Aku meratap hiba di depan pusara ibu dan ayah aku. Semua orang yang datang menziarahi sudah pun pulang. Hanya tinggal aku dan Mak Uda yang masih setia menemani aku dari awal sehingga sekarang.
Semangat aku seperti di rentap pergi bersama ibu dan ayah yang sudah pun meninggal dunia. Mereka meninggalkan aku seorang diri tanpa sempat aku bermanja dengan mereka. Aku hilang tempat untuk bergantung. Aku hilang tempat bermanja. Aku hilang segala-galanya!
Air mata mengalir laju.
“Aira…. Sudah la nak… Jangan meratap macam ni… Aira kena redha ye nak… Lepaskan mereka pergi. Kesian pada ibu dan ayah Aira tu. Biarkan mereka pergi dengan tenang ye nak….” Pujuk Mak Uda sambil menggosok lembut belakang aku.
Air mata masih laju.
Kata-kata Mak Uda hanya lalu saja di pendengaran aku. Aku masih hanyut dengan perasaan hiba aku ketika ini. Terasa sayang untuk bangun dari duduk aku ini. Aku ingin duduk di sini menemani ayah dan ibu aku di dalam sana. Aku seolah hilang pedoman hidup.
“Aira… Jom kita balik dulu. Dah nak masuk Maghrib ni. Tak elok lama-lama di sini. Urusan kita sudah selesai. Biarkan urusan Malaikat Munkar dan Nakir pula yang jalankan tugas mereka. Kita doakan saja ibu dan ayah Aira gar terlepas dari urusan tu. Jom!”
Kali ini Mak Uda memaksa aku untuk bangun. Bahu aku di pegang kuat menandakan dia berkeras untuk aku meninggalkan tanah perkuburan ini yang semakin sunyi ini.
Aku bangun dengan kaki yang longlai.
“Dah! Kesat air mata tu. Jangan meratap lagi macam ni. Sekarang Aira hanya perlu banyakkan doa buat ayah dan ibu Aira ye…” Aku kesat air mata yang tak mahu berhenti mengalir ini. Makin aku kesat makin banyak air mata yang luruh. Pilu!
Aku pandang Mak Uda dengan hati yang hiba. Mak Uda seakan faham keadaan aku terus saja memeluk aku. Memberi semangat serta kekuatan untuk aku. Mak Uda tepuk perlahan belakang aku tanda memujuk hati aku yang pilu.
“Jangan menangis nak… Aira kena redha dengan takdir Allah ni!” Kata Mak Uda lagi dan terus melepaskan pelukan kami. Dia dah tak cakap banyak terus saja menarik tangan aku berjalan keluar dari kawasan tanah perkuburan ini kerana malam bakal berlabuh.
********************************************************************************************************
PANGGG!!!
Berdesing telinga aku apabila satu tamparan hinggap di pipi aku. Pedih kulit muka apabila jari aku naik menyentuh kesan tamparan itu. Mata juga berpinar kesan dari tamparan yang hebat itu. Tangan aku mujur sempat berpaut pada tiang rumah, kalau tidak sudah jatuh terduduk.
“Kau biadap ya! Kenapa kau lambat buka pintu ni hah? Kau pekak ke apa? Aku ketuk pintu ni dari tadi lagi. Kau nak aku pecahkan pintu ni ke? Atau kau nak aku pecahkan kepala kau tu?”
Bentak lelaki yang sudah berusia hampir lima puluhan itu.
“Maaf, paklong! Aira tak dengar tadi. Aira….”
Pang!!!
Belum sempat aku memberi alasan, pipi aku lagi sekali di tampar. Kali ini lebih terasa sakitnya. Aku sentuh hujung bibir aku yang aku rasakan sudah berdarah. Ya! Hujung bibir aku pecah dan ada darah! Sakit yang teramat!
Tangan aku menggigil. Takut! Air mata mula mengalir laju.
“Melawan lagi cakap aku!”
Lagi sekali lelaki yang aku panggil paklong itu membentak. Dia berjalan agak kasar dan merempuh bahu aku yang sedang berpaut pada dinding itu. Aku jatuh terduduk ke lantai kerana terleka serta ketakutan.
Paklong Asri berhenti melangkah dan tubuhnya berpusing kembali ke arah aku yang sedang bersandar pada tiang lalu mencengkam kuat rahang pipi aku dengan menayang muka yang bengis.
Sungguh aku takut saat ini!
“Lain kali jangan nak melawan cakap aku! Faham?”
Jerkahan dari paklong buatkan bahu aku terangkat. Terkejut kerana suaranya betul-betul di telinga aku. Paklong Asri tenung lama wajah aku. Aku tak berani nak pandang matanya. Takut!
Cengkaman tangannya pada pipi aku mula mengendur dan ada senyum senget pada hujung bibirnya apabila aku mengerling dengan ekor mata aku apabila rahang pipi aku di lepaskan. Senyuman jahat! Dan paklong Asri terus tegakkan tubuhnya dan berlalu dari depan aku. Kelibat paklong Asri terus menghilang di balik pintu biliknya yang di hempas dengan kuat.
Aku terus bangun dan masuk ke dalam bilik aku dengan cepat. Risau andai paklong Asri muncul kembali.
Air mata yang masih laju membasahi pipi aku, aku kesat dengan belakang tangan aku. Berkali-kali cuba menghapuskan air mata ini, tetapi degil! Makin aku sapu, makin lebat air mata keluar dari takungannya. Akhirnya aku hanya biarkan ia mengalir tanpa aku seka lagi.
Aku meratapi!
Kali ini bukan meratap di kuburan tetapi aku meratap nasib diri aku yang malang. Kehidupan aku dulu sangat bahagia dengan kasih sayang yang tak pernah berkurangan dari ibu dan ayah aku sendiri. Tapi sekarang jangan kata secebis kasih sayang, belas ihsan pun dah tak ada untuk aku!
Di tinggalkan ibu dan ayah hingga menjadi yatim piatu dalam sekelip mata sahaja. Sekarang aku rasakan hidup aku sudah musnah! Masa depan aku gelap! Aku dah tak nampak jalan untuk aku hidup bahagia lagi. Jiwa aku terseksa sekarang ini.
Selepas beberapa hari ayah dan ibu meninggal muncul lelaki yang aku panggil ‘paklong’ itu di rumah Mak Uda. Memandangkan aku menumpang di rumah Mak Uda ketika itu, dia mencari aku hingga ke situ. Dia adalah abang tiri kepada arwah ayah aku. Hanya dia satu-satunya waris terdekat aku yang masih ada. Aku hanya beberapa kali jumpa dengannya tetapi tidak rapat. Saudara-mara lain aku tak pernah tahu. Atau saudara-mara yang lain tidak munculkan diri atau tak berani munculkan diri. Entah la….
Paklong Asri datang dan mengajak aku untuk tinggal bersamanya. Pada mulanya Mak Uda berat untuk lepaskan aku tetapi Mak Uda tak ada hak untuk menghalang kerana paklong Asri adalah saudara aku yang terdekat. Mak Uda pula hanya jiran yang paling rapat dengan keluarga kami. Mak Uda juga adalah bekas pembantu rumah yang arwah ayah aku gajikan dulu. Di sebabkan keadaan ekonomi keluarga kami, arwah ayah aku terpaksa memberhentikan Mak Uda kerana tidak lagi mampu untuk membayar gaji Mak Uda.
Jadi, aku di sini sekarang ini. Tinggal bersama paklong Asri dan isterinya. Mereka tidak mempunyai anak. Pada mulanya itulah alasan paklong Asri dan maklong Bibah kepada Mak Uda untuk menjaga aku kerana mereka tiada anak. Jadi mereka berjanji akan menjaga aku seperti anak mereka sendiri.
Tipu!
Ya! Hanya pada bulan pertama aku tinggal bersama mereka aku di layan dengan baik. Di jaga makan minum aku dengan baik. Kesedihan dan kerinduan aku sedikit terubat apabila aku masih ada tempat untuk menumpang kasih. Tetapi sayangnya kasih aku harapkan bertukar menjadi benci kerana setelah peguam keluarga aku datang untuk menyerahkan beberapa dokumen penting berkenaan arwah ayah aku.
Setelah pulangnya peguam dari rumah paklong Asri, mereka sudah berubah riak dan sikap. Marah, kecewa dan yang paling aku sedih, secara terang-terangnya menunjukkan mereka menjaga aku hanya kerana ingin menumpang harta yang arwah ayah aku tinggalkan. Tetapi sayangnya, semua harta ayah aku telah habis di jual sebelum dia terlibat dalam kemalangan jara raya dulu.
Satu pun tidak tersisa untuk aku teruskan hidup. Arwah ayah menjual semua hartanya demi melunasi hutang yang membebani keluarga kami sebelum ini. Sebelum ini, perniagaan ayah maju dan tiada masalah.
Arwah ayah tersilap langkah dengan mempercayai kawannya yang mencadangkan ayah untuk melabur. Katanya akan peroleh untung berlipat ganda. Arwah ayah sudah memasang angan-angan untuk membuka cawangan baru kafe kopinya. Hajatnya tidak kesampaian apabila duit yang dilaburkan tidak mendapat pulangan. Malah kawannya juga turut melarikan diri.
Sejak dari hari itu, keluarga kami di timpa pelbagai masalah. Hutang semakin banyak. Demi melunaskan hutang, arwah ayah terpaksa menjual aset-aset yang ada untuk membayar hutang. Tidak cukup dengan itu, rumah yang kami tinggal dulu pun terpaksa arwah ayah jual.
Malah semua perniagaan ayah turut dijual. Yang paling aku sedih kafe kopi ayah. Itu adalah kafe yang pertama ayah dan ibu buka. Kafe itu di beri nama Kafe Aroma Kota sentiasa ada pelanggannya yang tersendiri. Hanya peminat kopi akan sering berkunjung ke kafe itu. Bermula dengan kafe itu, ayah kembangkan perniagaannya. Tapi sekarang semua itu hanya tinggal kenangan. Bukan lagi milik kami!
Kafe Aroma Kota telah pun di jual entah kepada siapa. Aku tidak tahu urusan jual beli kafe itu. Masa aku tahu pun, kafe itu telah pun di jual. Sedih dan marah juga pada arwah ayah aku kerana aku sayangkan kafe itu. Di kafe itu tempat aku bermain dan menghabiskan masa aku selepas balik dari sekolah. Satu sudut di dalam kafe itu, arwah ayah sudah khaskan untuk aku duduk melepak di situ.
Allah! Aku rindu!
“Ayah…..ibu…. Aira rindu ayah dan ibu… Kenapa ayah dan ibu tinggalkan Aira? Aira nak ikut ayah dan ibu….” Rintih aku keseorangan bersama tangisan pilu.
Aku sembamkan muka aku ke lutut. Aku tumpahkan tangis aku semahu-mahunya. Pedih pada kulit muka aku akibat kesan tamparan tadi masih terasa. Hujung bibir yang berdarah aku biarkan tanpa rasa ingin mencuci dan merawatnya.
Aku duduk terus memeluk kedua belah lutut aku.
Aku tiada tempat untuk meluah ketika ini.
Rumah paklong Asri jauh dari tempat tinggal aku yang dulu serta berada di lain negeri juga. Berada di satu kawasan kampung yang jauh dari kemudahan awam. Rasa seperti duduk di kawasan pendalaman saja. Selama hampir lapan bulan aku tinggal di sini, aku umpama terputus hubungan dengan dunia luar. Telefon aku di rampas oleh paklong Asri. Katanya dia tak cukup duit untuk buat belanja makan. Aku terpaksa bagi kepadanya sebelum dia bertukar bengis.
Rantai dan juga sebentuk cincin aku, turut di ambil oleh maklong Bibah dengan alasan yang sama juga. Untuk membeli barang dapur. Aku tak pasti paklong Asri berkerja apa, tapi dia akan keluar rumah pada tengahari dan pulang lewat tengah malam dalam keadaan marah-marah dan kadang-kadang nampak macam mabuk.
Maklong Bibah pula keluar pagi, balik pula hari dah malam. Aku pun tak tahu apa kerja dia. Pernah di tanya, tapi tiada jawapan pun.
Kehidupan aku berubah 360 darjah setelah kehilangan ibu dan ayah aku.
Jiwa aku tersiksa!
Semoga terhibur semua... Permulaan yang menyedihkan....
Share this novel
?