3

Romance Completed 132660

Pil di tangan ditelan, bersulamkan air kosong. Setelah itu Hana kembali ke meja solek. Mengoleskan gincu berwarna red coral ke bibir agar tidak terlihat pucat.

Rambut panjangnya dibiarkan lepas, Hana memeriksa penampilan diri buat kali terakhir sebelum meninggalkan bilik.

Jam 10, Suria Cafe tempat ditentukan oleh Tasha untuk berjumpa. Bekas teman serumah Hana yang sudah lama tidak ditemui.

Tasha melambai ke arah Hana yang tercari-cari kelibatnya setelah di whatsapp.

"Hanaaa!!"

"Shaaa!! rindunya!!" masing-masing berpelukan dan berlaga pipi.

"Eii, berseri-serinya tunang orang ni!" tegur Hana.

"Ish, ada-ada je kau. Mana ada lah. Kau tu pun sama. Macam bahagia je nampak."

"Eleh.. untung lah orang tu dah nak kahwin. Tak lama lagi berkepit je manjang dengan cik abang." usik Hana.

Gembira setelah mendengar khabar Tasha sudah merancang untuk menamatkan zaman bujang setelah hanya beberapa bulan bertunang.

"Banyak lah kau! Yang penting kau kena datang. Nah, kad jemputan. Datang tau!" Tasha menghulurkan sampul berisi kad.

Hana membelek-belek sambil mengangguk.

"Inshaallah.."

"Wajib datang! jangan inshaallah je ea."

Hana ketawa kecil.

"Ye lah. Takkan tak datang."

"Haa tahu pun. Eh kau pulak cam mana? abang ceo kau apa cerita?" Tasha pula cuba membuka topik.

Hana tayang riak selamba, tanda tiada apa yang menarik untuk dia ceritakan. Lagi pun Tasha hanya tahu bahawa mereka sering keluar sebagai teman.

"Macam tu lah." Hana menjongket bahu.

Kalau dia buka topik fasal kahwin dengan Hazim, pasti lelaki itu tidak melayan. Bukannya dia tidak pernah menyatakan hasratnya itu.

"Bila nak next step ni? aku tengok korang ok apa? sama padan."

"Padan apanya. Aku ni biasa-biasa je Sha.." sedih pula.

"Kenapa pulak? gaduh ke?"

"Takde lah. Tasha, kau rasa okey ke kalau aku bincang pasal kahwin dengan dia?" Hana meminta pendapat Tasha pula.

"Ok je. Lagi pun korang together dah lama jugak kan? Takkanlah hubungan korang ni tak nak ke mana-mana?"

Hana mengangguk sepi. Gembira melihat teman-teman lain sudah berumah tangga, tetapi dia masih begitu. Teringin juga dia berkeluarga.

"Tapi kalau korang belum ready tak apa lah. Jangan terburu-buru nak kahwin kalau tengok orang lain kahwin. Pastikan kau orang betul-betul sedia untuk pikul tanggungjawab. Sebab kahwin ni bukan perkara main-main." nasihat Tasha lagi. Sedikit sebanyak dia setuju akan peringatan yang pernah disampaikan oleh ibunya.

"Betul jugak tu." Hana bersependapat.

Sejujurnya memang dia belum bersedia bergelar isteri. Tetapi apabila mengingatkan sejauh mana dia dan Hazim sudah tersasar, ada baiknya jika mereka diijabkabul.

-

Baru sahaja dia teringatkan ibu, orang tua itu terlebih dahulu menelefon Hana. Menjadi kebiasaan, pasti dia akan bercakap telefon dengan ibunya setiap minggu.

"Assalamualaikum, mamaku." Hana melafaz salam.

"Waalaikumusalam, Hana. Buat apa tu?"

"Hana baru nak call mama tadi. Mama buat apa? Ayah mana?"

"Mama sedang minum-minum ni dengan ayah, sambil tonton berita. Hana dah makan ke?" tanya Puan Azizah di hujung talian.

"Dah mama, Hana tapau nasi je kat kedai tadi."

"Hana.. mama nak bagitahu ni."

"Ada apa mama? macam serius je?" Hana bergurau, mengusir debar di dada.

"Tadi Ammar anak kawan mama yang cikgu tu tanya pasal Hana. Hana ingat tak anak cikgu Mastura tu? yang dulu kawan dengan Hana masa kecik-kecik?" berhati-hati Azizah ingin menyampaikan hajat.

"Ingat.. kenapa dia tanya pasal Hana?" seakan sudah tahu tujuan ibu menceritakan hal tu. Tak lain tak bukan pasti ingin dijodohkan dia dengan Ammar.

"Dia kan dah lama tak jumpa Hana. Dia tanya sekarang Hana duduk mana, kerja apa, dah berpunya ke belum?" Azizah setia menunggu jawapan Hana di talian.

"Oh.. kenapa kalau belum berpunya?" Hana sengaja menduga.

"Hana kan tahu Ammar dari sekolah menengah lagi suka kat Hana. Manalah tahu kalau dia ada peluang.." nada Azizah seakan memujuk.

Tidak pernah dia memaksa Hana soal jodoh. Tahu anaknya itu pernah sebelum ini menjalinkan hubungan dengan beberapa orang jejaka, namun semuanya putus di tengah jalan.

Hana jeda beberapa saat, mencari perkataan sesuai untuk menolak.

"Ammar tu Hana dah anggap macam kawan baik sendiri, ma. Lagi pun.. Hana sukakan orang lain." Hana jujur meluahkan isi hati.

Tak mungkin ada orang yang dapat menggantikan tempat Hazim di hatinya. Segenap rasa kasih dan cinta dia semai hanya untuk jejaka itu. Sehingga dia sanggup menyerahkan waima kehormatannya sendiri.

"Tak apalah kalau macam tu. Mama menyampaikan hasrat aje. Kalau tuan punya badan tak nak, mama tak paksa."

"Hana minta maaf, ma."

"Ok. Tahu lah mama uruskan nanti. Yang penting Hana jaga diri."

Hana sedikit sebak mendengar pesan ibunya. Mulutnya bisa menipu, tetapi hakikatnya hanya Tuhan yang tahu. Rahsia terbesar disimpan rapi, paling takut jika orang tuanya tahu.

'Andai mama dan ayah tahu apa yang Hana dan buat, mesti mama dan ayah kecewa dengan Hana.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience