“AWAK, gaji saya masuk tengah bulan nanti. Dalam beberapa hari lagi masuklah.” Naria hidangkan meja penuh dengan lauk-pauk.
Ada ayam masak kicap, sambal goreng, sup sayur, telur dadar dan ikan masin. Semuanya masakan ringkas yang sering dimasak oleh kebanyakan isi rumah.
Eden terpegun melihat makanan yang dihidang di depannya.
“Jangan risau. Saya masih cari kerja baru,” dia cuba tenangkan kerisauan Naria.
Naria menyenduk nasi ke dalam pinggannya dan bertanya secara jujur tanpa menapis ayatnya, “Awak ada terasa nak jadi gigolo balik ke?”
“UHUK! Uhuk!” Eden hampir tercekik.
Jujur sangat soalannya. Nampaknya Naria masih menganggap yang dia belum ‘betul-betul berubah’ dari kariernya sebagai seorang gigolo.
“Carilah kerja yang halal. Mungkin kerja awak yang lama tu masyuk, tapi jangan terpesong balik. Gaji saya yang kali ni dah tak payah saya bagi dekat keluarga saya. Kalau kita berjimat, cukuplah untuk belanja makan dengan belanja apa yang patut sampai awak dapat kerja baru.” Naria suap nasi yang disiram dengan kuah ayam masak kicap, wajahnya berkerut sedikit. Rasanya agak masin sedikit.
Eden berhenti sejenak, berfikir. Perempuan ni… memang macam ni ke?
Sejak kecil, dia dididik dengan tegas oleh keluarganya untuk menjadi seorang yang hati kering dan tak mudah kesiankan orang lain. Dia juga tak dibenarkan untuk ada rasa simpati. Semua orang ada niat yang tak baik bila mereka menghampirinya. Tapi perempuan yang berada di depannya ini lain.
Ini adalah kali pertama dia hidup bergantung dengan seorang wanita. Yang peliknya, dia sepatutnya rasa malu atau terhina. Tapi sebaliknya dia terasa lebih tenang. “Sayang, saya akan cuba usaha cari kerja yang lebih baik untuk sara awak.” Suaranya rendah.
Sudunya tak berhenti bergerak sejak makanan dihidangkan. Selama ini, makanan bertaraf Michelin yang dihidangkan oleh tukang masak dari Itali pun dia tak sanggup nak makan sampai habis sebab rasanya yang terlalu muak. Namun entah kenapa, dia betul-betul berselera makan masakan ringkas yang dimasakkan oleh Naria.
“Cakap orang lelaki ni saya tak percaya 100%. Tapi apa pun, saya tetap nak ucapkan terima kasih sebab dah tolong saya keluar dari keluarga saya. Saya akan fikirkan macam mana saya nak bayar balik RM 100,000 tu dekat awak.” Naria bercakap dengan menggunakan nada yang lembut.
“Tak payah bayar satu sen balik. Awak masak untuk saya sepanjang hidup pun tak apa.” ucap Eden dengan nada yang sangat serius.
Entah kenapa kata-kata Eden membuatkan Naria terasa lain macam.
MALAM itu…
“Awak, ada satu katil je ni.”
“Kita kan dah sah jadi suami isteri. Salah ke kalau tidur sekatil?”
“Awak sure ke ni?” Naria memandang Eden dari ekor matanya.
“Apa?” Lelaki itu tenang menatapnya semula.
“Awak takde apa-apa penyakit, kan?” Naria bertanya dengan bersungguh-sungguh.
Eden terdiam dan kemudian…
“Pfff.”
“Janganlah gelak. Saya tanya serius ni.”
“Kalau secara logiknya, saya tak ada apa-apa penyakit. Saya cuma layan perempuan kaya je, bukannya tidur dengan diorang. Jadi, Cik Naria, saya boleh yakinkan awak yang lelaki dekat depan awak ni masih bersih luar dan dalam.”
“Oh, maksudnya awak virgin lagi la ni?” Naria terkebil.
Soalan itu betul-betul buat Eden terkejut dengan isterinya. Isterinya betul-betul innocent, luar dan dalam.
Malam itu mereka akhirnya berkongsi sekatil, tapi Eden yang gentleman, tetap tidak menyentuh Naria tanpa izin. Naria membelakangi dia, diam.
“Naria, macam mana kalau suatu hari nanti awak dapat tahu yang saya menipu awak?” suaranya perlahan. Dia tak selesa tidur atas katil kecil itu. Lama dia bertanya, soalannya tidak terjawab. Bila menoleh, rupanya Naria dah lama lena.
Namun, walaupun Eden adalah seorang lelaki yang gentleman, dia tetap seorang lelaki. Disebabkan dia tak tahan dengan rasa tak selesa berbaring di katil yang kecil itu, dia berpaling dan memeluk tubuh Naria. Bau harum samar tubuh wanita itu membuatkan jantungnya berdegup kencang.
Tak guna. Kalau dia tahu macam inilah gayanya, dia patut suruh Nazri sediakan katil yang lebih besar!
“APA Tuan Muda kata tadi?” Nazri hampir teringat yang dia tersalah dengar.
Tuan Muda nak tukar katil baru?!
“Apa masalahnya? Salah ke?” nada Eden tenang, tapi matanya gelap.
“Tuan Muda nak terus tinggal di sini? Tuan Muda dah kahwin senyap-senyap. Lambat-laun, Tuan Muda kena balik untuk uruskan syarikat. Banyak kerja yang dah tertangguh.” Nazri berani melawan sikit kali ni. Dia hampir hendak terlepas kata, ‘Tuan Muda dah dibutakan dengan nafsu’.
“Banyak mulut la kau ni,” nada Eden datar. Wajahnya jelas tak suka bila urusan peribadinya dicampur tangan.
“Tuan Muda, sebenarnya juga bagusnya guna katil kecil. Panas, lembut, wangi…” kata Nazri yang dah tak takut dengan nyawa yang dah berada di hujung tanduk.
Wajah Eden berubah, tapi dia tak menjawab.
KEESOKAN harinya, Isnin…
Naria sampai awal di sekolah. Dia menghela nafas lega. Rakan sekerjanya terlalu fokus dengan kerja sampai tak perasan yang dia dah sampai.
Dulu, bila keluarganya nak paksa dia kahwin, mereka pernah datang ke sekolah untuk buat kecoh.
“Naria, hari ni kau lambat sikit,” tegur rakan sekerja, Nora. Matanya terus tertancap pada cincin berlian pada jari manis Naria. “Eh, kau… dah kahwin ke?”
Naria teragak-agak seketika dan kemudian mengangguk. “D… dah.”
“Patutlah lambat. Cincin tu… mesti mahal, kan? Nampak berharga sangat.” Nora mula bergosip. Dia pernah terdengar yang keluarga Naria nak kahwinkan dia dengan orang kaya. Adakah ini bermakna yang Naria dah masuk dalam keluarga kaya?
“Tak mahal mana pun,” jawab Naria, menunduk memandang cincin di jarinya.
Pagi tadi, Eden dengan selamba memakaikan cincin itu padanya. “Ini cincin peninggalan arwah ibu saya. Tak berharga macam cincin berlian dekat luar sana. Pakailah walaupun tak ada nilai. Saya nak awak pakai harta peninggalan mak saya.” kata Eden dengan bersahaja.
Naria pakai sahaja tanpa berniat nak tanggalkan.
“Tapi macam pernah nampak cincin ni,” kening Nora berkerut.
Naria tersenyum kecil. “Mungkin kau pernah nampak dalam mana-mana majalah fesyen. Suami aku kata ini cincin tak berharga mana pun. Mungkin dia suruh aku pakai untuk tunjuk yang aku dah berpunya.”
Dia langsung tak terasa malu. Bagi Naria, cincin itu memang satu bukti perkahwinan mereka.
“Suami kau tu… bukan ke dia kaya? Dulu mak kau beriya nak kahwinkan kau dengan orang kaya. Kalau betul, bukan ke maksudnya hidup kau dah senang sekarang?” suara Nora sarat dengan iri hati.
Naria memang terkenal dengan kecantikannya sejak jadi guru praktikal beberapa bulan yang lepas. Kini dia dikatakan yang dia akan berkahwin dengan lelaki tua yang tinggal selangkah ke dalam kubur. Nora sikit pun tak kesiankan Naria. Padanya, keluarga Naria memang tamak.
“Taklah. Suami aku tengah menganggur sekarang.” suara Naria datar, wajahnya dingin.
“Oh?” Nora hendak bertanya lagi, tapi jelas Naria tak mahu melayan. Dia kembali ke mejanya, menjeling cincin di jari Naria dan mendengus.
‘Hmph, cincin palsu pun sibuk nak tayang.’
Naria fasih berbahasa Inggeris, Sepanyol, dan beberapa bahasa lain.
Setiap hari, dia akan ajar kelas yang lain-lain. Jadi, kemahiran bahasanya memang hebat.
Tambahan pula dengan wajahnya yang jelita, membuatkan para pelajar memberinya gelaran sebagai ‘Miss Bidadari’.
Share this novel