Bercuti

Drama Series 421991

Walau hati rasa pilu, jiwa pun rasa kosong namun di depan kamera aku berlakon agar kelihatan seperti biasa. Senyuman tetap terukir di bibirku setiap kali ke udara.

Arif membatal dan menolak kerja kerja yang menyebabkan dia berjauhan dari aku sebaik kami tiba dari kampung pada hari raya keempat. Sebolehnya dia mahu berada di sebelahku setiap masa sejak peristiwa tempoh hari. Manakala aku tanpa jemu menelefon mak tiap hari tanpa gagal tapi semuanya tak berangkat. Malah nombor aku disekat tak lama selepas itu.

Kini aku hanya bertanyakan perihal mak melalui Kak Zah. Dengan angah pun mak dah jarang berhubung, tak macam dulu. Angah dianggap rakan subahatku kerana merahsiakan perkahwinan aku dan Arif serta menidakkan peranan along sebagai wali aku. Aku bersimpati dengan angah, tak pasal dia terpalit sama padahal baru nak kerap balik kampung untuk berbaik semula dengan mak.

"Sayang termenung fikir apa? Boyfriend baru?", soal Arif berdiri di muka pintu kaca dengan kain pelikat dan tshirt pagoda. Dah macam bapak bapak gayanya sekarang.

"Mana ada. Abang ni", balasku manja . Buku yang terbuka tanpa kubaca, aku tutup dan letak di atas peha.

"Ingat kat mak?", soal Arif lagi mendekati aku yang duduk di kerusi besi.

Aku diam tak menjawab. Sekadar melihat lampu bilik rumah seberang jalan, dihidupkan.

"Insya Allah satu hari nanti mak akan lembut hati", pujuk Arif memegang bahuku dan memijat lembut.

"Abang, mama selalu terfikir kalau mak macam tu bagaimana bonda dan papa bagaimana? Masih tak lupa hal lama ke?". Soalan ini lama dah kupendamkan, aku bimbang Arif tersinggung. Bukan apa, Maklong Yam nampak berbeza di mataku tak seperti apa yang masyarakat sekeliling katakan. Dengan tudung labuh dan jubahnya, sudah cukup aku simpulkan tanggapan mereka salah.

"Tu sebab abang nak rahsiakan. Susah sayang bila keluarga tak faham keinginan kita", jawab Arif.

"Tapi sampai bila kita nak lari dari realiti. Lambat laun mereka akan tau", ulasku.

"Ya, abang tau. Tapi buat masa ni abang tak sanggup nak tengok sayang sedih lagi. Nanti beri kesan tak baik kat dia", kata Arif dengan tangan mengusap perutku. Aku tersenyum bahagia.

"Dah siap kemas belum?", tanya Arif dan aku berkalih padanya sambil mengerut hidung dan memuncungkan bibir. Arif mengucupku seketika sebelum aku menolak sedikit dadanya supaya jauh dariku.

"Bau minyak angin", rungutku sambil menutup hidung.

"Abang pening. Tu cari sayang, nak minta urut kepala". Aku tertawa dengan jawapan Arif. Mukanya monyok. Dah bertampal kiri kanan dahi dengan koyok sejak petang tadi.

Aku bangun dan beriringan jalan dengannya masuk ke dalam rumah. "Macam mana nak celebrate anniversary ni?", usikku.

*******

Kami menaiki sebuah pesawat kecil milik persendirian untuk ke pulau di mana terdapatnya resort yang menjadi pilihan Arif untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami merangkap berbulan madu. Sebaik mendarat di lapangan terbang kecil, kami berdua serta beberapa penumpang lain keluar dari perut pesawat. Kedatangan kami sudah dinantikan oleh kakitangan dan kenderaan resort.

Kami ditempatkan di sebuah villa dua tingkat tak jauh dari laut. Di tingkat bawah ada ruang tamu dan dapur manakala di tingkat atas, bilik dengan sebuah katil bersaiz king. Ada balkoni yang disertakan kerusi dan meja besi. Aku keluar berdiri di balkoni, menikmati bayu laut walaupun panas pijar terasa di kulit. Sebaik aku berpusing untuk masuk senula ke dalam villa, kulihat Arif sudah bersinglet dan berseluar pendek, bersedia untuk berjalan jalan di tepi pantai. Makanya aku pun menukar pakaian. Baju renang dan kuikat pareo di pinggang. Tak ketinggalan topi jerami dan kaca mata hitam. Rambut kubiarkan mengurai.

Kami sekadar berjalan menyusuri pantai. Tak ramai pun menginap di sini, mungkin kerana statusnya yang eksklusif, harga yang membuatkan bola mataku hampir terkeluar dan kami berada di sini di pertengahan minggu. Arif hanya mahu berehat, tak mahu melakukan apa apa walau pelbagai aktiviti ditawarkan.

Kebelakangan ni Arif kerap mengadu sakit belakang jika lama berada di posisi duduk. Padahal selama ini tiada masalah pun. Aku hanya ketawa bila Man mengatakan itu pembawakan budak. Kata Man, keadaan Arif sama seperti abang sulungnya ketika kakak iparnya mengandung anak pertama.

Selama berada di sini, kami hanya menjamu selera di dalam resort. Aktiviti kami hanya berkisar di villa, restoran dan tepi pantai. Aku gemar duduk di kerusi malas bawah pokok ketapang tak jauh dari villa kami sambil membaca buku setelah aku puas berbaring di katil akibat mabuk di waktu pagi.

Setiap pagi, kami berdua hanya bersarapan di balkoni bilik kerana aku tak berdaya untuk berjalan ke restoran. Itupun Arif saja yang berselera, aku hanya mampu mengunyah buah oren dan kemudiannya kuluah semula. Hanya mengambil jusnya. Padahal boleh saja minum jus oren dari dalam kotak tapi aku tak lalu. Aku mahukan jus dari kunyahan buah juga. Selepas menemani Arif bersarapan, aku akan terlentang di atas katil hingga matahari benar benar bercahaya. Jika tidak, aku bisa rebah jika berdiri, rasa mual serta merta datang tanpa perlu diundang

"Bang, jom pergi bawah pokok". Aku mengajak Arif yang ralit membuat teka silang kata di ruang tamu. Hidup kami di sini tanpa capaian internet dan jauh dari kerja. Seratus peratus rehat. Nak beriya iya memadu kasih tu sukar kerana masing masing tak sedap badan.

Arif mendongak melihat aku yang memakai baby tee putih dan seluar longgar paras lutut warna merah. Kemudian Arif bangun, buku teka silangkata dimasukkan ke dalam beg tote yang aku bawa. Kami jalan berpegangan tangan menuju ke destinasi.

"Ala yang... tempat kita dah ada orang ambil la", bisikku bila ternampak ada tetamu resort duduk di kerusi kegemaranku. Mungkin sekeluarga pada pandanganku. Aku lihat seorang lelaki bertubuh sasa sedang mengikat tuala di pinggang sedang badannya masih basah. Manakala yang wanita, aku rasa isteri kepada lelaki tadi sedang membalut tubuh seorang anak lelaki yang masih kecil dengan tuala sambil ketawa riang.  Ada empat lagi anak mereka mungkin sudah bersekolah menengah di dalam laut sedang seronok bermain.

Tatkala aku dan Arif melintasi mereka berdua sambil berpegangan tangan, kami saling membalas senyuman. Aku bercadang untuk terus berjalan dan kemudian singgah di lounge tepi kolam. Arif melambai tangan pada anak lelaki pasangan tersebut yang baru keluar dari laut. Tiga lagi anak dara sunti masih berendam.

"Hai", sapanya sebaik berada di depan kami. Aku dan Arif tersenyum, selesa dengan keramahan lelaki remaja tersebut.

"Wife abang ke? Cantik", tanyanya sambil menuding padaku. Aku hanya tertawa kecil bila Arif makin kuat menggenggam tanganku. Alahai laki aku ni, pujian dari budak hingusan pun nak cemburu.

Aku dan Arif meneruskan perjalanan kami sambil bercerita tentang penangan kandunganku. Baru masuk bulan ke empat. Ada lagi 5 bulan untuk aku harungi. Saat begini aku amat rindukan mak. Aku nak bertanya macam macam soalan pada mak walaupun semuanya aku boleh cari di internet, rasanya itu lain. Aku nak mendengar celoteh dan pengalaman mak ketika hamilkan keempat empat kami.

Aku ditinggalkan sendirian di meja bawah pokok tak jauh dari lounge. Boleh la walaupun hanya kerusi biasa bukannya kerusi malas. Angin laut bertiup lembut walau sesekali agak kuat. Arif pula ingin meronda  luar kawasan sekeliling resort lalu disewanya motor. Aku tiada keinginan dan daya untuk ikut bersama. Cuma aku pesan pada Arif yang aku mahu dia belikan limau sunkist.

Malam ini kami akan makan malam sedikit istimewa kerana ianya hari ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Kebetulan pihak resort membuat hidangan barbeque makanan laut.

Kami tiba di restoran selepas berjalan menikmati bayu malam selepas matahari terbenam.  Aku memakai dress tanpa lengan namun bahu dibalut dengan selendang nipis manakala Arif berkemeja serta jeans. Arif kembali seperti dulu segak dan kemas. Rupanya tadi dia ke barber shop untuk menatarias segala bulu di muka dan kepala. Katanya ibarat spa buat lelaki.

Tatkala masuk ke kawasan tepi kolam, aku terpandang banner happy 3rd anniversary. Terus aku memegang kuat lengan Arif.

"Yang, it is 2nd la. Not 3rd", bisikku. Malu juga aku, siap ada rentang banner begitu sekali.

"Apa dia?", tanya Arif tak faham. Kutuding ke arah banner yang menjadi latar pada satu meja panjang. Di atas meja tu sudah ada kek dan lilin lilin telah dinyalakan.

Keriuhan suara lelaki dan perempuan dalam mood riang di belakang kami membuatkan aku dan Arif berganjak sedikit ke tepi bagi memberi laluan kepada mereka. Mata lelaki sasa dan wanita itu diikat dengan kain. Lelaki remaja yang menegur kami tadi memimpin lelaki botak berkenaan. Manakala wanita itu dipimpin oleh seorang gadis remaja kukira seusia dengan lelaki remaja tadi. Cantik molek orangnya. Anak kecil didukung oleh salah seorang kakaknya manakala seorang lagi anak perempuan pasangan tersebut membawa jambangan bunga berjalan di belakang pasangan tadi.

Kami memerhatikan langkah keluarga tadi. La.. rupanya meja yang ada banner tu meja mereka. Termalu aku seketika.

Aku dan Arif ditunjukkan ke meja lain. Meja kami turut ada potongan kek bertulis happy 2nd anniversary. Ada jambangan bunga di atas kerusiku. Cuma tiada banner besar seperti pasangan tadi. Nampaknya bukan hanya aku dan Arif saja yang menyambut ulangtahun perkahwinan hari ni.

Arif dan aku bergerak ke tempat pemanggangan untuk mengambil makanan. Baunya saja sudah membuat air liurku berkumpul di dalam mulut. Apatah lagi bila melihat saiz makanan laut berkenaan, memang mengamit selera.

"Hai kak". Aku memusingkan badan ke arah sapaan itu.

"Eh hai. Dah dua kali kita jumpa. Nama apa?", balasku ramah.

"Fariz", jawab lelaki muda yang memakai kemeja putih dengan jeans hitam. Segak bergaya demi menyambut ulang tahun perkawinan ibubapanya. Tapi kenapa tiga? Mungkin dikira dari rujuk.

"Nice name. Handsome macam orangnya", usikku. Senyuman Fariz melebar. Pujianku bukan sekadar mengambil hati, memang remaja ini kacak.

"Sayang, cukup ke ni?". Arif bersuara. Kacau daun betul.

"Nak nenas dengan jagung sekali bang", balasku menoleh seketika melihat apa yg Arif letak di pinggan sebelum kembali pada Fariz.

"Fariz yang sulung ye? Sekolah lagi?". Aku dah mula nak kepochi. Bukan apa, mereka nampak sungguh gembira. Ibubapa Fariz kelihatan sangat loving.

"Haah. Yang ni Farhah. Kami sebaya tapi saya lahir dulu. Kami nak ambil SPM tahun ni". Gadis cantik bertudung shawl lilit gaya terkini anak anak muda menghulurkan tangan bersalaman denganku. Fariz dah menatang dua pinggan kosong. Rupanya dia menanti Farhah untuk bersama sama mengambil makanan. Kembar tak seiras rupanya. Selalunya kembar begitulah, semuanya nak buat bersama. Itu tanggapanku.

"Sayang....". Panggil Arif, lalu aku meninggalkan kedua beradik itu.

Sewaktu melangkah pulang, kami bertembung lagi dengan keluarga tersebut. Aku bersenyuman dengan si ibu, manakala si bapa pula mendukung si kecil, sudah terlentok di bahu. Penat bermain air siang tadi barangkali.

"Tahniah puan", ucapku bila senyumanku dibalas mesra. Makin melebar senyumannya.

"Terima kasih. Ni kerja budak budak ni la. Macam macam alasan diorang reka, nak ajak saya dan abahnya turun", katanya sambil ketawa, sempat menepuk lembut lengan Fariz sebelum si bujang itu berlari ke meja mereka semula.

"Meriah sangat anak dah besar besar. Seronok saya tengok. Bahagia je", balasku pula.

"Alhamdullillah. Mereka serasi sejak dari kecil sampai la sekarang. Jadi takde masalah besar untuk kami berdua".

"Lupa nak kenalkan diri pula. Saya Nura. Ni suami saya, Arif". Aku memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan dan salamku disambut mesra.

"Saya Rahiza. Ni Wan Razlan, suami saya". Wanita itu pula membalas perkenalan kami.

"Mama, jom kita ambil gambar ramai ramai dengan kakak cantik ni". Fariz bersuara dari belakang. Rahiza terus menarik aku ke sebelahnya. Fariz memberi kamera DSLR merahnya pada staff resort supaya mengambil gambar kami semua. Arif berada di sebelahku dengan sebelah tangan merangkul pinggang dan sebelah lagi diletakkan di perutku. Mengada betul tau Arif ni, cemburu tak bertempat.

Entah berapa keping gambar yang diambil, aku tak pasti. Yang aku tahu, banyak. Macam macam gaya dipinta.

"Eh, Nura pregnant ye? Tahniah. Muda muda ni beranak banyak banyak tau. Jangan jadi macam kak Iza ye. Fudhla dah masuk sekolah menengah baru nak merasa adik", ujar Rahiza menarik anaknya yang bernama Fudhla dan memperkenalkan kami berdua.

Esok kami akan pulang semula ke dunia sebenar, dunia realiti. Kami mengambil kesempatan untuk menikmati ketenangan pulau buat kali terakhir dengan duduk di atas pasiran pantai sebelum sampai ke villa. Deruan angin bersama alunan ombak menghempas pantai membuatkan aku semakin erat dalam rangkulan Arif. Kucupan demi kucupan tak henti dengan usapan di seluruh tubuh membuatkan kami mengambil keputusan untuk mengakhirinya di villa.

Usai melampias nafsu, aku menyarung bathrobe sambil mengemas pakaian kami untuk dimasukkan ke dalam beg. Arif membelek telefon yang sudah tiga hari tak disentuh. Telefon aku pun dihidupkan semula. Bertalu talu bunyi notifikasi menandakan banyaknya mesej dan panggilan yang masuk.

"Sayang...", panggil Arif. Aku memandang Arif sambil bertanya kenapa.

"Along Paan mesej ni, bonda minta kita balik kampung esok", ujar Arif agak gusar.

"Ha? Bonda? Kita? Biar betul. Macam mana?", responku terkejut.

"Gambar ni". Aku mendekati Arif dan mengambil telefon dari tangannya. Nafas panjang kuhela dengan kuat. Aku terus duduk di atas riba Arif.

"Pantasnya teknologi sekarang di tangan anak anak muda", bicara Arif menamatkan rasa terkejutku sambil tangan merungkai ikatan tali di pinggangku.

Share this novel

imeshahira
2021-09-20 00:17:09 

omggg ending untuk aku orang ketiga dah tahu!!!!

Muhamad Nasrun Fadzil
2019-12-29 17:21:50 

wah....wan razlan n raziha

Onesue
2019-12-25 00:23:56 

waaa... tq sis. sempat sis selit rahiza n wan razlan. kawin juga diorg akhirnya


NovelPlus Premium

The best ads free experience