BAB 6

Family Completed 5571

SELEPAS singgah di masjid untuk menunaikan solat zohor, keduanya bergerak untuk pulang ke rumah. Tak sabar sungguh untuk duduk berehat di rumah. Aimi sempat membeli sedikit makanan buat emak dan abah yang tinggal berdua di rumah. Bandar itu dari kampung mereka memang agak jauh. Kira-kira setengah jam perjalanan. Namun, itu bukanlah suatu kesusahan bagi Aimi. Dia sudah biasa berjalan jauh. Walaupun dengan berjalan kaki sekalipun.

Abah mereka hanya seorang penoreh. Dari hasil itulah emak dan abah berusaha buat membiayai perbelanjaan anak-anak. Emak hanya mengambil upah sebagai tukang jahit. Sejak kecil lagi, Aimi sudah diajar macam-macam. Menorah pun dia tahu, memasak pun dia tahu, menjahit pun dia tahu. Lalu, dari duit belanja yang dibekalkan oleh abahnya setiap hari, disimpan untuk masa depannya sendiri.

Pernah suatu ketika Nazirah sakit teruk. Doktor kata tiada harapan. Tapi, emak dan abah tidak pernah berputus asa. Ada berubat kampung dan moden. Akhirnya, dibawa ke hospital swasta. Perbelanjaan untuk mengubati Nazirah sangat mahal. Abah berusaha bersungguh-sungguh mengumpul duit. Segala simpanan dikeluarkan dan dikumpulkan. Emak sendiri mengeluarkan duit simpanan dan hasil menjahit. Aimi ketika itu sudah cukup besar dan matang dan sangat memahami kesusahan emak dan abah.

Suatu malam, ketika emak dan abah sedang kerisauan untuk mencari duit lagi bagi mencukupkan kos perubatan Nazirah, Aimi mendekati emak dan abahnya dengan satu sampul dipenuhi duit kertas dan satu botol yang dipenuhi wang syiling. Banyak juga hasil kumpulannya dari duit belanja dan bekerja mengambil upah untuk macam-macam pekerjaan. Emak dan abah menyambut dengan air mata. Aimi masih teringat lagi kata-kata abahnya waktu itu.

“Nanti, bila abah dengan mak dah ada cukup duit, kami bayar balik.” Abah memeluk Aimi. Begitu juga emak. Aimi ikut menangis.

“Abah dengan emak tak perlu ganti balik. Duit ni bukan milik Aimi seorang. Ianya milik kita semua. Aimi nak adik sihat. Nak pergi sekolah sama-sama dengan dia lagi. Aimi rindu adik….” Aimi membalas kata-kata abahnya.

Akhirnya, berkat kesungguhan berikhtiar, doa seorang emak yang sangat pengasih, abah yang begitu pemurah dan kakak yang kasihnya dalam diam begitu mendalam, Nazirah akhirnya sembuh. Seperti anak-anak seusianya, kini Nazirah sudah 17 tahun. Bakal menghadapi SPM tahun ini.

Aimi yang sedang memandu menoleh ke sebelah. Tersenyum bersama air mata melihat adiknya yang sedang tidur. Betapa bersyukurnya dia apabila dengan kuasa Allah, Nazirah masih hidup, memebesar dengan baik di hadapan matanya sendiri. Cuma 4 tahun mereka tak berjumpa, lalu adiknya ini telah berubah. Entah apa penyebabnya, dia sendiri tidak pasti. Yang pasti, dia kan tahu juga nanti.

Aimi kembali menumpukan pada pemanduan. Dalam 15 minit lagi, sampailah mereka di rumah. Nazirah sudah terlalu penat akibat banyak berjalan. Sekejap sahaja berjalan, sudah lena. Berhenti di lampu isyarat pun, dia tak bangun, tak merasa terganggu. Aimi mengelap air mata di pipinya. Nazirah memang tak tahu dan tidak merasa keperitan yang dilalui oleh emak dan abah. Tapi, dia merasa penderitaan sakit yang ditanggung dahulu. Cuma, mungkin sahaja dia sudah tidak ingat kerana sewaktu itu, dia memang kecil lagi.

Kanak-kanak, biasalah hanya tahu main. Belajar waktu tu pun, banyak main-main. Tapi, Nazirah seorang yang sangat bijak. Dia sangat mudah dalam belajar. Dia memang pandai membahagi masa antara belajar dan main. Tapi, yang Aimi tidak faham kala ini ialah perubahan adiknya yang sudah tidak seperti dulu. Hidupnya seperti sudah tiada jadual.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience