Chapter 7

Romance Completed 32271

Tujuh

Marha duduk di tepi gelanggang tenis yang terletak bersebelahan dengan blok B5. Matanya merenung langit yang indah dihiasi cahaya bulan dan bintang-bintang berkelipan bahagia. Tangan kanannya erat memengang fail yang mengandungi maklumat pratikum yang bakal dihadapinya pada semester hadapan. Jam tangan yang terlilit kemas di tangan kirinya dilihat. Sudah hampir jam lapan malam. Kelibat seseorang yang ditunggunya hampir 10 minit tidak kelihatan lagi. Marha menghela keluhan. Dia memang tidak gemar orang yang tidak menepati masa.

Pandangannya dibuang ke arah beberapa pasangan yang asyik duduk berdua-duan di celahan kereta di parkir kereta di luar asrama perempuan. Entah apa yang dilakukan oleh mereka. Marha menggelengkan kepalanya. Hatinya benci melihat pemandangan seperti itu. Hendak ditegur tidak mampu. Dia hanya mampu membenci perbuatan maksiat itu di dalam hatinya. Dia berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada membuat perbuatan terkutuk itu dan mereka diberi peluang untuk berubah.

“Oit, apa yang kau tengok tu?” Satu suara menyergah Marha dari belakang.

“Astaghfirullah al-azim. Terkejut aku, Ira.” Marha mengurut dadanya yang berombak kencang kerana terkejut. “Sudahlah lambat 10 minit. Tak beri salam pula tu.” Riak wajah Marha mencuka dek perbuatan teman sekelasnya, Tengku Sazaira.

“Ampunkan patik tuanku.” Sazaira berseloroh. “Aku sakit perut tadi. Maafkan aku ya? Selepas taklimat aku belanja kau minum.” Sazaira memujuk Marha yang merajuk.

“Yalah. Aku hendak fresh orange nanti. Eh, sudah pukul lapan. Nanti lewat pula kita sampai ke taklimat Miss Hayati. Mengamuk pula dia.” Marha mula ceria. Dia menarik tangan Sazaira dan berlari anak.

“Sabarlah sikit Marha. Bukan jauh pun FSP. Tiga minit boleh sampai.”

“Ish, mana boleh kita tidak menepati masa. Miss kata pukul lapan, pukul lapan kita mesti ada di sana. Tak kira dekat atau tidak FSP tu. Hendak jadi pendidik, kenalah menepati masa. Kalau masuk kelas lewat, kita sudah dikira mencuri masa pelajar. Sudah tidak amanah.” Balas Marha sambil berjalan laju.

“Ok, aku salah. Apa lagi Teacher Marha, kita lumba lari sekarang!” Sazaira mula berlari laju memintas Marha. Marha turut berlari mengejar Sazaira yang sudah berada di hadapannya.

Mereka tiba di bangunan Fakulti Sains dan Pendidikan tepat jam lapan malam. Marha dan Sazaira tercungap-cungap mengambil nafas. Marha menyeka peluhnya dan dia lihat Sazaira tersandar di dinding kerana keletihan. Mereka melangkah menuju ke tempat taklimat bakal dijalankan di Dewan Kuliah 1.

Pelajar-pelajar ISMP TESL semester lapan mula membanjiri Dewan Kuliah 1. Jelas terselah riak keterujaan di wajah mereka. Ada juga yang dalam kegelisahan.

Dua minggu lagi sebelum semester lapan melabuhkan tirainya. Ini merupakan semester terakhir mereka di UNiSEL. Semester depan bermula sesi praktikum yang menjadi kemuncak bagi setiap pelajar jurusan pendidikan TESL. Masa pratikum adalah masa untuk mereka mengaplikasi segala teori dan ilmu yang telah dipelajari sepanjang lapan semester di universiti.

“Aish, kenapalah Miss Hayati buat taklimat pratikum waktu malam macam ni? Tidak boleh buat esok kah?” Sazaira mengomel. Matanya ligat mencari tempat duduk yang masuk kosong.

“Kau hendak grad atau tidak sekarang? Cuba redha.” Balas Marha.

“Hehe. Mestilah aku hendak grad. Siapa tak mahu grad. Tiga tahun berhempas pulas belajar.” Sazaira menarik sengih. “Ha, ada pun tempat kosong. Wah, tengoklah siapa di situ! YDP MPP.” Sengihan Sazaira makin melebar apabila dia terlihat Farhan duduk berhampiran dengan tempat duduk yang kosong itu.

