BAB 2

Crime Completed 5579

“Bro... bro...” aku terasa badanku digoncang kuat. Aku memilih untuk tidak mahu memisahkan kedua-dua kelopak mataku. Badanku masih lagi digoncang kuat, kali ini sambil menyeru namaku.

“Shahril! Bro!” Suara itu menggegarkan minda separuh sedarku. Aku perlahan-lahan cuba memisahkan kelopak mata dan kembali memijak di alam nyata. Aha, aku hampir saja terlupa. Aku masih lagi berada di kafeteria dan selepas ini ada kelas dengan Sir Jaafar. Aku memandang muka si Iman yang mengejutkanku bangun. Aku tahu, Hakimi juga pasti sedang menatapku ketika itu.

“Dah lima belas minit kau tidur, bro. Ini mesti qiam malam tadi, kan?” Iman, sesuai dengan namanya, memang akan tanya soalan yang beriman sahaja.

Qiam? Aku tidak pernah bangun malam, apatah lagi untuk solat-solat sunat segala. Ya, aku akui, aku bukan seorang yang alim seperti Hakimi, juga bukan seorang yang warak seperti Iman.

Entah macam mana aku boleh terjebak dengan golongan malaikat seperti mereka berdua ini.

Aha, kini aku sudah ingat kembali. Waktu itu, kami mula-mula masuk kolej. Ketika dalam perjalanan pulang, aku melihat dua orang pemuda yang sedang terpinga-pinga di tepi jalan.

Melihat keadaan kereta mereka yang tersadai, aku sudah boleh mengagak sama ada masalah enjin, minyak atau tayar bocor. Selalunya aku memang tidak akan peduli jika ada orang yang berada dalam kesusahan, tetapi hari itu jiwaku terdetik pula untuk membantu pemuda-pemuda yang kasihan itu.

Kebetulan, sewaktu menunggu keputusan SPM dulu, aku sempat bekerja dengan Ah Lee di sebuah bengkel kereta. Ah, aku teringat pula tentang si Ah Lee. Dulu aku rajin bekerja, kerja secara halal. Kini... ahh.

Setelah dua kali berfikir, aku memberhentikan motosikal di belakang kereta mereka berdua. Aku tak banyak bicara, langsung melihat dan membetulkan kerosakan kereta si Iman.

Apabila Iman berjaya menghidupkan enjin kereta, dia teruja bukan main. Iman keluar dari kereta dan memelukku terharu. Perasaanku ketika dipeluk oleh Iman, sungguh luar biasa. Aku tidak pernah dipeluk mesra sedemikian rupa. Hakimi juga turut berterima kasih padaku kerana membantu mereka.

Aku dilanda perasaan kencang seolah-olah sebuah magnet yang kuat sedang menarikku kepada mereka berdua. Atas dasar itulah, Iman dan Hakimi setia berkawan denganku sehingga hari ini. Seingatku, sudah hampir enam bulan kami berkawan.

Mereka berdua tahu, aku malas sembahyang. Mereka tahu, aku jarang berpuasa. Mereka tahu, aku tak suka ikut usrah. Mereka tidak kisah dengan semua itu.

Mereka tetap berkawan denganku dan sentiasa cuba menasihatiku, walaupun tidak ada satu pun nasihat mereka yang aku hadam. Cuma ada satu perkara sahaja yang mereka masih belum ketahui, dan perkara itu adalah...

“Kau kerja malam, ya?” persoalan Hakimi itu menyerang tepat pada sasarannya. Aku tahu, akan sampai satu tahap, aku tidak akan mampu lagi untuk menyembunyikan kenyataan.

Mungkin aku perlu berterus-terang pada Iman dan Hakimi. Mereka perlu menjauhiku. Aku tidak mahu mereka terlibat denganku lagi. Akan sampai satu tahap di mana aku terpaksa membahayakan nyawa rakan-rakanku.

“Iman, Kimi, aku sebenarnya ada sesuatu nak beritahu kau berdua. Aku... aku ada buat satu kerja ni. Aku keluar setiap malam. Aku...” aku teragak-agak memberitahu. Iman dan Hakimi sedang memerhatikanku dan menunggu sambungannya.

“Aku...” suaraku ragu-ragu.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakangku, membantutkan hasratku untuk bersuara.

Suara itu cukup ku kenali, cukup menggetarkan jiwa sesiapa yang mendengar, atau cuma menggetarkan jiwaku seorang sahaja? Aku menoleh wajahku, melihat dua wanita lengkap bertudung sedang berdiri.

Nah, betul tekaanku. Pemilik suara itu ialah Nur Khalisah, atau mereka di sini menggelarnya Lisa. Nur Khalisah merupakan presiden yang mewakili penuntut wanita di kolej ini, manakala Iman merupakan presiden lelakinya.

Mereka memang selalu berurusan, tetapi aku tidak pernah ambil tahu urusan apa. Paling tepat, aku tidak peduli mereka ada urusan apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience