IZZAHmenyambut mangkuk nasi yang dihulurkan ibunya. Dia mencedok dua
senduk nasi ke dalam pinggan, kemudian dicapai pula mangkuk yang berisi
tomyam. Dia tergamam apabila ternampak wajah Harraz di dalam mangkuk
itu. Lama dia merenung mangkuk itu. Tanpa disedari, bibirnya mengukir
senyuman.
“Reen...” panggil Izzati.
Izzah tersentak. Mati terus senyumannya. Dia memandang wajah
ibu dan ayahnya yang memandangnya dengan muka pelik.
“Kenapa ditenung je tomyam tu? Makanlah.” Khalid bersuara.
Izzah tersenyum malu. Dia cepat-cepat mencedok tomyam ke
dalam pinggan, kemudian menghulurkan mangkuk tomyam itu kepada ayahnya.
“Reen...”
Baru tiga suap nasi masuk ke mulutnya, Izzati sudah
memanggil. Izzah mengangkat muka. “Ya, ibu?”
“Hari Ahad nanti kita pergi rumah mak long, ya? Kak Maria
kamu nak bersanding.”
“Kalau ibu dengan ayah je yang pergi boleh tak? Reen
malaslah. Nanti ada je yang mak long tu bebelkan. Reen... kamu dah ada
pakwe ke belum? Reen... kenapa potong rambut tu pendek sangat? Huh,
bosan!” Izzah meniru gaya mak longnya bercakap, siap dengan mimik muka
sekali.
“Mana boleh macam tu. Masa akad nikah pun Reen tak pergi,
kan? Nanti kecik hati pulak Kak Maria kamu tu. Sekurang-kurangnya
tunjukkanlah muka tu. Pergi ya?” Izzati memujuk.
Izzah mengeluh. Nasi di pinggan digaul perlahan. Terasa
hilang selera mahu makan apabila wajah mak longnya mula terbayang di
ruang mata.
“Reen pergi ya, nak?” pujuk Izzati lagi.
Izzah mengangguk lemah. Dia mencapai gelas yang berisi air
bandung cincau lantas meneguk rakus bagi menjatuhkan nasi yang terasa
tersekat di kerongkongnya.
*****
IZZAHcuba memejamkan mata namun tak mahu lelap. Dia mengiring ke kanan,
terbayang mata cantik Harraz. Dia berkalih pula ke kiri, terbayang
lesung pipit milik lelaki itu. Akhirnya dia bangkit dari pembaringan dan
bersandar di kepala katil. Lampu tidur dimain- mainkan. Sekejap buka,
sekejap tutup. Sekejap buka lagi dan tutup lagi.
“Aku betul-betul dah jatuh cinta kat dia ke? Tapi... tak ada
pulak jantung aku berdenyut laju macam dalam novel tu.” Izzah
membaringkan semula badannya sambil tangan diletak di bawah kepala. Dia
merenung siling bilik seolah-olah wajah Harraz berada di situ. “Tapi
kan... mata dia cantik sangat! Mata betul ke tipu eh?” Dahinya berkerut.
“Isy, apa yang aku merepek ni? Dah sah-sahlah mata betul. Kalau tak,
takkan la dia pakai cermin mata!”
“Reen... cakap dengan siapa tu? Tak tidur lagi ke? Dah pukul
12 ni.” Kedengaran suara Izzati diikuti dengan ketukan pada pintu bilik.
Izzah tersentak. “Reen tengah bercakap dalam telefon, bu.
Kejap lagi Reen tidur...” bohongnya.
“Jangan tidur lewat sangat.”
“Baik, ibu. Reen dah nak tidur ni.” Dia menarik selimut
hingga ke paras dada. Lampu tidur dimatikan. Matanya dipejam. Malam itu
tidurnya bertemankan wajah Harraz.
Share this novel