KERIUHAN suasana di tingkat empat pasar raya itu sudah lali kedengaran di telinganya. Manakan tidak, itulah suasana yang dihadapinya setiap hari kerana di situlah tempat dia bekerja.
Selain daripada ruangan khas buat kanak-kanak, tingkat empat itu juga mempunyai bilik gym, panggung wayang serta merupakan tingkat terletaknya pejabat kakitangan pentadbiran bangunan pasar raya besar tersebut.
Sambil duduk di atas kerusi panjang tidak jauh dari bilik pejabatnya, matanya tertumpu kepada beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di dalam bilik permainan berdinding kaca lut sinar yang direka khusus buat ibu bapa yang hendak meninggalkan anak mereka kepada penjaga di tempat itu supaya mereka boleh membeli-belah dengan aman.
Setiap kali fikirannya kusut disebabkan hal kerja mahupun hal peribadi, di situlah tempat dia menenangkan fikiran. Melihat keriangan kanak-kanak bermain, mampu mengurangkan tekanan fikirannya, namun kali ini, tiada apa-apa lagi yang mampu menenangkan fikirannya.
Satu keluhan panjang terpacul dari mulutnya teringatkan perbualan di antara dia dan ibunya semalam. "Haih! Kenapalah aku gedik sangat cakap macam tu kat mak dulu, tak sangka pula mak buat betul-betul. Itulah, lain kali fikir dulu sebelum cakap. Ha, padan muka kau! " Bibirnya menggumam mengejek dirinya sendiri.
"Eyra!" sergah satu suara dari belakang.
"Hisy, kau ni! Terkejut aku!" Dadanya diusap-usap sambil menayang muka cemberut.
"Ya ke terkejut? Tak ada muka terkejut pun," balas Aliza sambil ketawa, lantas punggungnya dilabuhkan di sebelah rakan sekerja merangkap rakan serumahnya itu. "Kau apa hal? Dari jauh aku tengok muka kau macam nak makan orang je, kau ada masalah ke?"
Tiada balasan. Wanita cantik memakai blouse biru cerah bercorak jalur yang dipadankan dengan seluar slack warna beige itu hanya diam membisu dengan pandangan yang sudah dihalakan semula kepada sekumpulan kanak-kanak yang bermain tadi.
"Hellooo, ada orang ke? Cik Eyra Zafira, where are you? Are you here? Hellooo." Aliza memanjangkan lehernya melilau-lilau ke sekeliling berpura-pura mencari penama yang disebutnya.
Eyra Zafira mendecit, lalu dia melepaskan keluhan buat ke sekian kalinya. "Esok aku balik kampung," ujarnya selepas seketika.
Serta-merta berkerut dahi wanita berkaca mata petak itu. Sudah tiga tahun mereka bekerja dan tinggal bersama. Boleh dihitung lagi berapa kali rakannya balik ke kampung dan itupun di atas sebab-sebab tertentu. Selalunya, setiap kali ada masalah di kampung. Jadi, dia mengagak bahawa rakannya itu sedang bermasalah.
"Masalah apa pula kali ni? Biar aku teka, mak kau sakit ke? Hm... atau adik tiri kau buat hal lagi?"
"Dua-dua bukan," balas Eyra Zafira.
"Habis tu? Ayah tiri kau yang buat hal?"
Eyra Zafira menggeleng. "Bukan juga."
"Abang tiri kau?"
"Hisy, bukanlah! Tak ada kena-mengena dengan keluarga tiri aku pun."
"Dah tu? Mak kau nak kahwinkan kau eh?" tukas Aliza disusuli tawa besar.
Eyra Zafira menunduk, lalu dia mengangguk lemah.
"Hah! Kau serius ke?" Serta-merta hilang tawanya, tidak menjangka langsung bahawa gurauannya itu ternyata benar.
Hanya keluhan yang terpacul dari mulut wanita cantik yang masih menunduk itu.
"Weh! Aku tanya, kau serius ke ni? Kau main-main kan?" Aliza menyenggol lengan Eyra Zafira kerana tidak berpuas hati pertanyaannya tidak dijawab.
"Aku seriuslah! Kalau aku main-main, tak adalah aku tension macam ni."
"Lah! Habis tu kau setuju ke? Tolak ajelah, kenapa kau nak kusut-kusutkan fikiran?"
"Tak boleh."
Aliza membulatkan matanya memandang wajah rakannya. "Tak boleh kenapa pula? Bukan ke kau anti lelaki lepas kau putus dengan Da..."
"Hisy! tak perlu sebut nama dia lagilah! Bernanah telinga aku dengar!" Laju Eyra Zafira memintas percakapan wanita itu.
"Okey, okey, aku tak sebut. Hmmm..." Aliza mengerutkan dahi sambil mengetuk-ngetuk bibirnya yang diherotkan menggunakan jari telunjuk. "Kenapa kau setuju?"
"Kau pun tahu mak aku ada lemah jantung kan? Karang aku bantah kan, jatuh sakit pula mak aku tu sebab stress." Rambutnya yang terjuntai menutupi sebelah matanya diselitkan di celah telinga sebelum dia menyambung bicara. "Salah aku juga. Dua bulan lepas mak aku call, tiba-tiba cakap pasal nak aku kahwin. Biasalah orang tua, cakap takut tak sempat nak tengok anak naik pelaminlah, takut tak sempat nak tengok cuculah. Jadi, aku cakaplah kat mak aku yang kalau dia nak sangat aku kahwin, carikan jodoh terbaik buat aku. Aku main cakap je, aku sangka mak aku keluar masuk telinga je aku cakap macam tu, sekali mak aku call semalam, mak aku dah deal dah tarik tunang nikah dengan anak kawan dia," jelas Eyra Zafira panjang lebar.
"Kau kenal ke kawan mak kau tu?"
"Aku sebenarnya tak pernah kenal kawan-kawan mak aku. Kawan yang dalam kampung ajelah yang aku kenal. Mak aku cuma cakap, kawan yang dia nak aku kahwin dengan anak dia tu, kawan baik dia yang dah lama tak jumpa, tapi baru terjumpa balik."
Aliza menepuk dahi sambil menggeleng-geleng, lalu dia menyentuh bahu wanita di sebelahnya itu. "Takpa, takpa, ini semua ujian. In sha Allah, pilihan mak kau pasti yang terbaik."
"Macam nada menyindir je." Eyra Zafira melempar jelingan tajam.
"Eh, mana ada! Aku ikhlaslah," balas Aliza disusuli tawa kecil, lalu dia bingkas berdiri sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. "Ada sejam lagi sebelum waktu rehat. Kebetulan aku nak pantau kawasan atas ni, ternampak pula kau duduk mengelamun kat sini. Rehat nanti, macam biasa kita lunch sama-sama ya? Aku pergi sambung kerja dulu." Bahu Eyra Zafira ditepuk-tepuk perlahan sebelum dia beredar dari situ.
Eyra Zafira sekadar mengangguk sambil memerhati rakannya melangkah pergi dari situ. Mereka bekerja di bawah naungan syarikat yang sama. Aliza merupakan penyelia di pasar raya gergasi itu, manakala Eyra Zafira pula menjawat jawatan di bahagian pejabat sebagai Pengurus Pemasaran.
Selang beberapa minit selepas Aliza pergi, dia pun terus berdiri menuju ke bilik pejabatnya yang terletak di bahagian hujung tingkat itu.
- - - - - -
KEESOKAN paginya, selepas bersarapan, Eyra Zafira terus bersiap untuk pulang ke kampung halamannya.
"Kau satu malam je kan kat kampung?" soal Aliza untuk kepastian.
"Ha'ah, satu malam je. Aku balik ni pun sebab mak aku nak aku jumpa keluarga bakal suami aku tengah hari ni."
"Awalnya kau jalan. Macamlah jauh sangat kampung kau, tak sampai pun dua jam."
"Habis tu, keluarga bakal-bakal aku tu, takkan nak hidangkan kopi dengan roti kering je? Kenalah masak hidangan berat untuk jamu tetamu! Kita kena layan tetamu baik-baik! Haaa, macam tulah mak aku cakap kat aku semalam. Nak harapkan si Puteri Lilin tu? Kirim salam!" balas Eyra Zafira sambil berdiri setelah dia selesai menyarungkan kasut Sneakers di kakinya.
"Boleh lagi kau hadap adik tiri kau tu lepas apa dia buat kat kau dulu kan? Kalau aku, memang aku akan buat apa je untuk halau dia keluar dari rumah tu."
Eyra Zafira mendengus. "Tu anak kesayangan bapa tiri aku, Liza. Boleh sangat kalau aku nak buat macam yang kau cakap tu, tapi aku tak nak mak aku yang terkesan nanti. Aku pun sebenarnya tahan hati je selama ni dengan sikap anak-beranak tu, cuma aku fikir pasal mak aku je."
Aliza mengangguk-angguk tanda faham. "Hmm, betul juga."
"Okeylah, aku gerak dulu. Kau jangan lupa bagi makan minum Chiko kesayangan aku ni tau! Kalau tak... aku mogok tak nak bercakap sebulan dengan kau!" pesan Eyra Zafira berserta dengan ugutan, lalu dia mendukung dan mencium kucing Parsi gebu yang sedang bergesel di kakinya.
"Ya, ya, jangan risaulah! Okeylah, aku pun nak gerak pergi kerja juga ni," balas Aliza, lalu mereka pun jalan beriringan menuju ke kereta masing-masing selepas mengunci pintu rumah teres dua tingkat yang sudah tiga tahun mereka sewa berdua itu.
- - - - - -
"BANYAKNYA bahan mentah mak beli ni, mak. Untuk berapa orang kita nak masak ni? untuk satu kampung ke?" soal Eyra Zafira sambil memandang lauk-lauk mentah dan sayur-sayuran yang sudah diletakkan di dalam bekas-bekas besar di atas meja.
"Tak pasti, kawan mak cakap, adik-beradik dan sepupu-sepupu dia pun ikut datang sini. Dah dia cakap macam tu, mesti ramai kan? Tak apalah, kita masak je semua ni, kalau tak habis, kita sedekah je kat jiran-jiran," balas Puan Akma sambil meletakkan sebekas bahan-bahan asas masakan di depan anaknya.
"Mak... mak yakin ke anak kawan mak tu calon menantu terbaik? Muktamad?" soal Eyra Zafira sebaik sahaja dia memulakan tugas kupas mengupas.
"Ya, mak yakin dan pilihan mak muktamad. Kalau tak, tak adalah mak setuju untuk majlis tunang nikah hujung bulan depan nanti." Puan Akma menarik nafas dalam-dalam sebelum dia menghentikan pergerakan tangannya, lalu dia menoleh. "Jangan risau, mak dah selidik pasal bakal menantu mak ni. Mak ni bukan apa, Eyra... sejak Irsyad meninggal, Eyra dah jarang balik kampung. Sibuk, sibuk, sibuk. Asyik itu ajelah alasan yang tak sudah-sudah. Sibuk sangat kerja, jadi bila nak kahwin? Mak nak juga..."
"Tengok anak mak ni kahwin dan ada anak supaya mak ada cucu sebelum mak tutup mata... itu yang mak nak cakap kan?" pintas Eyra Zafira yang sudah hafal akan dialog bebelan ibunya setiap kali bercakap mengenai perkara tersebut. "Ya, mak. Eyra nak kahwinlah ni dengan pilihan mak yang entah macam mana rupa dan perangai tu."
Puan Akma tersenyum, lalu dia menyambung semula kerja memotong sayur di sebelah anaknya. "In shaa Allah, bakal suami Eyra tu baik, sebab kawan mak tu daripada keturunan yang baik-baik. Dah kahwin nanti, Eyra kena hormat suami tau. Ikut cakap suami dan paling penting kena bertolak ansur. Jangan bawa perangai pelik-pelik masa bujang ni bila dah kahwin nanti," pesannya dengan suara lembut.
"Halah, mak ni! Perangai pelik apanya?" soal Eyra Zafira sambil mengerutkan dahi memandang ibunya.
Puan Akma tidak menjawab soalan yang diajukan kepadanya, sebaliknya dia hanya ketawa kecil sambil menggeleng-geleng, kenal sangat akan sikap satu-satunya anak kandungnya yang tinggal selepas kematian anak kandung sulungnya.
- - - - -
SEPERTI yang dijanjikan, tengah hari itu, keluarga bakal suaminya datang dengan lapan buah kereta. Bukan main ramai lagi jumlah mereka, meriah seperti rumah terbuka Hari Raya pula. Dari bayi kecil sehingga ke warga tua, semua ada.
"Mana bakal menantu saya?" soal Puan Akma sambil memanjangkan lehernya memandang pintu rumahnya yang terbuka luas setelah dia bersalaman dengan bakal besan merangkap rakan baiknya itu.
"Oh! Zul lewat sikit sampai. Dia ada meeting pagi tadi, tapi dia dah on the way dah, sekejap lagi sampailah tu. Suami saya pula tak dapat join sekali sebab ada urusan kat luar negara," balas wanita yang kelihatan cantik dan bergaya itu walaupun sudah berusia. Lantas, anak matanya beralih kepada wanita muda yang sedang berdiri di samping Puan Akma. "Tengok depan-depan, cantik sungguh bakal menantu saya ni ya?" pujinya sambil tersenyum.
"Eyra! Salamlah bakal mak mentua tu," bisik Puan Akma sambil menyiku perlahan lengan anaknya. Kemudian, dia memandang semula rakannya sambil tersenyum. "Eyra, nilah kawan mak, Datin Amalina, isteri kepada Dato' Mizwar, salah seorang daripada usahawan berjaya kat negara kita ni."
Eyra Zafira membulatkan matanya memandang Puan Akma buat beberapa saat sebelum dia memandang wanita yang bakal menjadi ibu mentuanya itu.
Datin? Dato'? Mak aku biar betul ni! Takkan aku kena kahwin dengan anak Dato' pula? Mesti perangai annoying gila nak mampus! Namun, jeritan itu hanya di dalam hatinya sahaja.
Daripada perasaan rela walaupun terpaksa, dia kini berasa berat hati dan berasa tidak rela di atas perkahwinan yang bakal berlangsung nanti. Argh, tidakkk! Aku nak lari dari muka bumi ni!!!
Share this novel
test_account
wah
32318666