Bab 20

Romance Series 59136

Kini aku terasa sepi tanpa nenek. Aku tak mampu nak menghalang. Sudah kehendak nenek mahu pulang semula ke kampung, dan aku sudah sedaya upaya memujuk. Sekali nenek sudah nekad, takkan mungkin nenek akan mengubah keputusannya. Lagi – lagi Syafik memerlukan nenek lebih daripada diriku.

Aku tahu, kedatangan Syafik sememangnya tidak memberi khabar baik. Aku tak sepatutnya percaya dengan semua kebaikkan yang dia tunjukkan. Semestinya ada udang di sebalik batu.

Syafik sudah bersiap sedia mahu masuk ke dalam bas bersama nenek. Aku hanya mampu menemani mereka hingga ke stesen bas memandangkan mereka pulang semasa hari bekerja. Tidak dapat aku sorokkan air mata yang mengalir melihat nenek yang kelihatan gembira mendukung Irfan.

Melihat si kecil itu yang membuatkan aku lembut hati merelakan nenek pulang juga ke kampung akhirnya. Syafik memerlukan seseorang menjaga anaknya dan dia masih belum berkemampuan mahu menguruskan semua benda. Jadi untuk sementara dia mahukan bantuan dari nenek.

“Mia,” Syafik menegurku.

Aku mengangkat kepala memandang Syafik. Riaknya seperti serba salah dengan diriku. Aku memaksakan diriku tersenyum untuk melegakan hati Syafik. Demi nenek. Aku tahu nenek tak mahu aku bergaduh dengan Syafik waktu sebegini. Cukuplah hari tu aku bertengkar besar dengan Syafik. Air mata nenek mengalir melihat kami ketika itu.

“Maaf, tapi aku tak tahu nak buat apa lagi.”

Aku menggelengkan kepala.

“Bukan salah kau Syafik. Aku faham.”

Itu bukan ayat ikhlas dari hati aku. Tapi aku cuba untuk faham situasi Syafik seperti dipinta nenek. Jika nak dibandingkan dengan diri aku, dia lagi memerlukan bantuan. Niat aku mahu nenek sentiasa di sisi aku, dan biar aku pula menjaga nenek. Sebaliknya ini yang nenek mahukan, jadi aku tiada kuasa untuk melarang.

‘Mia, kalau Mia kat tempat Syafik, Mia mesti rasa perit dia rasa. Mia dan Syafik cucu kesayangan nenek. Nenek tak sanggup kalau tengok salah seorang dari kamu susah.’ Aku teringat kembali kata – kata nenek semalam. ‘Nenek mana sanggup tengok cucu sendiri susah? Kamu berdua yang nenek besarkan dari kecil.’

Mia faham nek. Tapi Mia berat hati. Kalau nenek sakit? Syafik boleh ke jaga nenek dan anak dia? Betul ke Syafik dah berubah?

Satu per satu keraguaan aku tentang Syafik timbul. Tak pernah sekali yang baik.

“Kau jangan risau. Aku jaga nenek. Dia nenek aku juga.”

Betul ke dia dah berubah?

“Mia, aku kenal kau bukan sehari dua. Mungkin kita tak rapat, memang tak pernah. Dari cara kau pandang aku, aku tahu kau langsung tak percayakan aku. Kali ni saja, aku harap kau boleh bagi aku peluang. Aku buat semua ni demi anak aku.”

Aku tersentak mendengarnya. Kepala aku tundukkan sedikit. Tidak berani bertentang mata dengan Syafik yang sedari tadi menunggu aku membalas kata – katanya. Namun tiada satu kata yang dapat menggambarkan perasaanku ketika itu.

Melihat aku yang masih mendiam, Syafik hanya memberikan senyumannya. Dia menggalas beg sandangnya dan mendukung Irfan yang dari tadi di dakapan nenek. Aku tahu, sudah tiba mereka pergi. Nenek merangkul tubuhku dan dipeluk erat. Aku tidak bermaya hendak membalasnya.

“Nenek pergi dulu. Jangan lupa jaga diri, makan lepas tu minta tolong Adam tengokkan kamu bagi pihak nenek.” Nenek sempat bergurau. Aku tersenyum menyeka air mata yang mengalir.

“Nek,” bahunya aku cubit lembut. “Janji selalu telefon Mia tau!”

“Kalau Syafik ada rumah, nenek minta Syafik telefon yang nampak muka tu. Apa nama dia?”

Aku tertawa melihat nenek membuat pergerakan tangan. “Video call nek.” Haish, macam mana aku tak rindu dengan dia ni nanti? Dialah pengubat aku sewaktu aku kecil hingga sekarang. Lepas berbulan bersama, akhirnya aku terpaksa relakan nenek tinggal dengan Syafik.

“Syafik.” Aku beralih memandang dia. “Mungkin sekarang aku tak percayakan kau. Tapi tak bermaksud kau tak boleh buktikan aku salah.”

Syafik tersenyum mengangguk.

Kini aku hanya mampu melihat bayangan mereka pergi menjauh. Hati aku bagai dirobek membayangkan aku bersendirian lagi.

Aku mengambil keputusan untuk menenangkan diri aku sebelum memandu pulang. Sebuah café menarik perhatianku, jadi aku memutuskan untuk singgah untuk sementara. Hati aku tergerak untuk melihat telefon yang telah lama aku abaikan.

10 panggilan tidak terjawab dari Aliya. Dahiku berkerut. Tak pernah dia macam ni. Mustahak sangat ke? Satu lagi panggilan tidak terjawab dari Adam. Kemudiann aku memeriksa whatsapp dan banyak mesej dari Aliya.

Balik sekarang. We need to talk.

Kau kat mana?

I’m deadly serious Mia. You’ve been hiding something from me right?

Mia, aku serius, kau ignore panggilan aku, aku cari kau sekarang juga!

Aku termenung seketika. Kenapa ni? Tadi aku tinggalkan Aliya kat rumah okey jer. Dah kenapa dia jadi macam ni? Rindu sangat kat aku ke?

Baru aku hendak balas, Aliya menelefonku lagi.

“Hmm nak apa?” tanyaku.

“Kau dah kat mana?”

“Kat kedai, sat lagi balik. Kenapa?”

“Aku nak kau balik sekarang Mia. Sekarang!”

Aku melihat sekali lagi nama pemanggil. Betul Aliya, tapi kenapa dia macam ni? Suara dia sedikit menakutkan, seakan aku telah buat salah besar.

“Liya, kau okey tak ni?”

“Aku tunggu kau kat rumah.” Dia terus menutup telefon. Aku terkejut. Kejap, yang patut marah rasanya aku, kenapa pula dia marah kat aku? Aku ada buat salah ke? Salah apa pula?

Tanpa berlengah, aku segera meninggalkan café tersebut tanpa menjamu. Bagi aku, Aliya takkan berperangai sebegitu kalau bukan sebab hal penting. Tak pernah aku mendengar dia meninggikan suaranya bila denganku. Aku ada buat salah besar ke?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience