Bab 25

Detective Completed 54058

KENAPA?

Itu persoalan yang menghantui Dara sejak semalam. Sudahlah sepanjang perjalanan Haris itu langsung tidak bersuara. Nak harapkan dia bersuara? Memang tidaklah jawapannya. Kesudahannya, sepanjang perjalanan dia sibuk mengira bilangan pokok di tepi jalan. Dalam waktu yang sama dapat menikmati pemandangan malam.

Terkadang, Dara keliru dengan perasaannya sendiri. Rasa cemburu, rasa inginkan perhatian, rasa rindu, dan segala semua rasa itu bergaul sebati. Sehingga dia merasa hairan sendiri.

Sejak daripada kejadian semalam, Haris itu sepi tanpa khabar. Lelaki itu langsung tidak menghubungi Dara selepas menghantar dirinya pulang. Kesepian itu menimbulkan tanda tanya.

Kelam kabut Dara menyelongkar beg tangannya bila ada bunyi datangnya dari situ. Dia mengharapkan panggilan itu daripada Haris. Dia sedang tertunggu-tunggu panggilannya sejak dari pagi lagi.

Oh, salah. Sejak dari malam tadi sebenarnya Dara menunggu Haris. Berkali-kali dia membelek telefon pintar sebelum dia terlena. Apa yang dia temui setelah semalaman menunggu adalah kehampaan.
Mengendur bahu Dara bila melihat nama si pemanggil yang terpampang pada skrin. Bukan orang ini yang dia harapkan. Ada kekecewaan yang menjalar di setiap sistem sarafnya. Dia meleretkan sekali skrin telefonnya dengan hati yang berat.
“Ada apa?” Mungkin kasar cara Dara menyapanya, namun dia peduli apa. Lelaki itu sudah berhari-hari tidak menghubunginya. Muncul pula diwaktu yang salah.
“Sorry, Dara…”
Dara mula bosan dengar permohonan maaf lelaki itu. Permohonan maafnya bagaikan tiada penghujung. Bahkan tiada jiwa. Sampaikan dia rasa muntah dengar suaranya.
“Saya ada kerja, kalau tak ada apa yang penting…Kita bincang lain kali.” Dara berniat untuk menamatkan terus perbualan mereka bila sepi yang memenuhi suasana.
“Awak dah lain, Dara…”
Belum sempat Dara tamatkan talian, suara lelaki itu jelas-jelas kedengaran tersangat kecewa. Ayat itu bukannya mendamaikan jiwa. Malah, ayatnya kedengaran menuduh. Seakan-akan dirinya pula yang dipersalahkan kerana berubah sedangkan perkara sebaliknya yang terjadi. Dan jika dia berubah sekali pun, kerana Emir juga.
“Saya atau awak, Emir?” Emir perlu sedar satu hal. Siapa sebenarnya yang banyak berubah.
Diam dihujung talian. Yang kedengaran helaan nafas panjang. Terdengar berat juga. Sepatutnya, cuti Emir itu telah pun habis. Lelaki itu seharusnya memulakan kerja hari ini. Namun, Dara baru mendapat khabar duka bahawa lelaki ini menambah lagi cutinya dua minggu tanpa gaji.
Di sini, Dara mula syak yang bukan-bukan tentang Emir. Emir itu seperti sengaja ingin melarikan diri. Dari siapa, Dara sendiri bingung. Tak mungkin Emir mengelak daripada dia. Emir salah apa dengan dia?
“Ramai yang bertanya fasal awak pada saya.” Dara sengaja memancing Emir untuk berbual. Dia tahu, Emir yang sekarang sudah kurang membuka mulut. Bersuara pun jika Dara yang sibuk bertanya. Jawapan balas Emir juga kurang memuaskan hatinya.
“Really…”
Dara picing mata biarpun Emir itu tiada di hadapannya. Keterujaan Emir itu palsu. Seperti terpaksa dan lebih kepada dibuat-buat. Telinga dia cepat menepis suara Emir yang kedengaran menjengkelkan hatinya sejak dari tadi.
“Dia orang tanya, betul ke saya ni girlfriend awak. Gosip itu yang tengah hangat dekat sini.” Dara menokok tambah cerita biar lebih sensasi. Lebih panas. Lebih menarik perhatian.
Diam lagi. Emir yang menjadikan perbualan mereka semakincanggung. Sedangkan, Dara masih elok berbual seperti biasa biarpun dia sebenarnya sedang memancing Emir supaya turut serta dalam perbualan mereka.
“Awak tak kisah kalau saya jujur dengan mereka semua?” soalan lebih panas diajukan kepada Emir. Dia menunggu apa reaksi Emir. Nak juga tahu apa reaksi Emir sekiranya semua tahu tentang mereka.
“Masih terlalu awal, Dara. Tunggulah dalam sebulan dua. Hubungan kita pun masih baru.”
Tanpa sedar, Dara gigit bibir. Tak mengapa jika Emir enggan dedahkan hubungan kami. Namun Dara punya soalan lain.
“Terpulang pada awak Emir…” Enggan mamanjangkan telagah, Dara ikut saja rentak Emir.
Sesat dua sepi. Nampak sangat Emir itu hanya mahu Dara yang menguasai perbualan. Lelaki itu langsung tidak bertanya khabar perihal dirinya. Selalunya, bukan main rajin lelaki ini bertanya keadaannya. Tak pernah sekali pun Emir tercicir.
“Pasal mak saya…”
“Mak awak sihat?”
Hujung bibir Dara menyinis. Sebut emak, Emir itu pasti kedengaran tidak keruan.
“Alhamdulillah…Cuma mak saya ada tanya.” Dara masih menggamit perhatian Emir.
“Baguslah…”
Itu saja? Dara rasa, Emir seakan tidak mahu perihal emak menjadi topik perbualan mereka. Namun, dia peduli apa. Kalau Emir itu sungguh-sungguh mahu dia, Emir perlu beli jiwa emak terlebih dahulu. Tonjolkan sifat budimannya, baru emak akan beri lampu hijau untuk masuk ke fasa lebih serius.
“Mak saya asyik tanya bila nak bawa awak berjumpa dengan dia. Mak tak sabar nak jumpa lelaki yang saya cinta macam nak mati tu.” Sengaja Dara tekankan hujung ayat.
Kali ini, Dara diperdengarkan keluhan Emir. Tak perlu menunggu ayat seterusnya, Dara sendiri dapat merasakan Emir itu bakal mencipta alasan lagi.
“Bagi saya masa, Dara…”
Jawapan yang sama Emir berikan sejak beberapa hari yang lalu. Mulalah Dara terbayangkan wajah perempuan tempoh hari. Mungkin kalau perempuan itu, Emir tidak akan menunggu lama untuk masuk meminang. Boleh jadi, perempuan itu tunangnya Emir. Berkemungkinan besar Emir sengaja menyembunyikan kebenaran dari dia.
“Berapa lama Emir…” Tangan Dara mengemas meja. Nafsu dia untuk bercakap lebih lama dengan Emir semakin merosot.
“Mak saya dah ada calon jauh lebih baik. Kalau awak lambat, boleh jadi esok lusa saya kena kahwin paksa.” Sengaja Dara membuka cerita perihal calon menantu emak. Siapa lagi kalau bukan Haris.

Cumanya, dia terpaksa menipu sedikit demi memberi Emir pengajaran. Mana mungkin emak memaksa Dara berkahwin dengan Haris dalam masa terdekat.
Kedengaran Emir ketawa di hujung talian. Pergerakkan tangan Dara, berhenti. Dia mengalihkan telefon dari telinga kiri ke kanan. Apa cerita dia menggelikan hati Emir?
“Zaman sekarang mana ada kahwin-kahwin paksa, Dara. Mak ayah zaman sekarang kalau melibatkan soal hati dan perasaan, mereka serahkan sepenuhnya kepada anak mereka untuk tentukan kebahagiaan mereka sendiri.” Kata Emir bersama keyakinan setinggi langit.
Kerana pemikiran sebegitulah Dara sedang melakukan kesilapan besar. Dia telah salah memilih. Dan harus diakui, orang yang dia pilih sangat bagus dalam bidang lakonan. Cara percakapan lelaki ini juga seolah-olah dia itu tidak pernah bermain kayu tiga. Tidak pernah curang sama sekali.
“Saya kenal mak saya. Mak saya yang terbaik. Biarlah orang nak kata emak saya ni kolot. Tapi saya percaya, mak saya tak pernah salah dalam menilai seseorang.” Bela Dara. Sedikit sebanyak, ayat Emir itu seolah-olah menyindir emaknya.
“Jadi, awak terima pilihan mak awak? Kemudian nak putuskan hubungan kita?”
Dara berhenti mengemas. Suara Emir sudah kedengaran lain. Tiada lagi sifat budiman. Yang dia dengar, Emir itu seperti sedang menahan marahnya.
“Jawapan ada pada awak, Emir.” Dara tidak takut kalau dia berjaya memetik suis kemarahan lelaki itu.
“Cukup sampai sini, Emir. Saya perlu keluar. Faham-fahamlah, dah hujung bulan ni saya sibuk. Bertambah pula syarikat kekurangan pekerja. Semua pakat menghabiskan cuti tahun.”
Terima kasih kepada Haris, dia sudah pandai menyindir Emir. Biarlah Emir terasa sekali pun, dia tidak kisah.
“Love you, Dara.”
Kuat gigitan bibir Dara. Emir sengaja nak dia hangin satu badan.
“Okey.”

Hanya itu saja jawapan balas Dara. Mulut dia sudah tidak pandai untuk membalas ayat-ayat cinta Emir gara-gara dua kali pertemuan mereka tanpa sengaja. Entah kenapa, dia rasa ayat itu sebenarnya lebih layak untuk semua kekasih gelap Emir.
“Siapa tu?”
Hampir terlepas telefon di tangan Dara bila disergah sebaik saja dia menamatkan perbualan. Cepat-cepat dia sembunyikan telefon ke dalam beg yang berada di atas meja. Otak dia ligat memberi jawapan yang tidak akan menimbulkan syak.
“Emir?”
Sudah!
Nama lelaki itu telah di sebut. Boleh jadi segala perbualan dia pun didengari.
“Sorry, saya bukan sengaja nak dengar. Kebetulan saya sampai, awak sebut nama dia.”
Benar sangkaan Dara, perbualan dia didengari tanpa sedar. Silap dia juga. Sepatutnya dia tidak menjawab panggilan Emir. Itu yang sering dia lakukan. Entah mengapa hari ini dia boleh pula menjawab panggilan Emir di pejabat.
“Dah siap-siap nak balik?” Atiya pesongkan soalan bila ternampak seraut wajah pucat milik Dara kerana tertangkap.
“Ya.”

Itu saja Dara mampu sebutkan. Dia masih belum bersedia hubungan dia dengan Emir diketahui semua. Namun, sampai bila? Lambat-laun, semua rahsia yang dia tanam bakal dihidu mereka semua. Lagipun, Emir sudah lima tahun berkhidmat. Boleh jadi mereka lebih faham sikap Emir.
“Saya pun nak balik.”
Dara melorek senyuman nipis. Biarlah Atiya pulang terlebih dahulu. Dia tak nak turun ke bawah bersama-sama Atiya setelah tertangkap Emir menghubungi dia. Sengaja dia melengah-lengahkan masa. Pergerakkan tangannya juga dilambat-lambatkan. Siapa tahu, rupanya Atiya masih juga ingin menunggu dia.
“Dah siap? Jom!”
Aduh!
Dara tidak punya cara untuk mengelak bila Atiya membantu dia menutup penghawa dingin. Lampu-lampu juga dimatikan. Malah, Atiya dengan murah hati membantu dia menyimpan semua fail yang bertimbun di atas meja. Tak sampai lima minit, semuanya selesai. Hanya menunggu dia mengambil beg tangan dan mulakan langkah bersama Atiya.
“Awak couple dengan Emir?” Sebaik berada di dalam lif, Atiya tidak menunggu lama menggunakan kesempatan ini untuk bertanya.
Keringat mula tumbuh sebaik mendengar soalan Atiya. Itu yang Dara ingin elakkan selama ini.
“Taklah…Kami kawan.” Seboleh-bolehnya Dara menutup rasa gugup.
“Dia tak pernah cakap soal perasaan?”
Lain benar bunyi soalan Atiya. Seolah-olah sudah tahu siapa Emir sebenarnya.
“Ada…” Itu saja jawapan Dara. Kalau dia jawab tidak, boleh jadi dia tertangkap menipu. Dia dapat agak, Atiya sebenarnya sedang menguji dirinya.
“Emir memang macam tu. Sesiapa yang bercinta dengan dia, tak akan pernah tahan lama. Termasuklah Suraya.”
Betul telahan Dara. Nama Suraya pun sudah dipetik sekali dalam perbualan mereka.
“Banyak mana pun mereka nafikan, tertangkap juga mereka itu sebenarnya pasangan kekasih.”
Dara luruskan pandangan ke pintu lif. Dia berdoa agar pintu lif cepat-cepat terbuka. Biarpun mereka bercerita lebih kepada hal Suraya, namun sungguh! Dara yang merasa impaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience