Angin petang membelai lembut dedaunan di halaman belakang rumah agam keluarga Mikael Lutfi.
Langit seakan merestui segala perubahan yang sedang berlaku dalam keluarga itu. Hari ini, bukan sebarang hari.
Medina Atalia, wanita yang pernah dicemuh, kini duduk bersila di atas tikar rotan, menganyam bunga rampai bersama orang yang paling sukar dia dekati dahulu Datin Sri Qalsum.
Senyap. Hanya bunyi gunting, helaian daun pandan, dan gema burung petang yang kedengaran.
“Medina…” suara Qalsum perlahan, hampir tidak terdengar.
Medina berhenti menganyam. Dia memandang wanita itu.
“Ya, mama?”
“Terima kasih sebab… tidak pernah melawan, walaupun berkali-kali saya menyakiti kamu.”
Medina Atalia terdiam.
Tapi wajahnya tetap tenang.
“Saya tahu… saya bukan ibu mertua yang baik. Saya terlampau mementingkan maruah, darah keturunan, gelaran… sampai saya buta untuk melihat siapa kamu yang sebenar,” sambung Qalsum lagi.
Air mata Medina bergenang, tapi dia tidak menangis.
“Saya tak pernah minta mama sayangkan saya. Tapi saya selalu berdoa, biarlah satu hari nanti… mama nampak saya bukan sebagai penghalang, tapi sebagai keluarga.”
Qalsum meletakkan bunga rampai ke tepi. Tangannya menggenggam tangan Medina yang halus dan dingin.
“Kamu isteri anak saya. Dan kamu bakal ibu kepada cucu saya. Saya… minta maaf, Medina. Saya terlampau sombong.”
Medina menggenggam kembali tangan itu, erat. Dalam diam, dia sudah lama maafkan. Bukan kerana kelemahan, tapi kerana itulah kekuatan sebenar seorang wanita yang dipilih Tuhan untuk menjadi ibu.
Beberapa hari kemudian, majlis kesyukuran kecil diadakan.
Ia bukan majlis mewah, tapi penuh makna. Sanak saudara, rakan terdekat dan ahli keluarga dari kedua-dua belah pihak hadir.
Medina duduk di sisi Mikael, memakai baju kurung rona pastel lembut. Tangannya tidak lepas dari perutnya yang sarat.
“Sayang, mereka bergerak lagi?” tanya Mikael perlahan di telinganya.
Medina angguk sambil tersenyum.
“Nayla dan Nufail suka dengar suara ayah dia.”
Tiba-tiba Datin Qalsum berdiri, memegang mikrofon.
Semua mata tertumpu padanya.
“Hari ini, saya ingin ucapkan sesuatu dari hati seorang ibu… dan bakal nenek.”
Mikael tersentak kecil. Medina juga tidak menjangka.
“Saya… pernah menolak kehadiran Medina dalam hidup anak saya. Tapi hari ini, saya berdiri di sini, dengan penuh rasa insaf dan syukur… kerana Tuhan beri saya peluang kedua untuk kenal dia semula. Dia kuat, dia tabah… dan dia wanita paling layak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami.”
Hadirin diam, terharu.
Medina Atalia sudah mengalirkan air mata.
Mikael Lutfi menggenggam erat tangannya.
“Saya hanya harap, cucu-cucu saya akan membesar dengan kasih sayang penuh… dalam rumah yang bukan sahaja ada harta, tapi ada jiwa.”
Beberapa minggu kemudian,
Langit malam bergemuruh. Hujan turun lebat, seolah-olah bumi turut menyambut dua nyawa baru. Medina berada di dalam bilik bersalin, menggenggam tangan Mikael yang tidak lepas darinya walau sesaat.
“Sayang… tarik nafas, kuat untuk anak-anak kita,” bisik Mikael.
Tangisan pertama memecah ruang. Kemudian yang kedua.
Tangisan dua jiwa kecil yang hadir sebagai pelengkap cinta mereka Nufail dan Nayla.
Mikael mencium dahi Medina, dan untuk pertama kalinya, dia menangis di hadapan isterinya.
“Terima kasih kerana lahirkan cinta kita, sayang. Saya janji akan lindungi awak dan anak-anak kita… sampai nafas terakhir.
Share this novel