Kaktus Berduri!

Romance Completed 117449

BAB 50

            ENCIK MALIK duduk dengan penuh hormat di hadapan cucu kepada lelaki yang dihormatinya. Encik Malik juga sentiasa berada di sisi anak muda itu dari kecil dan mengurus semua keperluan anak muda itu. Baginya, tiada yang lebih penting daripada menjaga ahli keluarga Taylor lebih dari dirinya dan keluarganya sendiri.

            “Encik Malik apa khabar?” Soal Harry sambil menghulurkan tangan kepada lelaki itu.

            “Alhamdulillah. Khabar baik, tuan muda.” Jawab Encik Malik.

            “Saya minta maaf sebab terpaksa menyuruh Encik Malik datang ke sini. Sepatutnya saya yang pergi kepada Encik Malik.”

            “Saya faham, tuan muda. Tidak mengapa. Lagipun saya memang merindui rumah arwah Sir Adam. Saya gembira dapat datang ke sini lagi...”

            Harry tersenyum senang mendengar jawapan dari lelaki itu.

            “Rumah ini sentiasa terbuka untuk Encik Malik. Datanglah bila-bila masa pun, janganlah segan walaupun arwah datuk saya sudah tiada.” Kata Harry.

            “Terima kasih, tuan muda.” Encik Malik tersenyum , terharu dengan layanan baik tuan mudanya.

            Harry mengangguk perlahan. “Sama-sama. Saya terpaksa adakahn pertemuan kita ini secara sulit. Saya memang ada perkara untuk dibincangkan dengan Encik Malik.”

            Encik Malik kelihatan bertenang. Dia juga mengangguk faham. “Saya sedia mendengar, tuan muda.”

            Harry kembali serius. “Saya ingin Nur Marhaya menjadi isteri saya...”

            Wajah Encik Malik terus berubah. Dia benar-benar terkejut. “Tuan muda...” Encik Malik kehilangan kata-kata. Dia tidak menyangka Harry akan menyampaikan perkara seperti itu.

            “Adakah saya tidak layak untuk Marhaya? Kenapa dari dulu Encik Malik tidak mahu Aya bersama saya?”

            “Bukan macam itu, tuan muda. Kami yang tidak layak untuk keluarga tuan muda. Aya itu sangat naif, tidak mungkin boleh mendampingi seseorang seperti tuan muda.” Encik Malik merendah diri. Dalam hatinya sudah gusar melihat kesungguhan Harry.

            “Saya tidak pernah menilai sesiapa pun melalui pangkat atau darjat. Keluarga saya sendiri tidak memandang semua itu. Ayah saya juga bukan dari golongan keluarga bangsawan. Ayah saya lahir dalam keluarga kelas pertengahan, arwah datuk  sebelah ayah saya cuma seorang pensyarah. Nenek saya juga seorang pendidik. Tidak dinafikan keluarga ayah saya adalah keluarga yang berpendidikan tetapi mereka bukanlah hartawan, jutawan ataupun berdarah diraja. Tetapi, datuk saya berlapang dada menerima keluarga sebelah ayah saya. Kenapa hari ini, perkara seperti pangkat dan darjat menjadi penghalang hubungan saya dengan Marhaya?” Luah Harry dengan panjang lebar, dia membuka salasilah keluarga sebelah bapanya.

            Encik Malik terus menunduk. “Kami cuma orang yang berkhidmat untuk keluarga tuan muda. Saya hanya seorang butler. Walaupun kedudukan butler yang menjaga keluarga bangsawan adalah sangat dihormati, tetapi saya masih tidak layak untuk menyerahkan anak saya kepada tuan muda. Lagipun, anak saya tidak mungkin diterima dalam keluarga tuan muda.”

            “Ayah saya tidak pernah menghalang sesiapa pun pilihan saya.”

            “Tetapi bagaimana dengan Madam Laura? Saya lebih tahu tentang dia...”

            Harry terdiam. Dia tersenyum nipis. “Mama saya pasti ada sebab-sebab tertentu mengapa dia tidak menyukai Marhaya, bukan?”

            “Sudah tentu... ini kerana anak saya tidak layak untuk tuan muda.”

            “Tidak. Bukan sebab itu.” Tukas Harry. “Saya yakin Encik Malik juga lebih tahu tentang itu.”

            Encik Malik sekali lagi terkejut. Wajahnya berkerut penuh dengan tanda tanya. Adakah Harry sudah mengtahui hal itu? Berdebar Hati Encik Malik ketika itu.

            “Encik Malik... anak Encik Malik, Iskandar telah menceritakan segalanya kepada saya...” Ujar Harry untuk menjelaskan bahawa dia sudah tahu akan rahsia yang sudah terpendam lama itu.

**********

            “AYAH!” Aku berlari mendapatkan ayahku yang baru sahaja tiba.

            Aku menyalam tangan ayah dan terus memeluknya.

            “Aya rindukan ayah...”          

            “Anak ayah sihat?” Tanya ayahku sambil mengusap kepala aku dengan lembut.

            Aku mengangguk. Kami melepaskan pelukan dan aku melihat wajah ayah yang sedikit sugul.

            “Ayah dari mana? Aya datang dari pagi nak jumpa ayah...”

            “Ayah ada urusan sikit tadi.” Ayahku tersenyum.

            “Jom kita makan. Semua dah siap kat dapur.” Kata Abang Is yang baru muncul dari dapur.

            “Jomlah. Mesti semua dah lapar sebab tunggu ayah kan.” Ajak ayahku. Dia berjalan mendahului kami ke dapur.

            Aku melihat ayah yang seperti tidak ceria. Adakah ayah sudah tahu tentang aku dan Harry? Tidak mungkin Abang Is sudah menceritakan segalanya.

            “Aya sekarang jadi pembantu tuan muda kan?” Tiba-tiba ayah bertanya ketika semua sudah berada di meja makan.

            Aku tersentak sehingga terhenti kerjaku menyenduk nasi ke dalam pinggan. 

            “Tuan muda?? Tuan Muda Harry ke?!” Tanya Hani dengan teruja.

            Aku hanya terdiam. Tidak berani melawan pandangan ayahku. Abang Is pula hanya memerhati kami tanpa mengeluarkan suara. Dia mungkin ingin membiarkan aku mengaku dengan sendiri.

            “Macam mana ayah tahu?” Soalku.

            “Ayah ada ramai kawan dalam rumah arwah Sir Adam. Kenapa Aya tak beritahu ayah?”

            “Aya... Aya minta maaf.” Kataku perlahan. Hatiku berdebar.

            “Ayah tak boleh nak cakap apa lagi. Aya dah besar. Aya dah boleh fikir sendiri...” kata ayahku lalu menyuap nasi dengan perlahan. Dia tidak berkata apa lagi selepas itu. Nuafal dan Hani melihat situasi itu dengan hairan. Abang Is pula hanya membisu tanpa sepatah kata. Dia tidak ingin mengeruhkan keadaan.

*********

            Aku tidak menyangka Tam akan datang menjemput aku di hadapan rumah. Ayah aku menyambut kedatangan Tam dengan baik. Aku pula berat hati untuk meninggalkan rumah, tetapi aku terpaksa. Setelah menyucapkan selamat tinggal kepada mereka semua aku masuk ke dalam kereta. Hani masih melambai aku. Aku tidak membalasnya kerana aku yakin Marhani tidak akan nampak aku yang berada di dalam kereta bercermin gelap ini. 

            Sepanjang perjalanan pulang aku hanya berdiam diri. Tam pula membiarkan sahaja aku yang termenung panjang sehinggalah kami tiba di Villa Taylor.

            Hanna sudah menunggu aku di hadapan pintu utama. Aku tersenyum kepadanya ketika melangkah masuk.

            “Tuan muda tunggu di Rose Garden. Dia nak jumpa Cik Aya.” Beritahu Hanna.

            Aku terus segera ke taman di sebelah kediaman itu. Taman bunga ros yang indah itu dijaga rapi walaupun sudah ketiadaan Sir Adam. Harry berdiri tegak di tengah taman itu sambil merenung ke arah fountain yang direka cantik.

            Aku berdiri di sebelah Harry yang sudah menyedari kehadiranku. Dia sedikit pun tidak menoleh melihat aku.

            “Hanna cakap awak nak jumpa saya?” Aku memulakan bicara apabila melihat Harry hanya terdiam.

            Aku tendengar bunyi nafasnya yang dilepaskan dengan berat.

            “Adakah kau masih percaya kepada aku?”

            Aku menoleh melihat wajah Harry yang serius memandang kepada fountain di depannya. Air pancut buatan itu nampaknya memberi sedikit ketenangan kepadanya.

            “Saya percaya kepada awak...” Balasku. Ya, aku harus mengikut rentaknya. 

            “Kau nampak seperti sudah tak ada keyakinan, Aya.”

            Aku ketawa kecil. “Saya? Mana ada... saya memang yakin dengan awak.” Aku menggenggam tangan mencari kekuatan.

            Harry akhirnya menoleh menghadap aku. Dia merenung mataku sehingga aku tidak mampu membalasnya.

            “Pandang aku, Aya.” Pinta Harry.

            Aku mengangkat wajahku dengan perlahan. Aku cuba tersenyum.

            “Berjanjilah... kau tak akan tinggalkan aku.” Suara Harry bergetar begitu juga hatiku.

            Aku hanya mengangguk perlahan. Tidak mampu bersuara lagi.

            “Tak lama lagi, semuanya akan selesai. Kau kena bersabar.”

            Aku mengangguk lagi.

            “Aku bakal kehilangan perkara yang aku cintai. Aku akan bersara dari dunia renang tidak lama lagi. Kalau kau tidak berada di sisi aku, aku akan terus kehilangan segala-galanya...”

*********

            “Pianist terkenal putus tunang?”

            Maria membaca tajuk muka hadapan bahagian hiburan di dalam lampiran surat khabar hari itu.

            “Cik Muda Sallyna?!” Natasha pula yang terkejut. Dia menarik surat khabar itu dari tangan Maria.

            Hanna yang melalui ruang tamu kehairanan melihat gelagat kedua maid merangkap pembantunya di rumah ini.

            “Kenapa?” Soal Hanna.

            “Kak Hanna!” Maria dan Natasha terkejut dengan kehadiran Hanna.

            “Kenapa berbual kat sini, kalau Puan Sara ternampak saya tak akan jawab bagi pihak kamu berdua.” Tegas Hanna.

            “Kami cuma baca berita di surat khabar ni.” Jawab Natasha sambil menunduk. Risau jika dimarahi oleh pekerja senior seperti Hanna.

            “Pasal apa?” Soal Hanna.

            “Cik Muda Sallyna dan Tuan Muda Rayyan sudah putus tunang.” Jawab Maria.

            Hanna sedikit terkejut. Aku terdengar perbualan mereka dari jauh. Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengari itu.

            “Betul ke?” Soal aku apabila sudah menghampiri mereka.

            “Cik Aya...” Hanna memberi ruang untuk aku melihat berita di surat khabar yang dipegang Natasha.

            Aku hanya membaca seimbas lalu. Yang penting memang benar mereka sudah memutuskan hubungan. Aku tidak menyangka secepat ini.

            “Mereka pasangan yang sangat secocok. Sayangnya...” Komen Maria.

            Aku termenung panjang memikirkan hal ini sehingga tidak lalu makan. Harry mengetuk meja makan apabila melihat aku yang tidak memberi tumpuan kepada hidangan di depan mata.

            “Kau fikir apa?” Tanyanya.

            Aku menggeleng perlahan.

            “Kau dah tahu berita pasal Ray dan Sallyna?”

            Aku mengangguk.

            “Kenapa kau nampak risau?” Tanya Harry lagi.

            “Adakah itu yang terbaik bagi dia orang?” Keluhku.

            Harry tersenyum. “Ray dan Sallyna tidak pernah ada perasaan kepada masing-masing. Kalau dia orang kahwin pun, akan jadi lebih sukar.”

            “Tapi mereka secocok. Mereka datang dari latar belakang keluarga yang sama taraf.” balasku lagi.

            “Semua tu tak menjamin kebahagian. Tahu tak betapa seronoknya menyukai gadis kelas bawahan?”

            Aku mengerut dahi.

            “Sebab boleh suruh dia buat macam-macam termasuklah jadi kuli.” Harry ketawa. Mengecil mata aku memandangnya. “Kalau macam tu lebih baik awak kahwin dengan robot.” Balasku geram.          

            Harry hanya tersengih. Aku menarik muka.

            Harry kemudian terdiam sebentar. Aku meneruskan suapan sarapan pagi yang enak. Selera aku kembali berfungsi dengan baik.

            “Pergilah...” Tiba-tiba Harry bersuara.

            Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkan Harry. “Pergi mana?”

            Harry memanggung kepalanya memandang aku. Dia berhenti meneruskan suapan. “Pergilah berjumpa Ray. Aku tahu kau susah hati kerana dia kan? Dia mungkin perlukan seseorang waktu seperti ni...”

            Aku terpana sebentar. Aku tidak menyangka sama sekali Harry akan berkata seperti itu. “Awak...” Aku masih tidak percaya.

            “Pergilah...” Ulangnya, kali ini disertai dengan senyuman ikhlas.

            Aku tersenyum dan mengangguk dengan penuh semangat. “Baiklah.”

*********

            Aku sedar mungkin inilah kali terakhir aku bertemu dengan Ray. Oleh itu, aku sangat gembira apabila Harry memberi izin untuk berjumpa dengan Ray. Hotel Paradise tersergam megah di hadapan aku ketika ini. Aku menarik nafas sambil mengatur langkah memasuki pintu hotel tersebut. Aku harap Ray berada di sini kerana aku tidak menghubunginya terlebih dahulu untuk membuat temujanji.

            Tekaan aku memang tepat, Ray berada di pejabatnya. Kehadiran aku yang tidak membuat temujanji sedikit menyukarkan urusan untuk berjumpa dengan Ray. Apabila aku beritahu aku ini kawan sekolah Ray dan dia memang ingin berjumpa dengan aku, barulah setiusaha lelaki itu membenarkan aku masuk ke pejabatnya.

            Pejabat itu sangat luas dan cantik. Aku masuk dan mencari Ray tetapi aku tidak nampak kelibatnya. Kata setiusaha Ray, lelaki itu tidak pulang ke rumah selama dua hari dan tidur di pejabatnya selama itu.

            “Senior...” Panggilku. Pandangan aku terarah ke sofa panjang di sebelah kananku. Aku menghampiri sofa itu dan kelihatan Ray sedang terbaring di sofa itu dengan mata terpejam. Dia tertidur. Pakaiannya tidak kemas, wajahnya tidak bersih apabila misai dan jambang tidak dicukur. Hatiku pilu melihat keadaannya.

            Mata Ray terbuka dengan perlahan apabila merasi sentuhanku di tangannya.

            “Aya...” Suara Ray sangat lemah pada mulanya, kemudian matanya terbuka luas dan dia segera mengangkat badannya dari pembaringan.

            “Senior... saya datang ni.” Ujarku sambil tersenyum.

            Ray terus memegang kedua belah bahuku. “Aya!” Ray seperti tidak percaya melihat aku di depan matanya. Tiba-tiba Ray melepaskan pegangannya di bahu aku. Wajahnya di arah ke tempat lain.

            “Kenapa Aya datang? Nak tengok keadaan saya yang macam ni ke?”

            Aku sudah agak. Ray memang berjauh hati dengan aku.

            “Kenapa macam ni... senior tak boleh jadi macam ni.” Kataku dalam nada sebak.

            “Baliklah, Aya. Saya lebih sakit kalau lihat Aya kat sini...”

            “Saya rasa bersalah...” Aku hampir menangis tetapi aku tetap bertahan.

            “Tak perlu. Baliklah kepada Harry. Biarkan saya kat sini, Aya...”

            “Saya nak minta sesuatu dari, senior...” Ujarku perlahan. Ray hanya terdiam, dia masih tidak memandang aku.

            “Walau macam mana sukar sekalipun kita hidup tanpa orang yang kita cintai... kita kena ingat ada yang lebih mencintai kita. Dia mengambil sesuatu dari kita kerana ingin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Dia tidak memberi apa yang kita mahukan, kerana Dia ingin memberi apa yang kita perlukan.” Kataku sepenuh hati.

            Aku dapat melihat wajah Ray bertukar merah. Hidungnya juga merah. Dia menahan tangisan sehingga aku sendiri terasa sebak.

            “Tolong jagakan benda ni untuk saya...” Aku menghulurkan satu bungkusan kepada Ray.

            Dia akhirnya berpaling ke arah aku. Matanya memandang benda yang berada di tanganku. Lama.

            “Anggap ini hadiah dari saya sebagai menghargai senior selama ni...”

            Ray menyambut dengan perlahan. Aku bangun berdiri dan bersedia untuk beredar.

            “Harap kita dapat berjumpa lagi di masa hadapan. Assalamualaikum...” aku melangkah perlahan meninggalkannya dengan hadiah itu.

            Ray membuka perlahan bungkusan itu. Pasu bunga kecil yang berisi pokok bunga kaktus yang comel dipandangnya dengan sayu. Terselit juga satu kad di situ. Dia membuka kad itu dan membaca tulisan tangan yang berbunyi...

Aku menginginkan bunga yang menawan dan segar,

tetapi Tuhan berikan aku kaktus yang berduri...

Aku inginkan kupu2 yang cantik dan indah,

tetapi Tuhan berikan aku ulat bulu dalam kepompong...

Aku sedih dan hampa..rasa kecewa,

tetapi suatu hari,kaktus yang berduri itu mengeluarkan bunga yang menawan dan segar...

ulat bulu pula berubah menjadi kupu2 yang cantik dan indah...

kini baru aku faham,

Tuhan tidak berikan apa yang aku kehendaki,

tetapi Tuhan berikan apa yang aku perlukan,

dan Tuhan menarik yang baik dari aku,

kerna DIA ingin berikan yang lebih baik untukku....

Ray terasa tangannya menggigil dan air matanya laju membasahi pipinya.

            “Aya... kenapa  bukan awak yang terbaik untuk saya...?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience