BAB 3

Other Series 4475

BAB 3:

PAGI keesokannya, suasana di dalam suit presiden itu dingin. Bukan kerana pendingin hawa yang dipasang pada suhu paling rendah, tetapi aura dua manusia yang sedang bergelut dengan fikiran masing-masing.

Rayyan berdiri di balkoni, bersandar pada palang besi, memandang ke bawah di mana Kuala Lumpur sudah sibuk dengan deretan kenderaan dan manusia yang terburu-buru. Di belakangnya, bunyi halus piring dan cawan menunjukkan Inara sedang membancuh kopi sebelum butler datang menghantar sarapan.

Tiada sesiapa bersuara, dan tiada sesiapa cuba memulakannya.

Inara membancuh kopi untuk dirinya sendiri, tanpa bertanya Rayyan mahu atau tidak. Dia tahu, perkahwinan ini bukan tentang mengambil berat. Ia cuma sebuah kesepakatan.

Sewaktu dia menarik kerusi dan duduk, Rayyan tiba-tiba muncul.
“Kau free pagi ni?” soalnya.

“Yeah...as scheduled.”

Rayyan mengangguk sekali. "Ada mesyuarat dengan pasukan media pukul sebelas. Kau kena ikut."

Inara mengerutkan kening. Hairan. "For what?"

"Foto rasmi. Pasangan bahagia."
Nada suaranya hambar, seolah-olah mengulang baris skrip dalam drama yang membosankan.

Inara menghela nafas dalam. Dia benci kamera. Bukan kerana dia takut dirakam, tetapi kerana setiap gambar adalah bukti bahawa dia kini sebahagian daripada dunia yang dia tak pernah pilih. Mahu membantah, mustahil. Jadi, mahu tak mahu dia terpaksa menurut.

“Okey,” jawabnya akhirnya.

Rayyan mengambil telefon dari meja. Tapi sesuatu membuatkan dia terhenti sejenak. Matanya mengecil, memandang skrin dengan pandangan keliru.

Inara menyedari perubahan kecil itu tetapi berpura-pura tidak melihatnya. Dia menghirup kopi lalu berpaling sedikit dari Rayyan.

Dengan ibu jarinya, Rayyan mengusap skrin beberapa kali lalu membuka beberapa folder.

Susunan fail sudah berubah. Tidak banyak, hanya beberapa memo internal parti dan beberapa draf ucapan. Perkara kecil yang mungkin tiada siapa sedar, kecuali dia yang obses tentang susunan fail.

Jantung Rayyan mengetuk perlahan di dadanya. Dia menoleh ke arah Inara, yang kelihatan santai, mengadap ke luar jendela.

Mungkin kebetulan, fikirnya.

Sementara Inara, diam-diam menganalisis reaksi Rayyan itu. Dia sengaja mengubah susuman fail di dalam folder Rayyan untuk melihat sejauh mana lelaki itu menyedari sekecil-kecil perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Dan melihat reaksi Rayyan itu tadi, dia tahu yang dia perlu berhati-hati.

MEREKA tiba di studio fotografi tepat jam sebelas pagi. Ruang itu terang, penuh dengan peralatan kamera, lampu limpah, dan latar berwarna krim lembut.

Jurugambar, seorang lelaki muda berambut kerinting separas bahu, menyambut mereka dengan senyum meleret.

"YB, Puan. Kita mula dengan gaya kasual dulu, kemudian formal."

Rayyan hanya mengangguk, seolah-olah sudah biasa dengan rutin ini. Inara mengikuti di belakang, tubuhnya tegang namun wajahnya tetap tenang.

Mereka diberi arahan untuk berdiri rapat, Rayyan meletakkan tangan di pinggang Inara. Santai dan tidak nampak terpaksa. Kamera berkelip seiring dengan arahan jurugambar yang bertalu-talu.

“Cuba look at each other with smiling eyes. Bibir tak perlu senyum.”

Inara menoleh ke arah Rayyan. Tepat saat itu juga Rayyan turut menoleh ke arahnya. Tatapan lelaki itu tanpa ekspresi membuat Inara kecut perut tidak semena-mena.

“Okey, ready. One, two, three...smiling eyes.”

Arahan jurukamera itu membuat dalam sekelip mata, tatapan tajam Rayyan berubah redup. Inara tidak sempat bereaksi. Masih ternganga dan terkebil-kebil saat lampu kamera berkelip.

“One more. Puan Inara, please relax. Jangan stress.”

Inara angguk lalu menghela nafas. Membuang gugup dan gigil. Bibir digerakkan ke kiri ke kanan untuk melegakan otot-otot muka yang tegang. Setelah rasa sedikit tenang, dia memberi isyarat kepada jurukamera supaya meneruskan sesi fotografi.

“Alright...ready...”

Rayyan dan Inara kembali berbalas tatap. Kali ini Inara lebih tenang. Tatapan Rayyan dibalas teduh. Senyum plastik spontan terbentuk di bibir. Lalu kamera pun berkelip.

Di tengah-tengah sesi itu, salah seorang staf studio, seorang wanita muda, menghampiri Rayyan dengan tergesa-gesa.

“Sorry to bother you. A document was sent from your office."

Rayyan mengambil fail kulit itu sambil berterima kasih sepintas lalu. Ketika dia membuka helaian pertama, matanya tertarik pada sesuatu.

Di antara helaian rasmi itu, terselit sekeping nota kecil, tulisan tangan.

-Someone on your team is two-faced.-

Rayyan membeku. Nafasnya mendadak pendek. Matanya segera melirik ke arah Inara yang masih berbual kecil dengan jurugambar tentang pencahayaan.

Dia menyimpan nota itu dalam saku jaketnya, pura-pura tidak terganggu.

Tetapi di dalam, fikirannya bergolak.

DI DALAM kereta semasa perjalanan pulang, suasana lebih sunyi daripada biasa.

Inara membuang pandang ke luar, tetapi dari ekor matanya dia dapat rasa mata Rayyan sesekali menyorot ke arahnya. Namun dia malas bertanya walaupun dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran lelaki itu. Bukan tidak peduli, tetapi tidak mahu bersikap terlalu ramah sehingga meruntuhkan benteng yang sudah mereka bina sejak dari hari pertama pernikahan.

SESAMPAI di suite, Rayyan menjatuhkan punggungnya di sofa lalu membuka tablet peribadinya yang telah disambung pada rangkaian selamat. Dia mula memeriksa log keselamatan.

Tiada pencerobohan ketara. Tetapi ada corak aneh dalam trafik WiFi hotel malam semalam. Sebuah peranti tidak dikenali telah berhubung secara senyap pada sistem awam selama kurang daripada tiga minit.

Tiga minit cukup untuk memindahkan metadata, tetapi tidak cukup untuk mencuri data penuh.

Tetapi siapa yang melakukannya? Persoalan itu berlegar-legar di benaknya.

Seseorang dalam jarak dekat dengannya malam itu ialah Inara. Apa mungkin dia?

Dia memandang ke arah bilik tidur, di mana Inara sedang membuka ikatan rambutnya di hadapan cermin.

Kelihatan biasa. Terlalu biasa. Tidak kelihatan seperti ancaman.

Rayyan menyandarkan tubuhnya ke sandaran sofa lalu menutup matanya seketika. Dia tahu dia perlu berhati-hati. Kerana dalam dunia politik, pengkhianatan tidak datang dari jauh. Ia datang dari tempat tidur sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience