Bab 56

Short Story Series 55082

“Assalamualaikum, Rina.” Suara seorang wanita menyapa Rina yang sedang di dalam keadaan termenung.

“Waalaikumsalam.” Rina menjawab dan segera menoleh ke sisinya.

Mata Rina membulat. Tidak dia menyangka akan menemui wanita itu lagi setelah sekian lama tidak berjumpa. Rina tidak berkata apa-apa dia langsung merangkul wanita itu ke dalam pelukannya. Air matanya mengalir kerana begitu merindui sahabat yang satu itu.

“MasyaAllah. Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa aku untuk berjumpa dengan kau sebelum aku menutup mata.” Rina terus menangis mengusap belakang badan Jun yang sudah agak berisi itu.

“Rina, maafkan aku selama ini kerana menyakiti hati kau. Aku betul-betul menyesal.” Jun juga turut menangis hiba.

Semalam secara tiba-tiba, Iqmal yang kini sudah menjadi suaminya memberikan dia nombor telefon seseorang untuk dihubungi. Ketika Jun menghubungi nombor itu ternyata itu nombor telefon Aqil. Jun begitu terkejut apabila mengetahui bahawa Aqil sudah berkahwin dengan Rina dan mereka akan berangkat ke umrah pada keesokan harinya disebabkan itu dia berada di situ hari ini untuk menemui Rina Altafunisa.

“Anak aku.” Jun mengambil seorang anak perempuan yang masih kecil didukungan Iqmal.

“MasyaAllah. Cantik seperti ibunya.” Rina mencium kedua pipi anak tembam itu yang kini berada di ribaannya.

“Ummi.” Qalifh yang seakan cemburu melihat Rina mendukung seorang kanak-kanak selain dirinya mendekati Rina.

“Qalifh Althaf, anak aku.” Rina menarik tangan Qalifh dan menyuruh anaknya itu bersalaman dengan Jun dan Iqmal.

“Ini...” Belum sempat Jun menghabiskan ayatnya Rina sudah mengangguk seakan memahami apa hiyang mahu disampaikan oleh dirinya.

Tanpa banyak bicara Jun dan Iqmal memeluk Qalifh. Mereka memeluk anak itu dengan perasaan bercampur baur sedih dan gembira. Inilah anak yang dikandung oleh Rina dahulu. Anak yang menjadikan Rina sebagai bahan umpatan. Anak yang dituduh daripada hasil penzinaan. Anak yang membuatkan mereka meninggalkan Rina disaat sahabat mereka itu benar-benar memerlukan sandaran.

“Sayang adik, nak.” Rina menyuruh Qalifh mencium anak Jun yang berada di dalam dukungannya.

Qalifh hanya menurut walaupun mukanya masam tidak menyukai jika ada orang lain yang mendapat perhatian umminya.

“Mengapa kau ada disini?” Tiba-tiba kedengaran suara kasar Aqilah menyapa mereka yang berada disitu sehingga membuatkan beberapa mata yang berdekatan mereka memandang. Dia yang baru saja daripada tandas terkejut dengan kehadiran Jun dan Iqmal di situ.

“Aqilah, aku...” Jun seakan mati kata-kata apabila melihat wajah menyinga Aqilah. Ternyata Aqilah masih berdendam dengannya.

“Aku apa? Setelah apa yang kau buat dekat Rina baru sekarang kau datang?” Aqilah mendekati Rina dan mengerling anak perempuan comel yang didukung sahabatnya itu.

“Aku tahu aku salah. Aku minta maaf. Bukannya aku tak mencari kau dan Rina tapi aku benar-benar tiada petunjuk tentang kau berdua. Aku cari kau sewaktu majlis graduasi tapi kau berdua tidak hadir. Aku tanya pada yang lain tapi mereka juga tidak tahu keberadaan kau orang. Apa yang harus aku lakukan untuk kau maafkan aku?” Jun menangis hiba kerana dia rasa begitu berdosa.

“Aqilah, yang lalu jangan dikenang lagi. Aku maafkan dia dan aku harap kau juga maafkan dia. Bukankah dia sahabat kita? Dia yang sering membantu kita saat mengulangkaji pelajaran. Janganlah diingat satu kesalahannya sehingga kita lupa semua kebaikannya.” Rina memegang lengan Aqilah meminta sahabatnya itu memaafkan Jun sahabat mereka.

“Jika kau boleh memaafkan aku dan keluarga aku pasti kau boleh maafkan sahabat kau jugakan?” Aqil juga ikut memujuk. Dia tahu bukan senang Aqilah memaafkan seseorang tetapi dia juga tahu Aqilah seorang yang pemaaf.

Aqilah berdiam diri sejenak cuba menenangkan diri. Dia harus mensucikan hatinya kerana dia bakal ke rumah Allah. Allah sahaja Maha Pemaaf jadi siapalah dirinya yang mahu menghukumi seseorang yang sudah bertaubat. Aqilah melihat mata Rina yang penuh pengharapan dan melihat wajah Jun yang lencun dibasahi air mata. Perlahan Aqilah berjalan ke arah Jun dan memeluk tubuh Jun erat.

“Demi Allah dan persahabatan kita, aku maafkan kau Jun. Maafkan segala dosa aku juga pada kau.” Aqilah mengalirkan air mata yang sejak daripada tadi ditahan.

Rina tersenyum riang disebalik purdahnya. Diserahkan anak Jun kepada Iqmal sebelum dia turut memeluk kedua sahabatnya itu. Melihat Areen yang melihat dari kejauhan, Rina menghulurkan tangannya kepada Areen. Perlahan disambut oleh Areen sebelum wanita itu juga dipeluk erat.

Jun sudah mengetahui segalanya daripada Aqil. Bahawa ternyata bekas suami yang pernah menyakiti Rina itu adalah abang kepada Aqil iaitu Haikal yang kini sudahpun insaf dengan perbuatannya dan Areen pula kini sudah menjadi kakak iparnya. Begitulah aturan hidup yang sudah ditentukan Allah. Siapa sangka segalanya yang terjadi seperti sebuah mimpi yang kini akhirnya mereka bersatu kembali dengan izin Allah. Hanya satu yang masih tidak diketahui oleh dirinya bahawa sahabatnya yang bernama Rina Altafunisa itu diuji dengan kesakitan. Rahsia itu masih kukuh disimpan oleh Aqil seperti yang telah dijanjikan kepada Rina.

“Kita sahabat sehingga ke syurga.” Rina berkata kepada ketiga-tiga sahabat yang sudah dianggap seperti saudara kandungnya sendiri.

“Mari saya ambilkan gambar sebagai sebuah memori.” Aqil cuba menghiburkan suasana dengan menunjukkan telefon pintarnya untuk mengambil gambar empat wanita yang akhirnya kembali bersatu kerana Allah.


“Kenapa Rina?” Aqil bertanya saat isterinya itu menoleh ke belakang sewaktu mereka sudah masuk ke balai perlepasan selepas bersalam-salaman dengan ahli keluarga dan sahabat handai.

“Sebentar.” Rina meminta Aqil menunggu disitu dan berjalan ke arah bertentangan.

Aqil melihat Rina bercakap sesuatu dengan petugas disitu sebelum melihat petugas itu berlalu pergi. Tidak sampai lima minit petugas itu datang kembali bersama Tan Sri Mansur dan Qalifh yang masih menangis sejak daripada mereka meminta diri untuk masuk ke dalam balai pelepasan.

Melihat Rina dihadapannya, Qalifh meronta minta diturunkan daripada dukungan. Sebaik dirinya diturunkan, Qalifh segera berlari ke arah Rina. Dipeluk kaki ibunya erat dan meminta agar ibunya membawa dirinya bersama.

“Qalifh anak kesayangan ummi, bukankah Qalifh dah janji dengan ummi nak jadi anak yang baik dan soleh?” Rina duduk menyamakan kedudukannya dengan ketinggian Qalifh.

“Qalifh nak ikut ummi.” Qalifh menangis lagi di dalam kepelatannya itu masih difahami oleh Rina.

“Apa pesan ummi pada Qalifh? Kalau Qalifh rindukan ummi, Qalifh doa untuk ummi. Nanti pasti Allah akan sampaikan rindu Qalifh itu pada ummi dan ummi datang bertemu Qalifh.” Rina memujuk Qalifh lagi. Anak kecil itu masih tidak memahami apa yang cuba disampaikan tetapi dia tidak pernah lelah mengingatkan.

“Qalifh janji dengan ummi jangan jadi anak nakal. Jangan susahkan atuk, mama Areen dan papa Haikal. Qalifh juga harus rajin menghafal Quran. Ummi pasti gembira jika Qalifh menjadi anak yang soleh.” Rina mengusap kepala anaknya lembut sebelum dicium kedua belah pipi gebu anaknya itu.

“Ingat ummi sentiasa disini dan Qalifh juga sentiasa disini.” Rina meletakkan tangannya didada Qalifh dan membawa tangan kecil anaknya itu didadanya.

“Qalifh cinta ummi kerana Allah.” Qalifh mengungkapkan kalimat yang sering diajar oleh Rina.

Perlahan air mata Rina gugur dan memeluk anak kecil itu erat. Selesai berpelukan tangan Qalifh diserahkan kepada Tan Sri Mansur.

“Tolong jaga anak Rina sepanjang sepeninggalan Rina. Jangan biarkan dia berasa kesepian tanpa Rina disisi.” Rina memeluk Tan Sri Mansur sambil berbisik kepada ayah mertuanya itu.

“InsyaAllah. Jaga diri baik-baik disana. Papa tunggu kepulangan kamu berdua.” Tan Sri Mansur memebalas pelukan Rina sambil memandang ke arah Aqil yang agak jauh dari kedudukan mereka.

Aqil sempat melambaikan tanggannya kepada Tan Sri Mansur dan Qalifh sebelum mempimpin Rina yang sudah berada disisinya. Entah mengapa dia berasa ada perasaan aneh yang menyelit di tangkai hatinya tetapi dengan sedaya upaya dia cuba untuk tidak memperdulikannya.

‘Duhai kota suci Makkah, sambutlah kedatangan hamba manusia yang penuh dosa ini.’ Rina berbisik didalam hatinya diselangi dengan zikrullah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience