bacdh 'Virus Zombie'

Drama Series 55610

"Eh!"

Azhar sudah bangun berdiri. Mata memandang terus ke hujung koridor menyambungkan kaki lima dengan tangga naik ke tingkat atas blok B.

Hamzah yang turut memandang ke hujung lorong sudah berubah air muka. Yusoff geleng kepala. Dia tepuk bahu Hamzah menenangkan si rakan baik.

Dia tahu Hamzah tidak mampu mengekang saingan sementelah si empunya badan tidak berkata setuju. Lagipun tiada siapa yang tahu rahsia hati Hamzah pada Khaleeda selain Yusoff.

"Assalamualaikum Dida... Nak ke mana?".

"Library."

"Nak study ke? Abang Zaha boleh tolong kalau ada subjek yang Dida tak faham."

Yusoff geleng kepala sekali lagi.

Hebat Azhar, langsung tidak membuang masa berbahasa basi. Terus mencuba nasib. Bukan selalu dapat peluang bertembung di tengah jalan begini tanpa ada ramai pelajar lain di sekeliling.

Ketika Yusoff mengangkat kepala mahu juga tahu jawapan Khaleeda pandangan mereka bertaut. Renungan si mata bundar tepat ke wajahnya. Yusoff toleh kepada Hamzah yang pura-pura menyelak halaman muka buku di tangan.

"Tak... Mi kat library."

"Jom Dida. Abang nak ambil kunci rumah kat dia."

Hamzah tiba-tiba bersuara dan sudah berdiri. Azhar menoleh Hamzah sepantas kilat kerana memotong jalannya.

"Sop, Zaha... jumpa kat motor. Tapi kalau kau orang nak gerak dulu tak pe."

"Okay!"

Habis menjawab Yusoff terus menarik Azhar mengikutnya. Azhar sudah merengus tidak puas hati. Yusoff rasa ini sahaja pertolongan yang dapat dia hulur kepada Hamzah sebagai kawan baik.

"Apa ni? Aku nampak Dida dulu la tadi!"

Azhar membebel ketika Yusoff berjalan sambil memaut bahunya, bimbang Azhar berpatah balik mengejar Hamzah dan Khaleeda.

"Kan dia nak jumpa adik dia ambik kunci. Jom, aku belanja teh ais pagar sekolah."

Azhar tidak menjawab. Muka merenyuk masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku tetapi kaki tetap melangkah mengikut Yusoff yang kekal memaut bahunya.

Hey...
Nasib baik dia tak berjangkit virus zombie si mata bundar, seperti makhluk lelaki sekolah yang lain, mengekor kelibat budak itu walau di mana.

@@@@@@@

Faridah beri signal ke kiri dan cepat-cepat paut kemudi ke kiri. Serentak hon yang panjang dari kereta belakang kedengaran.

Tidak cukup hon pemandu turunkan tingkap dan naik tinggi tangan dengan satu jari tengah.

Dia tuju kereta ke belakang unit pertama rumah kedai walaupun itu bukan kawasan meletak kenderaan. Sekejap sahaja bukan nak berlama.

"Dida!!!".

Dua orang budak perempuan di meja bahagian kaki lima restoran mamak menoleh. Wajah yang sebentar tadi tersenyum gembira berubah kelat.

Masih sempat bercakap sesuatu dengan teman di hadapan barulah Khaleeda bangun dan melangkah ke arah Faridah.

"Naik!"

"Orang belum makan lagi."

"Kenapa belum makan!?. Dah pukul tiga!?. Keluar sekolah pukul berapa!?".

Khaleeda tidak menyahut tapi bergerak ke pintu hadapan sebelah sana kereta, masuk dan duduk dengan wajah cemberut.

Faridah paut kemudi keluar dari kawasan rumah kedai kembali ke jalan utama. Suasana sunyi. Anak daranya kekal dengan wajah merenyuk merajuk.

"Aku dah pesan banyak kali kan... jangan rapat sangat dengan budak tu."

Suara masih keras, cuma tidak meninggi seperti tadi. Faridah menyampah dengan budak itu adik-beradik selepas dia hilang wang simpanan di rumah sebanyak tiga ribu ringgit.

Memang dia kenal dengan budak itu dan adik-beradiknya. Lama dulu sudah kenal kerana Khaleeda dan budak-budak itu dijaga pengasuh yang sama. Ah! tak kira! Dulu lain sekarang dah lain!.

Masih berbuku rasa hati Faridah mengingat kisah duit tiga ribu ringgit yang hilang. Demi keluarga penghuni PPR itu anaknya menjadi maling mencuri duit simpanan.

Katanya untuk menjamin bapa budak itu yang ditahan reman kerana bergaduh dan mencederakan orang. Dengar ceritanya orang yang dipukul skandal ibu budak-budak itu.

"Macam tak ada orang lain nak dibuat kawan."

"Memang tak ada."

Menjawab!.
Ringan rasa tangan Faridah mahu meluku dahi Khaleeda. Alasan yang sama setiap kali.

Punya ramai budak di sekolah, tak kan hanya dengan budak itu berkawan. Carilah kawan sekufu. Ini tidak, cari kawan yang asyik mengikis.

Faridah belok kereta ke restoran makanan segera dan menuju ke lorong pandu lalu. Dia sendiri belum sempat makan tengah hari.

Semalam dia pulang lewat, Khaleeda sudah tidur. Pagi tadi dia bangun lewat, Khaleeda sudah ke sekolah. Tidak mengambil sarapan pagi langsung pergi kerja dan ini dia pulang awal kerana sakit kepala.

Anak daranya duduk keras menoleh ke luar kereta. Masih merajuk kerana dimarah dan dibebel.

Ada aku kisah!.

@@@@@@@

Pedih perut kerana belum makan lagi. Waktu rehat pagi tadi dia makan roti sardin seketul sahaja. Balik lambat kerana temankan Michan yang didenda kerana tidak siap kerja sekolah.

Kasihan Michan, mana dia tahu teman itu tidak siapkan kerja sekolah. Dua hari cuti hujung minggu, kenapa boleh jadi tidak siap.

Mahu diberi meniru kerjanya nanti cikgu mesti dapat tangkap kerana isinya sama, walau diubah sini sana serba sedikit.

Kerana itu keluar dari perpustakaan dia mengajak Michan makan dahulu di restoran mamak. Baru sahaja duduk belum sempat ane mamak datang mengambil pesanan namanya diseru dari jauh.

Mama!.
Huh!, kenapa balik? kenapa tak kerja sahaja?.

Kalau balik rumah, nampak sahaja muka dia memang tak ada betulnya semua perkara. Semua yang dia buat, dia sebut, dia jawab... salah!. Menarik nafas pun salah!.

Ni kejap lagi mesti kena bebel dua tiga jam. Dah masak sangat dengan perangai Mama. Kena jerit ni pun dia tahu sangat sebab apa? Sebab Michan.

"Michan, aku balik dulu ye."

"Okay Di. Tak pe nanti aku call Abang Am suruh datang ambik."

"Kau ada duit tak ni nak makan?."

"Ada... tak pe. Aku call Abang, kejap aje dia sampai la. Kalau Mama kau nampak kau hulur duit kat aku habislah kau. Tak pe, kau balik je. Takut Mama kau turun lagi panjang cerita."

"Hmm... sorry tau Mi."

"Sokay... no worries la."

Khaleeda lepaskan jari mereka yang bertaut. Menyampah dan takut mahu menuju ke kereta Mama yang menunggu di hujung celah belakang dua blok rumah kedai.

"Orang belum makan lagi."

Saja mencuba nasib. Kot Mama sebenarnya mahu pergi kerja dan mengejar masa.

"Kenapa belum makan!?. Dah pukul tiga!?. Keluar sekolah pukul berapa!?".

Hmm... memang tak ada harapan. Lagipun muka Mama tak nampak fresh. Tak macam orang yang baru nak pergi kerja.

Tidak perlu menyahut, terus sahaja bergerak ke pintu hadapan sebelah sana kereta, masuk dan duduk.

Mama paut kemudi keluar dari kawasan rumah kedai kembali ke jalan utama. Masing-masing diam.

Satu,
Dua,
Ti...

"Aku dah pesan banyak kali kan... jangan rapat sangat dengan budak tu."

See... seperti biasa.
Sudah tidak meninggi tetapi tetap keras.
Mama tak akan pernah suka dan terima dia berkawan dengan Michan dan Hamzah ataupun adik-adik kecil mereka.

Dahulu, masa kecil tidak ketara walaupun setiap kali dia jatuh, demam atau kena batuk selsema atau kena gatal-gatal mesti dituduh menjangkit daripada adik-beradik Michan.

Apa perangai entah!.

Tapi kemuncak ketidaksukaan Mama menjadi benci kerana silap dia juga. Dia ambil duit simpanan mama di dalam gerobok baju sebanyak tiga ribu ringgit.

Kenapa?.
Dia kasihankan Michan yang menangis kerana Acik Dahlan kena lokap. Cerita lama dulu tapi akibatnya memburuk sampai sekarang.

Dulu dapat juga dia mengajak Michan lepak-lepak datang ke rumah. Sekarang Mama haramkan Michan jejak kaki lagi.

"Macam tak ada orang lain nak dibuat kawan."

"Memang tak ada."

Dari ekor mata dia nampak jari jemari Mama sudah meramas-ramas kendali kereta. Khaleeda tunggu sahaja tangan Mama sampai ke mana-mana bahagian tubuhnya seperti selalu.

Walau dia sudah di tingkatan lima masih lagi Mama memperlakukan dia seperti budak-budak.

Mama tak pernah sayang dia!.
Mama bukan nak ambil tahu dia tiada rakan rapat di sekolah selain Michan.

Budak perempuan lain di sekolah tak pernah nak dekat dengan dia ikhlas macam Michan. Kalau yang mahu rapat dengan dia budak lelaki sahaja.

Tapi nanti kalau dia berkawan dengan lelaki mesti Mama lagi marah dia. Sedangkan dia cuma bercakap banyak dengan Abang Am saja mama tak suka. Ya, memang mama tak suka Abang Am.

Tapi yang sebenarnya apa sahaja dia buat, siapa sahaja kawan lain yang mungkin dia rapat semua Mama tak suka.

Balik ni mesti Mama mengadu dengan Papa dan giliran Papa pula bebel-bebelkan dia.

Benci!
Khaleeda benci Mama dengan Papa.

Dia orang tak sayang Khaleeda.
Nasib baik ada Michan dengan Abang Am, kalau tak tak tahulah macam mana sunyi hidup dia.

Huh!.

mudah2n hari ni Sy published ada noti. kpd yg sudi singgah tqvm. pls komen dan follow ye. tqvm sume

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience