BAB 3

Mystery & Detective Completed 973

Keesokan hari. 4:30 petang

Termengah-mengah Wati menaiki anak tangga. Satu persatu.
Hatinya mula menyedari mengapa bilik itu lambat untuk mendapat penyewa,
dan murah. Apartmen ini tidak dilengkapi dengan sistem lif! Tapi bagi
Wati, itu bukan lah halangan yang perlu dibesar-besarkan, setakat
memanjat anak tangga setinggi 5 tingkat, sudah biasa dengan staminanya
selaku bekas atlet olahraga.

Dulu lah.

Sekarang adalah peluang terbaik Wati untuk mengembalikan
kegemilangan, keupayaan dan kekuatan jantungnya. Setakat ini, dari segi
suasana persekitaran, dia masih berpuas hati dengan apartmen tersebut.
Persekitarannya bersih. Tidak lah seperti yang dibayangkan. Tidak lah
seperti flat kos rendah. Suasananya aman damai, tersusun. Bahkan, anak
tangganya turut dijaga rapi. Langsung tiada kesan vandalisme dapat
dikesan Wati. Yang ada pun hanyalah beberapa bau-bauan kurang
menyenangkan. Itu pun hanyalah bau tahi kucing. Nipis-nipis baunya.

Cuma suasana agak suram di sepanjang laluan anak tangga.
Suasana yang sedikit mengganggu perasaan Wati. Kurang pencahayaan.
Setibanya di tingkat 5, dia tercari-cari nombor rumah yang dimaksudkan.

“A-5-1...A-5-2...A-5-3….” ngomel Wati sendirian sambil
memerhatikan satu demi satu nombor rumah yang dipaparkan di atas muka
pintu. Banyak rumah yang kosong. Tidak berpenghuni. Ataupun mungkin ada
penghuni, cuma penghuninya tersorok di dalam rumah. Suasana di luar dan
di dalam setiap rumah di kota raya ini tidak boleh jangkakan. Luar
kelihatan berhantu, dalam rumah dah macam kelas tadika punya riuhnya.

Tiba-tiba Wati mengeluh, berdasarkan telahannya, rumah yang
hendak dicarinya nun di hujung sana. Paling hujung. Terpaksalah dia
menyusuri laluan yang suram ini setiap hari.

Takk…….Takk……..Takk………Takk………..

Kedengaran bunyi tapak kaki di penghujung koridor, sedang
menaiki anak tangga, membelakangi Wati. Bunyinya persis bunyi kasut
terompah. Hairan. Masih ada orang yang memakai terompah. Wati hanya
mengendahkan bunyi terompah tersebut. Tidak menoleh ke belakang dan
hanya meneruskan perjalanan.

Takk..Takk..Takk..Takkk..Takkkk..Takkkkk…...

Bunyi terompah itu semakin laju, mempercepatkan langkahnya.
Semakin lama semakin menghampiri Wati, terasa bunyi itu betul-betul di
belakangnya. Pantas Wati menoleh.

Kosong!

Yang ada hanyalah kelipan lampu koridor. Sekejap menyala,
sekejap tidak. Hairan. Wati menggaru kepalanya sambil mengangkat
kedua-dua belah bahunya menunjukkan bahasa badan “tidak tahu”.
Langkahnya dipercepatkan, selaju yang mungkin.

“Haaa..jumpa pun..A-5-11,” ujar Wati, sedikit gembira tatkala
tiba di hadapan rumah yang bakal disewanya.

Matanya meleret ke beberapa pasu bunga yang disusun di koridor
laluan masuk rumah itu. Segera dia menggagau, meraba-raba mencari kunci.
Hati kecilnya tersenyum. Pasu bunga yang dia gambarkan tatkala membaca
mesej Izzah seakan-akan pasu bunga di taman-taman. Mekar bunganya. Harum
semerbak. Ini tidak. Hanya ada pasu dan tanah. Tiada bunga. Hati
kecilnya mengekek sedikit.

Setelah kunci diperolehi, dan mangga dibuka, Wati cuba
memegang tombol untuk membuka pintu tetapi secara tiba-tiba dia menarik
tangannya dengan laju menjauhi tombol pintu itu. Seakan-akan direnjat
kejutan elektrik. Tombol pintu itu sejuk sekali. Sangat sejuk. Ibarat
terletaknya bukit ais disebalik daun pintu ini. Wati membelek-belek
kembali tombol pintu itu. Tiada yang aneh. Cubaan keduanya berjaya.
Tidak lagi sejuk. Mungkin tadi hanya mainan perasaan.

“Bismillah….”

Krrrreeeekkkkkkkkk…….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience