BAB 2 - NEKAD

Romance Series 305

MALAM itu, Kuala Lumpur seperti biasa.. megah, hidup, menyala.

Cahaya dari Menara Berkembar KLCC memantul pada kaca tingkap tingkat 22 kondo mewah milik Zulaikha. Hadiah daripada Ummi dan Walidnya. Ruang tamunya minimalis, moden, sempurna seperti dirinya yang dilihat orang. Lantai marmar putih. Sofa Itali. Dinding dihiasi lukisan kontemporari yang dia sendiri tidak benar-benar faham.

Di meja kerjanya, skrin komputer menyala. Paparan borang e-resignation terbuka penuh. Nama, jawatan, tarikh, alasan, “Saya ingin meletakkan jawatan atas urusan keluarga.”

Tangan Zulaikha bergetar. Tapi jemarinya tetap gagah mengetik satu per satu huruf di keyboard. Ada nafas yang ditahan. Ada bisikan hati yang masih cuba menyoal: ‘Kau pasti?’

Surat rasmi sudah tersedia. Kemas. Dicap dengan logo syarikat multinasional yang pernah dia kejar seolah-olah nyawa. Kertas itu sudah pun dimasukkan ke dalam sampul surat coklat bersaiz A4. Di atas meja, ia terletak seperti naskhah perjanjian terakhir antara dirinya dan dunia korporat.

Zulaikha berdiri di depan tingkap.

Melihat panorama yang dulu membanggakan. KLCC tegak menjulang seperti trofi kemenangan hidupnya. Tapi malam ini… ia kelihatan kosong. Tidak bersuara.

“Apa gunanya bangunan setinggi langit… kalau aku sendiri runtuh dalam senyap?”

Bisiknya sendiri, penuh kelukaan yang ditelan lama.

Matanya panas. Bukan kerana kecewa. Tapi kerana akhirnya, dia tahu apa yang benar-benar bermakna. Hari ini, Walid terlantar. Mungkin esok, Ummi pula. Dan dirinya sebagai anak tunggal, yang kononnya berjaya.. masih terkial-kial apabila Walid tinggal separuh nyawa.

“Tak guna ada master. Tak guna ada pejabat berhawa dingin. Bila satu benda paling penting dalam hidup aku… aku tak tahu nak buat apa.” Nadanya geram, sinis, marah kepada diri sendiri.

Dia mengeluh. Perlahan. Panjang.

“Biarlah satu dunia kata aku bodoh… letak jawatan masa tengah naik… Biarlah. Tapi aku tak nak kesal seumur hidup.”

Dia menyentuh sampul surat itu.

“Cukup. Aku dah penat hidup untuk pandangan orang. Kali ni… aku nak hidup untuk Walid. Untuk Ummi. Untuk diri aku sendiri.”

‘Dia? Pergi jahanam dengan dia! Aku pun tak tahu dekat mana dia sekarang. Tak kuasa aku nak bertanya sesiapapun. Dia bukan siapa-siapa. Cuma singgah tanpa malu!’

Dia bawa surat itu ke dalam bilik. Letakkan di atas beg tangan.

Pagi esok, dia tahu ke mana langkahnya. Bukan lagi ke tapak bina yang bergema dengan suara lelaki dan bau simen basah.

Tapi ke sisi seorang ayah… yang mengajarnya tentang kasih sayang, bukan dengan kata-kata, tapi dengan pengorbanan yang diam.

Zulaikha kembali ke meja. Komputer riba masih menyala. Cahaya skrin membias pada wajahnya yang tampak letih tapi tenang. Tangannya bergerak membuka tab baharu.

Di kotak carian, dia taip perlahan:
"Permohonan jururawat pelatih Kementerian Kesihatan Malaysia."

Beberapa pautan rasmi muncul. Dia klik salah satu laman e-pengambilan. Laman itu memaparkan maklumat asas iaitu tempoh pengajian, lokasi latihan, elaun bulanan, dan syarat-syarat kelayakan. Zulaikha membaca satu demi satu.

Dia tidak kisah kepada elaun bulanan, juga pada keputusan SPM. Dia pelajar cemerlang sekolahnya. Wang simpanannya sendiri cukup untuk tanggung pengajiannya nanti selama 3 tahun jika di terima.

Dia berhenti di baris umur.

“Umur tidak melebihi 32 tahun…”

Zulaikha menatap tarikh lahirnya yang tertera di kad pengenalannya.
“24 Ogos. Dua puluh tujuh tahun. Masih ada ruang.”

Senyuman kecil terbit di wajahnya.

Senyuman yang tidak palsu seperti yang selalu dia tunjukkan di bilik mesyuarat.
Senyuman yang lahir dari hati yang sedang perlahan-lahan diselamatkan.

Air matanya bergenang, tapi bukan kerana kesedihan.

“Alhamdulillah…” bisiknya perlahan, suara hampir tidak kedengaran.

Dia memandang ke langit malam di luar jendela. Awan hitam melindungi cahaya bintang, tapi Zulaikha tahu.. fajar pasti menyusul.

“Allah, terima kasih... Kerana Kau gerakkan hati aku sebelum aku terlambat. Sebelum Walid pergi. Sebelum Ummi perlukan aku. Sebelum aku betul-betul kosong.”

Tangannya kembali ke tetikus.

Klik. Tab baharu dibuka. Permohonan latihan kejururawatan mula diisi dengan butiran diri .. nama, nombor kad pengenalan, alamat, kelulusan akademik.

Setiap huruf yang ditaip bukan sekadar data.

Ia adalah langkah pertama seorang anak… menuju jalan hidup baru yang lebih tulus. Demi seorang ayah, dan demi harga diri yang mahu ditebus bukan dengan pangkat tetapi dengan sentuhan kasih sebenar.

BANGUNAN pejabat ZR & Partner berdiri megah di tengah-tengah pusat perniagaan Damansara Heights. Ruang dalamannya moden, bercermin luas dan berlantai kayu kemas berkilat. Sebuah firma seni bina ternama yang menempatkan lebih seratus warga kerja, terdiri daripada pelbagai bahagian, dari konsep hingga ke pelaksanaan.

Pagi itu, suasana jabatan reka bentuk di tingkat tujuh seakan ditimpa ribut kecil. Fail berwarna jingga di atas meja HR mula menjadi bahan tular sesama staf.

“Betul ke Cik Zuzu letak jawatan?”

“She’s our strongest Project Architect, mana boleh dia keluar masa ni?”

“Projek dengan Majlis Bandaraya Shah Alam tu siapa nak take over nanti?”

“Takkan gaduh dengan boss kot?”

Di bilik mesyuarat kaca yang menghadap panorama lebuh raya, sekumpulan senior associate sedang berbincang tergesa.

Encik Fuad, salah seorang Prinsipal Arkitek, mengetap bibir. Fail peribadi Zulaikha di tangannya.

“Dia baru dapat kepercayaan urus fasa akhir projek hospital Puteri Sarah. Sekarang dia tinggalkan semua?” suaranya tegang, tapi terkawal.

Tuan Malek, Pengarah Urusan yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri, bersandar di kerusi kulitnya. Dia tidak mudah goyah, tapi keputusan Zulaikha mengejutkan ramai.

“Dia anak muda yang bijak. Teliti. Tegas. Kita semua tahu dia bukan jenis sembarangan buat keputusan,” ujar Tuan Malek perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

Seorang HR eksekutif muda masuk dan berbisik kepada Encik Fuad. Zulaikha sudah tiba.

Panggilan mesyuarat dalaman dibuat. Pintu kaca dikuak.

Zulaikha melangkah masuk, kemas seperti biasa. Kot blazer warna arang, tudung satin kesukaan terletak rapi, wajah tenang tapi penuh makna.

“Terima kasih sudi panggil saya, Encik Fuad. Tuan Malek,” suaranya jelas.

Tuan Malek angguk. “Zulaikha… boleh kami tahu kenapa tiba-tiba begini?”

Zulaikha menarik nafas. Dia tahu ini bukan masa untuk beralasan. Dia tidak mahu bersembunyi di balik skrip korporat.

“Saya tahu keputusan saya mendadak. Tapi ini bukan keputusan emosi. Saya sudah fikir berhari-hari. Dan saya tahu… ini jalan yang saya perlu pilih,” jawabnya, tanpa getar dalam nada.

Encik Fuad memandangnya tajam. “Tapi awak jurutera seni bina bertauliah. Baru dua tahun jadi Project Architect. Banyak lagi ruang untuk berkembang. Kita bercadang untuk naikkan awak ke Senior Associate tahun depan.”

“Saya tahu, Encik. Tapi sekarang, saya lebih perlukan satu ruang lain untuk belajar. Ilmu lain. Yang dekat dengan hati saya.”

Tuan Malek menyilang tangan. “Kami tak akan tahan orang yang nekad. Tapi kami cuma minta satu.. jangan terburu.”

Zulaikha tersenyum.

“Saya dah pun mohon kursus latihan jururawat pelatih. Hari ini saya datang serah fail projek, serah tanggungjawab terakhir saya di sini. Saya tak mahu tinggal beban. Saya mahu keluar dengan tenang.”

Ruangan itu sunyi seketika. Hanya bunyi pendingin hawa dan ketukan jam dinding.

Encik Fuad membelek helaian surat perletakan jawatan Zulaikha buat kali kedua, seolah-olah cuba mencari alasan untuk tidak mempercayai apa yang dibacanya.

Matanya terangkat. Suaranya tegang, namun masih terkawal.

“Diploma of Nursing? Come on, Zuzu! You already have a Degree in Architecture. You nak tinggal semua ni… semua yang You bina? Just nak masuk nursing? Awak tahu tak awak dalam team paling kuat sekarang!”

Zulaikha hanya senyum kecil, tak berganjak dari pendiriannya. Pandangannya tepat ke mata Encik Fuad.

“Saya tahu, Encik. Tapi saya juga tahu saya tak boleh hidup separuh-separuh. Apa yang saya buat sekarang… semua ni… mungkin nampak gah, tapi saya kosong. Saya tak pernah rasa sepenuh hati dengan dunia ni.”

“Zulaikha…” suaranya tenang tapi dalam.

“How about this.. saya tawarkan awak cuti tanpa gaji selama awak belajar. Tiga tahun.Tamat belajar nanti, awak kembali. Kita sambung semula dari mana kita berhenti.”

Zulaikha sedikit terharu dengan tawaran itu. Dia tahu bukan mudah Tuan Malek buat begitu. Tapi dia juga tahu jawapannya tak berubah.

Dia tunduk hormat.

“Terima kasih, Tuan. Saya sangat hargai kepercayaan Tuan dan semua di sini. Tapi…”

“Lepas tamat belajar nanti, saya akan terikat dengan bond kerajaan selama lima tahun. Saya akan ditugaskan ke fasiliti awam. Saya tak boleh resign sewenangnya.”

Zulaikha berhenti sejenak, menatap semua wajah dalam bilik itu.

“Tapi sejujurnya… saya tak pernah pun terfikir untuk resign nanti. Bagi saya, permulaan saya baru bermula.”

Dia senyum. Pandangan matanya jernih, tak goyah.

“Selama ni saya bina bangunan. Tapi kali ni saya nak bina hubungan dengan manusia. Saya nak bina diri saya semula. Dengan tangan saya sendiri.”

Encik Fuad akhirnya menghela nafas, dan duduk semula.

Tuan Malek mengangguk perlahan.

“Kalau itu keputusan awak… kami doakan yang terbaik, Zulaikha. Saya bangga… walaupun awak tinggalkan kami untuk jadi sesuatu yang orang lain tak nampak besar… tapi sebenarnya itu lebih besar dari segalanya.”

Encik Malek akhirnya bangun, menghampiri Zulaikha.

“Zulaikha, awak mungkin satu dalam seribu dalam bidang ini. Tapi kalau hati awak jumpa tempat lain… saya doakan awak bahagia di situ. Tapi jika satu hari nanti awak nak kembali, pintu ni akan terbuka.”

Zulaikha tunduk hormat. “Terima kasih, Tuan. Doakan saya.”

WARNA biru pucat hospital, bau pembasmi kuman yang tajam, dan suara troli ubat yang berderak-derak di koridor.. semuanya menjadi latar yang asing dan tenang buat Zulaikha. Tangannya erat menggenggam tangan Walid saat mereka melangkah perlahan menuju bilik rawatan.

“Pelan-pelan, Walid. Tak perlu kejar siapa-siapa,” katanya lembut, menyuap senyum kecil agar tiada duka kelihatan pada wajah.

Zahim tersenyum sipi. Nafasnya masih belum stabil, tetapi sejak ditukarkan dari ICU ke wad biasa, senyuman sudah kembali menjengah.

Mereka masuk ke bilik. Ummi sedang menyusun buah potong di meja sisi, dan mengangkat muka sebaik Zulaikha masuk.

“Lambat balik kerja hari ni, Ika?” tegur Ummi, sambil menghulur sebiji epal.

Zulaikha menyambut tapi tak makan. Dia hanya duduk di sisi katil, menepuk perlahan betis Zahim yang diselimutkan.

“Tak kerja hari ni, Ummi.”

Ummi berpaling. “Cuti ke?”
Zulaikha senyum. Pandangannya tidak bertemu dengan ibunya. Sebaliknya ditujukan kepada monitor degupan jantung di sisi katil.

“Kalau... Ika kata Ika nak belajar semula, Ummi rasa apa?”

Soalan itu membuatkan Zahim dan Mariam saling berpandangan.

Zahim bersuara, “Belajar lagi? Master?”

Zulaikha geleng. “Bidang lain, Walid. Bidang yang... lebih dekat dengan manusia.”

“Jadi pensyarah?” teka Ummi, separuh berjenaka.

Zulaikha ketawa kecil. “Mungkin... lebih dekat daripada itu.”

Dia mengambil sehelai tisu, menyapu peluh di dahi Walid. Perbuatannya tenang, seperti sudah biasa melakukannya. Zahim hanya memerhati, matanya berkaca, tapi dia tahan.

“Ummi...” Zulaikha menyambung perlahan.

“Pernah tak rasa... kadang-kadang Allah tarik kita daripada sesuatu bukan sebab itu tak bagus, tapi sebab ada yang lebih baik menunggu?”

Zulaikha senyum kecil. Dia pegang tangan Ummi, erat.

“Kalau Ika... pilih satu jalan yang orang tak jangka... tapi buat Ika rasa berguna dan bahagia, Ummi redha?”

Ummi memandang wajah anaknya. Dalam diam, dia tahu sesuatu sedang berubah.

Zahim bersandar lemah tapi wajahnya tenang.

“Walid tak kisah kerja apa pun Zulaikha nak buat...” katanya perlahan.

“Asal bukan kerana kecewa. Tapi kerana ikhlas.”

Zulaikha diam. Rasa yang menyesakkan jiwanya seakan mula surut sedikit demi sedikit.

Dia tunduk mencium tangan Walid dan Ummi. Lama. Dalam hati dia berjanji, ini bukan lagi sekadar pengorbanan. Ini adalah ketaatan dan kasih yang diperjuangkan

Zulaikha menggenggam kedua-dua belah tangan di atas riba. Nafasnya ditarik dalam. Kali ini dia mahu berhenti berselindung. Walid dan Ummi berhak tahu.

“Ummi, Walid... Ika dah berhenti kerja.”

Kata-kata itu terlepas perlahan, namun cukup untuk mengejutkan keduanya. Ummi berpaling dengan dahi sedikit berkerut. Zahim pula, memandang tepat ke wajah anak tunggalnya itu.

“Berhenti?” Mariam ulang perlahan. “Kenapa, Ika?”

Zulaikha tidak segera menjawab. Dia menunduk seketika, kemudian bersuara kembali, yakin.

“Sebab Ika nak ubah hidup, Ummi. Ika dah mohon latihan jururawat... melalui laman rasmi SPA. Umur Ika masih layak. Jadi Ika nak... mulakan semula.”

Mariam terdiam. Mulutnya ternganga kecil, tapi tiada kata keluar. Zahim juga begitu. Tiada jeritan. Tiada kemarahan. Hanya sunyi dan sepasang mata yang sarat menimbang.

“Ika bukan ikut emosi. Ika fikir betul-betul. Ika tahu akan terikat dengan kerajaan nanti... lima tahun. Tapi Ika sanggup. Ika nak masuk bidang ni... untuk orang yang Ika sayang. ”

Zahim bersandar kembali. Matanya sedikit berkaca, entah kerana sakit atau kata-kata anaknya itu.

“Kalau itu pilihan Ika... Walid redha.”

Mariam akhirnya bersuara, lembut,

“Tapi...Ika pasti ke? Bagi Ummi, bidang tu pun berat...”

Zulaikha senyum nipis.

“Bidang arkitek pun berat, Ummi. Tapi tak pernah pun Ika rasa letih... Sebab Ika buat untuk diri sendiri. Sekarang, Ika nak buat untuk perkara yang berbeza. Untuk Ummi.. untuk Walid.”

Mereka diam. Cuma bunyi penghawa dingin yang memenuhi ruang.

Dan kemudian, soalan itu keluar daripada bibir yang tenang tapi tajam.

“Emir dah tahu ke?”

Soalan Zahim membuatkan senyum Zulaikha perlahan-lahan hilang. Dia menoleh sedikit, memandang luar jendela hospital yang menghadap taman kecil.

Lama.

Kemudian, perlahan-lahan dia menjawab, “Belum.”

Zahim tidak menyambung. Tidak juga mendesak. Tapi pandangannya seolah menyimpan seribu pertanyaan yang tidak terluah.

Zulaikha tahu. Pada akhirnya, bukan semua orang akan faham. Tapi ini perjuangannya. Dan dia sudah bersedia untuk memikulnya walau sendirian.

‘Emir? Aku sendiri pun tak tahu dia dimana. Perlu ke dia tahu semua pasal aku?’

Share this novel

hana1234
2025-05-21 18:14:03 

siape Emir?


NovelPlus Premium

The best ads free experience