“Erk. Ira, kita cari tempat lainlah.” Marha menarik tangan Sazaira dengan harapan dia tidak jadi duduk di situ. Dia tidak mahu duduk berdekatan dengan pelajar lelaki.

“Cuba kau tengok ada tempat kosong lagi atau tidak dalam dewan ni? Ala, sekejap sahaja. Ada ramai budak perempuan lagi di situ. Bukan Farhan seorang sahaja. Jom cepat!” Sazaira merentap tangan Marha yang teragak-agak dan terpaksa. Hatinya berdebar-debar melihat Farhan Hakimi yang duduk selang beberapa kerusi di tempat duduk yang bakal mereka duduki.

Farhan yang terperasan dengan kehadiran Marha memberi senyuman manis. Marha membalas senyuman Farhan sekadar yang perlu sahaja. Dia duduk dengan tertib dan failnya diletakkan di atas meja yang bercantum dengan kerusi itu. Buku nota dikeluarkan untuk dia menyalin segala maklumat penting berkaitan praktikum.

“Marha, Marha.” Farhan memanggilnya. Kepalanya ditoleh ke arah suara itu. “Ya, ada apa?”

“Awak praktikal bersama siapa?” Tanya Farhan.

“Hmm, saya isi nama dalam kumpulan Kavvy. Awak kenal Kavvy?”

“Kenal. Saya isi nama dalam kumpulan Alex Prem. Kawan sekelas Marha.”

“Emm.” Marha mengangguk. Pandangannya dihala kembali ke buku notanya.

Perbualan Marha dan Farhan terhenti apabila Cik Hayati melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Dewan Kuliah 1 yang dipenuhi hampir 200 orang pelajar mula beransur senyap. Masing-masing terus diam membisu. Nyata perasaan ingin tahu di mana mereka akan menjalani praktikum menguasai diri mereka.

“Assalamualaikum and good evening. I’m sure you’re very excited and anxious to know where you’re going to do your practicum. Be patient. I’ll hand in the list to your class rep after this. Now let’s continue with the briefing, ok?” Cik Hayati, koordinator ISMP TESL memulakan bicaranya dengan kemas sekali.

Taklimat praktikum berjalan dengan lancar. Pelbagai maklumat dan peringatan telah diberikan oleh Cik Hayati kepada kesemua bakal guru yang akan keluar untu menempuhi alam realiti sebagai seorang pendidik.

Wakil bagi setiap kelas mula dikerumuni oleh pelajar-pelajar. Semua berasa teruja hendak mengetahui sekolah mana mereka dihantar untuk menjalani latihan praktikum. Ada yang bersorak gembira kerana mendapat sekolah yang berdekatan dengan universiti. Mudah bagi mereka kerana mereka tidak perlu bersusah-payah mencari rumah sewa. Ada juga sebahagian daripada mereka mengeluh kerana mendapat sekolah yang terletak jauh dari universiti.

“Marha, Ira, kau dapat sekolah mana?” Khadijah merapati Marha dan Sazaira.

“Alhamdulilah. Sekolah Kebangsaan Taman Klang Jaya.” Marha menjawab.

“Uish, jauh tu. Dekat Klang kan?” Khadijah membulatkan matanya. “Kau pula Ira, sekolah mana?”

“Aku dapat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Andalas. Di Klang juga.” Jawab Sazaira sambil melihat senarai nama kumpulan praktikum. “Kau dapat mana, Jijah?”

“Hehe. Aku dekat sahaja. Nun di Ijok. Sekolah Kebangsaan Ijok.” Khadijah menarik sengih.

“Alhamdulilah. Baguslah. Rezeki kau, Jijah.” Marha berkata sambil menepuk lembut belakang sahabatnya yang berkaca mata itu.

Marha mengerling ke arah Farhan yang sedang rancak berbual dengan rakan sekelasnya. Riak wajahnya begitu ceria. Mungkin dia berjaya mendapat sekolah yang diingini. Dia mengalih pandangannya ke arah Kavvy dan Malaty yang sedang menghampirinya. Marha menguntum senyuman manis kepada kedua teman praktikumnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience