“Jadi…Elman dah boleh terima kau?” Soal Sarah teruja.
Najla yang masih di talian menyimpul-nyimpulkan jarinya dengan tali telefon. Kenangan semalam memang takkan dia lupakan sampai bila-bila. Seronok melihat Elman makan bertambah dan buat pertama kalinya, Najla berasa dekat dengan suaminya itu. Seperti sewaktu mereka hangat menyulam cinta ketika belajar di Jepun dulu. Doa dititip semoga kemesraan ini akan berpanjangan selama-lamanya. Itu saja doa Najla kini.
“Aku tak tahu nak cakap macam mana Sarah. Aku nampak ada perubahan dalam hubungan aku dan Elman. Aku harap, kami akan bahagia. Seperti dulu-dulu. Aku sayangkan suami aku, Sarah. Aku sayangkan Elman.”
Sarah tersenyum. Dia bagai mengerti gelodak perasaan Najla. Sahabat baiknya itu sudah puas menderita. Sejak putus cinta dengan Elman, kemudian ditakdirkan 3 tahun selepas itu mereka terjumpa semula dan kejadian hitam yang akhirnya mengikat kedua-dua sahabatnya ini membuatkan Sarah akur dengan takdir yang telah ditetapkan buat Najla dan Elman. Semoga keterlanjuran yang berlaku tidak menghalang Najla dari mengecap kebahagiaan.
“Aulia ada kacau kau?”
Panas hati Sarah mengenangkan sikap Aulia padanya dulu. Sarah tidak mahu menjadi batu api cuma dia tetap mahu Najla berhati-hati dengan Aulia. Dari ayat terakhir Aulia dulu, dia tahu Aulia menyimpan dendam kepada Najla. Dia risaukan keselamatan Najla.
“Takde. Kami dah terputus hubungan. Aku pun tak tahu Aulia ada dekat mana sekarang. Dia dah tukar nombor ek?”
“Baguslah kalau dia dah lenyap dari hidup kau, Najla. Aku bukannya nak buruk sangka dengan dia tapi….aku rasa dia tu ada simpan niat tak baik dengan kau. Aku harap kau berhati-hati.”
“Kenapa kau cakap macam tu, Sarah? Aku tak faham. Dia kan kawan baik kita.”
“Kita fkir dia kawan baik kita tapi dia tak pernah anggap kita begitu. Najla, sebelum Aulia hilangkan diri…dia pernah telefon aku dan marah-marah bila dapat tahu yang kau dah kahwin dengan Elman. Dia macam tak puas hati dengan kau dan aku yakin dia punya dendam pada kau sebab kau dah rampas Elman dari dia.”
Najla terdiam. Kata-kata Sarah benar-benar memeranjatkan dia. Elman dan Aulia? Kenapa dia tak tahu apa-apa?
“Apa maksud kau, Sarah?” Suaranya terasa bergetar.
Najla dapat rasa jantungnya berdegup kencang. Apakah Aulia terlibat dengan dendam Elman kepadanya? Tapi apa yang Aulia dah beritahu kepada Elman sehingga menoktahkan cinta mereka suatu masa dulu? Kepala Najla mula rasa berpusing. Tangannya memegang kejap sofa. Peluh sudah memercik di dahi.
“Najla…Aulia cintakan Elman. Dari dulu lagi sebelum kau muncul dalam hidup Elman. Bila kau bercinta dengan Elman, dia anggap kau dah halang impian dia untuk bersatu dengan Elman. Awalnya aku pun tak tahu pasal benda ni, tapi beberapa hari lepas aku ada terserempak dengan Dr. Wazien dekat Pavillion. Kau ingat kan Dr.Wazien, kawan baik laki kau?”
“Mestilah aku ingat. Dia kan datang majlis pernikahan kami dulu.” Sarah terangguk-angguk, bagai sedang bercakap dengan Najla saja di depannya kini.
“Dr.Wazien kata, Elman putuskan hubungan dengan kau sebab kau dah fitnah Elman. Ingat tak? Dulu kita pernah nampak Elman kerja dekat Kawaii’s Maid Cafe? Dr. Wazien kata, kau sebarkan gambar Elman yang tengah pakai pakaian pelayan tu dekat dekan kita, Nishikido sensei. Kan student dilarang bekerja semasa belajar.
Bila Nishikido sensei dapat gambar Elman, Elman hampir kena buang U. Dia tak dibenarkan ambil peperiksaan akhir. Terpaksa bapa mertua kau datang sana untuk bersihkan nama Elman. Aku tak tahu dia buat macam mana tapi Elman selamat dari dibuang. Yang sedihnya, insiden tu bagi effect pada result Elman. Dia tertekan sangat dan hampir fail exam final. Elman salahkan kau, Najla sebab dia nampak kita tinggalkan cafe tu…”
“Tapi aku tak cakap apa-apa pada Nishikido sensei. Aku tak ambil pun gambar Elman. Aku terkejut dan tak sangka dia kerja situ…I mean. Dia kan anak Dato’ Seri Tajul Ariffin. Kaya-raya and he has everything tapi kenapa dia kerja dekat situ? Ikut logik kita takkan terfikir Elman sanggup kerja jadi pelayan kan? Kau faham tak aku cakap apa?”
Menggigil suara Najla. Rupa-rupanya itu sebab Elman membenci dirinya.
“Aku faham cakap kau, Najla. Dan aku tahu itu bukan kerja kau. Tak mungkin kau akan sebarkan gambar itu pada Nishikido sensei. Aku tahu kerja siapa. Malah Dr. Wazien pun fikir yang sama macam aku. Sebab orang inilah yang beria-ia memburukkan nama kau pada Elman dan kawan-kawan dia dulu….”
“Siapa?” Tanya Najla tidak sabar.
“Aulia.”
Share this novel