Bab 15

Romance Series 297502

“DHIA sihat?” soal Hayl. Sungguh dia tidak sangka dia akan bertemu dengan wanita itu di sini.

“Dhia sihat. Hayl?”

Hayl mengangguk perlahan. “Hayl pun sihat. Dah lama ke Dhia kerja dekat sini?” Dia jarang singgah ke pasaraya serbaneka di sini. Kalaulah daripada awal dia tahu Dhia bekerja di sini, sudah lama dia singgah membeli barang di sini.

“Dhia baru ke kerja. Baru seminggu. Dhia baru pindah dekat kawasan sini.” Jantung Dhia berdegup kencang saat berhadapan dengan Hayl. Sama seperti kali pertama dia melihat lelaki itu dulu.

Penampilan Hayl sudah banyak berubah. Kalau dulu tubuh lelaki boleh dikatakan agak kurus kering. Tapi sekarang tubuhnya tegap. Dia juga nampak lebih kacak.

“Mungkin Dhia lambat, tapi Dhia nak cakap juga. Tahniah atas perkahwinan Hayl.”

Hayl terdiam seketika. Dhia tahu yang dia sudah berkahwin?

“Mana Dhia tahu?” soalnya.

Dhia senyum segaris. “Dhia nampak posting Fac kawan-kawan yang lain.”

“Maaf sebab tak jemput Dhia. Hayl tak tahu macam mana nak contact Dhia.”

Dhia menggeleng kecil. “Tak apa. Kalau Hayl jemput pun, belum tentu Dhia kuat untuk datang.” Suaranya di hujung ayat perlahan saja kedengaran.

“Hah?”

Dhia menggeleng lagi. “Hayl tinggal dekat kawasan sini juga ke?” soalnya mengubah topik.

Hayl mengangguk tanda mengiakannya.

“Mana isteri Hayl? Datang seorang je?” soal Dhia lagi.

“Dia ada dekat kampung. Isteri Hayl baru lepas keguguran.”

Dhia tergamam. “Takziah Hayl.”

“Terima kasih. Dhia dah ada anak?”

“Dah. Anak Dhia dah umur empat tahun. Perempuan.”

“Kenapa Dhia pindah ke sini? Suami Dhia kerja kat mana?” soal Hayl lagi.

Kali ini Dhia terdiam. Dia tertunduk sedikit. Malu sebenarnya nak beritahu Hayl dengan apa yang berlaku padanya.

“Dhia?”

“Dhia dah bercerai. Sebab tu Dhia dengan anak Dhia pindah dekat sini.”

Hayl bungkam. Bercerai? Dhia dah bercerai?

“Kena...” Tak sempat Hayl nak menghabiskan ayatnya, Dhia terlebih dahulu memotong.

“Mungkin ini kifarah lepas apa yang Dhia dah buat pada Hayl.” Dhia tertunduk segan. Kalau orang tahu tentang statusnya, dia tidak kisah pun. Tapi kalau Hayl entah mengapa dia jadi malu dengan lelaki itu.

Mungkin kerana dia yang meninggalkan lelaki itu terlebih dahulu. Dan siapa sangka sekarang nasibnya begini. Menyedihkan!

“Dhia... Jangan cakap macam tu.”

“Dhia minta maaf Hayl. Mungkin kalau Dhia tak tinggalkan Hayl dulu, kita tak akan jadi macam ni. Sejujurnya, Dhia sangat menyesal putuskan hubungan kita.”

Hayl diam. Bola matanya bergerak-gerak memandang wajah Dhia. Wajah wanita itu masih sama seperti kali terakhir dia lihat dulu. Cuma seiring dengan usianya yang bertambah, wajah Dhia terlihat lebih matang.

“Dhia minta maaf. Dhia terbawa-bawa emosi pula. Dhia tak patut cakap macam tu dekat orang yang dah ada isteri.” Dhia seakan baru tersedar yang dia tak patut membicarakan kisah lama mereka.

Lagipun Hayl sudah menemui penggantinya. Lelaki itu sudah memiliki kehidupan sendiri sekarang ini. Malah mungkin Hayl lebih bahagia bersama dengan isterinya berbanding bersama dengannya dulu.

“Tak apa.” Hayl tersenyum nipis. Tidak mahu Dhia merasa bersalah.

Selama ini apa yang difikirkan tentang Dhia jauh sekali dengan apa yang Dhia lalui. Sangkanya Dhia bahagia hidup dengan lelaki itu. Tetapi malah sebaliknya.

Selepas membuat pembayaran, Hayl meminta diri. Lama juga mereka berbual sehingga ada pelanggan lain yang datang.

“Hayl, kita masih boleh jumpa lagi kan?” soal Dhia.

Hayl mengangguk perlahan. “Hayl pergi dulu.”

Dhia hanya menghantar pemergian Hayl dengan pandangan matanya sampailah bayang lelaki itu hilang daripada pandangan matanya.

Hujung bibirnya ternaik sedikit. Beruntung benar isteri Hayl. Lelaki itu terlalu baik. Lepas apa yang Dhia lakukan pada Hayl, lelaki itu masih melayaninya dengan baik.

HARI ini Hayl memandu menuju ke kampung mertuanya. Mahu menjemput Aileen pulang. Fikirannya melayang teringatkan kembali pertemuannya dengan Dhia tempoh hari.

Tiba-tiba dia merasa bersalah dengan Aileen. Dia sudah berjanji dengan isterinya itu untuk melupakan kisah silamnya. Namun bagaimana dia mahu melupakan Dhia andai mereka sudah bertemu kembali? Lagi-lagi bila dia tahu Dhia sudah berpisah dengan suaminya.

Hayl menggeleng perlahan. Tak. Dia tak sanggup nak lukakan Aileen lagi. Sudahlah isterinya itu baru saja keguguran. Bayang Dhia di ingatannya cepat-cepat disingkirkan.

Telefon bimbit berdering. Bibir menguntum senyum saat melihat nama Aileen di skrin telefon. Tanpa menunggu lama Hayl terus menjawab panggilan itu.

“Abang dah gerak ke?” soal Aileen di hujung talian.

“Ya sayang. Mungkin dalam sejam lagi abang sampai.”

“Hati-hati memandu. Leen tunggu abang.”

Hayl ketawa kecil. “Ya sayang.”

“Okay bye. I love you!” Panggilan terus ditamatkan.

Hayl ketawa kecil. Macam tu lah Aileen. Tak sempat nak cakap apa-apa lagi dia dah letak telefon. Tak sabar pula mahu berjumpa dengan isterinya itu. Seminggu Aileen tiada di rumah, hidupnya terasa sunyi.

Kadang-kadang Hayl sendiri tidak mengerti dengan dirinya. Dia sudah mula sayangkan Aileen. Tapi dalam masa yang sama dia masih fikirkan Dhia.

AILEEN berdiri di hadapan rumah sambil menanti ketibaan suaminya. Hayl cakap tadi dalam sepuluh minit lagi dia akan sampai.

“Leen, panas tu. Kut ya pun tunggulah dekat dalam,” tegur Mak Siti.

Aileen hanya menayang sengih. Tak sabar nak jumpa suami punya fasal, tengah panas pun dia sanggup tunggu. Rindu menggebu di dalam hati. Tak sabar mahu bertemu dengan Hayl.

Selepas duduk di kampung selama seminggu, hati Aileen sedikit tenang. Dia mula belajar untuk reda dengan apa yang berlaku. Mak Siti pun banyak menasihatinya dan memberikan dia semangat. Syukurlah dia ada suami dan keluarga yang sentiasa menyokong.

“Abang!” Aileen melambaikan tangannya saat melihat kereta yang dipandu oleh Hayl memasuki halaman rumah ibunya. Riak kegembiraan terpancar di wajahnya.

“Hai sayang.” Hayl keluar daripada perut kereta.

Aileen berlari anak mendapatkan Hayl.

“Hei, jangan lari-lari sayang. Jatuh nanti,” tegur Hayl. Dia pula yang risau bila Aileen lari.

Aileen terus mendakap erat tubuh Hayl. “Rindunya dekat suami Leen ni.”

Hayl ketawa. Dia membalas kembali pelukan Aileen. “Abang pun rindu sangat dekat sayang. Sunyi je rumah tu bila sayang tak ada.”

“Sudahlah tu pengantin lama oi... Kut ya pun masuklah rumah dulu. Lepas tu nak buat apa pun, buatlah. Tak ada siapa larang.”

Aileen cepat-cepat meleraikan pelukan mereka. Terasa membahang wajahnya bila ibunya itu nampak mereka berpelukan. Hayl hanya senyum. Dia menggosok perlahan lehernya.

Maklumlah mereka berdua memang tidak pernah berjauhan selama mereka bergelar suami isteri. Bila dah berjauhan, beginilah jadinya.

“CANTIKNYA bunga ni.” Aileen tersenyum lebar sambil membelek jambangan bunga matahari yang Hayl hadiahkan padanya.

“Sayang suka?” soal Hayl.

Laju Aileen mengangguk. “Suka! Suka sangat. Terima kasih abang.”

“Sayang tahu kan setiap bunga tu ada maknanya. Pekerja kedai bunga tu cakap bunga matahari ni adalah simbol kesetiaan dan kekaguman terhadap pasangan. Sebab tu abang pilih bunga matahari ni untuk sayang. Abang kagum dengan sayang.”

Aileen senyum mendengar penjelasan Hayl.

“Sayang tahu tak, sebenarnya sayang ni lebih kuat daripada apa yang sayang sangkakan. Abang sendiri tak sekuat sayang.”

Aileen menyandarkan kepalanya ke bahu Hayl. “Macam mana pula dengan simbol kesetiaan? Abang akan setia dengan Leen sampai hujung nyawa kan?” soal Aileen tiba-tiba.

Hayl terdiam. Wajah Aileen yang sedang menanti jawapannya itu dipandang lama. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Ya. Abang akan setia dengan sayang sampai hujung nyawa. Walau apapun yang terjadi, kita tak akan pernah berpisah. Melainkan ajal yang menjemput.”

Aileen senyum mendengar jawapan Hayl. Senang hatinya. Tangannya naik mengusap perlahan dada Hayl.

“Terima kasih abang untuk semuanya. Maafkan Leen yang masih belum mampu jadi isteri yang sempurna untuk abang.” Suaranya bertukar sayu.

“Sayang... Tengok tu. Janganlah cakap macam tu. Abang tak nak sayang sedih-sedih lagi. Nak tahu tak, selain nama bunga ni bunga matahari, nama lain bagi nama bunga ni ialah bunga bahagia. Jadi abang harap dengan pemberian bunga ni, isteri abang ni akan terus bahagia sampai bila-bila.” Puncak kepala Aileen dikucup lama.

TELEFON bimbit Hayl berdering menandakan ada panggilan masuk. Aileen yang sedang duduk di birai katil itu bangun dan bergerak ke meja solek. Mahu mengambil telefon Hayl. Hayl sedang mandi ketika ini.

Dahi Aileen berkerut halus melihat nombor yang tertera di skrin telefon suaminya itu. Nombor itu tiada dalam simpanan Hayl.

“Siapa pula yang call ni? Klien ke?” soal Aileen sendiri. Teragak-agak dia mahu menjawab panggilan itu. Kalau biarkan tak berjawab nanti risau panggilan itu panggilan yang penting.

Tapi kebiasaannya Hayl memang simpan semua nombor klien atau orang yang dikenalinya.

Ah, jawab je lah. Aileen terus menjawab panggilan itu.

“Hello?”

Tut! Panggilan dimatikan oleh si pemanggil.

“Eh, dia matikan pula? Siapa ni? Scammer ke?” Aileen tertanya-tanya sendiri. Nombor itu diperhatikan lama. Tiba-tiba dia mula tak sedap hati.

Kenapa si pemanggil terus menamatkan panggilan sebaik mendengar suaranya?

Happy reading semuaaa

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience