Rutin seperti Biasa!

Romance Completed 117449

BAB 41

            “Tak apa ke Aya nak balik sendiri?” Soal Ray apabila kami sudah tiba di tempat letak skuter aku berhampiran pasar yang aku datang pagi tadi.

            “Tak apa, lagipun siapa nak bawa balik skuter saya nanti. Terima kasih untuk hari ni, saya sangat happy.” Ujarku dengan ikhlas. Walaupun ada babak sembilu sewaktu di villa tadi, aku sebenarnya dapat sedikit ketenangan bila berada di sana. Tambahan pula dengan layanan baik dari Ray, hatiku yang rawan sedikit terpujuk.

            “Pasal hal tadi, saya harap Aya tak akan rasa segan dengan saya lepas ni.” Ujar Ray.

            Aku mengangguk perlahan. Ray telah meluahkan perasaannya dan menunggu aku memberi jawapan. Walaupun jawapannya sudah ada, tetapi aku tidak fikir untuk menjawab sekarang. Lagipun Ray sendiri tidak mahu menerima jawapan dalam keadaan emosi aku tidak stabil. Malah, dia sanggup untuk menunggu bertahun asalkan menerima jawapan yang memihak kepadanya. Aku tidak berani berjanji.

            Ray... Harry. Mereka adalah dua orang yang sama walaupun berbeza jasad. Mereka berdua adalah anak golongan atasan, aku hanya layak menjadi maid di rumah mereka, bukannya tuan puteri. Aku tidak mahu mempertaruhkan maruah keluarga aku demi cinta yang tak mungkin ke mana ini. Sebelum aku di hina, atau ditolak setelah separuh mati mencintai mereka, biarlah aku undurkan diri dari dunia mereka.

**********

            AKU perlu juga berhadapan dengan Harry, lagipun dia masih majikan aku. Malam itu Harry menghantar pesanan ringkas kepada aku supaya pergi ke rumahnya. Aku rasa sungguh berat hati untuk ke rumahnya pada waktu malam walaupun sebelum ini pernah juga aku pulang lewat. Sekurang-kurangnya jika malam pun, aku sudah hendak balik, tetapi kali ini baru nak pergi. Jam menunjukkan pukul lapan malam. Aku sebenarnya masih letih kerana seharian keluar bersama Ray.

            Aku bersiap ala kadar, aku perlu juga pergi ke rumahnya. Entah apa lagi yang Harry mahu dari aku pada malam ini. Aku tidak berani menunggang skuter pada waktu malam, aku risau bila keseorangan pulang lewat nanti. Jadi, aku akan mengambil bas seperti biasa. Dalam perjalanan itu aku lebih banyak termenung, sudah dua hari aku tidak bekerja. Tiba-tiba Harry memanggil aku untuk pergi ke rumahnya, tidak boleh tunggu esokkah? Cuma satu sahaja, seburuk sikap si hantu itu, aku masih percaya kepadanya. Selama aku berada di rumahnya Harry tidak pernah mengambil kesempatan. Berani? Aku ada teknik Judo yang boleh patahkan tulang belakangnya dengan sekali hentakan!

            Aku masuk ke rumah Harry begitu sahaja kerana aku ada kunci pendua  rumah itu. Tiada siapa di rumah? Pintu bilik lelaki itu juga terkunci rapat. Pelik. Kalau dia tiada di rumah kenapa nak datang sini?

            Bunyi telefon bimbit mengejutkan aku yang masih memikirkan tentang lelaki itu.

            “Kau dah sampai?” Soalnya.

            Aku mengeluh. “Ya, awak nak saya buat apa?”

            “Kemaskan rumah, dalam satu jam lagi aku sampai. Termasuk bilik aku.” Arahnya.

            Kemudian talian diputuskan tanpa sempat aku berkata apa.

            “Tak boleh tunggu esok ke?!” Aku sangat letih hari ni, tolonglah...

            Dengan rasa mata yang mengantuk dan badan yang letih aku gagahkan juga mengemas bilik lelaki itu yang tidaklah bersepah mana pun. Cuma terdapat pakaian yang tidak terlipat di atas katil. Aku mengambil longgokan pakaian itu dan memasukkannya ke dalam bakul lalu kubawa ke ruang tamu. Di situ aku melibat pakaian Harry satu persatu. Mulut aku pula tidak henti-henti menguap serta mata aku sudah berair kerana terlalu mengantuk. Entah bila aku terlelap dengan bersandar di kaki sofa.

            Aku dapat merasakan kedinginan penyaman udara yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini apabila bangun di pagi hari. Rasa tilam empuk membuatkan aku malas untuk membuka mata. Kenapa aku rasa sedap sangat ni?

            Akhirnya aku berupaya untuk membuka mata dengan sedikit, tetapi apabila melihat keadaan bilik itu terus membuatkan mata aku terbuka seluas-luasnya.

            “Apa ni?!” Aku melihat ke sekeliling. Ini bukan bilik aku. Katil juga bersaiz besar, warna cat yang berbeza, keluasan dan hiasan dalaman yang sanga jauh berbeza dari bilik aku di rumah sewa.

            “Harry!!” Aku menjerit sekuat hati apabila melihat gambar lelaki itu tidak berbaju dan memakai seluar renang terpampang besar di dinding sebelah kiri aku.

            Tubuh aku terus menggigil tidak percaya. Tak mungkin aku sudah tidur semalaman di rumah lelaki itu!

            “Hey! Pagi-pagi dah menjerit.” Harry muncul di pintu bilik yang dibuka dari luar.

            Aku memandangnya dengan tidak percaya. Mata aku sudah bergenang, aku rasa ingin menangis. Malu, marah dan semuanya bercampur-baur.

            “Saya tertidur semalam sebab terlalu letih. Awak sepatutnya kejutkan saya supaya saya boleh balik!” Marahku. Kain selimut yang menutupi separuh badanku dibiarkan begitu sahaja. Aku masih tidak bergerak dari katil Harry.

            “Kau nak aku simbah kau dengan air panas? Kau tu yang tidur mati. Jangan nak salahkan orang lain.”

            Aku terdiam mendengar kata-katanya. Harry beredar dari di situ dan membiarkan aku termagu sendirian. Setelah beberapa minit aku berteleku bigung di atas katil, barulah aku bangun dan berjalan keluar dari bilik itu.

            Harry kelihatan santai duduk di sofa pangjang sambil menonton tv saluran sukan. Aku menjadi serba salah kerana telah memarahinya tanpa sebab. Aku yang cuai kerana tertidur mati sehingga dia mengangkat aku masuk ke bilik pun aku langsung tidak sedar.

            “Maaf... saya tak patut cakap macam tu.” Ucapku perlahan sambil berdiri tegak di sebelahnya.

            “Sediakan aku sarapan.” Arahnya tanpa membalas kata-kata maaf aku. Tetapi memandangkan dia seperti tidak kisah aku anggap dia tidak mengambil hati perkara tersebut.

            “Ya, tapi lepas saya siapkan sarapan saya kena balik sekejap. Saya kena mandi dan tukar pakaian.” Ujarku meminta keizinan. Baju aku ini sudah dipakai sejak semalam, walaupun tidak berpeluh tetapi rasa tidak selesa juga.

            “Tak payah. Mandi kat sini aje. Lepas ni kau kena tolong aku balas komen peminat.”

            “Apa?” aku tidak percaya mendengar katanya. Mana boleh aku mandi kat sini. Dia ni memang dah gila.

            “Kenapa? Bilik air kat rumah ni tak ada dinding ke?”

            “Bukan macam tu...”

            “Pergi siapkan sarapan sekarang, lembap betul.” Harry terus merungut.

            “Ya...” dengan langkah yang lemah aku beredar ke dapur kerana tidak larat lagi untuk bertekak dengannya.

***********

            Pagi itu sebelum ke pejabatnya Ray membuat keputusan untuk singgah ke rumah Sallyna. Sallyna tinggal di banglo mewah milik keluarganya di bandar itu. Ibu dan bapa Sallyna masih menetap diluar negara dan mereka langsung tidak tahu mengenai kejadian yang berlaku kepada Sallyna. Sallyan merayu kepada Karl supaya perkara itu tidak dimaklumkan kepada ibu bapa mereka. Sebenarnya kes pertama dahulu pun, hanya Ray seorang yang tahu. Sallyna berlagak seperti wanita yang tabah di depan keluarganya, walaupun dia sebenarnya mengalami masalah tekanan perasaan yang agak tinggi.

            “Cik Sallyna sekarang ada di belakang, di kolam renang.” Beritahu Puteri Atilia apabila melihat tunang majikannya itu terpacak di depan pintu.

            “Dia tengah berenang ke?” Soal Ray. Risau juga jika dia masuk dan melihat Sallyna berpakaian renang. Itu memang menempah bala.

            “Tak, dia berehat je. Silalah masuk.” Pelawa gadis muda itu.

            Ray berjalan menuju ke pintu belakang melalui ruang tamu rumah itu. Pintu slide ditolak dan Ray melangkah keluar menuju ke kolam renang. Kelihatan Sallyna hanya duduk di kerusi rehat yang menghadap ke arah kolam renang.

            “Hai...” Sapa Ray dengan lembut.

            Sallyna menoleh sambil tersenyum. Dia sudah menerima pesanan ringkas dari lelaki itu yang ingin menjenguknya sebelum ke pejabat.

            “Duduklah.” Sallyna mempelawa tunangnya itu duduk di kerusi sebelahnya. Puteri Atilia datang untuk menghantar sarapan pagi kepada tetamu majikannya itu. Kek coklat dan teh panas di letakkan di atas meja kayu, kemudian gadis itu meminta diri masuk ke dalam rumah.

            “Sally, I datang ni nak bincang pasal abang you.” Luah Ray tanpa berselindung lagi.

            Sallyna tidak menunjukkan sebarang riaksi. Dia hanya termenung jauh ke arah kolam, namun dia masih mendengar kata-kata tunangnya itu.

            “You pun tahu kan, abang you fikir Ipunca atas apa yang berlaku.”

            “Rayyan, kenapa I hidup semata-mata nak rasa semua ni?” Tiba-tiba Sallyna menoleh kepada Ray. Dia terus mengaju soalan yang di luar topik perbincangan,

            “Sally. You jangan cakap macam tu. Seolah-olah you tak redha dengan ujian dari Tuhan.”

            “Kenapa takdir Tuhan tak pernah menyebelahi I, Ray?” Air mata Sallyna bergenang.

            “Bila kita di beri nikmat kita harus bersyukur, apabila kita diberi musibah kita harus sabar. Kalau takdir selalu menyebelahi kita, apa gunanya ada syurga dan neraka. Di sinilah Allah menguji keimanan kita...”

            “I dah tak nak fikir semua tu. Dari dulu lagi memang I tak dapat apa yang I nak! Susah sangat ke Tuhan nak buka hati Harry untuk I?!” Sallyna semakin sukar mengawal perasaannya.

            “I memang tak pandai hal-hal berkaitan agama ni, Sally. Tapi, I cuma boleh beri you sedikit nasihat. Mungkin kita fikir seseorang itu adalah yang terbaik untuk kita, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. I tak suruh you putus asa, Sally. Cuma I harap you pegang jodoh itu di tangan Tuhan. Kalau memang benar Harry tu jodoh you, you tak perlu buat apa-apa pun dia pasti akan jadi milik you. Cuma cara yang terbaik, adalah dengan berdoa. I sendiri pun sedang buat apa yang I cakap kat you ni. Mungkin you fikir I macam tak berusaha nak dapatkan Aya, sebenarnya I sudah serahkan semuanya pada takdir dan I cuma boleh buat seperti biasa. Kalau Aya memang takdir I, dia pasti akan datang kepada I...”

            “I tak boleh buat macam you, Ray. I tak boleh!” Sallyna bangun berdiri. Tiba-tiba sahaja kemarahannya meletus.

            “Pilihan ada di tangan you. Sally. I tak boleh ubah pemikiran you, tapi sebagai kawan you, I tak nak tengok you jadi macam ni. Cukuplah kita menderita di dunia ni, jangan sampai kita menderita selama-lamanya di akhirat nanti.”

            Sallyna terkedu mendengar kata-kata Ray itu.

            “I rasa sakit hati! I nampak kasut perempuan dalam rumah Harry. I yakin itu milik Aya!” Tengking Sallyna sekuat hati.

            Ray tergamam mendengar kata-kata Sallyna yang menuduh secara melulu itu.

            “Tak mungkin, Aya. You jangan nak buat fitnah, Sallyna.”

            Sallyna menoleh melihat Ray dengan renungan yang tajam. “You jangan nak butakan mata you yang celik tu. I percaya dengan gerak hati I. Kalau you tak percaya, you boleh sisat sendiri!”

            “Sallyna. You memang dah terlalu tertekan, Sally. Sudah tiba masanya you berehat dan menenangkan fikiran. I nak you pergi bercuti. Jangan biarkan masalah ni berlarutan. Karl pasti akan bunuh I kalau you masih macam ni. Please wake up, Sally.” Tegas Ray.

            Sallyna berdengus. “I tak ada hati nak pergi bercuti.”

            “You must go. I dah dapat tiket untuk kita berdua.”

            “What?” Wajah Sallyna kelihatan sangat terkejut.

**********

            “ADA peminat ni tanya tentang aktiviti masa bercuti awak. Kenapa awak senyap tanpa berita, adakah awak pergi bercuti di luar negara?”

            Harry yang hanya baring di kerusi panjang berterusan mengeluh sepanjang mendengar aku membaca komen-komen dari peminat di laman sosialnya. 

            “Dah hampir sebulan awak cuti, tapi awak langsung tak ke mana-mana. Terperap aje dalam rumah. Awak dah membazir masa dan menambah berat badan aje tahu.” aku membebel.

            “Tambah berat badan?” Harry ketawa kecil. “Kau fikir dulu sebelum bercakap. Baca ni!” Harry melemparkan sebuah majalah kepada aku.

            Aku melihat gambar di muka depan majalah Maskulin itu. Gambar Harry memakai seluar pendek tanpa baju dan memegang pingat emas Olimpik terpampang di muka depan majalah itu. Cepat-cepat aku melarikan mata dari melihat gambar itu.

            “Tak... tak malu ke biar editor letak gambar macam ni kat majalah!” Aku tergagap-gagap bersatu dengan rasa segan.

            “Baca la tajuk dia dulu! Lagipun itu gambar lepas aku berenanglah”

            Aku akur, sekali lagi majalah itu aku angkat menghadap ke wajahku. “Harry Fattah tersenarai atlet bertubuh paling sempurna.”

            Aku menjuih bibir seraya meletakkan majalah itu ke tepi. “Meremang bulu tengkoklah!”

            “Nampak tak, jadi jangan nak mempersoalkan bentuk badan aku.”

            “Buat apa, seluruh dunia dah tengok badan dia...” aku bercakap seorang diri dengan nada perlahan, cukup untuk telinga aku seorang yang dengar.

       Harry menyembunyikan senyumannya. Aku melihat dia dengan pelik. Kenapa dengan dia ni?

            “Well... kita nak pergi bercuti kat mana?” soal Harry.

            “Kita?”

            “Yelah... kau kena ikut ke mana aku pergi.”

            “Tak nak!”

            “Aku tak dengar...” Harry terus bangun berjalan keluar dari ruang tamu.

            “Betul-betul jadi tuli baru tahu!” Aku merungut geram.

            Ketika itu aku mengambil peluang untuk melayari internet di Ipad milik lelaki itu. Pelbagai tempat pelancongan dalam negara yang aku rasakan sangat menarik. Pencarian aku akhirnya berhasil apabila aku melihat ke sebuah portal pelancongan yang menawarkan pakej pelancongan mewah.

            “Mewah sangat ke? Sekarang ni kena berjimat cermat memandang si bedebah tu sedang bercuti.” Aku terus klik kepada satu pakej pelancongan yang masih terbuka lagi. 

            “Wahh!! Macam best aje!”

***********

            “Tuan Rayyan, Encik Karl ingin berjumpa dengan Tuan muda sekarang.” suara setiausahanya di interkom itu menganggu tumpuannya pada kertas kerja di mejanya.

            “Okey.” balas Ray. Dalam hatinya tetap berdebar juga untuk berhadapan dengan lelaki itu.

            “Ray, let’s talk.” itulah kata-kata pertama dari Karl apabila masuk ke biliknya.

            “Sure.” Ray terus mengajak Karl duduk di sofa.

            Karl memandang Ray agak lama sehingga Ray rasa tidak selesa.

            “Yes?” Ray menyampaikan soalan dengan wajah tanda tanya walaupun dia sudah tahu apa tujuan lelaki itu. Sudah pasti hal berkaitan Sallyna.

            “Pejabat kau ni cantik, patutlah papa aku beria sangat nak bermenantukan kau.” Ujar Karl dalam nada sinis.

            Ray masih bertenang dengan sentiasa tersenyum. “Tapi hidup dalam ni seperti dalam sangkar.”

            “Jadi, pertunangan kau dengan Sally pun ibarat burung dalam sangkar? Tidak bebas untuk membuat keputusan sendiri, terkurung dan hanya makan apa yang tuan bagi makan.”

            “Sallyna dah semakin baik sekarang. Saya ada jumpa dia pagi tadi.” Ray sengaja mengubah topik.

            “Rayyan, kalau kau memang serius nak kahwin dengan Sallyna. Jangan cuba nak mainkan perasaan dia. I’m warning you.”

            “Mungkin ada sikit salah faham. Tapi saya dan Sallyna sekarang baik-baik aje. Kalau saya puncanya, mesti dia tak nak jumpa saya lagi. Tapi, saya selalu ada di sisi dia masa di hospital.” Ray bijak mencari helah.

            “Habis tu, apa puncanya Sallyna cuba bunuh diri?” Wajah Karl berubah warna.

            “Karl, Sallyna tak ada niat nak bunuh diri. Mungkin dia ada tekanan jadi dia terlebih ambil pil tu. Kadang-kadang Sally tak beritahu saya apa masalah dia.” Dalihnya lagi.

            Karl berdengus. “Habis tu, siapa perempuan yang kau date masa di KLCC?”

            “Date?” Ray tersenyum. “Ada ke informer tu cakap saya peluk atau pegang tangan perempuan tu?”

            Karl terdiam. Ray tersenyum lagi.

            “She’s a friend. Kawan lama yang dah lama tak berjumpa. Sally pun kenal dia, tapi saya lebih rapat dengan dia masa zaman sekolah dulu. Kami cuma dinner, lepas tu jalan-jalan kat situ sambil berborak.”

            “Siapa?” Soal Karl.

            “Aya.” Jawab Ray dengan tenang.

            Karl terdiam seketika. Dia memejam mata sambil mengeluh berat.

            “Aku tahu kau tak akan buat kerja bodoh macam tu. Maafkan aku sebab tuduh kau melulu.”

            “It’s okay Karl.” Ray menepuk bahu Karl dengan mesra. “Apa yang penting sekarang ialah Sallyna. saya pun nak dia macam dulu balik.”

            Karl mengangguk lemah. Dia sudah terlalu letih memikirkan tentang adiknya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience