Rate

Bab 1

Fantasy Series 984

Suasana pada hari itu begitu kelam di ruang mata. Reza melemparkan pandangan sayup ke dada langit dengan minda yang masih kosong. Gumpalan awan tebal yang menyelimuti dada langit kelihatan bagai ombak dan semakin laju berarak di atas kepala seolah-olah mahu mengekorinya ke mana sahaja. Pokok-pokok yang tumbuh merimbun meliang-liuk dipukul angin liar sehingga menyumbangkan siulan dengan penuh irama.

Reza berdiri kaku bagaikan patung apabila tin-tin minuman yang berselerakan di atas tanah itu, perlahan-lahan bergerak di tiup angin dan melantun sehingga terkena kakinya. Tanpa membuang masa, dia terus menadah titik-titik air hujan yang baru sahaja jatuh dari langit dengan tapak tangan kirinya. Dari jauh, dia boleh mendengar dengan jelas titisan air hujan yang semakin kuat menimpa atap bangunan yang berhampiran.

Oleh kerana cuaca tidak berapa mengizinkan, Reza terpaksa berlari mencari tempat untuk berlindung dari hujan yang semakin mengganas. Tidak ada lagi tempat berlindung melainkan berjalan melalui lorong kecil di belakang antara bangunan ke bangunan lain.
Cuaca sebegini perasaan takut sudah bermaharaja lela di dalam dirinya. Apalagi, berjalan seorang diri di lorong yang agak sunyi tanpa suara-suara manusia di kawasan itu. Hanya bunyi-bunyian yang ganas dari atas langit semakin kuat menerobos masuk ke dalam gendang telinganya. Entah marahkan siapa, tiada siapa pun yang berani bertanya. Lalu dengan perasaan yang gundah gulana itu, dia terus memasukkan tangannya ke dalam poket jaket sambil tertunduk-tunduk melalui lorong tadi. Tindakan itu sebenarnya untuk melepaskan perasaan risau yang sudah bergelojak dalam hati.

Zuppp....

Reza berpaling laju ke belakang. Tersentak dengan bunyi derap tapak kaki yang memijak permukaan jalan yang basah disirami air hujan. Lopak-lopak air yang bertakung di jalan yang berlubang itu berkocak-kocak memercikkan lumpurnya ke udara apabila ada yang memijaknya dengan kasar. Topi jaket kelabu yang tersarung di kepalanya diselak dengan kasar. Topi supreme yang menjadi alas kedua kepala cuba di betulkan kedudukannya. Sejenak dia mengitari sekeliling kawasan. Namun, kelibat sesiapa pun tidak kelihatan kecuali beberapa orang gelandangan yang sedang menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari kotak-kotak, mungkin sebagai alas tempat tidur mereka.

“Siapa tadi tu?” soal Reza dalam keadaan panik. Oleh kerana terlalu risau, dia berjalan sambil mengundur ke belakang dengan gemuruh dada yang sudah terasa tidak stabil. Dia risau jika lorong tersebut menjadi lokasi pilihan penagih dadah tegar sebagai sarang mereka. Dia hanya memandang sekilas seorang lelaki yang tertunduk-tunduk sambil menghidu beg plastik berwarna hitam. Namun tiada tanda-tanda bahawa lelaki itu yang menghampirinya tadi. Memandangkan kawasan itu tampak bahaya, Reza menjadi gelabah khuatir diberkas polis, nanti tak sia-sia dia pun turut sama meringkuk dalam penjara. Langkah kakinya kini dipercepatkan lagi.

Ting.. Ting.. Ting...

Reza menoleh sekali lagi. Dia mengintari kawasan itu dengan debaran yang bertambah ganas memukul dadanya. Tiada apa-apa yang aneh dilihatnya melainkan satu cincin batu klasik yang begitu memukau dengan cahaya hijau yang berkilau bergolek-golek menghampirinya.

Reza tunduk lalu mencapai cincin batu tersebut. Dia lantas mendongak melihat di atas bangunan itu jikalau ada sesiapa yang sengaja membuangnya daripada tingkat atas. Dalam kesamaran cahaya itu, matanya terus tertancap pada bayang-bayang seorang gadis yang begitu ralit memerhatikannya di sebalik langsir jendela yang agak nipis.

“Pelik, bukan dia punya ke ni? Kalau tak nak aku ambil” sengih Reza sambil melambung-lambung cincin itu ke udara. Baru sekejap dia mengalih pandangan ke arah lain, kini bola matanya sudah tidak dapat lagi menangkap kelibat bayang-bayang yang bersembunyi di sebalik langsir tadi. Ianya sudah hilang dari pandangan. Reza tercari-cari sendiri. Mana dia?

“Agak-agak ni zamrud asli ke? Macam lelaki punya aje, takkan perempuan punya pulak?” bisik Reza sendiri. Cincin batu itu dibelek-belek dengan asyik. Terdapat ukiran tulisan entah apa dia sendiri tidak pasti di dalam cincin batu itu. Dia cuba mengamati ukiran seni di dalam batu itu dengan wajah yang serius. Tiada apa yang istimewa.

“Apa-apa aje lah. Janji dapat free” katanya sendiri. Tanpa berfikir panjang, dia terus menyarungnya ke jari manis. Seketika dia terpukau pada percikan cahaya yang memancar keluar dari batu cincin itu. Dalam benaknya membuat tafsiran sendiri, mungkin itu cuma biasan cahaya? Tapi kan langit hitam? Ah, apa-apa aje lah.

“Fuh, confirm asli ni!” Reza bermonolog sendiri dengan perasaan yang sarat dengan perasaan teruja. Dia masih berdiri membatu seolah sudah dipukau dan dikawal oleh satu kuasa.

Zuppp......

Reza tersedar dari terus terbuai dengan perasaan teruja. Dia tersentak kecil tatkla bahunya dilanggar oleh seseorang sehingga dia terjelopok jatuh di atas jalan itu. Dalam masa yang sama, tiba-tiba sahaja kepalanya terasa berdenyut-denyut setelah dilanggar dengan kuat. Dia menggosok-gosok kepala sambil cuba mencari kelibat lelaki yang melanggarnya tadi. Langsung tiada kata maaf yang terbit dari mulut lelaki itu melainkan berlari pantas meninggalkannya yang sudah duduk melutut dengan wajah yang terpinga-pinga.

Reza menjongket kening kirinya, hairan mengapa lelaki yang memakai jaket hitam itu berlari begitu tergesa-gesa. Menoleh tidak, menegur pun tidak. Dia hanya meninggalkan kesan tapak kakinya di atas permukaan jalan yang sudah tenggelam disiram air hujan. Lagaknya persis penjenayah yang menjadi buruan polis. Adakah lelaki itu seorang penagih dadah? Terserampak dengan hantu? Terburu-buru agar tidak terperangkap dengan hujan? Atau cincin yang tersarung dijarinya itu benar-benar asli sehingga lelaki itu cuba merampas darinya? Bermacam andaian bergelumang dalam laut fikirannya ketika itu.
Reza sedaya upaya menepis andaian yang berpusu-pusu masuk menerjah benaknya. Dia sudah keletihan dengan perkara merepek yang sudah membusut alam fikirannya.

Tanpa berlengah, dia bingkas bangun dan terus menyusuri lorong itu dengan pantas menuju ke arah deretan beberapa buah kedai yang baru beroperasi. Beg plastik yang sudah menjadi sampah, berterbangan dari berbagai-bagai arah.
Dalam kedinginan itu, sempat dia memandang sekilas pada seorang lelaki tua berpakaian serba kuning sedang duduk di bangku besi yang ada di bahu jalan. Langsung tidak terkesan dengan hujan lebat yang sedang melumaskan tugasnya. Dari jauh, lelaki tua itu hanya memerhatikan gerak geri Reza dengan pandangan sayu.

Terdetik niat di hati untuk menghampiri lelaki tua itu. Namun, gelombang bunyi yang baru sahaja terhasil menyinggah dahulu pendengarannya. Bagai terpacak dan bergetar gendang telinga Reza apabila bunyi siren yang membingitkan telinga semakin hampir ke kawasan itu. Ada kebakaran? Atau kemalangan? Ah, mustahil! Getus hatinya sendiri.

Tidak lama kemudian, muncul sebuah ambulans dan beberapa buah kereta polis menghiasi kawasan berhampiran lorong tadi. Laju mereka menutup dan menyekat kawasan itu menggunakan pita berwarna kuning sebelum kawasan itu diserbu oleh orang ramai. Penagih dadah dan gelandangan tadi, lari lintang pukang menyelamatkan diri. Lampu berwarna merah semakin ligat berputar menyimbahkan cahayanya ke seluruh kawasan. Orang ramai berpusu-pusu dan tidak henti-henti datang ke kawasan itu sehingga ada yang menjerit dan mengurut dada melihat kejadian terbabit. Terkocoh-kocoh mereka mengambil gambar menggunakan telefon pintar sehingga terjingkit-jingkit kaki Reza berdiri memijak batuan kecil di atas permukaan jalan untuk melihat apa yang telah terjadi. Sempat dia menegur beberapa orang yang lalu lalang di hadapannya namun tegurannya langsung tidak diendahkan.

‘Sesak lah, barangkali ada kes rompakan dan pembunuhan. Atau lelaki tadi tu penjenayah? Oh, tak mungkin! Apa yang terjadi eh?’ desis hatinya. Reza cuba membuat andaian sendiri.

Dummm...!

Belum sempat dia melangkah mara ke hadapan, dia sudah tertunduk kerana takut dek dentuman keras petir diselangi sorotan cahaya melintasi ruang langit. Air mata langit turun bertali temali dan semakin ganas melunaskan tugasnya.

Dia menekup telinganya supaya dentuman dahsyat yang bergaung tidak lagi memekakkan telinga. Lelaki tua itu sudah tidak kelihatan di bangku tadi. Secepat kilat hilang dari pandangan.

Oleh kerana cuaca tidak mengizinkan untuk dia menghampiri kawasan tadi, sepantas superhero dalam cerita the flash langkah kakinya berlari dan bertindak masuk ke dalam sebuah kedai serbaneka 7 eleven yang berhampiran. Niatnya untuk melihat kejadian itu terbatal serta-merta. Dia jadi kesal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience