“Nanti kita ke dusun durian arwah atok subuh esok. Kita tengok ada tak lagi hasilnya. Selalunya mak upah orang je kutip. Kadang-kadang je mak ke dusun atok tu. Esok kita pi cari sendiri. Hangpun nak pi kutip durian kan? Dah lama dok ‘oversea’ lah katakan…” perli Mak Cik Ila mengusik anak bujangnya itu. Rezeki anaknyalah yang kempunan nak makan durian kerana memang kebetulan kena pula dengan musim durian di situ.
“Uish,boleh sangat mak! Esok kita terjah dusun atok! Yes!” gembira bukan kepalang lagi hatinya apabila ibunya mempelawa ke dusun durian atok. Dah lama dia mengidam bubur durian masakan ibunya. Mungkin juga kali ini bubur durian terakhir dari ibunya.
“Alhamdulillah, sedapnya mak masak bubur durian tu. Afal suka sangat. Dah lama Afal mengidam air tangan mak.” Nawfal tersenyum puas tatkala bubur durian yang diidamkan lenyap memasuki ruang perut yang lama menantikan kehadiran bubur itu.
“La, selama ni yang hang dah duduk selama dua minggu ni bukan air tangan mak ke Afal?” usik Mak Cik Ila lagi. Dia tahu anaknya kepingin benar pada bubur durian. Itu memang kegemaran anaknya sejak kecil lagi.
“Bukan macam tu mak. Yang lain tu memanglah semua air tangan mak tapi kali ni ‘special’ punya. Bukan je melekat di perut tetapi melekat di hati untuk selama-lamanya!” riuh rendah Nawfal berhujah memberikan jawapan pada Mak Cik Ila. Mak Cik Ila hanya menggeleng sambil tersenyum. Anaknya itu benar-benar berubah. Hati kecilnya inginkan kepastian tetapi tak dapat diungkapkan. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh anaknya itu. Dia risau melihat tubuh anaknya yang semakin kurus sedangkan Nawfal dahulunya normal seperti orang biasa.
“Afal, mak tanya sikit boleh?” gusar hati ibunya lantas persoalan itu diajukan.
“Hmmm…apa dia mak? Tanyalah banyak mana pun, Afal sedia menjawabnya” tersenyum sahaja memikirkan soalan yang bakal diajukan oleh ibunya.
“Afal sakit ke? Mak tengok Afal kurus je. Risau pulak mak.” getus Mak Cik Ila. Nawfal cuba menghabiskan seulas biji durian yang menjadi ‘favourite’ sejak kecil lagi.
Share this novel