Bab 1

Romance Series 3172

...

Dunianya seakan sunyi.

Pandangan orang sekeliling langsung tak dipedulikan. Dia terus berlari, seakan dunianya sedang berakhir. Hanya bunyi hentakan kasut tumit tingginya bergema seisi ruang hospital. Gaun pengantinnya yang meleret ke lantai, diseret tanpa belas. Veilnya yang putih, berterbangan di udara.

Mata hazelnya yang indah kini dibasahi air mata, namun tiada suara tangis yang terlepas dari bibir. Adel terus berlari tanpa berpaling ke belakang. Koridor hospital itu terasa begitu panjang, seakan tiada penghujung.

“Cik. Cik nak ke mana ni?” Seorang jururawat menghentikan larian Adel.

“Mana dia? Mana pesakit bernama Sufi?” Adel seakan-akan hampir hilang akal. Dia masih tidak percaya apa yang Luth beritahunya pagi itu. Adel menggoncang lengan jururawat wanita itu, lantas menakutkannya. Jururawat itu membuka mulut, tapi hampir tak keluar suaranya. Dia terpegun seketika dengan kejelitaan pengantin di hadapannya.

“Saya tanya, mana dia??? Jawab!”

“Encik Sufi masih di bilik bedah. Cik tak boleh…”

Adel tak peduli. Jururawat wanita itu ditolak ke tepi dengan kasar dan Adel meneruskan langkahnya.

“Cik! Nanti. Cik tak boleh masuk.” Baru sahaja jururawat mahu menahan Adel, satu tangan yang tegap menghalangnya. Luth. “Biarkan dia pergi. Wanita itu tunang Encik Sufi.”

Luth jeda seketika, sebelum memandang ke arah Adel yang makin menjauh. “Hari ini sepatutnya hari perkahwinan mereka.”

Jururawat itu membungkam, lantas tersandar ke dinding. Biarpun tidak mengenali Adel, khabar duka itu seakan menampar ke wajah.

Adel tidak peduli pada tatapan hairan para jururawat dan pesakit di sekitar. Yang ada di fikirannya hanya satu.

Sufi. Lelaki yang dicintai Adel selama sepuluh tahun. Lelaki yang membawa mentari hangat dalam kedinginan hidupnya. Sebuah mimpi indah yang dinanti bertukar menjadi mimpi ngeri dalam sekelip mata.

Kini, kakinya berhenti berhadapan pintu kembar yang besar. Pintu itu terbuka.

“Sufi…”

Nafasnya terputus-putus, matanya terpaku pada tubuh yang terbaring kaku di atas katil, ditutupi kain putih. Lututnya terasa lemah, dan dia jatuh terduduk di sisi katil itu. Tangannya yang gementar menyentuh kain putih tersebut, lalu perlahan-lahan menyelaknya.

“Sufi…” bisiknya dengan suara yang serak.

Wajah itu masih sama seperti kali terakhir dia melihatnya, namun dingin. Bibir yang selalu tersenyum kini membisu selamanya. Adel menggenggam tangan lelaki itu, berharap kehangatannya masih ada, tetapi yang dia rasakan hanyalah kedinginan yang menusuk hingga ke tulang. Air matanya jatuh lebih deras, membasahi gaun pengantin yang kini terasa seperti beban berat di tubuh.

Dia memejamkan mata, memori indah bersama Sufi kembali bermain di benaknya. Dia teringat senyuman Sufi saat lelaki itu menyarungkan cincin pertunangan ke jarinya. Kata-kata cinta yang diucapkan dengan penuh keyakinan. “Adel, awak adalah takdir saya,” itulah yang selalu dikatakan Sufi. Namun kini, takdir mereka dirobek tanpa belas kasihan.

“Sufi… Kenapa awak pergi?”

Ada kesan darah kering di sudut bibir Sufi, dan Adel menghulurkan tangan untuk mengelapnya. Namun, tangan Adel tidak ditarik kembali, sebaliknya dia membelai wajah Sufi. Sejuk.

Melihat wajahnya, hati Adel hancur berkeping-keping, malah seolah-olah hatinya direntap keluar. Matanya dipejam. Kata-kata Sufi pada malam sebelum itu, berputar di fikiran seperti pengulang suara.

‘Sayang. Mulai saat ini, kita akan melangkah bersama sepanjang hidup. Saya janji, saya tak akan pernah tinggalkan awak sendirian lagi.’

Anak mata Adel mengembang. Dia melihat Sufi, seolah-olah lelaki itu sedang tidur. Dengan lembut, dia membelai pipinya dengan ibu jarinya.

“Sudahlah Sufi... buka mata awak,” suara lembutnya bergema di dalam bilik. Adel tidak peduli dengan pandangan semua orang di dalam bilik itu. Yang dia dapat lihat hanyalah lelaki yang dicintainya sepenuh hati.

“Sufi...” dia berkata lembut sekali lagi. “Bangunlah...” Sunyi.

Sufi terbaring di atas pengusung dengan matanya tertutup, tidak bergerak. Adel perlahan-lahan menundukkan tubuhnya dan memberi tatapan paling lembut.

Melihat tindakan Adel, semua orang di dalam bilik mula menangis dalam diam. Kaki Adel semakin lemah, dan dia perlahan-lahan jatuh melutut.

Dia mengangkat tangan Sufi dan membelainya di pipinya.

“Pembohong... awak pernah kata sebelum ini, kalau saya panggil nama awak semasa awak tidur, awak akan bangun...”

Dia memandang Sufi dengan mata yang basah, seolah-olah sedang menunggu dia bangun, tersenyum padanya dan mengatakan semuanya hanyalah gurauan.

Tetapi... tiada apa-apa, hanya sepi.

Akhirnya, air mata yang ditahannya mengalir apabila realiti menghentamnya. Dia menggenggam erat tangan Sufi dengan tangannya.

“Tolong jangan tinggalkan saya... tolong jangan...” tangisannya bergema di seluruh bilik dan keluar ke koridor hospital. “Saya merayu... tolong jangan tinggalkan saya...”

TANGISAN Adel membelah sunyi di seluruh koridor hospital. Suaranya bergema, menyentuh semua yang mendengarnya.

Luth, terduduk dan tersandar ke dinding.

“Abang… Maafkan saya…”

Malam sebelumnya, Luth dan abangnya, Sufi dalam perjalanan ke hotel tempat mereka bermalam. Malangnya, kenderaan yang dipandu telah terlibat dalam kemalangan. Luth cedera parah, namun dia selamat. Lain ceritanya dengan Sufi. Ketika tubuhnya tiba di hospital, doktor mengesahkan jantungnya sudah berhenti. Pelbagai cara usaha dilakukan, namun semuanya gagal menyelamatkan Sufi.

Tangisan yang lama dipendam, akhirnya terlerai juga. “Kenapa? Kenapa semuanya harus berakhir begini…”

SETAHUN berlalu, di sebuah lapangan terbang antarabangsa.

“Adel!!!” Seorang jelitawan berambut perang memeluk seorang lagi jelitawan yang berambut hitam pekat. Sedikitpun mereka tidak peduli dekat mata-mata yang memandang.

“Oh, Luna. Awak jerit terlalu kuat. Semua orang pandang kita.” Khai, suami kepada wanita berambut perang itu berjalan perlahan menuruti langkah mereka. Dia mendukung anak mereka yang sudah berusia setahun.

“Ah, orang lelaki mana faham!” Luna mencebik. Dia terus memeluk Adel dengan erat. “Adel. Janganlah pergi. Janganlah tinggalkan kami dekat sini…”

Pelukan Luna dieratkan, sehingga Adel sukar bernafas. “Luna. Saya akan datang melawat awak. Jangan risau.” Hanna melonggarkan pelukan Luna lalu mengulum senyuman manis yang menyejukkan mata sesiapa saja yang memandang.

“Adel, awak kena call saya bila awak dah mendarat nanti.” rengek Luna, air matanya mula menitis ke pipi.

“Okay Luna. Saya janji.”

“Flight 0076 to Kuala Lumpur is ready for boarding. All passengers please board the plane.” Pengumuman penerbangan bergema di ruang udara, spontan membuat Adel menoleh.

“Itu kapal terbang saya. Saya kena pergi sekarang.” Katanya dengan senyuman nipis di bibir.

Adel memeluk Luna semula, kemudian mengucapkan selamat tinggal kepada Khai dan anak kecil mereka. Ketika tangan Adel mencapai luggage di sampingnya, kedengaran jeritan dari kejauhan.

“Kakak! Tunggu!”

“Kak Adel!”

Dua orang lelaki, seorang berumur 25 tahun dan seorang lagi 30 tahun berlari anak menuju ke arah mereka. Mereka berdua keletihan dan berhenti sejenak untuk menangkap nafas.

“Kak Adel… Saya ingat kami terlambat nak jumpa Kak Adel.” ujar Ray termengah-mengah. Dia masih mengurut dada. Lelaki yang lagi seorang turut mengangguk bersetuju.

Adel berjalan menghampiri mereka dan memberikan pelukan yang erat. “Tak pun. Kamu berdua sampai tepat pada masanya.” Mereka membalas pelukan Adel.

“Terima kasih sebab datang,” ucap Adel lagi.

Selepas melonggarkan pelukan, Adel memandang sekeliling. Dia mencari seseorang yang belum dilihatnya hari itu.

Hm, mungkin dia sibuk. Tak apalah, bisik hati Adel.

“Lupa nak ucap selamat tinggal dekat saya?”

Adel menoleh ketika mendengar suara yang begitu dalam, datang dari belakangnya. Matanya membulat dan senyumannya lebar sampai telinga. “Luth!”

Adel mendekati Luth, dan mereka saling menghadap.

“Jaga diri awak di sana, Adel. Dan jangan lupakan kami dekat sini. Ingat, kami keluarga awak.” ucap Luth ikhlas, menerbitkan secebis rasa hiba di hati Adel. Wajah Luth yang saling tak tumpah dengan wajah Sufi, cukup menyentuh hatinya.

“Ya, Adel. Jangan lupakan kami.” tambah Luna dengan nada sedih.

Dengan nafas yang ditarik dalam, Adel memandang wajah-wajah yang dikasihinya. Dia tersenyum, dalam diam menahan air mata yang hampir tumpah.

“Terima kasih. Saya sayang awak semua…”

Adel mecapai luggagenya dan mula berjalan pergi. “Selamat tinggal semua! Terima kasih sebab jadi keluarga saya!” Dia melambai dari jauh, dan semakin menjauh, sehingga akhirnya hilang dari pandangan.

SEMUA orang sudah beransur pulang. Hanya Luth masih berdiri di tempatnya. Dia terus merenung laluan yang diambil Adel menuju ke kapal terbangnya.

Dadanya bergerak perlahan, sedalam nafas yang diambil.

Matanya terus mengiringi pemergian Adel sehingga tiada yang tinggal selain langit senja.

“Selamat tinggal, Adel.” ucap Luth perlahan.

“Saya akan pegang janji saya sampai akhir hayat.”

“CIK. Cik mahu apa-apa minuman?” Pramugari itu menyapa Adel di tempat duduknya. Adel agak terkejut, hanya menoleh dan menggeleng.

Melihat sepasang mata hazel milik Adel, pramugari itu terpukau untuk seketika sebelum kembali tersedar yang dia telah merenung Adel. “Ah, maaf. Kalau cik nak apa-apa, maklumkan saja pada saya, ya.”

“Baik,” Adel mengukir senyum. Setelah pramugari berlalu pergi, Adel merenung keluar tingkap. Dia menikmati keindahan susunan bintang di angkasa.

Fikiran Adel melayang kepada ribuan kenangan, dia mengangkat tangannya dan menyentuh tingkap sambil berbisik, "Selamat tinggal... Adel." ucapnya, meninggalkan dirinya yang lalu.

“Tiada lagi Adel selepas ini, hanya Hanna.”

“Hanna Adellia.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience