Chapter 2

Mystery Completed 14816

Bab 2

Dia mengakui Irfan memang tangkas, bergerak seperti spiderman. Perlahan-lahan rasa menyesal mulai mengisi hatinya. Dia memang tidak begitu menyukai aktiviti lasak seperti ini. Entah bagaimana pujukan Irfan yang mengajaknya bercamping kali ini mencapai kejayaan. Selama ini dia selalu menolak kalau Irfan mengajaknya bercamping ataupun memanjat gunung.

Dia tahu dia bukan jenis manusia yang lasak. Dia mudah alah. Digigit nyamuk sikit pun kulitnya sudah gatal-gatal.

Zakuan tidak berani bergerak ke mana-mana lagi. Tempat dia berpijak sekarang pun terlalu kecil hanya sebesar telapak kaki kanak-kanak sahaja. Jika tersalah pijak pasti dia akan tergelincir.

You can do it! bisik hatinya, sambil terus melonjakkan tubuh untuk memanjat. Hanya satu tapak berjaya dilangkah. Tali yang dipegangnya kian tegang. Tubuhnya terbentur ke arah batu. Terasa sakit. Bekas air yang berada di dalam beg sandang melompat keluar lantas jatuh. Tidak sempat dia hendak menyelamatkan bekas air tersebut yang telah hilang sekelip mata.

“Irfan! Tolong tarik tali ni…”

Irfan tidak menjawab. Tali terasa semakin tegang. Tangannya kian sakit mencengkam tali yang semakin tegang. Namun dia tetap berpaut jua. Tiba-tiba tali dilepaskan dari atas. Zakuan terus berpaut.

Pautan yang kuat itu membuat tali yang dilepaskan dari atas membawa tubuh Zakuan turun dari tempat dia berdiri. Dada Zakuan berdebar, mukanya pucat.

Begitu cepat tali itu terus membawa tubuh Zakuan ke bawah dan ke bawah. Tubuh Zakuan berlaga dengan tebing batu. Zakuan terjerit. Gema suaranya memecah kuat.Tubuhnya tergantung tanpa tempat berpijak.

“Irfan! Tolong!” teriak Zakuan dengan kuat.

Kepala Irfan terjengul dari satu arah. Irfan kelihatan jauh darinya. Zakuan sedar tubuhnya sudah turun kembali ke bawah sehingga berjarak lebih kurang dua puluh meter dari Irfan. Zakuan panik. Mengapa tali itu harus dilepaskan sehingga dia berada di tempat yang merbahaya, tanpa tempat berpijak? Tangan Zakuan memegang batu yang licin. Kakinya tergantung di udara. Dia masih bertahan hanyalah pada tali dan pencangkuk yang masih tersangkut pinggangnya.

Irfan kelihatan tenang sahaja melihat Zakuan yang cemas, menanti bantuan. Anak muda itu kelihatan sedang memegang sebilah pisau lipat kecil. Pisau lipat itu dibuka. Mata pisau kelihatan berkilat di panah cahaya matahari yang mencuri-curi memancar dari celah-celah dedaun.

Irfan mengembangkan senyum. Zakuan tidak mengerti apa maksud senyum Irfan.

“Irfan!!!” teriak Zakuan sekuat hatinya.

Irfan tidak menjawab.

Zakuan mendongak. Dia panik melihat apa yang sedang dilakukan oleh Irfan.

“Irfan! Irfan, kau buat apa haaaa???” tanya Zakuan bingung.

Irfan tidak langsung menjawab. Tangannya terus memegang pisau. Pantas pisau itu menghiris tali yang terikat kemas di tebing batu, berdekatan dengannya. Tali itu kelihatan kian genting. Tubuh Zakuan semakin turun ke bawah. Zakuan menjerit. Hatinya kecut.

Kenapa? Kenapa??? Hatinya menjerit ingin tahu. Irfan berniat hendak membunuhnya? Tapi kenapa? Bukankah mereka bersaudara… saudara sepupu. Irfan sudah lama tinggal bersama keluarganya. Mereka sudah seperti adik beradik sejak ibu Zakuan meninggal dunia. Malah ibu Irfan tak ubah seperti ibu Zakuan. Apalagi ibu Zakuan dan ibu Irfan adik beradik. Irfan juga memanggil bapa saudaranya iaitu ayah Zakuan dengan panggilan ‘papa’.

“Irfan! Don’t do it Irfan! Kau dah gila?”

Irfan tidak langsung menjawab. Terdengar gema tawanya dari jauh.

Zakuan tidak berani memandang ke bawah. Gaung yang berada beratus meter di bawahnya kelihatan gelap, hitam dan penuh misteri. Tidak jauh dari situ terdapat air terjun. Dapat didengari derunya yang kuat memecah kesunyian alam.

Zakuan memejam mata. Tuhan! Apakah aku akan mati? bisik hatinya. Mengapa Irfan nekad mahu melakukan ini semua? Apakah sebabnya? Walaupun selama ini mereka tidak begitu akrab tetapi dia tidak sangka Irfan sanggup menganiayai dirinya.

Mengapa?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang terjadi kepada dia? Adakah dia akan jatuh ke dalam gaung?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience