"Di!".
"Ya kak."
"Ni tak kemas lagi."
"Maaf kak. Di basuh karpet dekat bawah tadi. Qis muntah."
"Ermm... okay. Ni jangan lupa kemas."
"Baik kak."
Khaleeda cepat-cepat ambil mop. Sekejap lagi pukul tujuh petang. Lambat lagi dia pulang hari ini kerana ada seorang anak jagaan, lambat diambil penjaga daripada waktu biasa.
Sepatutnya waktu kerja Khaleeda tamat jam enam petang kerana dia paling awal sampai setiap pagi.
Tak apalah, harap boss kira sebagai kerja lebih masa. Mengenangkan itu Khaleeda mengeluh. Tapi cepat-cepat dia beristighfar.
Ini tahun ke lima dia di sini. Sebuah taska di kawasan perumahan di pinggir Kuala Lumpur.
Bertahan demi anak. Masuk kerja jam lima setengah pagi dan pulang jam enam petang, gajinya masih kekal seperti ketika masuk kerja... Ringgit Malaysia seribu lima ratus.
Kerja lebih masa juga kerap tidak dibayar. Majikannya ambil kesempatan sungguh dengan ketidakupayaan dia untuk mendapatkan pekerjaan lain.
Mahu mendapat pekerjaan yang ada sekarang ini pun dia harus merayu bersungguh-sungguh. Susah sangat untuk Khaleeda mendapat pekerjaan. Dia ada dua rekod berurusan dengan pihak polis.
Walaupun tiada rekod bersalah tapi sangat menyukarkan dan mengurangkan peluang dia untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Di taska ini campur majikan ada sepuluh kakitangan tapi dia kerap diambil kesempatan untuk melakukan lebih kerja kerana majikan fikir dia tak akan mampu untuk ke mana-mana.
Dia memilih untuk berkelana di sini lima tahun yang lepas kerana Khalisya. Supaya dia dapat jaga sendiri di depan mata berbanding bekerja di lain bidang.
Sebelum bekerja di sini, selepas keluar daripada hospital dan atas perbincangan dan pertolongan daripada Kak Lin dia bekerja sebagai pembantu rumah.
Kata Kak Lin senang, sudah ada tempat tinggal, makanan dan mudah menjaga sendiri bayi yang baru lahir.
Tapi selepas setahun lebih bekerja dia melarikan diri sehelai sepinggang di malam hari untuk menyelamatkan maruah diri.
Argh... tak mahu ingat!. Entah apa badi melekat ditubuhnya. Masalah datang dan datang.
Rezeki payah sangat mahu melekat. Dapat kumpul sikit-sikit ada sahaja selepas itu urusan yang harus dia selesaikan.
Kes papa dan mama baru sahaja selesai selepas berjalan beberapa tahun. Walaupun dia mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman tetap juga ada perkara lain dia harus bayar dan uruskan.
Keputusan mahkamah mama dan papa kekal di dalam penjara untuk sebelas tahun lagi kerana bersubahat dengan rakan perniagaannya.
Mama dan papanya yang di dalam penjara harus dia asingkan lebih bahagian pendapatannya untuk keselesaan mereka di dalam sana.
Supaya mereka tidak mengungkit setiap kali dia datang melawat. Telinganya tidak sanggup mendengar.
Mereka minta dibelikan tuala baru, mahu tukar baju, mahu sabun dan ubat gigi atau berus gigi baru.
Setiap kali melawat juga mahu dibelikan makanan. Walaupun semua itu dibeli dipenjara juga, tapi menuntut suatu jumlah dari pendapatannya.
Mujur waktu melawat ada jadual khas jika tidak... berapa saja yang tinggal untuk dia dan anak.
Tapi dalam waktu terdekat dia nekad mahu mencari pekerjaan lain. Sudah dia bertanya juga di sini sana. Tunggu Khalisya naik darjah satu. Ada beberapa bulan sahaja lagi.
"Ibu..."
Suara comel menyapanya dari belakang. Khaleeda menoleh, Khalisya berdiri di muka pintu dengan wajah yang monyok.
"Ya sayang?".
"Lama lagi ke? Dah pukul tujuh. Nanti jalan kat situ banyak dog."
"Dah siap ni. Ibu simpan mop sekejap."
Kasihan Khalisya, subuh sangat dah bangun. Harus berjalan kaki pula dari bilik sewa ke kawasan perumahan melalui lorong belakang kedai dan bengkel-bengkel.
Sampai di taska harus bersiap sendiri untuk ke sekolah tadika kerana dia sudah sibuk menerima anak-anak jagaan daripada penjaga yang harus keluar di awal subuh.
Anak kesayangan itu hanya di bawah pantauan dia sahaja, tapi harus mengurus diri sendiri kerana sudah diberi amaran oleh majikannya.
Dia tidak pernah pilih kasih dengan tanggungjawab menjaga anak-anak jagaan tapi sudah banyak kali dia difitnah begitu.
"Ibu..."
Khalisya berbunyi lagi. Kali ini sudah merengek dan sudah mahu menangis.
"Ya, ya... sorry sayang. Ibu buat cepat-cepat ni."
Khaleeda bawa baldi dan mop turun tangga untuk di simpan di tandas tingkat bawah.
Khalisya mengekor di belakang menuruni tangga. Senyap dan monyok. Mesti ada perkara bersempal di hati anak kecil itu.
"Dah azan sayang. Kita solat Maghrib dulu ye baru balik. Nanti sampai bilik tak berebut masa. Boleh?".
Sambil menyimpan baldi dan mop di dalam tandas Khaleeda menyoal si comel di muka pintu. Hanya mengangguk tanpa suara.
Mereka ambil wudhu kemudian solat Maghrib di ruang tamu. Selepas selesai Khaleeda pastikan semua tingkap dan plug elektrik sudah dimatikan, mereka keluar dari taska sesudah mengunci pintu.
Mereka berjalan berpimpinan tangan yang dihayun perlahan di bawah langit jingga hitam, remang senja menuju malam.
"Teka teki teka tekuk apa haiwan macam kucing tapi lebih kecil dari kucing."
Melihat Khalisya tidak ceria seperti selalu Khaleeda memancing anak itu supaya bersuara.
Si comel Khalisya diam sahaja, tidak menyahut atau memberi jawapan soalan teka tekinya seperti selalu..
Apa pula kali ini?. Mesti ada perkara membuat anak ini sedih sangat dengan raut muka yang monyok dan tidak mahu melayan gurauannya.
"Kalau Ibu ada buat salah dengan sayang... Ibu minta maaf ye."
Langkah Khalisya terhenti. Menunduk menekur tar jalan. Khaleeda ikut berhenti.
Mujur masih banyak kereta motor melalui jalan ini. Tidaklah seram sangat walau waktu sudah beralih malam.
"Ibu..."
"Ya sayang."
"Ibu dah gaji tak?. Ibu ada duit?"
"Kenapa sayang?".
"Boleh kita makan ayam goreng?".
(Ini dialog anak sulung saya beberapa bulan selepas ayah dia meninggal. Dia belum cukup lima tahun masa tu. Sejak tu saya dah tak berani mengeluh pasal duit depan dia)
Dari pinggir jalan Khaleeda tarik anak itu turun ke kawasan tepi berumput. Khaleeda turun bertinggung dan peluk erat-erat anak kesayangannya. Lama Khaleeda peluk.
Banyak mahu dia cakapkan tapi satu perkataan pun tak terluah. Khaleeda rasa amat kalah sebagai ibu. Dia sudah berbuat tidak adil kepada Khalisya.
Anak kesayangan ini sudah memberi dia segala kebahagiaan yang ada di dalam dunia ini tapi dia hanya mampu memberi hujung kuku nikmat hidup.
Khaleeda sedar dia banyak mencatu duit bulanannya walaupun untuk sedikit hiburan buat si anak.
"Ibu... Sya tak boleh bernafas."
Khaleeda lepaskan tubuh kecil Khalisya. Mengucup pipi putih merah anak itu.
"Jom... Marrybrown boleh ye."
Khalisya angguk, tersenyum kecil untuk dia. Tapi Khaleeda tahu senyum itu tidak cukup sempurna. Mata anak kesayangan tidak ikut tersenyum seperti selalu. Cahayanya tidak menyala.
Dapat dia agak ini bukan tentang ayam goreng yang terbuku di dalam hati si anak.
Mereka teruskan langkah perlahan menuju ke arah deretan rumah kedai di jalan besar, lalu masuk ke premis Marrybrown yang terang berderang.
"Sayang nak apa? ayam goreng dengan nasi ke ayam goreng aje?".
"Ayam goreng yang dua ketul tu."
Khaleeda melihat menu di atas kaunter.
"Ada lagi sayang?".
Soal Khaleeda lagi kepada Khalisya.
"Ermm... tambah nasi satu boleh tak Ibu?".
"Boleh."
Khaleeda tersenyum memandang Khalisya di sisi. Di dalam kepala dia sedang mencongak harga yang tertera di menu.
Special combo rm11.90, add on nasi rm2.40 plus sst... ermm berapa ye? Lebih kurang 15 ringgit lebih. 16 lah senang cakap. Okay cukup.
Ada belanjawan khas dalam kewangannya dan ianya tidak boleh di salah tadbir urus walau sedikit.
Khaleeda menbuat pesanan kepada pekerja lelaki di kaunter.
"First gaji belanja adik ke?".
Soal pekerja itu selepas dia selesai membuat bayaran.
"Ha?".
Khaleeda tidak faham soalan.
"Awak belanja adik awak ke?".
Soal pekerja yang rasanya sebaya umur dengannya sambil tersenyum-senyum.
"Oh! tak... ni anak saya."
"Ooo... sorry, sorry."
Khaleeda sekadar mengangguk sekali dan tersenyum nipis. Bukan pertama kali orang tersilap menganggap Khalisya sebagai adiknya.
Selepas mendapat pesanan Khaleeda membuntuti Khalisya yang dia suruh memilih tempat duduk.
Jam sekitar lapan malam jadi banyak meja kosong dan Khalisya memilih tempat duduk bersebelahan cermin kaca hadapan.
Mereka duduk berhadap. Khalisya yang berusia enam tahun dan sudah terbiasa menguruskan diri sendiri cekap sahaja mengasingkan pinggan ayam dan nasi menjadi dua bahagian.
"Eh kenapa?".
"Yang ni Ibu punya."
Khaleeda termanggu seketika.
"Tak apa. Ibu tak lapar. Tadi kan Qis demam dia tak habis makanan dia Ibu makan. Kenyang lagi ni."
Khaleeda beralasan. Khalisya diam sahaja dan masih sibuk menyusun itu ini.
Khalisya susun cantik-cantik makanan di dalam dua pinggan yang kini sudah diletak di hadapan dia dan Khalisya.
Khaleeda masih memandang makanan di hadapan mata. Lazimnya dia hanya membeli makan malam untuk Khalisya.
Jika anak itu tidak habis barulah dia menghabiskannya. Itu cara dia berjimat-cermat.
Sarapan dan makan tengah hari dia menumpang makanan yang disediakan pihak taska. Kerana itu majikan tidak mahu menaikkan gajinya.
"Ibu..."
Khaleeda tersedar dari menungan yang panjang. Memandang Khalisya di hadapan mata yang sedang menghulur sekeping kertas yang berlipat.
Khaleeda sambut dengan senyuman. Anak ini suka melukis dan dia suka menggalakkan hobi sihat si anak. Khaleeda buka lipatan kertas.
"Selamat hari lahir Ibu yang ke 23 tahun"
Ucapan manis itu dari bibir Khalisya, juga tertera di atas kertas di tangan yang bertulis cantik dan kemas berwarna-warni.
"Nanti makanan ni semua Ibu ganti dari duit tabung Sya ye."
Pandangan Khaleeda jadi kabur, bergoyang-goyang dan kemudian kacanya jatuh berderai ke atas bucu meja.
"Terima kasih sayang."
minyak enjin leaking. hmm ujian... ujian... 020924
Share this novel
sedihhhh