RAISYA berjalan perlahan-lahan sambil berbual dengan beberapa ahli keluarga yang duduk beramai-ramai di bangku panjang. Gelak tawa kecil kedengaran, suasana tampak tenang dan penuh mesra. Senyuman Raisya terserlah, walaupun tubuhnya sudah nampak sedikit lemah kerana kandungannya yang masih muda.
Tiba-tiba, suara riang seorang kanak-kanak memecahkan ketenangan itu.
“Seth, jangan lari laju sangat!” jerit seorang pembantu rumah tapi anak kecil itu tetap berlari sambil membawa bola di tangannya.
Raisya hanya tersenyum melihat telatah anak kecil itu. “Budak-budak… tak pernah penat,” bisiknya perlahan.
Namun senyuman itu tidak lama. Seth tiba-tiba menendang bola dengan kuat ke arah Raisya. “Mak su! Catch!” katanya sambil ketawa kecil.
Raisya terkejut. Dia cuba mengelak tapi kakinya tersadung akar kecil di halaman. Tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh terduduk dengan kuat ke tanah.
“Aaaahh!” Jeritan Raisya bergema. Tangannya segera menekap perut, wajahnya berubah pucat. Air matanya menitis deras tanpa sempat ditahan. Tubuhnya menggigil, nafasnya tercungap-cungap.
“Ya Allah! Raisya!” suara Puan Sri Tiara menjerit panik. Semua ahli keluarga yang ada berlari mendekat.
Thaqeef, yang baru keluar dari rumah, pantas mendapatkan isterinya. Wajahnya bertukar pucat lesi melihat Raisya mengerang kesakitan. “Sayang! Hey, look at me! Tahan sikit, please… abang ada sini.” Dia cuba memegang bahu isterinya, tangannya terketar-ketar.
“Perut Raisya, abang… sakit… sakit sangat…” Raisya merintih dengan suara yang serak.
Puan Sri Tiara menjerit memanggil pembantu. “Cepat! Ambil kunci kereta! Kita kena bawa Raisya pergi hospital sekarang juga!”
Keadaan jadi kecoh. Seth menangis ketakutan, tidak faham apa yang berlaku. Raisya masih mengerang, tubuhnya menggigil tidak berhenti.
Sepanjang perjalanan ke hospital, Thaqeef duduk di sebelah isterinya di bahagian belakang kereta. Tangannya menggenggam erat tangan Raisya, air matanya jatuh satu persatu.
“Please, abang… jangan bagi baby kita pergi… Raisya tak sanggup lagi,” suara Raisya lemah, hampir tenggelam dalam esak tangisnya.
Thaqeef menunduk, mencium tangan isterinya. “No, sayang. Baby kita akan okay. Raisya jangan risau. Allah akan tolong kita. Abang ada dengan sayang, always.”
Setiap detik perjalanan terasa terlalu panjang. Doa-doa tidak putus dari bibir mereka.
Sebaik tiba di hospital, jururawat segera menolak katil roda dan membawa Raisya ke bilik kecemasan. Thaqeef hanya mampu mengikut dari belakang, dadanya berombak hebat.
MASA berlalu begitu lambat. Thaqeef duduk di kerusi ruang menunggu dengan tangan menutup wajahnya, hatinya berdoa tanpa henti. Puan Sri Tiara berdiri tidak jauh, matanya merah kerana menangis.
Akhirnya, pintu bilik terbuka. Seorang doktor melangkah keluar dengan wajah muram. Semua bangun mendekat.
“Doktor, macam mana isteri saya? Macam mana baby?” suara Thaqeef pecah, hampir tersekat di kerongkong.
Doktor menunduk seketika sebelum bersuara perlahan. “Saya minta maaf, encik… kami dah cuba sedaya upaya. Tapi kami tak dapat selamatkan kandungan Puan Raisya. Bayi sudah tiada.”
Dunia Thaqeef seakan berhenti. Kata-kata itu menikam jantungnya.
“No… no, please tell me this is not true!” jerit Thaqeef sambil memegang kepalanya.
Raisya, yang sudah dibawa keluar di atas katil, mendengar kata-kata itu. Dia meraung histeria, cuba bangun tapi tubuhnya terlalu lemah. “Tak! Jangan ambil baby saya! Please!” Tangannya cuba menolak lembut jururawat yang menahannya.
Thaqeef terduduk di kerusi, wajahnya ditutup dengan kedua tangan. Air matanya mengalir deras. Puan Sri Tiara menangis sambil memeluk bahu Raisya, merayu agar menantunya sabar.
Soraya muncul dengan wajah penuh simpati. Dia mendekati Raisya dan memegang tangan birasnya itu. “Raisya… sabar ya. Ini semua ujian…” suaranya lembut, matanya seolah berkaca.
Namun jauh di dalam hatinya, terselit rasa puas. ‘Cukup, Raisya. Anak tu takkan pernah jadi cucu kesayangan mommy. Selagi aku ada, aku takkan biar kau rampas semua kasih sayang mommy.’
Soraya tunduk menundukkan wajah, pura-pura sedih, sedangkan hatinya menari kegembiraan.
Malam itu, Raisya terbaring lemah di katil hospital. Wajahnya pucat, matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis. Tangannya masih digenggam erat oleh Thaqeef yang setia di sisi.
“Kenapa Allah ambil lagi dari kita? Apa salah Raisya, abang? Raisya dah jaga elok-elok… Raisya sayang baby kita…” bisik Raisya dengan suara perlahan, penuh kepiluan.
Thaqeef menggenggam tangannya lebih erat, cuba menahan air mata yang mahu jatuh lagi. “Sayang, it’s not your fault. Don’t blame yourself. Kita kena redha… Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.”
Raisya hanya memandang siling bilik hospital. Hatinya kosong, jiwanya seakan diragut. Hidupnya sekali lagi terasa hancur.
Thaqeef meletakkan dahinya di tangan isterinya, cuba memindahkan kekuatan meski dirinya sendiri sedang retak.
Kesunyian terasa menikam, hanya deruman mesin hospital yang menjadi saksi, menandakan luka baru yang kembali mengoyak hati mereka.
Satu lagi kehilangan terpatri, meruntuhkan jiwa mereka berdua.
HARI-HARI selepas pantang berlalu perlahan. Raisya sudah menghabiskan tempoh berpantang untuk kali ketiga. Kali ketiga berpantang tanpa ada bayi di sisi. Kali ketiga jiwanya kosong. Kali ini dia memilih untuk berpantang di rumah sendiri. Puan Sri Tiara ada mempelawa mahu menjaganya, tapi Raisya menolak lembut. Alasannya mudah, dia sudah biasa, sudah pandai menjaga diri. Hakikatnya, Raisya tidak sanggup melihat kesedihan ibu mertuanya yang sekali lagi gagal menimang cucu daripada dirinya.
Di ruang tamu, Thaqeef duduk menemani Raisya yang termenung di sofa. Dia memandang wajah isterinya yang nampak tenang di luar tapi dia tahu jauh di dalam hati Raisya masih dihantui luka.
“Sayang… jom kita pergi holiday, nak?” suara Thaqeef lembut, cuba menceriakan suasana. “Dah berapa hari you habis pantang. Apa kata abang bawa sayang makan angin. Change mood sikit.”
Raisya tersenyum tawar. “Tak payahlah. Nanti abang kena ambil cuti lagi. Hari tu pun abang dah ambil cuti lama masa Raisya pantang.”
“Ala, abangkan anak bos.” Thaqeef cuba bergurau, sengaja mencuit hati isterinya. “Daddy tak marah pun. Lagi daddy suka abang bawa menantu kesayangan dia ni pergi holiday.”
Namun gurauan itu tidak berhasil. Raisya menjawab perlahan, matanya tidak memandang Thaqeef. “Tak berbaloi pun. Bukan Raisya boleh bagi daddy cucu pun.”
Jantung Thaqeef terasa ditusuk. “Raisya…” dia menegur lembut, tapi tegas. “Dulu atau sekarang tetap bukan salah Raisya. Tolonglah berhenti salahkan diri you sendiri, sayang.”
Air mata Raisya bergenang. “Habis tu? Nak salahkan siapa? Salahkan Seth? Kalau Raisya tak cuba elak bola yang Seth tendang hari tu… Raisya takkan jatuh. Tapi boleh ke abang salahkan anak buah abang tu? Tak boleh, kan? Dia masih budak lagi. Jadi salah siapa? Salah Raisya la. Sebab ikut sangat hati nak berborak kat luar rumah dengan semua orang.”
Raisya menahan air mata daripada tumpah. Namun Thaqeef bersuara perlahan, penuh sesal. “Salah abang.”
Raisya menoleh, terkejut.
“Salah abang sebab abang lalai dengan tanggungjawab abang. Abang patut ada di sisi Raisya. Protect you. Tapi abang biarkan sebab fikir ada mommy semua. Padahal abang yang janji nak jaga sayang dengan baby.”
Kali ini Raisya terdiam. Dua jiwa itu saling menyalahkan diri sendiri.
“Abang minta maaf,” ucap Thaqeef sambil menggenggam erat tangan isterinya.
Raisya menarik nafas panjang sebelum bersuara perlahan. “Raisya dah buat keputusan. Raisya dah tak nak berharap lagi. Raisya terima kalau memang ditakdirkan Raisya tak boleh lahirkan zuriat untuk abang.”
“Sayang, please jangan cakap macam tu. Kita masih boleh berusaha lagi. Kita belum cuba cara lain.”
“Nak cuba cara apa lagi? IVF? Semua tu? Tak payah buang masa!” Raisya menolak bulat-bulat.
“Raisya…”
Raisya menyambung, suaranya pecah. “Masa kita baru kahwin dulu, dua kali Raisya gugur. Doktor pun saran jangan mengandung dulu buat sementara waktu. Tapi bila kita dah bersedia, bertahun-tahun tunggu, sekali Raisya pregnant, kita tetap hilang juga. Raisya dah penat, abang. Penat nak menangis kehilangan lagi.”
Thaqeef menarik isterinya ke dalam pelukan. Belakang Raisya diusap perlahan. “Abang takkan paksa sayang. Abang cuma nak Raisya berhenti salahkan diri sendiri. Abang pun tak kisah kalau hidup berdua je dengan you. You already know that, Raisya.”
Tiba-tiba Raisya menolak pelukan itu. “No! Raisya tak nak abang hilang peluang jadi seorang ayah disebabkan Raisya. Abang masih ada peluang dengan cara…”
Suara Raisya mati di situ.
“Cara apa, Raisya?” Thaqeef menatap isterinya dengan renungan tajam. “You still nak suruh abang kahwin lain?”
Raisya mengangguk lemah.
“No. Abang takkan kahwin lain semata-mata sebab anak. Bukan prinsip abang nak lukakan seorang perempuan demi matlamat sendiri.”
“Abang tak lukakan Raisya. Raisya yang izinkan abang kahwin lain.”
Suara Thaqeef meninggi. “Bukan soal you seorang saja, Raisya!”
Raisya terdiam.
“You fikir abang boleh berlaku adil? No, abang tahu abang takkan mampu. You nak abang lukakan hati perempuan lain semata-mata nak jadi ayah? Dan you nak dia hidup makan hati sebab abang akan tetap lebihkan you? Sebab hakikatnya, Raisya, hanya you seorang dalam hati abang. Ada anak atau tak, cinta abang takkan berkurang.”
Raisya terkedu. Dia tidak mampu membalas kata-kata itu.
Thaqeef bangkit, memberi ruang untuk isterinya mencerna maksud sebenar kata-katanya. Raisya tahu suaminya tidak main-main. Thaqeef benar-benar takut melukakan perempuan lain hanya kerana desakan zuriat. Dan Raisya mula sedar, tamaknya sendiri mahu melihat Thaqeef bergelar ayah boleh jadi satu luka pada wanita lain.
Raisya keluar memandu seorang diri. Angin malam cuba menyejukkan kepalanya yang kusut. Dia memandu tanpa arah, hanya mahu melarikan diri daripada perasaan bersalah.
Tiba-tiba, Raisya dikejutkan oleh seorang gadis muda yang tiba-tiba berlari dan berdiri di tengah jalan. Raisya sempat menekan brek kecemasan. Kereta berhenti mendadak, hanya beberapa inci daripada tubuh gadis itu.
Raisya panik, cepat keluar dari kereta. “Adik… adik okay tak? Akak minta maaf, akak tak sengaja…”
Namun gadis itu menjerit, matanya penuh air mata. “Kenapa akak tak langgar saya je?”
Raisya terdiam, terpempan.
“Akak patut langgar saya je!” jeritnya lagi, suaranya serak. “Biar benih jantan tak guna dalam perut saya ni hilang tak bernyawa!”
Raisya kaku di tempatnya, hatinya bergetar hebat. Dia tidak tahu, pertemuan singkat dengan gadis itu akan membuka lembaran baru yang mampu menggoncang hidupnya sekali lagi.
Share this novel