Bab 12: Kebenaran Yang Menyakitkan

Romance Series 20066

HARI ini, Damia beranikan diri untuk menggunakan telefon pintarnya setelah hampir seharian telefonnya itu dibiarkan dalam mod senyap. Sebaik sahaja skrin telefon dihidupkan, bertalu-talu notifikasi masuk.

'53 missed call from Mak'

53 kali ibunya menelefon? Matilah Damia kalau dia balik rumah sekejap lagi.

Damia mengeluh kuat. Petang nanti dia akan balik untuk menghadap ibunya semula. Bersiap sedia ajelah untuk menerima segalanya.

Dahlah! Malas nak difikirkan tentang ibunya itu. Yang penting sekarang, dia mahu habiskan dan luangkan masa yang tersisa kat rumah Syafiq ini sebelum dia pulang.

Damia keluar dari bilik. Kakinya melangkah ke arah dapur. Kelihatan Syafiq turut di situ. Dia sepertinya sedang sibuk menyediakan sesuatu. Sedang memasak ke?

"Awak buat apa tu?"

Syafiq menusuk ketulan-ketulan daging dan ayam dengan lidi kayu. Sudah semestinya Syafiq sedang mempersiapkan sate.

"Buat sate ni ha ... kenapa? Awak nak tolong ke?" seloroh Syafiq yang gigih melakukan tugasnya. Padahal dirinya hanya ajak-ajak ayam sahaja.

Damia tersenyum janggal. Dirinya memang malas sikit kalau bab-bab memasak ni, tetapi terpaksa jua dia terima memandangkan Syafiq telah banyak membantunya. Nak balas budilah kiranya.

"Boleh je, awak." Lalu Damia membasuh tangannya dan menempatkan duduknya di hadapan Syafiq yang turut duduk bersila di lantai.

Mata Damia membuntang sedikit luas apabila dia lihat bahan-bahan yang tersedia. Satu besen dipenuhi ketulan ayam, dan satu besen lagi diisi dengan daging yang sama dipotong dadu. Kedua-duanya sudah siap diperap.

"Banyak jugak eh awak buat sate ni. Awak buat sorang diri ni tak penat ke?"

Syafiq senyum senget. "Alah bisa tegal biasa awak. Dari dulu saya buat benda ni sorang-sorang. Kadang Syafiqah ada jugak membantu, tapi saya tak galakkan sangat dia tolong. Yalah, dia kan budak lagi."

Mulut Damia membulat membentuk huruf 'o'.

"Ha awak, cakap pasal Syafiqah kan, dia okey dah ke?" Damia lalu menoleh ke belakang lagak mahu mengetahui keberadaan Syafiqah.

"Dia kat dalam bilik dia. Nasib baiklah panas badan dia dah surut. Esok dia sihat sepenuhnya la tu. Dahlah esok Isnin, dia sekolah pulak."

Damia menghela nafas lega.

"Ni, tadi awak kata nak tolong saya, kan? Tengok sini, saya ajarkan. Kita buat sate ayam dulu." Syafiq terus mengubah topik. Fokusnya kini tertumpu pada sate pula.

Damia angguk kepala.

"Okey. Mula-mula, ambik tiga ketul isi ayam ni. Lepas tu cucuk dia kat lidi ni." Syafiq memberi tunjuk ajar.

Damia yang tak berkedip matanya turuti sahaja arahan Syafiq. Hari ini, dia kena belajar buat sate pulak. Masak nasi yang senang tu pun baginya susah untuk buat, apatah lagi sate ni.

"Lepas cucuk, ambik lemak kat dalam bekas ais krim ni, dan cucuk kat bahagian paling hujung."

Syafiq lalu meletakkan bekas ais krim yang terisi lemak ayam betul-betul di hadapan Damia.

Damia ikut saja apa yang dibuat dan diarah Syafiq. Satu cucuk sate pertama yang dibuat oleh Damia sudah siap! Rasa bangga pulak padahal mencucuk sate aje pun.

"Nasib baiklah awak bagi saya buat cucuk sate ni je, senang sikit kerja." Damia lalu tertawa kecil.

Tergeleng-geleng kepala Syafiq. Senyuman tak lekang dipancarkan di bibir. Takkan pulak dia nak suruh tetamu buat kerja yang susah-susah.

"Awak sediakan sate ni, setiap hari ke?" tanya Damia. Tangannya sudah lincah buat tugas itu.

"Tak adalah. Kadang dua kali seminggu. Kadang pulak tiga kali. Ikut keadaan. Ni pun saya sediakan sate baru sebab malam ni saya start meniaga dah. Yalah, semalam kan saya dah cuti emergency sebab Syafiqah sakit. Dan lagi satu ... cuti sebab ada tetamu istimewa datang rumah." Syafiq lalu tersengih mahu mengusik.

Damia telan liur. Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup lain macam. Macam nak tercabut pun ada.

"Ish, awak ni, merepek je la." Damia terus mengalihkan pandangan dari menatap mata Syafiq.

Syafiq terus melepaskan tawa. Suka betul tengok tingkah Damia yang tak keruan sebegitu. Tapi jauh di lubuk hati, usikannya tadi bukannya sebarang usikan. Usikan yang pastinya mahu menyatakan hasrat hati.

"Umm ... awak?" Damia berbicara semula.

"Apa?"

"Awak buat sate ni, untuk meniaga je ke? Awak tak nak makan kat sini?"

"Haah. Kenapa?" Syafiq jongketkan kening. Benda apalah yang Damia mahu sampaikan ni.

"Oh, ye ke? Bukan apa, saya rindulah nak makan sate awak ni. Dah lama saya tak makan. Lepas ni pun, tentu-tentu saya dah tak boleh makan, sebab mak saya tu." Terjuih-juih mulut Damia.

Kalau tak dikeranakan Mak Siti yang menjadi penghalang, tak adalah Damia teringatkan pasal sate tu.

Kepalanya ditundukkan tanda mahu raih simpati dari Syafiq. Syafiq pun apa lagi, dengar permintaan Damia itu membuatkan hatinya luluh dan lebur.

Syafiq hela nafas dan dia mengangguk. "Yalah. Siapkan kerja cucuk sate tu dulu. Kejap lagi sate-sate yang lebih tu, kita bakar kat luar."

Mata Damia berbinar-binar. Tak dijangka apa yang didengarnya tadi. Ini bermakna, ada peluang lagilah dia nak rasa sate Syafiq tu, kan?

"Baik, awak! Saya akan siapkan cepat-cepat." Laju je tangan Damia mencucuk-cucuk isi ayam itu. Mahu habis kerja cepat, mahu makan cepat.

Syafiq tersenyum lebar melihat Damia. Lalu senyumannya memudar sedikit demi sedikit tatkala Damia masih fokus dengan tugasnya.

Lepas ni, dia dah nak balik. Tapi kalau betul hari ini hari terakhir aku lihat dia, macam mana? Takkan aku nak halang dia balik? Hati Syafiq bergelora dengan bermacam-macam persoalan.

*****

"Abi, kalau abi nak makan, abi layan diri je tau. Jihah dah siap masak nasi dengan lauk sup ayam kat dapur tu." Najihah muncul dari ruang dapur setelah selesai memasak.

"Ha, okey." Pak Ya yang sedang membaca surat khabar mengangguk. Lalu matanya dikecilkan umpama meneliti wajah Najihah itu.

Muka anaknya itu muram dari semalam. Matanya pula sembab seperti baru lepas menangis. Usai Najihah tu pulang sahaja dari rumah Syafiq, dia terus meluru masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Sudah semestinya itu membuatkan hati Pak Ya tertanya-tanya.

"Eh, Jihah. Kamu dari semalam sedih je muka. Kamu bergaduh dengan Syafiq ke?" Nada suara Pak Ya dileretkan.

Sengaja mahu mengorek perkara sebenar dari anaknya itu. Dia tahu, pasti ada sesuatu yang terjadi antara anaknya dengan Syafiq itu.

"Mana ada, abi. Memandai-mandai jelah abi ni." Najihah cuba menafikan tetapi jelas terserlah riak wajahnya yang sembunyikan sesuatu.

"Habis tu? Kenapa tak lawat Syafiqah tu? Bukan ke dia demam? Takkanlah demam dia baik dah."

"Syafiq kan ada. Dia boleh jaga Syafiqah tu. Kalau Jihah pergi pun, Jihah bukannya boleh buat apa pun," adu Najihah.

Mana taknya, Syafiq sudah ada 'tetamu' lain kat rumahnya. Tak naklah ganggu dia orang.

Tetapi jauh di sudut hati Najihah, dia risaukan sangat tentang keadaan pelajarnya tu. Kebiasaannya, setiap kali Syafiqah sakit, dia lawat. Setiap kali Syafiqah raih prestasi cemerlang, dia beri ganjaran. Tipulah jika tiada secebis pun rasa ingin tahu tentang keadaan semasa Syafiqah tu.

Pak Ya menggeleng-gelengkan kepala. "Kalau ye pun bergaduh dengan Syafiq, takkanlah sampai Syafiqah yang kamu sayang tu kamu nak abaikan. Budak tu mesti tengah cari kamu."

Pandangan Najihah dibuang ke arah lain. Macam tahu-tahu pulak ayahnya tentang peristiwa semalam. Tapi betul juga kata ayahnya itu, Syafiqah perlukan dirinya! Dirinya pun perlukan Syafiqah!

"Dahlah, Jihah. Kamu pergi je lawat Syafiqah tu, hantar sekali sup ayam yang kamu masak tu," arah Pak Ya lalu dia menyambung semula membaca surat khabarnya.

Najihah membatu seperti cuba memproses kata-kata ayahnya. Akhirnya dia berubah fikiran setelah 'dibasuh' ayahnya. Ditambah dengan janjinya kepada Syafiqah untuk melawatnya lagi hari ini, Najihah putuskan tekad.

*****

Tatkala orang lain bersarapan nasi lemak atau roti canai, mereka bertiga di rumah ini menikmati bercucuk-cucuk sate. Satu pinggan yang dipenuhi berpuluh-puluh cucuk sate itu hampir habis. Tak boleh berhenti makan. Nasib baiklah Syafiq terdetik hati nak bakar sate lebih. Kalau tak, mesti tak cukup punya.

Mujurlah Syafiq ada bahan-bahan membakar seperti pemanggang dan arang batu. Jadi senanglah sikit kerja-kerja nak membakar sate ni.

Bakar sate kat luar tadi pun, yang buat semua hanya Syafiq seorang saja. Damia hanya jadi tukang tengok aje. Katanya panas dan alergik asap. Banyak songeh betul!

"Awak nak tahu tak apa yang buat sate awak ni special?" Damia dengan mulut penuhnya bertanyakan soalan. Tak dihiraukan dah adab makan kat depan tuan rumah.

"Apa dia?"

"Kuah kacang. Kuah kacang yang awak buat ni sedap sangat. Saya suka." Damia mengangkat ibu jarinya.

"Betul tu, along. Adik pun suka kuah kacang ni." Syafiqah pula menyampuk. Budak ni penggemar sate abangnya jugak nampaknya.

Syafiq tergelak kecil. "Tu resepi dari arwah mak saya tau."

"Ouh yakah? Patutlah sedap ..." balas Damia.

Itu sahajalah yang mampu dituturnya. Takkan nak ubah keadaan menjadi emosional pula.

Lantas mata Syafiq dialihkan ke adiknya. "Adik, demam dah kebah, kan? Esok kamu pergi sekolah tau."

Syafiqah mengangguk. Dia kalau bab sekolah memang tak suka ponteng tanpa alasan munasabah.

"Umm ... along. Adik nak tanya ni boleh?" Syafiqah pula mengajukan soalan.

"Apa dia? Tanyalah."

"Along dengan Kak Damia bercinta ke?"

Terbatuk-batuk Damia mendengar soalan itu keluar dari mulut Syafiqah. Ingatkan nak tanya hal penting, tetapi tentang hal itu?

"Apa yang adik cakap ni? Kan along dah kata, kami berdua kawan je." Mata Syafiq dijelingkan ke arah Damia. Damia dengan gelabahnya meneguk air teh. Habis licin air teh tu dalam cawan.

Syafiqah memuncungkan mulut. "Habis tu, kenapa kelmarin along pegang Kak Damia?"

Tersedak Damia buat kali kedua. Syafiq telan liur dan berdehem kuat.

"Ya ... yang tu, along terpegang. Along cuma nak pujuk Kak Damia je. Kan Damia, kan?" Syafiq terus memberi isyarat mata agar Damia segera mengiyakan. Kalau tidak, makin banyaklah soalan dari mulut kecil itu yang nak kena hadap.

Damia pun terus mengangguk laju. Tiba-tiba sahaja suasana bertukar janggal.

"Oh, okey. Kalau macam tu tak apalah. Adik lagi suka along bercinta dengan Ustazah Najihah lagi," ujar Syafiqah dengan selamba.

Mata Syafiq dan Damia bertemu. Hati Damia sekarang? Pastilah terasa pedih. Awal-awal dah kena tolak dengan adik kawan sendiri.

Tetapi dia sedar, kalau nak dibandingkan dirinya dengan Najihah, bagai langit dengan bumi. Dari segi pemakaian, pertuturan dan tingkah laku, mestilah Najihah yang menang.

"Adik! Kenapa cakap macam tu? Along dengan Kak Damia berkawan, dengan Ustazah Najihah pun berkawan jugak tau. Tak baik banding-bandingkan macam tu." Suara Syafiq berubah menjadi tegas.

Syafiqah mencebik dan diamkan diri. Selepas kena marah, mana lagi mahu bersuara.

"Eh, awak. Tak payahlah marah-marah Syafiqah macam tu. Dia budak lagi kan." Damia menenangkan keadaan.

Syafiq hela nafas. Kalau tak kerana Damia bersama mereka sekarang ini, pasti dia sudah kawal kemarahannya.

"Adik mintak maaf. Adik cakap je." Muka cemberut Syafiqah masih belum memudar.

"Yalah. Mintak maaf dengan Kak Damia sekali." Syafiq cuba tenangkan diri.

"Kak Damia, Syafiqah minta maaf jugak," rayu Syafiqah.

Damia terus hadiahkan senyum. "Tak apalah. Kak Damia tak terasa pun." Seraya Damia usap lembut kepala Syafiqah. "Dahlah, tu habiskan sate tu."

Langsung Damia menikmati sate-sate yang tersisa. Kalau nak berbual pasal tadi, memang tak terusiklah sate yang masih terhidang tu.

Ketika itu juga, sebuah kereta Avanza memarkir di pekarangan rumah. Sudah semestinya itu gerangan yang diketahui yakni Najihah. Dia keluar dari perut kereta sambil membawa satu bekas plastik lut sinar. Mungkin lauk yang dimasaknya tadi.

Dia lihat sekeliling rumah, motosikal Damia masih di situ. Dia hela nafas berat. Ingatkan dah balik dah Damia tu. Rupanya ada lagi.

Lantas Najihah teruskan langkah untuk masuk ke dalam rumah biarpun terasa berat.

Tak apa, Najihah. Kau datang sini sebab nak lawat Syafiqah je. Getus hati Najihah menyemangati dirinya.

Najihah majukan langkah, tetapi hampir saja dia memberi salam, suara Damia di dalam rumah menghentikannya. Sebelah telinga didekatkan pada pintu yang tertutup.

"Awak ... saya nak tanya pasal Najihah boleh?" Tiba-tiba sahaja Damia bertanyakan itu.

Syafiq pasang muka pelik. Boleh tahan penyibuk jugak perempuan ni. Padahal baru tadi je nama Najihah itu disebut, ini tiba-tiba nak kena bincang pasal dia pulak.

"Hmm ... apa dia?"

"Najihah tu sebenarnya siapa? Saya nampak dia dengan awak, dengan Syafiqah rapat semacam je." Perasaan ingin tahu membuak-buak.

Najihah yang memasang telinga dari luar mengerutkan dahi. Tu mesti nak mengumpat aku!

Syafiqah hanya memandang abangnya untuk teruskan menjawab. Tak naklah menyampuk bagi pihak abangnya, nanti kena marah lagi pulak.

"Oh, Najihah tu kan ustazah. Dialah yang ajar adik saya ni mengaji dari dia tadika. Sebab tu la kami nampak rapat. Lagipun Pak Ya pun banyak bantu kami. Arwah ayah saya dengan Pak Ya berkawan, jadi sebab tu jugaklah saya dengan dia dah saling kenal dari kecil," jawab Syafiq.

"Pak Ya tu siapa?"

"Ayah Najihah. Ketua kampung sini."

Damia angguk faham. "Jadi awak dengan Najihah? Tak ada hubungan apa-apa eh?"

"Awak ni, ke situ pulak. Saya dengan dia tak rapat mana pun. Kami berhubung pun kebanyakannya pasal Syafiqah je," sangkal Syafiq.

Tiba-tiba terasa habuk memasuki mata Najihah. Jawapan yang dilontarkan Syafiq bagaikan menghiris hatinya. Sudah sekian lama, Syafiq masih menganggap dirinya sebagai kawan. Kawan masa kecilnya.

"Ye ke? Ingatkan dia tu tunang awak." Damia pancarkan sengih sebelum perlahan-lahan memudar.

"Ke situ pulak eh awak. Taklah. Lagipun saya ni tak layak untuk Najihah. Najihah lebih layak dengan lelaki lain. Dia tu dulu pelajar sekolah agama, saya pulak pelajar sekolah biasa je. Tu pun takat SPM je. Jadi dia layak untuk jadi milik seseorang yang kuat agamanya. Macam ustaz ke, pelajar lulusan Mesir ke, tak kisahlah. Janji dia bahagia." Syafiq dengan panjang lebarnya katakan itu.

Air mata Najihah hampir jatuh tapi dia tahan jua. Ya Allah! Betul ke apa yang didengar tadi. Nafas dihela dan dihembus beberapa kali untuk kumpulkan kekuatan. Tak naklah masuk rumah nanti dengan mata yang bengkak. Nanti kantoi nangis pulak.

Najihah tunggu beberapa ketika sebelum mengorak langkah.

"Assala ... mualaikum." Tersekat-sekat suara Najihah seperti ada batu yang menghalang di kotak suara.

Dirinya harus kuat. Dirinya harus tabah. Jangan tunjukkan kesedihan di hadapan mereka.

"Waalaikumussalam ... Najihah?"

Sebaik sahaja Syafiq buka pintu, mata mereka berdua bertemu. Sejak bila Najihah asa kat sini? Dia dah dengar semuanya ke?

Bersambung...

TQ support :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience