BAB 51

Romance Completed 42886

Adi Ashraf melihat skrin telefonnya buat sekian kalinya. Hari ini sudah berapa kali dia cuba menghubungi Izz Faris selepas kali terakhir dia menghubungi sahabatnya itu panggilannya diputuskan secara tiba-tiba.  Perkara itu membuatkan dia berasa risau tentang keadaan Izz Faris. Sudah lah sahabatnya itu tercedera.

Dia mengingatkan dirinya untuk melawat ke tempat kerja Izz Faris sebelum pulang ke rumah nanti. Tetapi jikalau Izz Faris tiada di tempat kerjanya pula, dia akan terus menuju ke rumah sahabatnya tersebut. Mahu memastikan Izz Faris berada dalam keadaan yang baik.

"Abang, kau okay tak ni? Meeting dah nak mula." tegur Akid Ahnaf yang baru tiba di dalam bilik pejabat milik Adi Ashraf. Dia siap mengetuk pintu dan memberi salam lagi tetapi tiada respons daripada abangnya. Sehinggalah baru dia tersedar Adi Ashraf sedang sibuk dengan telefon pintarnya.

"Hah? Oh tak ada apalah. Jom." balas Adi Ashraf selepas dimaklumkan tentang mesyuarat yang bakal dimulakan sekejap lagi. Telefon pintarnya ditetapkan dengan mod senyap terlebih dahulu. Tak mahu gangguan ketika mereka bermesyuarat nanti.

"Kau tunggu siapa call tadi abang?" tanya Akid Ahnaf ingin tahu sambil berjalan beriringan bersama Adi Ashraf. Kepalanya ditoleh sedikit ke arah abangnya. Perbuatan itu turut dilakukan oleh Adi Ashraf.

"Izz. Daripada dua tiga hari lepas aku cuba call  dia tapi tak berjawab. Kau tahu tak kenapa dengan dia? Aku mula ingat dia saja ambik cuti rehat sebab kaki dia terseliuh. Tapi takkan sebab terseliuh samapi tak boleh angkat telefon." luah Adi Ashraf menyuarakan kebimbangannya. Akid Ahnaf mengangguk kecil tanda setuju dengan kata-kata abangnya.

"Aku pun tak dengar apa-apa dari dia lepas majlis hari jadi Riana hari tu. Jadi kau nak lawat dia ke abang? Aku nak ikut sekali tapi mama ajak aku buat persiapan untuk majlis aku dengan Mai nanti. Kau sampaikan salam aku dekat dia eh. Nanti kita lepak sama-sama." pesan Akid Ahnaf terlebih dahulu. Sedikit serba salah tak dapat berjumpa dengan Izz Faris.

"Jangan risau, nanti pandailah aku cakap dekat dia. Jom cepat. Lagi beberapa minit je lagi nak mula mesyuarat." ajak Adi Ashraf mahu menamatkan perbualan mereka dengan segera. Jam tangannya dilihat sekilas. Langkah mereka dipercepatkan menuju ke bilik mesyuarat. Tak lama kemudian, mereka berdua sudah tiba dan memulakan mesyuarat seperti biasa tanpa membuang masa lagi. 

Sementara itu, Ariana Atilia baru sahaja tiba di pejabat Adi Ashraf. Dia menunggu suaminya selepas diberitahu Adi Ashraf sedang bermesyuarat. Punggungnya dilabuhkan pada kerusi milik lelaki itu. Pandangannya diliarkan pada sekeliling pejabat Adi Ashraf.

Belakang badannya disandarkan pada kerusi tersebut. Bibirnya naik mengukir senyuman kecil apabila terkenangkan disitulah tempat mereka mula-mula berjumpa dahulu. Masih segar di ingatannya bagaimana dia mengajak Adi Ashraf mengahwininya tanpa rasa malu.

Dia mengeleng kepala cuba untuk tidak membayangkan perkara itu lagi yang menyebabkan dia berasa sungguh malu apabila memikirkan perkara itu. Entah apa yang difikirkan olehnya pada ketika itu masih dia tidak tahu. Tetapi dia tahu bahawa dia tak pernah menyesal mengahwini Adi Ashraf sehingga ke hari ini. Mungkin selamanya juga.

Ariana menongkat dagu. Matanya menangkap sebuah bingkai gambar diatas meja milik suaminya. Dahinya dikerutkan sedikit apabila menyedari dia tak pernah nampak bingkai gambar itu sebelum ini. Tangannya segera mengambil bingkai tersebut.

Gambar perkahwinan mereka berdua menjengah ke dalam pandangan Ariana sebaik dia melihat bingkai gambar itu dengan dekat. Bibirnya mengukir senyuman bahagia apabila melihat gambar mereka berdua. Bingkai itu dibawa ke dada. Matanya dipejamkan.

Rasa terharu dan bahagia pada masa yang sama apabila akhirnya Adi Ashraf sudah mula untuk menerima ketiadaan arwah Mawar Adriana. Bingkai gambar milik arwah juga sudah tiada di situ.

Dia meletakkan kembali bingkai tersebut pada tempat asalnya semula. Namun, pandangannya langsung tidak lepas daripada terus memandang gambar itu. Mengenangkan waktu yang paling bahagia ketika dia mengahwini Adi Ashraf pada hari itu. Cincin perkahwinan mereka diusap lembut.

Entah mengapa, sejak kebelakangan ini dia berasa tidak sedap hati. Seolah seperti ada perkara buruk yang bakal berlaku. Badannya juga berasa tidak berapa sihat apabila memikirkan perkara itu. Dia berada di pejabat suaminya sekarang pun kerana dia terasa rindu terhadap Adi Ashraf.

Kalau boleh, dia mahu berada di sisi suaminya selamanya. Tak mahu berpisah dengan lelaki itu walaupun hanya beberapa saat. Sebegitulah  sebagaimana rasa sayangnya terhadap Adi Ashraf. Dia sendiri tak tahu jika sekiranya  hanya dia seorang sahaja yang memikirkan perkara itu sedangkan suaminya tidak.

Dirinya sudah nekad untuk menjelaskan segala-galanya sebelum terlambat. Dia terlalu sayangkan Adi Ashraf sehingga tak mahu kehilangan suaminya hanya kerana kebenaran yang disorokkan daripada suaminya selama ini. Sepahit-pahit kenyataan tetapi sakit lagi sesebuah penipuan.

Dia mahukan kebahagiaan mereka berdasarkan cinta bukannya daripada sebuah perasaan bersalah terhadap suaminya kerana tidak menjelaskan kepada lelaki itu tentang perkara sebenar. Adi Ashraf berhak tahu.

Bunyi pintu terbuka menarik perhatian Ariana Atilia. Dia menoleh ke muka pintu pejabat suaminya yang menyerlahkan sebuah figura. Kelihatan Adi Ashraf berdiri disitu bersama tangannya disilangkan.

"Berapa kali abang cakap kalau nak datang bagitahu, hmmm?" ucap Adi Ashraf mengangkat sebelah kening. Dia berjalan menuju ke arah isterinya.

Ariana melemparkan senyuman apabila melihat suaminya. Terasa hilang serta-merta kerisauan yang menguasai dirinya sebaik melihat wajah Adi Ashraf. Hanya dengan kehadiran Adi Ashraf saja sudah membuatkan dia bahagia.

"Surprise?"  balas Ariana Atilia sebagai alasan terhadap kedatangannya yang secara tiba-tiba di pejabat suaminya pada hari itu. Malangnya balasan itu kedengaran seperti sebuah soalan membuatkan Adi Ashraf melepaskan tawa kecil. Dia segera mendapatkan isterinya.

"Looks like my wife is full of surprises. Agak-agak surprise apa pulak sayang nak bagi dekat abang lepas ni, hmmm?" ucap Adi Ashraf lembut. Wajah isterinya diangkat menggunakan tangan lalu diusap penuh kasih. Pandangannya sarat dengan kasih sayang.

"Riana sayang abang sangat-sangat." luah Ariana Atilia tanpa membuang masa. Tubuh suaminya dipeluk erat. Bagai tak mahu dilepaskan. Rasa seperti itu kali terakhir dia dapat mengatakan perkara itu kepada Adi Ashraf. Air matanya yang sudah mula bertakung ditahan agar tidak pecah.

Wajahnya disembamkan pada dada suaminya. Telinganya mendengar degupan jantung Adi Ashraf yang berdetak laju seperti rentak hatinya juga. Dia mahu berada didalam pelukan suaminya selama yang mungkin.

Adi Ashraf yang sedikit terkejut dengan tindakan isterinya kaku untuk seketika. Tak lama kemudian, barulah dia memeluk kembali tubuh isterinya dengan erat. Mahu mengembalikan sentuhan isterinya itu semula. Kepala Ariana yang berbalut tudung diusap lembut dengan penuh kasih.

"Abang pun sayang Riana sangat-sangat." balas  Adi Ashraf kembali. Dia meleraikan pelukan tidak lama kemudian. Anak matanya merenung ke dalam mata isterinya. Merasakan ada sesuatu yang disorokkan oleh isterinya itu.

"Sayang, kenapa ni? Ada apa-apa nak bagitahu abang ke hmmm?" tanya Adi Ashraf risau. Ariana menggerak-gerak anak matanya dalam panik. Tak tahu bagaimana untuk mengatakan perkara itu pada suaminya.

"Riana nak balik. Kita cakap dekat rumah, boleh? Please?" ucap Ariana selepas berfikir panjang. Adi Ashraf mengangguk tanda setuju tanpa ragu-ragu. Ariana melepaskan nafas lega.

"Sayang, abang terlupa. Hari ini abang nak jumpa Izz kejap sebelum balik. Nak abang hantarkan sayang balik ke?" ucap Adi Ashraf apabila teringat perkara itu. Rasa serba salah kerana mengecewakan Ariana untuk tidak pulang bersama-sama dengan isterinya.

Ariana mengeleng perlahan tanda menolak pelawaan suaminya itu. Tak mahu menyusahkan Adi Ashraf pula. Lagipun dia boleh sahaja tunggu di rumah sementara Adi Ashraf bertemu dengan Izz Faris. Pada masa yang sama, perkara itu memberikan dia sedikit masa untuk lebih bersedia untuk menjelaskan perkara sebenar kepada Adi Ashraf.

"Tak apa Riana boleh balik sendiri. Sayang tunggu abang dekat rumah." balas Ariana tenang. Tak mahu suaminya terasa serba salah atau apa. Balasan Ariana membuatkan Adi Ashraf berasa lega serta-merta.

"Okay, take care. Love you. Jumpa dekat rumah nanti." ucap Adi Ashraf tersenyum senang. Dia menghadiahkan ciuman hangat pada dahi isterinya sekilas. Ariana mengambil tangan Adi Ashraf lalu disalam.

"Abang walau apa pun yang jadi, Riana tetap sayangkan abang. Jangan tinggalkan Riana." ucap Ariana selepas menyalami tangan suaminya. Dia mengukir senyuman lemah. Benar-benar memaksudkan kata-katanya.

Adi Ashraf menarik tangan isterinya lalu dibawa ke bibirnya. Sekilas, satu ciuman dihadiahkan di situ. Hatinya tak senang mendengar kata-kata yang meluncur keluar daripada mulut isterinya.

"Hei, abang takkan tinggalkan walau apa pun yang terjadi. Abang pun sayangkan Riana, ingat tu. Jangan risau abang mesti balik nanti, sayang tunggu je abang dekat rumah, okay?" ucap Adi Ashraf sambil memegang tangan isterinya. Anak matanya merenung tepat ke dalam anak mata Ariana. Mahu menyakinkan bahwa kata-katanya benar dan bukannya dusta.

Ariana mengangguk kecil tanda faham. Adi Ashraf tersenyum lega. Dia menghantar pemergian isterinya sehingga ke lot parkir kereta. Selepas memastikan kenderaan isterinya selamat pergi daripada pandangan, dia menuju ke keretanya pula.

Mahu terus memandu ke rumah Izz Faris apabila mengetahui sahabatnya itu mengambil cuti sakit untuk beberapa hari. Telefon pintarnya dikeluarkan dari poket seluar. Terdapat beberapa panggilan yang tidak berjawab daripada Izz Faris yang dia tidak perasan kerana lupa mematikan mod senyap di telefon pintarnya.

5 missed calls from Izz.

Dia segera menghubungi sahabatnya itu semula. Sementara menunggu panggilannya disambungkan, dia menghidupkan enjin kereta dan memakai tali pinggang keledar. Sebaik panggilan telefon itu disambungkan, suara garau milik Izz Faris menerjah ke dalam gegendang telinga milik Adi Ashraf.

"Adi, datang jumpa aku dekat tempat biasa. Ada benda yang aku nak cakap."

???????????????????

Izz Faris menamatkan panggilan selepas memaklumkan kepada Adi Ashraf tentang perkara tersebut. Kini, dia kembali memandang figura di hadapannya. Haris Irfan.

Sudah beberapa hari berlalu sejak dia menemui gambar arwah Mawar Adriana di atas pangkuan Ariana Atilia. Sejak itu juga dia mula menyiasat sendirian untuk mengetahui kebenaran di sebalik gambar-gambar tersebut.  Takut sekiranya gambar tersebut hanya palsu yang akan menimbulkan fitnah kepada rumah tangga Adi Ashraf nanti.

Oleh itu, pada hari ini dia bertemu dengan Haris Irfan untuk mengetahui kebenaran disebalik gambar tersebut. Memandangkan lelaki itu merupakan teman rapat kepada Ariana Atilia. Jika boleh, dia ingin bertanyakan sendiri kepada Ariana tetapi dia tahu mungkin perkara itu akan membuatkan Ariana berasa tidak selesa.

Mujurlah kakinya yang tercedera sudah sepenuhnya juga. Dia mula berdehem perlahan. Mahu memulakan perbualan terlebih dahulu. Riak mukanya yang serius membuatkan Haris Irfan berasa tidak sedap hati.

"Haris, maaflah sebab tiba-tiba nak jumpa kau ni. Tapi ada benda penting yang aku nak cakap." ucap Izz Faris memulakan perbualan. Haris mengangguk kecil tanda faham dan mahu Izz meneruskan kata-katanya.

"Pasal Ariana dengan arwah Mawar." sambung Izz Faris lagi. Haris mengangkat kepala sedikit sebaik mendengar nama itu disebut oleh Izz Faris. Namun, dia mengawal riak mukanya sebaik mungkin.

"Kenapa dengan diorang berdua, Izz?" tanya Haris Irfan ingin tahu. Takut sekiranya apa yang ingin ditanyakan oleh Izz Faris adalah perkara yang sama dia fikirkan pada saat itu. Takkanlah...

"Aku nak kau tengok gambar ni. Jujur dengan aku kalau kau tahu apa-apa pasal gambar ni semua. Boleh?" ucap Izz Faris. Dia menyerahkan sampul surat yang sama dia temui pada hari itu kepada Haris. Haris menyambut huluran tersebut dengan rasa ragu-ragu.

Izz Faris menyuruh Haris untuk membuka sampul tersebut lalu lihat ke dalam isi kandungannya. Haris menurut arahan Izz tanpa membuang masa. Rasa ingin tahu mula membuak-buak di dalam diri. Gambar apa yang dikatakan oleh Izz sebenarnya? Apa kaitan gambar tersebut dengan arwah Mawar dan Ariana?

Izz Faris menunggu dengan sabar reaksi yang bakal diberikan oleh Haris. Ingin mengetahui sekiranya Haris juga sama seperti dirinya yang tidak tahu apa-apa atau lelaki itu sebenarnya mengetahui segalanya. Tangan disilangkan ke dada.

Sebaik Haris melihat gambar pertama yang berada di dalam sampul tersebut, dia sudah mengucap panjang di dalam hati. Tak tahu bagaimana gambar arwah Naufal yang mati dalam kemalangan 5 tahun boleh ada pada Izz Faris. Tetapi sebaik gambar arwah Mawar berada di atas pangkuan Ariana menjengah ke dalam pandangannya, rasa terkejutnya tak dapat disorokkan lagi.

"Izz... Mana kau dapat gambar ni semua?" ucap Haris Irfan ingin tahu dengan segera. Risau sekiranya gambar itu sampai ke dalam pengetahuan Adi Ashraf. Dia tak mahu merosakkan rumah tangga Ariana yang sedang bahagia. Gambar itu segera diletakkan kembali ke dalam sampul tersebut.

Izz Faris mula berasa curiga dengan tindakan Haris Irfan yang secara tiba-tiba mula panik. Menandakan lelaki itu mengetahui sesuatu tentang gambar itu semua. Dia mendekatkan diri pada Haris.

"Mana aku dapat tu tak penting, Izz. Yang penting, aku nak tahu makna disebalik gambar ni semua. Kenapa arwah Mawar boleh ada dekat tempat kemalangan Naufal lima tahun lepas, Haris?" ucap Izz Faris mahu menduga Haris Irfan. Riak mukanya yang tetap serius menunjukkan dia tidak bermain-main.

Haris Irfan melepaskan keluhan panjang. Dia meraup muka. Tangannya dilarikan pada rambutnya. Dia sendiri tidak pasti jika bagus sekiranya menerangkan segala-galanya kepada Izz Faris. Anak matanya kembali melihat ke dalam anak mata Izz Faris selepas berfikir panjang.

"Izz, sebenarnya kemalangan Naufal bukan hanya melibatkan Ariana dengan Naufal. Tapi melibatkan arwah Mawar sekali. Dua orang mangsa yang maut dalam kemalangan tu Naufal dengan Mawar. Pemandu kereta tu  Ariana. Hanya dia yang terselamat." terang Haris Irfan jujur. Menjelaskan kebenaran disebalik gambar tersebut.

"Maksud kau, Ariana yang langgar Mawar... Punca Mawar mati dalam kemalangan tu termasuk Naufal?" ucap Izz Faris dengan nada yang tidak percaya. Lambat-lambat, Haris Irfan mengangguk mengiyakan kata-kata Izz Faris.

Izz mempamerkan riak muka tidak percaya apabila mengetahui kebenaran itu. Rasa sangsinya selama ini hilang serta-merta. Nampaknya benarlah tekaannya sepanjang beberapa hari ini mengenai gambar itu semua. Ternyata gambar yang difikir palsu itu benar belaka.

"Macam mana dengan Adi? Dia tahu ke tentang semua ni? Riana dah bagitahu dia ke? Sebelum tu, Ariana tahu ke tentang arwah Mawar tu sebenarnya bekas tunang Adi dulu sebelum dia kahwin dengan Adi?" tanya Izz Faris bertalu-talu. Masih menginginkan jawapan untuk semua itu. Haris terdiam sejenak.

"Haris, jawab soalan aku ni. Adi tahu ke? Ariana dah tahu ke yang sebenarnya orang dia langgar Mawar?" tanya Izz Faris mengulang kembali soalannya sebentar tadi. Haris Irfan mengeluh. Nampak dia perlu beritahu juga.

"Izz, yang pertama sekali tolong jangan bagitahu benda ni semua dekat Adi. Tolonglah jangan. Yang kedua, ya. Ya, Ariana tahu tentang orang yang dia langgar sebenarnya Mawar. Izz, dia tak sengaja. Itu bukan salah dia." terang Haris Irfan separuh merayu. Tak sanggup melihat rumah tangga sahabatnya hancur.

"Kalau Ariana tahu, kenapa dia nak sorokkan daripada Adi, Haris? Kalau kau berdua sorokkan macam ni lagilah Adi salah faham. Kejap, kalau Ariana tahu yang arwah Mawar tu bekas tunang Adi sebelum dia kahwin dengan Adi, kenapa dia nak kahwin dengan Adi pulak? Aku tak faham." ucap Izz Faris yang jelas sudah keliru apabila mengetahui dengan lebih mendalam tentang rahsia Ariana dan Haris sorokkan daripada Adi Ashraf.

"Izz... Ariana kahwin dengan Adi sebab dia rasa bersalah. Dia rasa bersalah sampai dia sanggup kahwin dengan Adi untuk tebus kesalahan dia yang dia sendiri tak sengaja. Niat dia hanya untuk tebus kesalahan dia yang dia sendiri tahu Adi takkan maafkan dia kalau tahu perkara ni. Jadi sebab tu dia sorokkan perkara ni daripada sesiapa. Dia nak dia sendiri yang bagitahu Adi nanti." terang Haris Irfan selesai membongkar rahsia yang disorokkan olehnya dan Ariana selama ini. Dia harap Izz Faris faham keadaan itu.

Izz Faris melepaskan keluhan sebaik mendengar butir bicara Haris Irfan. Dia sendiri tak menyangka perkara itu sebegitu sukar hingga sebegini sekali. Rasa simpatinya terhadap Ariana mula bertandang di dalam hati. Nampaknya gadis itu terpaksa tanpa rela mengahwini Adi Ashraf hanya kerana kesalahan yang dia tidak sengaja.

Dia mula memikirkan pula tentang Adi Ashraf sebaik mengetahui semua ini. Tahu pasti sukar untuk Adi menerima segala kenyataan itu. Rasa simpatinya terhadap pasangan suami isteri itu mula menebal.

"Aku faham, Haris. Tapi kau sendiri tahukan yang Adi berhak tahu semua ni. Lagi satu, Ariana dah tahu kan apa yang akan jadi kalau Adi tahu tentang semua ni?" ucap Izz Faris mengendurkan suara. Riak mukanya juga tidak tegang seperti tadi.

"Ariana tahu Izz. Aku dah pesan dekat dia awal-awal untuk tak buat semua ni sebab nanti hanya akan sakitkan dia pada akhirnya. Tapi kau tahu Ariana macam mana. Dia nak jugak. Jadi aku hanya sokong apa yang dia buat. Aku harap kau rahsiakan perkara ni daripada Adi buat masa ni, boleh?" pinta Haris Irfan.

"Ya, aku akan rahsiakan perkara ni daripada Adi. Cuma pastikan Ariana bagitahu dia secepat yang mungkin. Aku tak boleh tanggung rasa bersalah aku dekat Adi kalau dia tahu aku rahsiakan perkara ni daripada dia juga." maklum Izz Faris. Haris Irfan mengangguk kecil. Dia menghela nafas lega.

Namun perasaan itu hanya sementara. Tidak kekal lama kerana sebuah suara yang menegur mereka mengejutkan mereka dalam masa yang sama. Masing-masing menoleh wajah menemui gerangan empunya suara itu. Izz Faris meneguk air liur kesat. Kerana figura itu adalah Adi Ashraf.

"Rahsiakan apa dari aku, Izz, Haris?"

???????????????????

"Adi..." ucap Izz Faris masih terkejut dengan kehadiran Adi Ashraf disitu. Dia bingkas berdiri. Baru dia teringat dia sendiri yang menghubungi Adi Ashraf untuk datang berjumpanya disitu.

"Izz, jawab apa aku tanya tadi. Apa yang kau berdua sorokkan daripada aku? Kenapa kau nak jumpa aku sebenarnya? Untuk cakap tentang apa?" tanya Adi Ashraf tanpa henti. Dia mendekati dua lelaki tersebut dengan perasaan yang keliru.

Izz Faris dan Haris Irfan berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing tak tahu mahu mengatakan apa kepada Adi Ashraf yang masih terpinga-pinga kerana terdengar perbualan mereka sebentar tadi. Tahu lelaki itu sedang dilanda kekeliruan juga.

"Izz, Haris tolonglah... Kenapa? Apa yang jadi sebenarnya ni? Izz kau okay tak? Kaki kau dah sembuh?" tanya Adi Ashraf prihatin. Dia sempat singgah di farmasi untuk membeli ubat-ubatan yang diperlukan untuk Izz Faris. Sebungkus beg plastik yang berisikan ubat-ubatan diserahkan kepada Izz Faris.

"Terima kasih, Adi. Aku okay. Kau duduklah dulu." balas Izz Faris sedikit perlahan. Dia melihat Haris Irfan dari ekor mata. Perasaan bersalahnya terhadap Adi Ashraf semakin menebal apabila Adi masih mengambil berat tentang dirinya walaupun lelaki sedang keliru.

"Tak apa lah kalau kau dah sembuh. Jadi kenapa nak jumpa aku ni, Izz? Haris pun ada sekali. Apa yang kau berdua nak cakap berdua sebenarnya? Apa yang nak disorokkan?" tanya Adi Ashraf lagi. Dia sudah penat mahu berbasa basi. Rasa curiga dirinya terhadap mereka berdua semakin menguasai diri. Dia tak mahu membuang masa dengan sia-sia.

"Adi... Aku nak cakap pasal Ariana. Dengan arwah Mawar." ucap Izz Faris perlahan. Haris Irfan segera menemui pandangan Izz Faris. Tak mahu lelaki itu meneruskan kata-katanya lagi. Izz Faris mengeleng. Seolah mengatakan bahawa dia tak mahu bersubahat dengan Haris untuk menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan Adi.

"Aku balik dulu." celah Haris Irfan dengan nada yang geram. Dia kecewa dengan Izz Faris yang tak mahu bekerjasama dengannya. Rasa menyesal kerana memberitahu Izz Faris pada awalnya. Kini, rasa menyesalnya terhadap Ariana pula tiba kerana tidak dapat menjaga rahsia sahabatnya dengan baik.

Adi Ashraf menghantar pemergian Haris Irfan dengan pandangan. Pelik apabila lelaki itu tiba-tiba meminta diri sedangkan dia baru sahaja sampai. Apabila dia melihat muka Izz yang penuh dengan rasa bersalah itu, dia tahu mungkin pemergian Haris ada kaitan dengan Izz. Namun dia lebih memilih untuk berdiam diri sahaja.

"Kenapa dengan isteri aku dengan bekas tunang aku, Izz? Apa yang kau nak cakap sebenarnya ni?" ucap Adi Ashraf mula rasa tidak sedap hati. Risau dengan apa yang bakal diketahui olehnya nanti.

"Adi, bagi aku... Kau perlu tahu semua ni. Aku tak sanggup nak sorokkan perkara ni daripada kau. Aku minta maaf, Adi." ucap Izz Faris meluahkan rasa bersalahnya.

"Izz kau kenapa? Jangan buat aku takut. Aku kena tahu tentang apa sebenarnya? Apa yang kau kena sorokkan daripada aku sebenarnya?" tanya Adi Ashraf mula tak sabar. Rasa semakin berdebar-debar jantungnya apabila mendengar luahan Izz yang penuh dengan rasa bersalah itu.

Tak lama selepas itu, Izz Faris menyerah sebuah sampul. Dia menyuruh untuk Adi membukanya. Tanpa membuang masa, Adi membuka dan mengeluarkan isi kandungan sampul tersebut. Dia melihat Izz untuk kepastian.

Izz mengangguk sebagai tanda untuk meneruskan sahaja tindakan itu. Adi Ashraf segera melihat gambar-gambar tersebut dengan teliti. Sesekali dia akan melihat Izz Faris.

Namun sebaik gambar terakhir dilihatnya, nafasnya bagai terhenti untuk seketika. Dia tidak mempercayai matanya apabila melihat arwah Mawar yang berlumuran darah dan tidak bernyawa berada di dalam pangkuan isterinya yang menangis di dalam gambar itu.

"Izz apa semua ni? Kenapa gambar ni ada Riana? Dengan... Mawar? Izz ni gambar palsu kan? Kan?" tanya Adi Ashraf mahukan jawapan. Dia menggoncang bahu Izz Faris.

Izz Faris mengeleng kepala dengan perlahan tanda menafikan gambar itu adalah palsu. Tangan Adi Ashraf yang menggoncang bahu Izz dialihkannya dengan lembut. Dia memandang wajah Adi dengan pandangan yang simpati. Tahu sahabatnya tidak dapat menerima kenyataan itu.

"Adi... Aku minta maaf. Tapi gambar itu semua bukan palsu. Tapi itulah kenyataan yang sebenarnya. Ariana... Dia yang langgar Mawar." terang Izz Faris dengan berat hati. Rasa bersalah kerana melihat Adi Ashraf sebegitu.

Adi Ashraf terduduk semula sebaik mendengar kata-kata yang meluncur daripada mulut Izz. Tak mungkin... Tak mungkin isteri yang dia cintainya sepenuh hatinya yang melanggar buah hatinya dahulu sebelum hari perkahwinan mereka. Tak, tak mungkin...

"Izz, tak. Tak. Bukan Riana buat. Tolong jangan cakap dia. Bukan dia yang langgar Mawar, Izz. Jangan buat aku macam ni. Aku sayangkan dia orang berdua. Takkan lah Riana nak buat aku macam ni, Izz..." ucap Adi Ashraf yang penuh dengan rasa tidak percaya. Dia bersungguh-sungguh menafikan kenyataan itu. Kenyataan yang dia tak dapat terima.

Dia terduduk dengan kepalanya ditundukkan. Matanya dipejamkan kerana tak mahu melihat realiti yang baru dia sedarinya. Tangannya meraup muka dengan rasa kecewa. Perasaannya bercampur baur.

"Tapi Riana tak tahu yang orang dia langgar tu Mawar. Dia tak tahu kan, Izz?" ucap Adi Ashraf lagi. Mahu mencari alasan bahwa kata-kata Izz semuanya adalah tidak benar.

"Adi aku minta maaf sangat tapi Riana tahu. Haris tahu. Aku pun baru tahu. Sebab tu Haris mintak aku sorokkan daripada kau. Riana tak sengaja langgar dia, Adi." terang Izz Faris tak mahu Adi Ashraf salah faham.

"Izz... Kalau dia tahu kenapa dia kahwin dengan aku? Sedangkan dia tahu dia yang sebabkan Mawar mati walaupun tak sengaja." ucap Adi Ashraf seperti mahu mengatakan apa yang Izz Faris itu tidak masuk akal. Kalau isterinya tahu orang yang dilanggarnya adalah Mawar, mengapa berkahwin dengan dia juga? Dia semakin keliru.

"Adi... Dia kahwin dengan kau sebab perasaan bersalah. Dia rasa bersalah sebab langgar Mawar sampai dia sanggup kahwin dengan kau." terang Izz Faris lagi. Adi Ashraf mendongak sedikit mendengar kata-kata sahabatnya.

Perasaan bersalah? Tak dia takkan percaya semua itu dan semua ini. Dia takkan percaya apa-apa sekalipun melainkan Ariana iaitu sendiri yang mengatakan segalanya. Tak, takkan Ariana hanya mengahwini dia kerana rasa bersalah.

Dia pasti isterinya cinta padanya. Dia tidak lagi sanggup mendengar apa yang dikatakan oleh Izz Faris lagi. Kata-kata itu hanya menyakitkan hatinya tanpa henti. Dia bingkas berdiri meninggalkan Izz Faris disitu.

"Adi... Adi!" panggil Izz cuba mengekori langkah Adi Ashraf tetapi gagal. Dia hanya mampu menghantar pemergian sahabatnya itu berlalu pergi dengan pandangan. Dia melepaskan keluhan.

Tanpa mereka berdua sedari, seseorang mengukir senyuman sinis. Riak mukanya berpuas hati melihat wajah Adi Ashraf yang jelas sedang merana dalam diam. Dia melangkah pergi dari situ apabila menyedari kerjanya sudah selesai.

Adi Ashraf memecut keretanya dengan laju. Otaknya serabut dan kusut dipenuhi dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Izz Faris. Sepanjang itu juga mulutnya tidak berhenti menafikan kata-kata yang berlegar-legar di fikirannya.

"Ariana kahwin dengan kau sebab rasa bersalah."

"Ariana yang langgar Mawar Adriana."

"

Dia buat semua ni hanya untuk tebus kesalahan dia, Adi."

Sebaik kata-kata terakhir itu dilontarkan, kepalanya sudah dipenuhi dengan segala tanggapan negatif. Dia terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan untuk menenangkan diri. Kepalanya diletakkan pada stereng kereta.

Kedua-dua belah tangannya diletakkan pada belakang kepalanya. Matanya dipejamkan. Nafasnya ditarik panjang cuba mengembalikan kepada rentak yang biasa semula.

"Riana takkan buat semua tu tak, takkan..." ucap Adi Ashraf pada dirinya sendiri. Cuba menyakinkan dirinya bahawa isterinya takkan buat perkara sebegitu. Mereka saling mencintai antara satu sama lain. Cinta mereka bermula bukan kerana rasa perasaan bersalah Ariana kepada dia.

Deringan telefon pintarnya menarik perhatian Adi Ashraf. Dia segera mengangkat panggilan tersebut tanpa melihat nama pemanggil. Pandangannya dibuang ke luar kereta. Sebelah tangannya memicit kepalanya yang terasa sakit.

"Hello?" ucap Adi Ashraf dengan nada suara yang sudah penat. Tak lama kemudian, suara seseorang menerjah ke dalam gegendang telinga milik Adi Ashraf.

"Hello, Adi. Ni aku Alif. Kau okay tak ni? Suara kau macam tak sihat." tanya Alif Zafran dari corong telefon. Risau dia apabila mendengar suara lemah Adi Ashraf pada ketika itu.

"Aku... Okay. Penat sikit. Kenapa kau call aku ni, Alif?" jawab Adi Ashraf tak mahu membuang masa lagi. Dia sudah tidak kisah sekiranya suara dia kedengaran tidak sihat atau tidak sekarang ini. Dia hanya kisahkan Ariana sahaja sekarang.

"Oh... Urm aku ada maklumat baru tentang kemalangan Naufal yang kau mintak hari tu, Adi." terus terang Alif Zafran, menerangkan tujuan dia menghubungi Adi Ashraf.

Kedengaran keluhan panjang keluar daripada mulut Adi Ashraf apabila mendengar kata-kata Alif Zafran. Dia berharap apa yang bakal didengari olehnya tidak sama seperti yang dikatakan oleh Izz Faris kepadanya.

"Jadi apa maklumat baru yang kau dapat. Aku... kena cepat ni." jawab Adi Ashraf cuba menggesa Alif Zafran untuk segera menjelaskan segala-galanya. Mengharapkan lelaki itu menamatkan kekeliruan dalam dirinya sekarang ini.

Alif Zafran mula berkira-kira sama ada sesuai untuk dia menjelaskan perkara itu. Tetapi apabila mendengar gesaan daripada Adi Ashraf, dia mengalah. Mengharapkan Adi Ashraf kuat untuk mendengar berita sedih.

"Adi... Kemalangan Naufal lima tahun lepas melibatkan tiga orang mangsa. Dua orang maut, salah seorangnya Naufal sendiri. Tapi seorang lagi perempuan. Nama dia Mawar Adriana. Mati di tempat kejadian sebab kehilangan darah yang banyak. Hanya seorang yang terselamat. Nama dia Ariana-"

"Stop, tolonglah berhenti cakap perkara yang sama. Kenapa? Kenapa kena Ariana yang langgar Mawar? Kenapa bukan orang lain?"

"Adi-"

Belum sempat Alif Zafran menghabiskan kata-katanya, panggilan tersebut ditamatkan oleh Adi Ashraf. Dia meraup muka dengan kasar. Tangannya dikepalkan. Rahangnya diketapkan.

Tak lama kemudian, dia kembali memecut kereta untuk sampai ke rumahnya dengan pantas. Perasaannya yang bercampur baur langsung tidak diendahkan. Dia sebenarnya tak bersedia untuk menerima kenyataan itu lagi. Tak bersedia untuk kehilangan oramg yang dicintainya.

Selepas lebih kurang setengah jam memandu, dia sampai di pekarangan rumah. Dia menarik nafas panjang. Matanya dipejamkan ingin menenangkan diri. Tangannya terketar-ketar membuka pintu kereta. Dia mengagahkan diri untuk keluar dari perut kereta.

Namun sebaik dia keluar, figura wanita yang dicintainya berada di dalam pandangannya. Kelihatan Ariana Atilia sedang berdiri di muka pintu rumah bersama segaris senyuman di bibir. Buat seketika, hatinya terasa tenang.

"Abang."

???????????????????

Ariana menghampiri suaminya untuk menyambut kepulangan Adi Ashraf. Sejak dari tadi dia menunggu kepulangan lelaki itu, risau sekiranya Adi Ashraf tidak akan pulang kembali pada pangkuannya semula. Wajah Adi Ashraf yang kelihatan sungguh penat itu merisaukan Ariana serta-merta.

"Abang, abang okay ke? Tak sihat ke hmmm? Jom masuk." ucap Ariana lembut. Dia meletakkan tangannya pada wajah suaminya. Adi Ashraf diam tidak membalas. Sekadar menikmati sentuhan isterinya selagi boleh. Dia perlukan semua itu selepas apa yang diketahuinya hari ini.

Ariana yang merasakan Adi Ashraf tidak mahu berkata apa-apa pada ketika itu memegang tangan suaminya lalu masuk ke dalam rumah. Lengan suaminya dipeluk dan diusap seperti mahu mengusir apa-apa yang menganggu Adi Ashraf pada ketika itu.

Adi Ashraf masih diam. Mereka berdua duduk di ruang tamu. Adi menyandarkan tubuh pada sofa disitu. Matanya dipejamkan. Sebuah keluhan dilepaskan buat sekian kalinya. Ariana yang menyangka suaminya keletihan kerana kerja menyediakan air minuman kegemaran suaminya. Bahu suaminya diurut.

"Abang, minumlah. Kenapa ni? Penat ya? Banyak sangat kerja ke dekat pejabat?" tanya Ariana prihatin. Langsung tak mengetahui keadaan Adi Ashraf yang sebenarnya.

Adi Ashraf menolehkan kepala untuk melihat wajah isterinya. Matanya mencari anak mata isterinya. Mulutnya bergerak mahu mengucapkan sesuatu. Tangannya naik mengusap wajah Ariana penuh kasih. Pandangannya penuh dengan pengharapan.

"Riana sayang abang?" tanya Adi Ashraf perlahan. Suaranya yang kedengaran sangat lemah itu menyentak hati Ariana Atilia. Anak mata bertembung.

"Riana sayang abang sangat-sangat." jawab Ariana tanpa ragu-ragu. Dia memegang tangan suaminya yang berada di wajahnya. Anak matanya jelas menunjukkan segala kejujuran disebaliknya.

Adi Ashraf mengalihkan pandangan. Tangannya jatuh daripada wajah Ariana. Tetapi Ariana menyambut tangan suaminya sebelum dipegang erat. Adi Ashraf menundukkan kepala. Tak sanggup meneruskan kata-katanya yang seterusnya.

"Kalau Riana sayang abang, tolonglah... Tolong cakap yang bukan Riana yang langgar Mawar." ucap Adi Ashraf separuh merayu. Pegangannya pada tangan isterinya diketatkan.

Manakala, Ariana sebaik mendengar kata-kata itu tanpa sedar melepaskan tangan suaminya. Dia menemui pandangan Adi Ashraf yang sangat berharap dia akan mengatakan sebaliknya. Dia terkelu.

"A-abg..." ucap Ariana sedaya upaya membentuk sebuah perkataan dan penjelasan untuk suaminya. Adi Ashraf memegang erat tangan Ariana.

"A-bg... Riana minta maaf." ucap Ariana Atilia dengan nada yang sangat perlahan. Rasa bersalahnya kembali menyelubungi diri. Kepalanya ditundukkan untuk menyalami tangan suaminya, Adi Ashraf.

"Abg... Riana tak ada maksud nak sorokkan apa-apa daripada abang. Maafkan Riana sebab rahsiakan perkara ni daripada abang. Riana minta maaf..." rayu Ariana Atilia kepada Adi Ashraf.

Adi Ashraf menelan air liur yang kesat. Matanya dipejamkan tak sanggup melihat kebenaran yang terungkap. Apa yang disangka selama ini salah sama sekali. Rasa sebak memenuhi dada namun dia diam.

"Kenapa? Kenapa sayang buat semata-mata untuk tebus kesalahan sayang? Kalau betul perkahwinan kita dapat tebus kesalahan sayang pada abang, apa yang dapat tebus rasa cinta abang dekat sayang selama ni, Riana? Sayang betul-betul cintakan abang atau itu cuma rasa bersalah sayang pada abang sebenarnya, Riana?" tanya Adi Ashraf dengan nada yang kecewa. Langsung tak menyangka cinta mereka selama ini tidak benar.

"Abang, Riana cintakan abang sepenuh hati sayang. Bukan rasa bersalah sayang pada abang semata-mata. Tolonglah percaya Riana, abang." rayu Ariana lagi. Air mata sudah mengalir sebaik menyedari Adi Ashraf tidak mempercayai diri dan cintanya lagi.

"Riana... Abang percayakan Riana sampai sanggup kahwin dengan Riana dulu. Tapi, tak sangka Riana sanggup buat abang macam ni. Kalau betul sayang nak tebus kesalahan sayang pada abang untuk kemaafan abang, abang boleh bagi. Abang maafkan sayang untuk semua ini. Tapi lepas tu apa? Sayang nak tinggalkan abang lepas dapat apa yang sayang nak? Cintakan abang dan tinggalkan abang? Tolonglah, abang dah tak larat... Sayang tolonglah." luah Adi Ashraf apa yang dirasakan pada saat itu. Dia bangun berdiri jauh dari Ariana. Tangannya meraup muka dengan perasaan kecewa yang teramat.

Ariana menangis mendengar kata-kata suaminya. Tahu dia salah pada mulanya lagi. Tetapi dia masih mengharapkan mereka dapat hidup bahgia. Namun mungkin itu hanya impiannya sahaja.

"Tinggalkan abang... Itu saja yang abang mintak buat masa sekarang. Abang tak boleh terima semua ni. Jadi tolong bagi abang masa. Abang merayu dekat Riana. Abang dah tak larat. Tolonglah." ucap Adi Ashraf dengan nada sayu. Air matanya menitis dalam diam sebaik kata-kata meluncur dari mulutnya.

Mereka berdua perlukan masa untuk segala-galanya. Hanya itu saja caranya. Untuk mencari jalan penyelesaian yang seterusnya bagi hubungan mereka berdua. Sama ada untuk terus bersama atau sebaliknya.

Ariana mempamerkan riak muka tak percaya apabila mendengar permintaan suaminya. Tetapi melihat keadaan mereka sekarang, dia tahu itu yang terbaik untuk mereka berdua. Air matanya yang mengalir diseka perlahan. Bibirnya diketap menahan tangisan yang mahu dilepaskan pada ketika itu. Dia mendekati tubuh Adi Ashraf.

"Kalau itu yang abang nak. Riana ikut. Semuanya untuk abang. Riana... Cintakan abang." ucap Ariana dengan nada yang sebak. Namun tiada balasan daripada Adi Ashraf. Siapa sangka baru sekejap saja bahagia mereka berdua kemudian hancur dalam sekelip mata.

Akhirnya, Ariana berlalu pergi dari situ meninggalkan Adi Ashraf sendirian. Air matanya kembali mengalir laju pada setiap langkah yang diambil. Pemergian Ariana dihantar oleh Adi Ashraf melalui pandangan.

Rasa sakit di hatinya semakin berterusan. Dirinya seperti mendapat tamparan hebat. Rasa seperti hatinya ditikam beberapa kali sehingga dia tak dapat merasai apa-apa ketika melainkan rasa sakit. Dia memegang dadanya. Kepalanya ditundukkan mengucapkam kata-kata..

"Tolonglah pergi bersama Riana sakit ni, tolonglah."

Updated!
Next update on Friday
So stay tune
5 chapters more to go...
And leave a comment

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience