Bab 2 Curiga

Humor Completed 47765

Bab 2

Dengan terpaksa Aira Farisha berjalan ke arah dapur ingin membantu ibunya.

"Mak nak masak apa malam ni?" tanya Aira Farisha lalu menarik bangku untuk duduk.

Jamilah menoleh ke arah anak gadisnya itu. Sepertinya ada sesuatu yang membuat anak gadisnya kesal.

"Kenapa dengan kamu ni Aira? Muka monyok semacam je?" soal Jamilah kepada anak gadisnya itu.

Aira Farisha menarik nafasnya perlahan-lahan lalu memandang ke arah ibunya.

"Emmm." Keluh Aira Farisha sepertinya malas ingin menjawab pertanyaan ibunya itu.

"Anak gadis awak ni gatal nak masuk bilik Usop," beritahu Ibrahim kepada isterinya.

"Ayah ni... Mana ada Aira nak masuk dalam bilik abang long. Aira cuma nak tengok lelaki yang Abang Long bawa balik tu je," bidas Aira Farisha dengan wajah monyoknya yang kurang suka dengan kata-kata ayahnya itu.

“Tak payahlah nak tengok-tengok. Biar abang long kamu saja yang urus lelaki tu,” balas ayah.

“Betul kata ayah tu. Biar saja abang kamu tu uruskan lelaki tu. Lagi pun kamu tu perempuan Aira,” ujar Jamilah pula.

“Yalah yalah,” balas Aira Farisha. Lalu bangkit dari duduk dan mula berjalan masuk ke dalam biliknya.

Ibrahim dan Jamilah menggeleng kepala melihat tingkah anak gadisnya itu.

“Abang macam mana keadaan lelaki yang usop bawa balik tu? Pengsan lagikah?” soal Jamilah pada suaminya.

Ibrahim melabuhkan punggungnya dibangku. Lalu menoleh ke arah Jamilah yang sedang berdiri didepan sinki.

“Luka di kaki tak adalah teruk mana pun. Mungkin kakinya tu terseliuh. Tapi luka di tangan dia tu agak dalam juga. Tadi saya dan Usop dah cuci dan letak ubat dekat tangan dia tu. Alhamdulillah luka tu dah bersih dan darah pun dah tak keluar. Saya dan Usop dah balut luka tu,” Ibrahim menjelaskan keadaan Megat Hafiy kepada isterinya.

“Dia belum bangun dari pengsan lagi ke bang? Kalau belum bangun kita kena bawa dia pergi hospital. Takut ada kecederaan dalaman yang kita tak nampak,”  balas Jamilah.

Tiba-tiba Yusof masuk ke dapur dan mula menuang air didalam gelas. Ibrahim dan Jamilah memandang ke arah anak lelakinya itu.

“Mak ada makanan lagi tak ?” tanya Yusof.

“Kalau kamu nak makan nasi dan lauk masih ada lagi," jawab Jamilah.

“Bukan usop yang nak makan. Tapi kawan lelaki yang usop bawa balik tu yang nak makan,” balas Yusof.

“Lelaki tu dah bangun?” tanya Ibrahim penasaran dengan penjelasan anaknya itu.

“Ya, dia dah sedar dari pengsan. Dia minta air dan makanan,” Yusof menjawab pertanyaan ayahnya itu.

“Kamu ambillah nasi dan lauk letak dalam pinggan bagi dia makan. Mesti dia lapar dan dahaga,” ujar Jamilah.

Yusof mengambil pinggan lalu mula letak nasi dan lauk-pauk di dalam pinggan itu. Melihat anaknya sedang mengambil lauk untuk letak ke dalam pinggan. Ibrahim bangkit dari bangku yang dia duduk.

“Ayah nak pergi tengok lelaki tu sekejap,” kata Ibrahim lalu mula melangkah kakinya ke arah bilik anak lelakinya itu.

Ibrahim membuka daun pintu bilik anaknya itu. Dia dapat lihat dengan jelas Megat Hafiy sedang berada diatas katil dengan posisi duduk dan menyandar tubuh dikepala katil. Ibrahim mendekati Megat Hafiy.

“Baguslah kamu dah sedar. Apa nama kamu?” tanya Ibrahim.

“Nama saya Megat Hafiy. Saya datang ke sini atas urusan kerja,” jawab Megat Hafiy yang masih terpinga-pinga.

Kerana Megat Hafiy menyedari dia berada di sebuah rumah yang agak asing. Dia dapat mengagak orang didalam rumah ini yang telah menyelamatkannya. Tadi waktu dia sedar ada seorang lelaki yang berada didalam bilik ini. Pada mulanya Megat Hafiy ingatkan Yusof adalah salah seorang lelaki yang cuba membunuhnya. Tetapi Yusof telah menjelaskan kepada Megat Hafiy bahawa dia telah diupah oleh seseorang yang berada di Malaysia untuk menjaga keselamatannya.

Tetapi Yusof tidak menduga mereka sanggup membahayakan diri dengan merempuh kereta yang dinaiki oleh Megat Hafiy. Sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka juga agak ramai berbanding dengan dirinya. Mustahil untuk Yusof berlawan dengan mereka. Megat Hafiy tidak terkejut bila Yusof boleh bercakap dalam bahasa melayu. Kerana Megat Hafiy tahu dikawasan ini memang ramai warga Thailand berketurunan melayu.

"Krek."

Bunyi pintu dibuka dari luar. Ibrahim dan Megat Hafiy memandang ke arah pintu. Yusof masuk ke dalam bilik bersama gelas dan pinggan di tangannya.

“Ini ada air dan nasi untuk tuan makan,” kata Yusof. Tangannya dengan cepat meletakkan pinggan dan gelas itu di atas meja yang ada di samping katil.

“Terima kasih... Kerana telah menyelamatkan saya,” ucap Megat Hafiy dengan nada agak lemah.

“Sama-sama,” sahut Yusof.

++++++++

Aira Farisha mendengar bahawa lelaki yang dibawa oleh abangnya itu sudah sedar dari pengsan. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah bilik abangnya itu. Aira Farisha lihat daun pintu bilik abangnya itu terbuka sedikit. Aira Farisha pergi ke arah daun pintu dan mula mengintai dibalik daun pintu. Tetapi dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah Megat Hafiy kerana terlindung oleh tubuh Ibrahim dah Yusof.

“Eh, nampak badan je. Muka tak nampak pula,” gumam Aira Farisha.

Aira Farisha mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik abangnya itu. Lagi pula didalam bilik ini ada ayah dan abangnya. Rasanya tidak salah jika dia masuk ke dalam bilik ini.

Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu Aira Farisha terus masuk ke dalam bilik abangnya itu. Ibrahim dan Yusof memandang ke arah Aira Farisha yang tiba-tiba sahaja masuk. Aira Farisha merenung wajah Megat Hafiy. Megat Hafiy terkejut melihat Aira Farisha yang tiba-tiba sahaja masuk dan merenung wajahnya. Megat Hafiy mengukir senyuman kepada Aira Farisha.

“Nampaknya masih hidup lagi,” kata Aira Farisha.

“Aira tak baik cakap macam tu,” tegur Ibrahim pada anak gadisnya itu.

“Okeylah, Aira nak pergi tolong mak kat dapur,” ujar Aira Farisha lalu mula berjalan keluar dari bilik Yusof.

Megat Hafiy terpinga-pinga melihat Aira Farisha berjalan keluar dari bilik.

“Jangan kecil hati dengan kata-kata anak perempuan pak cik tu,” kata Ibrahim setelah Aira Farisha keluar.

“Saya tak kecil hati pun,” balas Megat Hafiy sambil mengukir senyuman.

“Makanlah,” ucap Yusof bila melihat Megat Hafiy masih belum menjamah makanan yang dia bawa.

“Kamu makanlah ya. Pak cik dan Usop nak keluar sekejap ada kerja yang kami nak buat,” ujar Ibrahim sambil memberi isyarat kepada Yusop supaya keluar.

Yusof mengikut perintah Ibrahim keluar dari bilik. Membiarkan Megat Hafiy didalam bilik menjamah makanan yang telah Yusof letak dimeja di sisi katil.

Ibrahim dan Yusof berada diluar rumah. Yusof melabuhkan punggungnya dibangku kayu disebelah Ibrahim.

“Kamu rasa selamat ke dia tinggal di rumah kita ni?” soal Ibrahim pada anaknya.

Yusof terdiam seketika mendengar soalan ayahnya itu. Kerana dia juga tidak pasti adakah orang yang di upah untuk mencederakan Megat Hafiy akan mengetahui yang Megat Hafiy berada di rumahnya.

“Rasanya buat sementara waktu ni dia selamat tinggal di sini. Nanti bila luka dia dah pulih usop akan bawa dia ke tempat lain,” Yusof menjawab pertanyaan ayahnya.

“Baiklah. Ayah tak kisah kamu nak biar dia tinggal dirumah kita ni. Tapi kita kena berjaga-jaga juga,” balas Ibrahim.

“Ayah jangan risaulah. Usop akan sentiasa berjaga-jaga,” Yusof yakin Megat Hafiy akan selamat tinggal dirumah keluarganya ini. Orang-orang yang di upah untuk membunuh Megat Hafiy pasti tidak akan mengetahui yang Megat Hafiy berada di rumah ini.

“Jom masuk... Lelaki tu pasti sudah selesai makan,” kata Ibrahim.

Mereka berdua bangkit dari bangku dan berjalan masuk ke dalam rumah. Tanpa Ibrahim dan Yusof sedari Aira mendengar apa dibualkan oleh mereka berdua. Aira Farisha bersembunyi dibalik dinding rumah.

“Dah agak dah, lelaki tu pasti orang jahat. Sebab tu ada orang nak bunuh dia,” gumam Aira Farisha. Yang berprasangka buruk terhadap Megat Hafiy.

“Cis! Muka saja hensem tapi sayang,” gumam Aira Farisha lagi.

“Aira kamu cakap dengan sapa tu?” tanya Jamilah bila melihat anak gadisnya itu seperti bercakap sorang-sorang.

“Alah, Aira cakap dengan diri Airalah,” jawab Aira Farisha bersahaja.

“Kamu ni ada-ada sajalah,” ujar Jamilah dengan menggeleng kepala.

++++++++++

Pagi ini Ibrahim dan Yusof tidak ada dirumah. Ibrahim pergi ke kebun untuk melihat kebunnya. Manakala Yusof pula pergi ke bandar untuk membeli ubat tahan sakit atas permintaan Megat Hafiy. Kerana Megat Hafiy merasa tidak tahan menahan sakit cedera ditangannya. Waktu malam luka ditangannya terasa berdenyut-denyut.

Aira Farisha berjalan masuk ke dalam bilik abangnya. Aira Farisha tahu ayah dan abangnya tiada di rumah. Melangkah sahaja Aira Farisha ke dalam bilik abangnya itu. Dia lihat Megat Hafiy sedang duduk dan dengan cepat menoleh ke arahnya.

“Kamu ni pasti orang jahat. Sebab tu ada orang yang mahu bunuh kamu,” kata Aira Farisha dengan memandang tajam wajah Megat Hafiy.

Entah kenapa Megat Hafiy tertarik dengan sikap Aira Farisha. Dia mengukir senyuman mendengar tuduhan terhadap dirinya itu. Dia menyedari Aira Farisha mengagap dirinya orang jahat.

“Terpulang awaklah nak tuduh saya jahat... Nama awak Aira Farisha kan?” ujar Megat Hafiy. Mata Megat Hafiy tidak berganjak memandang Aira Farisha.

“Pasti ayah dan abang long dah bagitahu nama saya kan,” balas Aira Farisha.

“Ya, usop yang bagitahu. Senang saya nak sebut bila kita nikah nanti,” ujar Megat Hafiy sambil tersenyum lebar.

Aira Farisha tergamam mendengar kata-kata Megat Hafiy.

“Jangan mimpilah saya nak nikah dengan awak. Baru dua hari duduk dekat rumah ni dah berani ajak orang nikah. Tak hinginlah!” ucap Aira Farisha dengan membuat memek muka tidak suka.

“Manalah tahu kita berjodoh,” kata Megat Hafiy lagi. Sengaja menyakat Aira Farisha.

“Tak adanya jodoh saya dengan awak. Nanti awak dah pulih, awak kena keluar dari rumah ni,” balas Aira Farisha sepertinya kurang suka dengan Megat Hafiy.

“Macam mana kalau saya nak duduk terus dekat rumah ni?” tanya Megat Hafiy dengan tersengih menampakkan gigi putihnya

“Tak boleh!” sahut Aira Farisha.

“Amboi, garangnya,” usik Megat Hafiy.

Tiba-tiba pintu yang tidak di tutup rapat dibuka luas-luas dari luar. Dengan cepat Aira Farisha menoleh ke arah muka pintu. Pada mulanya Aira Farisha menyangkakan pasti ayah atau pun Yusof yang membuka daun pintu itu luas-luas. Tetapi yang berada di muka pintu sekarang ini bukan ayah dan abang longnya. Sebaliknya adalah ibunya.

“Aira, kamu buat apa dekat dalam bilik abang long ni? Tak baiklah masuk bilik orang lelaki,” tanya Jamilah bila melihat anak gadisnya berada didalam bilik Yusof bersama Megat Hafiy.

“Alah, Aira cuma nak berbual dengan kawan abang long ni je. Nak tahu nama dia, asal mana dan kenapa dia boleh cedera,” jawab Aira Farisha tanpa rasa bersalah.

“Betul, Aira cuma bertanya tentang diri saya saja,” Megat Hafiy mengiakan kata-kata Aira Farisha.

Aira Farisha menoleh ke arah Megat Hafiy.

Cis, sajalah tu nak aku rasa yang dia baik. Bisik hati kecil Aira Farisha dengan mata tetap memandang ke arah Megat Hafiy.

“Oh... Apa ya nama anak ni?” tanya Jamilah dengan memandang ke arah Megat Hafiy yang sedang duduk di atas katil.

“Nama saya Megat Hafiy bin Megat Jamaluddin,” Megat Hafiy memberitahu namanya.

“Oh, Megat Hafiy... Nak panggil Megat ke atau Hafiy?” soal Jamilah lagi.

“Panggil Hafiy saja,” balas Megat Hafiy.

“Hafiy dah boleh bangun dan jalan kan?” tanya Jamilah lagi.

“Ya, saya dah boleh bangun dan jalan. Sebab luka pun kecil je dekat kaki. Luka yang teruk dekat tangan saja,” kata Megat Hafiy. Menjawab pertanyaan Jamilah.

“Mak sembanglah dengan dia ni. Aira nak makan,” ujar Aira Farisha lalu mula berjalan keluar dari bilik.

 
Bersambung...

Share this novel

DHIA AMIRA
2023-06-02 12:24:37 

done bca... nex...


NovelPlus Premium

The best ads free experience