Bab 1

Romance Series 27951

“SORONG papan, tarik papan. Kita memang sepadan. Jom, kahwin kat sempadan.” Suara yang datang dari belakang membuatkan Muiz terkejut dan terus berpusing ke belakang melihat gerangan siapa yang datang tak memberi salam sambil tangannya mengusap perlahan dadanya.

Tergelak gadis di hadapannya.

“Awak ni pun janganlah terkejut macam tu sekali. Sebab kalau terkejut kali kedua nanti kita terus kahwin tau. Bismillah assalammualaikum,” kata gadis itu sambil jongketkan kening.

Fuh! Biar betul perempuan depan aku ni. Lancar betul kerja dia, bisik hati Muiz sambil masih menatap wajah di hadapannya tanpa mengerlip.

“Jasmin!” laung opah dari pintu dapur setelah melihat kelibat Jasmin yang seperti sedang berborak dengan Muiz. Opah keluar dari pintu dapur.

Jasmin membetulkan suaranya dengan berdeham. “Assalammualaikum, opah,” tegur Jasmin dengan suara yang lembut dan senyuman yang manis. Sebelum dia melintasi Muiz sempat Jasmin bisik sesuatu. “Saya buat kuih ni pertama kali dan ada special bahan dalam ni. Nak tahu tak apa? Bahan cinta saya untuk awak.”

Tergelak terus Muiz dengan perangai Jasmin yang gila-gila ni. Muiz garu belakang kepalanya dan melihat lenggok Jasmin yang sedang berbual dengan opah. Ramah dan banyak mulut betul Jasmin ni dan pandai buat lawak.

Betul ke opah nak jodohkan aku dengan dia ni?

MUIZ pandang opah yang tersenyum selepas keluar dari surau dan berjalan kaki bersama. Entah kenapa opah semenjak kawannya pulang semula dan tinggal di kampung ini makin suka dia berjalan kaki daripada naik kereta atau motor dengan Muiz. Maka, Muiz pun haruslah berjalan kaki dengan opah.

“Amboi opah dari tadi tersenyum. Bahagia sangat ni,” tegur Muiz. Senang hati dia melihat opah yang tersenyum bahagia.

Opah menggeleng. “Tak ada apa. Opah cuma tergelak dengan keletah Jasmin tu. Ada dia kenakan Yuni anak Cik Kona tu tadi. Ha, kan dah mendapat tadi. Tu yang opah tergelak tu siapa je berani nak berlawan cakap dengan Yuni tu. Dia je yang betul kat kampung ni. Ha, sekarang ni dia dah bertemu dengan ruas dia.” Teringat opah sewaktu dalam surau perempuan. Di mana hari ini ada kenduri kesyukuran menyambut bulan Muharam dan semua berkumpul di surau.

Yuni penjual jamu boleh pula menjual jamu dan menyekolahkan mak cik-mak cik tua dan anak dara yang tak guna produk dia jual. Memang kena setepeklah dengan Jasmin yang mengatakan kecantikan peribadi adalah yang utama.

“Jasmin cakap apa je dengan Yuni tu opah?” Muiz tertarik dengan topik opah.

“Jasmin cakaplah kecantikan peribadi adalah yang utama. Bila cantik dalam, automatik luar pun akan cantik. Terdiamlah kawan tu,” kata opah sambil tersenyum menggeleng.

“Berani sungguh dia melawan Yuni tu. Tapi, opah janganlah masuk campur hal semua tu. Biarlah Yuni nak menjual ke apa tau,” pesan Muiz.

Opah mengangguk.

Suasana jadi sunyi antara opah dan Muiz.

“Minggu depan Muiz ada kerja kat KL. Opah ingat kan? Jadi kenduri yang dorang umum tadi tu kita memang tak dapat joinlah,” kata Muiz memecah sunyi antara mereka.

Berubah muka opah. “Kenapa tak dapat join?” tanya opah.

Muiz tergelak. Lupalah tu opah ni. “Mak su dan pak su kan tak dapat balik sini sebab nak jaga cicit opah dan Melati. Kebetulan Faisal pun kena pergi Sarawak ada kerja kat sana. Jadi, opah kena ikut Muiz ke KL dan tinggal kat rumah mak sulah macam last week.”

“Eh, tak payahlah. Opah tak ikutlah. Opah tinggal kat sini,” balas opah.

“Eh, opah ni mana boleh. Selama ni memang macam ni kan. Muiz tak benarkan. Kalau mak su dan pak su ada temankan okeylah ni tak ada siapa teman. Muiz tak benarkan,” tegas Muiz bersuara. Dia risau membiarkan opahnya duduk berseorangan. Tak pernah lagi opahnya duduk berseorangan bila malam.

Opah pandang Muiz dengan wajah yang paling lembut. Betapa sejuk hati opah dengan sikap Muiz yang sering mendahulukannya dan mahu menjaga opah dengan baik.

“Opah dah ada orang teman dah,” kata opah sebaik saja mereka sampai di depan rumah.

Berkerut dahi Muiz. “Siapa?”

“Jasmin.”

Opah terus masuk ke dalam rumah membiarkan Muiz terdiam dan melepaskan keluhan perlahan dan tersenyum. Apalah Jasmin ni dah buat dengan opahnya.

SELEPAS meneliti wajahnya dan rambutnya dan puas dengan penampilannya barulah Muiz membuat sentuhan terakhir dengan menambah lagi semburan minyak wangi kegemarannya. Selepas meletakkan minyak wangi itu di meja dia berhenti sebentar dan memandang frame gambarnya bersama Melati. Muiz mengusap perlahan gambar itu dan meletakkan semula di atas meja.

Bau yang enak datang dari dapur membuatkan Muiz tak sabar mahu melihat apa bekalan makanan untu dia bawa ke pejabat hari ini.

Opah kelihatan leka sedang masukkan makanan ke dalam bekas makanan. Muiz tarik kerusi dan duduk di meja makan dan memandang opah yang sedang menyiapkan dua bekas makanan. Opah masak nasi lemak hari ini dan dia pelik ada dua bekas makanan di atas meja.

“Satu lagi ni siapa punya?” tanya Muiz sambil mencedok dan letak nasi ke atas pinggannya. Selepas membaca bismillah dia terus makan makanan kegemarannya ini.

Opah tidak menjawab dan nampak leka dengan pekerjaannya. Muiz malas mahu mengulang soalannya. Dia pandang jam di tangan yang sudah masuk pukul 7.15 pagi. Perjalanannya ke pejabat mengambil masa 45 minit dari rumah dan dia perlu masuk ke pejabat sebelum pukul 8.30 pagi.

Cepat saja dia mengunyah dan minum air yang telah disediakan opah di atas meja. Opah juga kelihatan sudah siapkan dua bekas makanan.

“Opah, Muiz nak pergi kerja dah ni. Opah jaga diri okey. Apa-apa call Muiz dan kalau tak dapat call nombor pejabat,” pesan Muiz.

Opah tergelak kerana ini adalah skrip Muiz yang sudah makan hampir 8 tahun benda yang sama. Daripada arwah atok ada sampailah arwah atok tiada.

“Ya, Muiz. Ni bekal kamu. Hati-hati memandu. Jangan risaukan opah. Opah tahu jaga diri,” kata opah sambil menyambut huluran tangan Muiz yang mahu bersalaman. Dan bekal diambil dari tangan opah.

Opah mengambil satu lagi bekas dan mengekori Muiz dari belakang. Dan memandang Muiz yang meletakkan bekas ke dalam kereta sambil memanaskan enjin kereta.

Tersenyum opah nampak kelibat kereta myvi berwarna ungu masuk ke pekarangan rumah opah. Terus opah mendekati kereta itu. Muiz pandang kereta itu dan opahnya.

Siapa itu?

Jasmin keluar dari kereta dan bersalaman dengan opah sambil sempat memandang Muiz dan tersenyum.

“Opah, apa ni susah-susah. Ingatkan call pagi tadi nak mintak tolong apa. Rupanya ni yang dia nak bagi. Tolong makan,” kata Jasmin sambil tergelak-gelak. Tersenyum bahagia opah melihat Jasmin yang manis berbaju kurung dan menyanggul rambutnya. Nampak kemas. Dan sesuai betul corak bajunya dan nama yang tersemat di pin belah dada kanannya. Jasmin.

“Ya, tolong makan. Dahlah kamu pergi kerja nanti lambat pulak,” kata opah sambil menepuk perlahan lengan Jasmin.

“Okey, opah. Pak Usop mudik ke hulu, saya pergi dulu,” kata Jasmin yang berpantun dua kerat.

Tergelak terus Muiz yang mendengarnya dan masuk ke dalam kereta sempat dia mengerling gadis manis itu yang sudah masuk ke dalam kereta. Muiz menunggu Jasmin membuat pusingan dahulu barulah dia akan keluarkan keretanya.

Bunyi hon daripada Jasmin sambil melambai tangan kepada opah. Seterusnya Muiz pula melambai opah dan keluar dari kawasan perumahan opah.

Tersenyum opah entah kenapa dia merasakan bahagia bila melihat Jasmin. Walaupun Muiz seperti endah tak endah saja dengan kehadiran Jasmin. Apalah yang menyekat Muiz daripada jatuh cinta lagi.

JASMIN pandang cermin belakang dan melihat kereta Muiz di belakang keretanya. Dalam kepalanya ligat memikirkan idea untuk bertegur sapa dengan Muiz. Entah kenapa dia berani sangat nak mengorat si Muiz ini. Mungkin sebab dah dapat lampu hijau dari opah Muiz dan keluarganya sendiri.

Memang Muiz ni menepati citarasanya pemalu, baik, hormat orang tua, penyayang, sopan santun dan pandai serba benda.

Tak salah kalau aku nak ngorat. Benda baik kenalah cepat-cepat, kata Jasmin dalam hati.

Lampu isyarat di hadapan menunjukkan dari kuning bertukar ke merah. Berdecit mulut Jasmin yang dia akan memberi signal ke kanan. Manakala Muiz pasti akan berjalan terus. Jasmin duduk di bahagian kanan.

Kereta Muiz betul-betul berhenti sebelah kereta Jasmin.

“Peluang…”

Tingkap kiri sebelah penumpang Jasmin turunkan. Dan kebetulan Muiz terpandang kereta Jasmin dan Jasmin sedang memandangnya. Muiz menurunkan cermin di sebelahnya dan menghulurkan senyuman manis.

“Hai, Muiz.” Ceria saja gaya Jasmin.

“Hai.” Tersenyum Muiz. Entah kenapa bila dengan gadis ini dia terasa mahu tersenyum saja tanpa perlu sebab dan tenaga gadis ini sering memberikan tenaga positif kepadanya.

“Bila pagi-pagi macam ni saya dapat idea nak berpantun,” kata Jasmin sambil mengerling lampu isyarat di hadapan dan sekitar. Dia sedang mengira masa yang dia ada. Kerana apa yang dia ingin katakan ini perlu tepat pada masanya.

Muiz tersenyum dan mengangguk. Tanda mahu melayan Jasmin yang gila-gila ini. Gadis bandar yang berkerja di kampung.

“Pat, pat siku lipat. Kan kukejar cintamu sampai dapat.” Tergelak Jasmin sambil melambai tangannya dan terus berlalu pergi ke sebelah kanan apabila lampu isyarat sudah bertukar warna hijau.

Tersedak dan terbatuk Muiz dibuatnya.

Pin!

Bunyi hon kereta belakang membuatkan Muiz sedar dia masih belum gerakkan kereta. Dan dia mengangkat tangan memberi isyarat maaf sebelum menutup cermin keretanya.

“Gila betul perempuan ni. Tepat betul tembakan dia. Tepat sangat,” kata Muiz sambil pegang dada kirinya dan tersenyum bahagia.

Hai, bertemu lagi. Selamat berkenalan.

Share this novel

Guest User
2024-10-16 10:32:32 

test_account

Raffe
2024-10-12 00:28:11 

sangat menarik


NovelPlus Premium

The best ads free experience