Natasha menarik-narik jari kakinya yang terasa kebas. Inilah yang akan berlaku jika duduk bersila terlalu lama. Darah tersepit dan aliran oksigen akan terhimpit. Akhirnya proses metabolisme anda menjadi songsang sehingga mengakibatkan asud laktik merembes keluar dan mengeraskan otot-otot kaki. Sudahnya, mengalami gejala 'semut-semut' yang boleh mengakibatkan peperangan sekiranya ada yang cuba menyentuh kaki.
Dalam situasi biasa, semut-semut boleh dihilangkan dengan duduk berlunjur kaki atau melompat-lompat setempat. Natasha tidak boleh melakukan aksi itu meskipun idea itu sudah tercetus sepuluh minit lalu. Kalau Natasha berdegil juga, mungkin gelaran 'anak setan' yang disandangnya minggu lepas akan bertukar kepada budak 'kuanghajo' pula.
Eh, apa yang dah berlaku sebenarnya ni?
Imbas kembali kejadian pagi semalam yang mengambil tempat di blok asrama Seperti biasa, hari Sabtu adalah hari gotong-royong dan semua pelajar wajib melibatkan diri. Natasha benci hari Sabtu. Beberapa minggu lalu, hari Sabtu masih menjadi kegemarannya kerana dia boleh tidur hingga ke tengah hari. Namun gara-gara peraturan sekolah yang menyusahkan, dia perlu bangun enam jam lebih awal semata-mata untuk membersihkan asrama.
Natasha tahu dia takkan menang sekiranya dia menentang. Jadi, dia cuba gagahkan diri untuk bangun awal pagi dan melaksanakan semua tugasan yang diberi. Namun otaknya yang sudah 12 tahun bangun tengah hari pada hari Sabtu sukar berfungsi dengan betul pada awal pagi. Maka, terjadilah 'accident' antara dia dan seorang kakak senior di laluan balkoni.
"Hoi,mamat ke?" pekik Anthea dengan lantang sehingga mengejutkan pelajar-pelajar lain yang sedang bertugas di bilik masing-masing.
Natasha terkebil-kebil. Air sejuk yang sudah membasahi sebahagian seluarnya merangsang deria sekaligus menyegarkan minda. Dia tunduk melihat baldi Anthea yang sudah bergolek-golek di lantai. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada berus giginya yamg juga sudah terdampar di atas lantai balkoni. Waktu itu, sebahagian pelajar yang berada berhampiran sudah mengerumuni mereka
"Mana?" tanya Natasha dalam keadaan separa sedar.
"Mana apa?" tanya Anthea pula bagaikan suara halilintar.
"Mana ubat gigi saya, kak?" tanya Natasha dengan muka bingungnya. Puas dia mencari. Namun hanya berus giginya sahaja yang menyapa pandangan. Lalu dia berpusing-pusing di kawasan sekitar untuk mencari ubat giginya. Sungguh Natasha tidak sedar gelagatnya bagai menyimbah minyak gamat ke hati Anthea.
"Kurang ajar! Aku cakap dengan kau, kau pula sibuk cari ubat gigi kau, ya? Minta maaf cepat!" marah Anthea sambil menarik bahu Natasha menghadapnya.
"Kenapa akak marah-marah ni? Calm down, calm down..... Hari masih pagi, kak."
Share this novel