ada bini, tapi dia tak peduli. Dia paksa juga Arish. Bila Arish tak nak, dia tendang pula Arish mak," ujarnya mereka cerita.
"Dasar budak tak ada maruah! Aku dari mula-mula dulu lagi memang tak berkenan nak pelihara budak seekor ni!" herdiknya lalu keluar dari bilik dan beberapa minit kemudian Puan Alimah datang bersama dengan Encik Radin dan Elena yang mengekori dari belakang.
"Ira! Apa ni? Apa Ira dah buat?!" Encik Radin menyoalnya dengan mata terjegil memandang wajah Syaira dan Farish silih-berganti.
"Ira tak buat apa-apa yah. Dia yang tiba-tiba masuk dalam bilik Ira," jawab Syaira cuba membela diri sambil menudingkan jari ke arah Farish.
"Kau nak menipu lagi?! Abang percayalah sangat cakap anak abang tu! Farish cakap, dia cuba nak goda Farish buat benda tak senonoh bang! Bila Farish tak nak, ditendangnya anu si Farish ni!" Puan Alimah membela lantang.
"Buat apa Arish nak tipu, yah? Arish kan ada isteri, ada anak. Buat apa Arish nak kacau Ira pula? Rupa macam jantan macam ni, lelaki mana yang nak?" tegas Farish.
"Betullah tu ayah. Lelaki manalah ada selera dengan perempuan serupa jantan macam ni." Elena menyampuk menyokong abangnya.
"Ira? Betul ke apa yang Arish cakap?"Encik Radin menyoal dengan suara mendatar dan tegas. Boleh dilihat lagi riak wajah kecewa yang terpamer di seraut wajah tua itu.
"Ayah, Ira tak bohong, yah! Dia tu yang mereka cerita. Ayah tolonglah percayakan Ira, yah!" kata Syaira cuba membela diri lalu meluru ke arah Encik Radin dan memaut lengannya.
"Halau je dari rumah ni, yah!" hasut Elena.
"Semua masuk ke bilik masing-masing!" arah Encik Radin dengan nada suara yang dinaikkan. Pautan tangan Syaira dilengannya ditolak kasar lalu mereka semua keluar dari situ
"Ayah tak sangka Ira tergamak buat perkara macam ni," kata Encik Radin dengan nada kesal sebelum keluar dari bilik itu.
"Ayah." Syaira memanggil sayu. Airmata yang sejak tadi ditahan-tahan, akhirnya mengalir membasahi pipi.
Sudah terlalu lama sejak kali terakhir dia menangis. Baju di dadanya dicengkam. Hatinya hancur. Selama ini, ayahnyalah yang sentiasa membela dirinya setiap kali dia di tuduh bukan-bukan oleh keluarga tirinya, namun kali ini ayahnya berpihak kepada mereka pula.
Siapa lagi yang dia ada sekarang? Cuma ayahnyalah satu-satunya ahli keluarga yang dia ada.
* * * * * * *
"Ira, Abang Dol panggil," kata Aidil yang baru kembali dari tandas.
"Kenapa?"
"Manalah aku tahu. Kat stor belakang tu," jawab Aidil lalu duduk di atas bangku kayu kecil dan menyambung semula kerjanya yang tergendala tadi.
Syaira meletakkan spanar ke atas lantai lalu berdiri dan menuju ke bahagian stor bengkel.
"Ada apa abang panggil?" Syaira menyoal sebaik sahaja dia berdiri di belakang Dollah yang sedang menepuk-nepuk tempat duduk sebuah motosikal yang sudah berhabuk.
"Ni abang nak cakap. Kau takde transport kan? Kau boleh guna motor ni. Motor ni dia punya timing chain je kena tukar. Kau ambil je spare part kat rak tu. Dulu abang ingat nak jual motor ni, tapi tak jadi. So, memandangkan kau takde transport, kau gunalah dulu. Kalau nak beli, abang tolak murah je kalau kau nak."
"Betul ni bang? Berapa abang nak tolak?" soalnya dengan rasa teruja.
"Betul. Abang jual lapan ratus je. Ansuran pun boleh," jawabnya lalu tersenyum melihat ekspresi gembira di wajah gadis itu.
"Murahnya! Saya belilah kalau gitu bang," balasnya sambil membelek-belek motosikal Yamaha LC 135 yang sudah berhabuk itu.
"Okey. Bawa keluar motor ni. Terus repairlah. Kalau hidup, terus bawa balik hari ni juga." ujar Dollah.
"Eh? Ni motor yang dalam stor tu kan? Abang Dol suruh kau repair ke?" Aidil menyoal kehairanan kerana motor itu sudah lama berada di dalam bililk stor.
"Abang Dol tolak kat aku. Dia suruh aku repair sendiri," jawab Syaira lalu mula membuka satu per satu skru penutup enjin.
Vroom! Vroom!
Syaira tersenyum puas. Setelah tiga jam tanpa henti berhempas-pulas dengan keringat membasahi seluruh tubuh dan minyak kotor yang terpalit di beberapa bahagian wajahnya, akhirnya kejayaan menjadi miliknya.
"Wuih! Cayalah! Dah ada geng aku merempit dah balik ni," kata Aidil sambil berdiri bercekak pinggang di sebelah Syaira dan memandang ke arah motosikal itu.
"Rempitlah sangat! Aku pinjam helmet kau dulu ye, Dil? Nanti cukup duit aku beli baru, aku pulangkan."
"Kau ambil pun takpe. Aku ada dua lagi kat rumah tu," jawab Aidil lalu tersenyum.
"Aidil, Ira! Tengok jam dah pukul berapa. Tolak masuk semua motor-motor kat luar tu. Nak tutup dah ni." Dollah melaung dari dalam.
"Kau balik terus ke?" soal Aidil sambil memakai topi keledar.
"Tak. Aku nak lepak kat taman dulu," jawab Syaira.
"Kalau macam tu, aku ikut kaulah," balas Aidil lalu tersengih.
Mereka duduk di atas sebuah kerusi panjang di dalam taman yang menghadap tasik sambil memerhati pengunjung-pengunjung yang ada di situ.
"Kau ada masalah dengan family kau ke?" Aidil tiba-tiba menyoal tanpa memandang Syaira. Matanya lurus memandang ke arah tasik.
Syaira menoleh pantas memandang sisi wajah Aidil dengan kerutan di dahi. Mulutnya terkunci. Soalan Aidil dibiarkan seperti angin berlalu.
"Kali ni apa pula?" soalnya lalu menoleh dan membalas pandangan Syaira.
Syaira mengeluh kecil lalu melarikan pandangannya ke arah tasik sambil menaikkan kedua-dua kakinya dan duduk bersila di atas kerusi.
"Aku kenal kau dah lama Ira. Beberapa minggu ni aku perasan kau banyak termenung. Selalunya yang buat kau jadi macam ni, family tiri kau tu je. Kalau aku jadi kau, aku dah lama blah dari rumah tu," kata Aidil lagi sambil mengusap rambutnya ke belakang.
"Mana aku nak pergi? Gaji aku kat bengkel tu cukup untuk tampung belanja aku belajar je buat masa sekarang ni Dil," luahnya.
"Kalau macam tu, tinggal dengan akulah," kata Aidil selamba. Syaira memandangnya dengan mata yang disepetkan.
"Mulut tu kan! Sembarang je cakap!" marahnya lalu menumbuk perlahan bahu Aidil.
"Aku serius Ira. Kita kahwin, jom!" kata Aidil serius.
"Woih! Apa ni?! Agak-agaklah nak cakap pun!" marahnya lagi lalu merenung wajah Aidil yang kelihatan serius tanpa sedikit pun senyuman di bibirnya.
Jeda. Mereka berbalas renungan.
"Kau jangan main-main, Dil. Kalau aku tumbuk muka kau sekarang, memang MC lah kau esok ni! Dahlah banyak kerja kat bengkel tu," kata Syaira sambil mengangkat dan menghalakan penumbuknya ke muka Aidil.
Tawa Aidil tiba-tiba meletus kuat.
"Gilalah! Ganas! Aku gurau je lah!" kata Aidil yang masih ketawa sambil memegang perutnya. Renungan tajam Syaira tadi kelihatan comel pada pandangan matanya.
"Hah! Tau takut! Kau nak feeling-feeling, pergi kau cari orang lain," ujar Syaira lalu menjeling dan mencebikkan bibir.
Aidil hanya ketawa sambil menggeleng-geleng.
"Jom balik. Dah nak gelap ni," ujar Aidil lalu berdiri.
"Jomlah," balas Syaira lalu turun dari kerusi dan berjalan di depan Aidil menuju ke tempat meletakkan kenderaan.
Aku tak main-main Ira. Aku serius sayangkan kau. Mungkin bukan sekarang, tapi satu hari nanti, aku akan jadikan kau isteri aku, getus hati Aidil. Belakang tubuh Syaira di pandang dengan satu tekad.
Share this novel
ingt kwan sy .. dia mcm nila tomboi ..
mn satu pilihn syaira .. hihihj aidil or kambing tu ,.
aduh sekor ni pulqkkk