"Aku mimpi kau Alif." Kata Syafiq perlahan.
Mendengar kata-kata roomatenya itu membuatkan dirinya terdiam. Dihampiri roomatenya itu lalu ditariknya kerusi yang ada di sisi katil itu. Dibetulkan sedikit kedudukan kerusi itu, lalu dia duduk di atas nya.
"Syafiq, aku bukan tak percayakan kau. Tapi aku risau tengok keadaan kau macam ni. Fikiran kau asyik terganggu je. Siang malam kau tak boleh nak buat apa-apa. Projek kau tu haaa, bila nak siap? Kalau kau terus terusan macam ni, sampai bila pun benda ni tak akan habis wei." Keluh Alif di sisi Syafiq.
"Kau ingat aku nak semua ni terjadi dekat aku? Kau ingat aku nak sangat kena kacau dengan lembaga hitam tu. Aku tak ada pilihan Alif. Sebab tu aku nak lari dari tempat ni. Sekarang ni aku betul-betul buntu. Macam-macam petanda aku dapat, tapi satu pun aku tak faham." Balas Syafiq sambil meletakkan tangannya di belakang kepalanya.
"Sory sory. Aku tak ada niat nak sakitkan hati kau Syafiq. Aku cuma risaukan keadaan kau ni je. Aku sayangkan kau wei. Dan aku bukan nak halang kau balik, cuma kalau boleh kau siap kan lah dulu projek kau tu. Aku tak nak kau gagal lagi wei sem ni." Kata Alif lembut sambil memegang bahu roomatenya itu.
"Aku faham wei. Betul, aku faham. Tapi kau nak aku buat macam mana kalau kena kacau dengan lembaga hitam tu? Kau nak aku duduk diam dan tengok je? Allah. Aku tak tahan Alif, betul aku tak tahan dah dengan semua ni." Kata Syafiq kembali.
"Ok lah, apa kata petang ni kita jalan-jalan pusing kolej. Tengok permandangan dekat sini. Mana tahu kau lebih tenang lepas ni." Kata Alif memberi cadangan.
"Hmmmmm, kau tak faham Alif." Balas Syafiq lalu merebahkan badannya di atas tilamnya semula.
Dipusingkan badannya membelakangkan Alif yang berada di sisinya itu. Diletakkan tangganya di tepi pipinya lalu Syafiq diam memejamkan matanya. Alif yang masih berada di sisinya itu, mengeluh kecil lalu bangkit menuju pulang ke mejanya.
"Apa pun yang terjadi Syafiq, aku akan tetap ada dekat sisi kau. Aku tak akan tinggalkan kau seorang diri, aku janji. Ni kau berehat lah dulu, nanti kalau kau nak jalan-jalan cakap dengan aku ye." Kata Alif sebelum dia berlalu pergi.
Syafiq yang memejamkan matanya mendengar tiap bait kata yang diperkatakan oleh Alif itu. Dia tidak membalas walau sepatah kerana merasakan bahawa Alif tidak mengerti akan apa yang sedang dia alami. Hatinya sedikit marah, namun mendengar kata-kata roomatenya itu membuat dirinya terdiam lalu terfikir seketika.
Sekali lagi Syafiq terlena saat fikirannya lelah memikirkan banyak perkara. Jam yang sudah menunjukkan pukul 3.20 petang terus berpusing laju meninggalkan memori itu pergi. Syafiq terlena sendirian di atas katilnya. Alif pula kelihatan termenung sendirian di hadapan meja belajarnya itu. Suasana sepi menyelubungi bilik mereka. Masing-masing terbawa jauh dalam fikiran sendiri.
-0-0-0-0-
Bismillahirrohmannirrohim..
Alhamdulillahirobbilalamin.. arrahmannirrohim.. malikiyawmiddin.. iyyakanakbuduwaiyyakanasta'in.. ihdinossirotolmustaqim.. sirotollazinaanammta'alaihim ghoirilmaghdubialaihimwaladdallin.. aamiin..
Syafiq terjaga dari lenanya saat terdengar bacaan surah Al Fatihah dialunkan perlahan di dalam biliknya. Dia yang masih mamai, hanya mampu membuka sedikit sahaja kelopak matanya itu.
Dalam kesamaran cahaya, dapat dilihatnya susuk tubuh seorang lelaki tua yang sedang duduk di atas katil Alif. Syafiq sedikit terkejut dan ketakutan saat melihat lelaki itu sedang memandang sambil tersenyum padanya.
Anak mata Syafiq meliar ke kanan dan kiri bilik itu. Dia cuba mencari keberadaannya waktu itu dan yang paling penting, di mana Alif berada. Dia benar-benar ketakutan, walaupun susuk di hadapannya itu adalah seorang manusia.
"Cu jangan takut, Atok tak akan apa-apa kan cu." Kata lelaki tua itu yang menggelarkan dirinya sebagai Atok.
Mendengar kata-kata itu membuatkan Syafiq bertambah curiga. Malah beribu persoalan muncul di dalam benak fikirannya. Namun melihat luaran lelaki itu yang berserban dan juga berjubah membuatkan Syafiq merasa tenang sedikit.
"Atok datang bukannya apa, sebab Atok kesian tengok Cu. Atok datang nak tolong Cu selesaikan masalah ni." Kata lelaki tua itu tenang.
"Macam mana Atok boleh masuk sini? Roomate saya mana?" Tanya Syafiq ingin tahu.
"Itu bukan soal utama. Sekarang ni Cu risaukan dulu tentang diri Cu tu. Cu tak rasa ke yang Cu ni dah jauh dari Dia?" Tanya lelaki tua itu lembut.
"Jauh dari Dia? Dari siapa?" Tanya Syafiq pelik.
"Cu kena ingat bahawa kita hidup dekat dunia ini bukan kekal selamanya. Dunia ini cuma persinggahan sementara sebelum kita semua pulang ke akhirat yang kekal selamanya. Dekat dunia, bukan kita ini hidup sia-sia. Tapi kena lah berusaha untuk beribadah agar meraih redha Nya." Jawab lelaki tua itu dengan penuh kelembutan.
Syafiq terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Walaupun disampaikan dengan penuh kelembutan, namun kesannya amat mendalam dan membuat Syafiq tersedar.
Sejak kejadian ganguan ini berlaku, Syafiq seakan lupa untuk mendirikan solat fardhu yang menjadi kewajipan untuk setiap manusia. Fikirannya seakan diganggu kuat sehingga dia benar-benar lupa bahawa dia masih mempunyai tempat untuk memohon perlindungan, iaitu dari Allah swt.
"Setiap ujian yang Dia timpakan, pasti ada hikmahnya Cu. Jangan pernah sesekali mengalah dan berputus asa kerana ingatlah bahawa Dia sentiasa ada bersama kita." Tambah lelaki tua itu lagi saat melihat Syafiq termenung jauh.
"Tapi Atok.." Belum sempat Syafiq menghabiskan kata-katanya, lelaki tua itu berkata lagi.
"Mata Cu memang terbuka, tapi pandanglah dengan mata hati Cu. Mohonlah pada Dia untuk segalanya, jangan jadi manusia yang sombong dan akhirnya mensia siakan hidup di atas dunia." Kata lelaki tua itu sambil berdiri dengan perlahan.
"Apa yang Atok cuba sampaikan?" Tanya Syafiq yang kelihatan keliru dengan kata-kata lelaki tua itu.
"Nanti sampai masanya Cu akan tahu jugak. Tapi Cuma satu je pesan Atok, jangan takut dengan apa pun. Kecuali kepada Allah. Ingat ye Cu." Kata lelaki tua itu lalu berjalan perlahan menuju ke arah pintu bilik mereka.
Syafiq yang melihat lelaki itu mahu berlalu pergi cuba untuk bangkit dari katilnya, namun dia gagal. Suaranya tidak keluar dari kerongkong dan tubuhnya seakan melekat di atas tilamnya itu.
Saat lelaki itu membuka pintu bilik mereka, satu cahaya yang sungguh terang memenuhi segenap ruang bilik mereka itu. Syafiq yang tidak mampu menahan silau cahaya itu, memalingkan mukanya ke sisinya lalu menutup matanya dengan lengan tangannya.
Sesekali dia ada juga mencuba untuk melihat lelaki tua itu, namun cubaanya gagal. Suaranya masih tidak keluar dan dia hanya mampu menjerit tanpa mengeluarkan apa-apa suara.
"Syafiq! Syafiq! Bangun Syafiq!" Tiba-tiba kedengaran satu suara memanggil namanya.
Syafiq membuka matanya perlahan. Dilihatnya Alif sedang duduk di sisinya sambil menggoncangkan tubuhnya itu. Syafiq melihat ke kanan dan kiri bilik nya, seakan cuba mencari jika lelaki tua itu masih ada di situ.
"Syafiq, kau mimpi apa sampai mengigau menjerit-jerit ni. Kau ni buat aku takut je lah wei." Kata Alif saat Syafiq mulai duduk di atas katilnya itu.
"Akuuuuu, akuuuu mimpiiiii. Hmmmm." Syafiq tidak mampu menghabiskan kata-katanya kerana masih memikirkan tentang mimpinya tadi.
"Kau pun satu, tidur sampai senja macam ni. Mana tak mimpi yang bukan-bukan." Marah Alif padanya.
"Dah senja dah? Allahuakhbar." Kata Syafiq terkejut lalu bangkit dari katilnya laju.
Syafiq sempat menoleh ke arah tingkap di sisi bilik mereka untuk melihat suasana di luar. Dia kemudiannya berlari pantas menuju ke bilik air.
Alif yang hanya melihat, sedikit terkejut dengan reaksi Syafiq itu tadi. Dia kemudiannya bangkit dari katil Syafiq dan menuju ke arah katilnya itu.
Share this novel
best betul cerita ni.saya suka
best betul cerita ni.saya suka
best betul cerita ni.saya suka