PANDANGANNYA berbalam-balam dan tubuhnya terhuyung-hayang. Dia meneroka ke tempat yang begitu asing namun mengasyikkan. Sangat selesa dan dia ingin berada di situ selama-lamanya, namun…
KRINGGG!!!
Tersentak dan terus terbutang matanya mendengar bunyi yang mengejutkan dan membingitkan telinga itu. Degupan jantungnya terus berdegup kencang. Dihempaskan nafasnya dengan kasar dan terasa marah kerana lenanya telah terganggu. Terus dia mematikan jam lonceng yang berada di sisi katil lalu menyambung semula tidurnya.
PIN PON! PIN PON! PIN PON! WAKE UP!
Sekali lagi bunyi itu mengganggunya. Kali ini bunyi jam penggera datang dari peranti telefonnya pula.
“Ishhh!” Lebih kasar dia merengus sambil mencari-cari di manakah telefon bimbitnya itu berada.
Matanya masih tidak dapat dicelikkan sepenuhnya. Dia tersangat kantuk kerana baru saja terlelap. Jumpa apa yang dicari terus dimatikan penggera itu dan dicampakkan semula telefon itu ke katil. Lalu terus dilabuhkan semula kepalanya yang berat itu di atas bantal yang begitu empuk.
‘Ah, aman,’ fikirnya seraya melelapkan semula matanya.
Namun, hanya beberapa saat saja keadaan yang tenang itu kembali porak-peranda.
“Haih, orang nak tidurlah!” jeritnya tidak puas hati. Terus bantal di kepala berpindah ke atas lalu ditekup kepalanya. Dibiarkan telefon itu menjerit minta diangkat.
Sedetik, dua detik telefon itu berhenti melalak. Rasa lega bila telefon itu sudah berhenti berdering. Namun, sekali lagi telefon itu berdering minta dijawab.
“Arghhh!”
Meronta-ronta dia di dalam comforter. Terus diangkat telefon itu lalu menyerang si pemanggil, “Nak apa?!”
“Cik Jia masih tidur ke? Bangun Cik Jia. Jadual Cik Jia akan bermula sekejap je lagi,” ujar suara perempuan di hujung telefon dengan tenang.
“Hah?”
Tergaru-garu dia seraya memandang jam loncengnya di sisi katilnya. Rambut mengurainya yang serabai itu diabaikan. Jarum jam sudah menginjak pukul lima pagi. Sebentar lagi dia akan memulakan rutin hariannya seperti hari-hari sebelumnya. Dia yang baru berehat dan tidur dua jam lalu mendengus. Sekarang dia sudah terjaga lagi dan akan akan memulakan hari barunya semula.
“Cik Jia Bella?”
“Hah? Ha… ya ya.”
“Bangun, cik. Sekejap lagi I datang pickup cik. Pagi ni cik jadi tetamu khas untuk segmen pagi di Radio Kaboom, takkan cik lupa pula?”
Mendengus dan mengeluh dia mendengar itu. Itulah kehidupannya. Waktu tidur dan makan tidak pernah menentu. Dia memulakan harinya sebelum subuh dan menamatkannya hampir ke subuh.
“Ya, ingat. Okay! I’m wake up right now!”
Dia dapat merasakan senyuman si pemanggil walaupun tidak melihatnya.
“Okay, good! I tunggu you dekat bawah. Lagi half an hour you turun di lobi,” arah suara di hujung corong telefon itu.
“Alright….” Bersama keluhan dijawabnya.
Panggilan itu ditamatkan dan dalam terpaksa dia terus bangun dari katilnya. Dengan rambut yang tidak terurus, pijama separa lutut; dia melangkah ke dinding berkaca untuk melihat suasana kota raya yang masih gelap dan hanya dilimpahi cahaya lampu saja.
“Haih….” Mengeluh dia. Hendak buat macam mana dah ini jalan yang dipilihnya, jadi nak tak nak dia perlu telan walaupun terpaksa.
Dia merenggangkan badannya dan menguap lebih lebar. Kedua-dua pipinya ditepuk-tepuk agar menyedarkan dia tentang dunia realitinya saat ini.
Dia adalah Jia Bella! Seorang penghibur yang amat dikenali. Tidak kenal erti lelah, dia akan menghiburkan orang dengan apa saja cara. Walaupun dirinya penat dan terluka, dia tetap akan memberikan service yang terbaik kepada para peminatnya. Itulah dia, Jia Bella.
“HAI, hai! Selamat pagi dan bertemu lagi kita dalam boom boom pagi keboom! Saya deeja yang sentiasa memeriahkan pagi anda, DJ. Big Boom!”
Bunyi tepukan gemuruh dipasang bersama dengan bunyi siulan sekali. Memberi kesan yang gamat di dalam konti itu dan juga pendengar.
“Dan saya yang sentiasa menemani abang sado kita ini, seorang kecil molek, comel lote, tak lain tak bukan… DJ. Moolek Boom!” sahut lagi seorang deejay yang turut bertugas.
“Moolek, hari ni kita bukan berdua dalam konti. Kita ada special guest,” ucap DJ. Big Boom.
“Ya, betul tu, Big. Special guest kita ni memang betul-betul special. Saya memang minat betul dengan special guest kita hari ni,” balas DJ. Moolek Boom teruja.
“Hampir semua rakyat Malaysia mengenali special guest kita kali ini. Beliau sudah memulakan karier seawal umur lima tahun dan sehingga kini beliau masih dikenali dan mempunyai fandom paling ramai di Malaysia!” tokok DJ. Moolek Boom lagi.
“Ya betul tu, Moolek. Tak kira lapisan umur pasti mengenali beliau. Beliau adalah… du du du…”
Bunyi drum dimainkan.
“JIA BELLA!” Serentak itu kedua-dua deejay memperkenalkan Jia Bella kepada pendengar mereka. Siulan dan tepukan dipasang bagi memeriahkan lagi keadaan.
Tertawa Jia Bella dengan gelagat mereka.
“Hello, morning guys. I'm your sunshine today. I akan sentiasa menyinari hidup anda semua dengan anugerah yang telah diberikan kepada I,” ucap Jia Bella ceria menyapa para pendengar.
“Terima kasih, Jia sebab sudi bertandang di konti kami ni pagi-pagi. Bukan mudah ya kita nak panggil artis popular masuk konti pagi-pagi macam ni. Lagi-lagi Jia sekarang tengah sibuk dengan aktiviti seni selepas berehat beberapa tahun,” celah DJ. Big Boom.
“Ya, sama-sama. I pun rindu sebenarnya nak menghuru-harakan konti radio ni. I akan takluk konti ini sampai y'all tak dapat berkata-kata lagi. Ha-ha-ha…,” seloroh Jia Bella bersama gelak tawanya.
“Silalah huru-harakan konti ni. Kami memang mengalu-alukan. Lagipun bosan tau saya asyik melayan lawak bodoh Big ni. Sesekali kita nak juga tukar partner,” tukas DJ. Moolek Boom menyambut gurauan Jia Bella.
“Wah, wah… suka-suka je nak tukar partner. Awak kena ingat Moolek saya ni belahan awak dalam konti ni,” balas DJ. Big Boom.
“Uwerkkk… nak muntah dengar.” DJ. Moolek Boom menyerang balas lagi.
Mereka saling tertawa dan segmen itu diteruskan dengan bual bicara mengenai perkembangan Jia Bella. Memang riuh konti itu dengan kehadiran Jia Bella.
“BAIKLAH, diam tak diam kita dah berada di hujung segmen. Masa amat mencemburui kita. Sebelum kita menamatkan segmen kita, saya nak tanya Jia. Apa nasihat Jia untuk pendatang baru? Yalah, Jia kan dah lama dalam industri ni dan masih lagi aktif sampai sekarang. Jadi mesti ada rahsia nak share dekat semua orang,” soal DJ. Big Boom sebelum mengakhiri segmen mereka.
“Tiada rahsianya pun. Pokok pangkalnya hati kita. Kena sentiasa hormat orang sekeliling dan tidak melatah dengan apa yang berlaku. Konsep saya lebih pada ‘shhh… stay silent, let your actions speak.’”
“Wah, cukup mendalam tu. Kita harap semua orang jadikan Jia Bella inspirasi mereka terutama kepada kalangan artis,” sambut DJ. Moolek Boom dan jadual Jia Bella pada pagi itu berakhir di situ.
Namun, harinya tidak habis begitu saja. Masih banyak lagi jadual yang perlu ditempuhnya pada hari itu. Perutnya mula mendendangkan lagu dondang sayang. Manakan tidak, sekeping biskut pun belum sempat singgah dalam perutnya dari tadi. Hanya minuman protein saja diteguknya awal pagi tadi.
Masuk saja ke perut kereta, terus dia merungut, “Laparnya.”
Dengar saja omelan Jia Bella itu; Luna, pembantu dan manager Jia Bella pantas membuka bekalan makanan yang telah disediakan.
Makin merungut Jia Bella melihat makanan yang dihidangkan. Terus dihempaskan tubuhnya pada penyandar kerusi dan dipalingkan wajahnya ke luar.
“Tak ada makanan lain ke? I want real food!”
“Errr… ni pun real food, Cik Jia. Ni semua organik.” Tergaru-garu Luna melihat sebekas sandwich telur dan juga ceaser salad.
“I nak nasi! Nasi lemak ke, nasi campur ke? You knew right, I dah berapa hari tak makan nasi. I need rice!”
“Tapi Cik Jia Bella, susah cik nak makan semua tu dalam kereta yang sedang bergerak. Kita pula tak boleh berhenti sebab nak kejar masa. Jadi, Cik Jia makan ni dulu ya.” Luna memujuk Jia Bella.
Mendengus Jia Bella tidak puas hati. Beginilah hari-harinya. Tiada masa senggang dan berehat untuk seorang bergelar Jia Bella.
Tergeleng-geleng Luna. Dia memahami kehendak majikannya itu tetapi nak buat macam mana sudah itu yang perlu dilaluinya. Luna mengeluarkan iPad dan menatal peranti itu untuk melihat jadual penuh Jia Bella.
“Lepas ni Cik Jia ada photoshoot dengan Bulgari. Lepas tu ada pula bual bicara bersama…”
Jia Bella terus memekakkan telinga. Malas ingin mendengar jadual hariannya yang begitu padat dan melelahkan. Pandangannya ditalakan ke arah langit yang biru. Dia melihat awan yang berarak mengikuti pergerakan mereka. Ingin dia berguling-guling di atas awan itu. Pasti empuk dan tiada sesiapa yang akan mengganggunya.
“Cik… Cik…,” panggil Luna bagi menyedarkan Jia Bella.
Namun, Jia Bella masih berada di dunia angan-angannya.
“Cik Jia Bella!” Kuat suara Luna seraya menggoncangkan sedikit tubuh itu.
Mati terus angan-angan Jia Bella dan dengan wajah yang bengang dia memandang Luna.
“Apa dia?” soal Jia Bella.
Mengeluh Luna menerima respon Jia Bella itu.
“Ni… pasal post Dzafri.” Tunjuk Luna seraya menghulurkan iPad mengenai hantaran yang dimaksudkan pada Instagram milik Falcon.D.
Jia Bella hanya pandang saja dengan hujung mata. Gambar kolam yang kosong dan Dzafri berdiri di tengah-tengah kolam itu. Kapsyen yang ditulisnya, ‘I never forgot this beautiful moment. #dancingtogether #dancinginpool #JB.’
Tersungging sinis Jia Bella lalu bergumam, “Childish.”
Selepas peristiwa di Resort Perindu lima tahun lepas, hubungannya dengan Dzafri semakin rapat dan akhirnya mereka bercinta. Namun percintaan mereka hanya bertahan selama setahun setengah saja dan hubungan itu sudah tamat dua tahun yang lalu. Tetapi nampaknya sehingga hari ini Dzafri masih tidak boleh move on lagi.
“Apasal hah semua toxic people suka menempel kat I? Cubalah bagi I sedikit keamanan. Ni tak, selalu buat hidup aku huru-hara,” bentak Jia Bella berang.
“Jadi, apa perlu I buat?” soal Luna.
“You tanya I apa nak buat?!” Mendengus Jia Bella. Ditenung tajam wajah Luna yang sudah terkulat-kulat itu.
“Buat apa yang patut. Jangan sampai jantan ni ganggu hidup I. You bukan tak biasa buat kerja ni, jadi tak perlu I berikan arahan pada you.”
Mengangguk faham Luna. Memang sudah menjadi tugasnya bersama kumpulannya untuk menguruskan segala hal yang berkaitan dengan Jia Bella.
TURUN saja dari kereta, Jia Bella sudah diserbu oleh beberapa orang wartawan sensasi. Rimas betul rasanya. Berebut-rebut mereka cuba mendekati dan mengajukan soalan panas kepadanya.
“Jia Bella, betul ke hubungan you sudah betul-betul berakhir dengan Falcon.D? Jadi hubungan you dengan Jaide Azka pula macam mana?”
“Ramai peminat merisaukan you akan menghilangkan diri lagi. Boleh komen?”
“Betul ke you putus dengan Falcon sebab nak kembali pada Jaide?”
Dijulingkan matanya ke atas. Dia tahu dia merupakan pusat perhatian orang ramai, jadi ramai yang akan mencipta gosip-gosip liar itu. Jia Bella memang malas ingin menjawab semua soalan yang langsung tidak memberikan faedah kepadanya.
Namun ada satu soalan yang buatkan darahnya menggelegak.
“Apa perasaan you jadi ‘diva kasanova’? Mesti seronokkan? You gunakan semua lelaki untuk raih populariti.”
Kecil besar Jia Bella mencerlung ke arah wartawan itu. Dengan sinis Jia Bella menjawab, “Seronok dapat ‘gali’ aib orang?”
Kesemua wartawan terdiam. Masing-masing saling berpandangan.
“Jangan seronok sangat. Takut aib sendiri ‘tergali’,” tokok Jia Bella sebelum berlalu pergi. Puas hatinya dapat membalas serangan wartawan bermulut lancang itu.
“JIA BELLA! JIA BELLA! JIA BELLA!” laungan peminat di depan pentas menggamatkan dan menggemakan seluruh kawasan itu.
“Stand by for two minute!” arah salah seorang crew.
Berlari-lari Jia Bella. Keadaan di belakang pentas itu sangat kelam-kabut. Semua crew dan penari latar ikut berlari-lari. Sampai saja tempat yang patut dia berada, Jia Bella menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Dia akan hiburkan seluruh umat manusia di dalam auditorium itu.
“Okay! Ready! Five, four, three, two… and go!”
“ARE YOUR READY, ‘SIBLINGS’?!” laung Jia Bella sudah berada di atas pentas.
Tepukan dan teriakan peminat makin gamat.
“LETS GO…!”
Jia Bella memulakan persembahan. Persembahan yang penuh tenaga dan tidak akan mengecewakan para peminatnya. Semua orang kelihatan menikmati persembahan itu. Mereka bersorak keseronokkan. Selepas satu, satu lagu dimainkan dan Jia Bella tetap memberikan yang terbaik untuk semua yang hadir. Konsert itu terus berlansung selama tiga jam tanpa henti.
TERDAMPAR Jia Bella di atas katilnya. Dia sangat lelah sekali setelah melalui hari-harinya tanpa henti.
“Penat…,” ungkap Jia Bella perlahan.
Ingin dia menjadi buih yang bila ditiup akan hilang dan tidak ada orang yang akan mencarinya lagi. Dia terlalu penat dengan dunianya. Dunia yang berbeza dengan orang lain. Pada pandangan orang lain, dunianya penuh dengan keuntungan dan keseronokan tapi baginya; dunia dia adalah nerakanya.
“Kalaulah aku diberi pilihan jadi orang lain… ya… aku akan pilih tu. Hidup aku… seperti muzik. Penuh dengan rentak dan aku perlu menjadi penarinya.”
Share this novel
tahniah... best