Bab 11

Romance Series 59136

Kepala aku berdenyut. Kepala aku berdenyut ni. Ish, kenapa susah sangat aku nak lupakan apa yang dia cakap ni? Argh, pergi pergi pergi dari fikiran aku. Dari muka dia pun patutnya aku boleh agak tu gurauan jer.

Tenang Mia, tenang. Tarik nafas dalam – dalam. Lupakan kejadian tu. Dah berhari berlalu, kenapa aku asyik tak boleh lupa ni? Kusut kepala aku bila asyik fikirkan dia jer. Bukan dia paksa aku pun. Aku ni jer yang terlalu mendesak nak tahu sangat pasal dia. Mestilah dia rasa terganggu kan? Jadi cara nak aku pergi dari hidup dia, dia pun sengaja bagi syarat macam tu.

Ya, mesti sebab tu. Tak mungkin ada maksud lain. Okey, aku boleh bertenang. Senyum, jangan gelabah sangat.

“Cikgu,” spontan aku tersentak. Kejap. Aku lupa sekarang aku tengah bekerja. Asal aku boleh mengelamun ni? Mia bangun Mia. Jangan lalai. “Ni macam mana nak kira?”

Mataku merenung kerja yang ditunjuknya. Oh, matematik. Aku kena fokus. Macam manalah aku boleh lali sekejap tadi. “Maaf cikgu leka kejap tadi.” Aku merenung semula kerja yang aku beri tadi. “Ingat lagi tadi cikgu cakap nak kira tambah macam mana?” aku menantikan jawapan dari Saiful. Melihat dia mengangguk, aku mula menyambung. “Okey tunjuk tangan Saiful macam cikgu buat ni.” Tanganku terbuka luas, diikuti pula oleh Saiful. “Soalan cakap ada lima epal, jadi kira jari sampai lima.”

Si kecil mengikut satu per satu aku jelaskan dengan baik. Aku faham, tak semua murid boleh tangkap setiap yang aku ajar dengan sekali mahupun dua kali penjelasan. Sepatutnya aku kenalah bertanya sorang – sorang, seandainya mereka faham atau tidak, mujur Saiful bertanya. Kalau tak aku akan terus mengelamun lagi.

Bukan salah sesiapa. Salah aku sendiri sebab terlalu memikir. Kalau terus macam ni karang habis performance kerja aku merundum.

“Terima kasih cikgu.” Saiful berlari duduk ke tempatnya.

Mujur aku dapat anak murid tahun ni semuanya elok tingkah laku. Bukan tak ada kes seperti cikgu lain, bila anak murid mulai bising dan sukar dengar nasihat. Cuma aku bernasib baik ada Kak Syaf yang selalu bantu aku uruskan mereka dengan baik. Tengok hasilnya, semua dengar kata. Macam manalah aku tak sayang dengan dorang semua.

“Mia,” kak Syaf menegurku.

“Hmm?”

“Akak perasan, kamu dua tiga menjak ni asyik mengelamun jer.”

Aku mengeluh. Tengok, Kak Syaf pun perasan perubahan sikap aku. Nampak sangat aku mula tak fokus dengan kerja.

“Maaf kak, lepas ni Mia fokus yer. Banyak benda kena fikir.”

Kak Syaf sekadar mengangguk. “Jangan duk fikir pasal lukisan tu. Bukan akak tak tau, kamu asyik mengeluh tengok lukisan – lukisan entah siapa.” Ujar Kak Syaf sambil menunding buku lukisan yang berada di atas mejaku.

Milik Adam. Sebelum aku pulang Ahad tu, Adam sempat menghulurkan buku lukisannya. Dari awal dia melukis tanpaku sehingga ke hari tu. Aku tergamam melihat dia bersungguh mahu aku melihat semua hasilnya seperti biasa.

Tiada satu yang tak cantik bagiku. Lukisan Adam semuanya indah. Sehingga aku menyangka dia pelukis handalan. Kalau bukan, jadi siapa dia? Lelaki bernama Adam ni?

“Tak adalah. Lepas ni lunch time kan? Mia nak suruh dorang tutup buku dan makan. Kejap lagi Mia tolong akak bawakan makanan dorang yer.”
Okey Mia, teruskan fokus. Kau boleh buat punya.

Tugasan sebagai guru tadika ni bukan senang. Memenatkan sebenarnya. Nasib tadika tempat aku bekerja Cuma mula dari 7 pagi sampai 3 petang. Jadi memang ibu bapa murid – murid akan mengambil mereka waktu tu. Wajib untuk kami semua ni tunggu sampailah ibu bapa dorang datang ambil. Tak boleh balik dulu.

Mengagumkan ibu bapa dorang ambil tepat waktu, berbeza sikit dengan si Rayyan. Nasib Kak Syaf selalunya tak kisah menunggu sehingga hampir sejam dua. Tugas bak katanya.

Lepas tu, setiap Jumaat dah kena hantar report laporan pengajaran kat office. Sabtu meeting, Ahad tu jelah masa free aku. Memang terkejar – kejar juga. Bagi aku sebagai seorang guru tadika, memang aku akan cakap, guru tadika tugas dia mencabar dari guru biasa. Penat dia, tak tahulah nak cerita macam mana. Tahun pertama aku bekerja memang mengeluh panjang. Mujur tu Kak Syaf asyik bagi kata – kata semangat.

Letih aku selalunya hilang bila tengok dorang ni bermain, ketawa. Lagi – lagi bila hari guru, terasa memang dihargai. Ada sahaja hadiah yang berlonggok di atas meja aku. Paling popular, aku dapat mug. Sampai dah tak tahu nak letak mana mug tu. Memang dah macam koleksi kat rumah tu. Senang hati aku melihat mereka semua.

Dan sekarang, kosong kecuali si Rayyan yang masih menanti mamanya datang menjemput. Dia mengeluarkan buku lukisannya dan duduk di hadapanku.

“Rayyan nak duduk depan cikgu.”

Aku mengusap lembut rambutnya dan mengangguk. Takkan aku nak halang kan? Bukan dia kacau aku pun. Perilaku dia ni buat aku teringat kat pak cik dia. Adam. Setiap Ahad, duduk berhadapan, persekitaran pantai dan dia yang tekun melukis. Sama seperti anak buahnya ketika itu, kecuali sekarang latarnya adalah sekolah tadika.

Kak Syaf menarik kerusi dan duduk di sebelah aku. Dia turut memerhatikan Rayyan.

“Akak nak tengok lukisan tu,” Kak Syaf menunjuk pada buku lukisan Adam.

Aku mengambil buku tersebut dan menghulurkannya kepada Kak Syaf. Tangannya laju menyelak setiap halaman muka surat yang ada. Mesti Kak Syaf pun terpukau macam aku tengok lukisan tu. Percayalah. Kalau tak pun, cuma aku sorang jer yang terlebih rasa teruja tengok lukisan dia ni.

“Cantik.” Itu sahaja komen Kak Syaf.

“Kan.”

“Tapi…” Kak Syaf membelek satu muka surat sebelum menunjuk kepadaku. “Perasan tak ni?” tanya Kak Syaf.” Mata aku mulanya fokus pada lukisan, kerana menyangka dia mahu menunjuk lukisan kapal. “Tengok betul – betul.” Jari Kak Syaf menunjuk pada garisan buku lukisan tersebut.

Segera aku mengambil buku lukisan dari tangan Kak Syaf dan membelek. Aku baru perasan apa yang ditunjuknya itu.

“Pelukis ni koyakkan muka surat ni ke? Ade tercarik sikit bahagian tu.”

Aku melihat cebisan kecil seperti dikoyak. Andaian aku ingin mengatakan lukisan tak menjadi jadi dia koyakkan muka surat tersebut.

“Dia saja koyak kot,” ujarku dan berikan semula kepada Kak Syaf.

“Memanglah, tengok ni.” Kali ini Kak Syaf menunjuk helaian kotor akibat bekas lukisan pada muka surat sebelumnya. “Entah apalah dia lukis kan?” bebel Kak Syaf. Dia meletakkan semula buku lukisan tersebut di atas meja.

“Entahlah kak, malas nak ambil tahu. Buat serabut jer nanti. Kalau dia tak nak tunjuk, buat apa Mia nak sibuk kan? Betul tak?” keputusan mudah aku buat. Malas nak ambil peduli. Biarkan lah, kalau dia nak tunjuk, lama dah dia tunjuk kan? Bukannya koyak muka surat tu. Betul tak?

Lagipun tak membantu langsung bahagian terkoyak tu dengan apa yang bermain dalam fikiran aku dari tadi. Kalau bekas koyak tu boleh ada jawapan kat semua persoalan aku tu tak apa juga. Nanti kalau fikir, bertambah kusut otak aku ni. Nak pakai lama otak ni. Tak sanggup aku.

“Assalamualaikum,” suara yang aku kenal beri salam. Aku boleh tahu siapa kat pintu tu. Panjang umur. Dalam fikiran aku ni, dah berhari – hari sebut nama kau tahu. Akhirnya muncul.

Kak Syaf menyambut Adam. “Wa’alaikumussalam Encik Adam. Hari ni encik yang jemput Rayyan yer,” ramah saja dia berbual seperti sahabat lama. Kalau jer Kak Syaf tahu si Adam tu sebenarnya lukis semua ni. Agaknya dia percaya tak? “Rayyan ada kat depan cikgu dia.”

Adam memandang aku. Eh, encik, pandang anak buah kau tu dulu. Bukan aku.

“Uncle!” Rayyan berlari ke arah Adam dengan nada ceria. “Awalnya uncle sampai!”

Adam mendukung si kecil tu. “Habis kerja awal, tu uncle terus datang sini.” Matanya memandang Kak Syaf. “Maaf kak..” dia terhenti sebentar, “cikgu” dia memandang aku. Entah kenapa aku jadi kekok bila berhadapan dengan dia. “Sebab selalu lambat.”

“Tak mengapalah Adam. Kami tak kisah pun. Rayyan pun baik jer perangai dia. Tak pernah susahkan kami.” Kepala Rayyan diusap lembut oleh Kak Syaf.

Ewah – ewah, dorang dua ni bukan main rapat yer. Ada apa – apa mencurigakan ke? Mesti ada kan? Tengok tu, Kak Syaf tersenyuman lebar eh bila depan si Adam. Apa yang aku tak tahu ni. Mencurigakan pula.

Eh, kenapa Kak Syaf ni? Tangannya dari tadi mengamitku dari belakang. Mulanya aku abaikan. Tengok dorang rancak berbual buat aku malas nak terlibat sama. Kak Syaf menoleh sikit membuat insyarat mata suruh aku ke sisinya.
Heh?

Lagi sekali dia memanggil aku. Dah kenapa pula ni? Biarlah, aku malas ni.

“Cikgu Mia,” nada suara Kak Syaf menjadi tegas. Spontan aku berdiri. Kenapa aku jadi takut dekat Kak Syaf tiba – tiba ni? Automatik aku menurut kata Kak Syaf. Nak suruh aku ramah dengan si Adam lah tu. Bukannya aku langsung tak kenal dia. Lantaklah dia nak fikir apa pun.

Amboi, tiba – tiba Kak Syaf rancak borak pasal aku depan si Adam pula. Jangan cakap Kak Syaf nak kenankan aku dengan dia ni. Oh tidak. Memang tak lah! Aku nak pergi lari dari sini, tapi tengoklah. Tangan Kak Syaf ni dah raut lenganku.
Seram yer. Bila rakan sekerja korang dah masak dengan perangai kita. Macam sekarang ni. Mesti dia tahu aku nak lari. Puas juga aku menolak tangannya, dan makin erat juga jadinya pegangannya tu.

“Kak, sudahlah tu.” Aku memotong bicaranya. Jangan banyak sangat cakap pasal Mia kak. Dia memang dah kenal Mia. “Mia kenal dia,” sambungku. “Ni pak cik Adam.”

Semua memandangku dengan pelik. Senyap suasana. Kejap. Apa aku cakap tadi?

“Eh!” dungunya kau ni Mia. Asal kau panggil dia pak cik pula ni? Aku nak cakap pak cik kepada Rayyan, asal lain pula keluar dari mulut aku. “Maaf.. maaf! Maksud saya Encik Adam ni pak cik kepada Adam, eh Rayyan. Maaf.”

Mia! Nak cemerkap pun janganlah tunjuk depan dia. Memalukan betul lah kau ni.
Bagus, semua ketawa sebab ni. Cara terbaik untuk hilangkan suasana kekok kan?

“Mia baliklah dulu, biar akak kemas dan kunci pintu.”

“Okey kak, terima kasih.” Pandai Kak Syaf nak selamatkan aku. Tulah, cuba lagi buat macam tu, memang diri aku ni yang tolong bantu rosakkan rancangan akak tu. Banyak kali dah cakap, aku takkan berjodoh dengan sesiapa. Tak mahu dengar cakap betullah Kak Syaf ni.

“Saya pun nak balik dulu yer kak, cikgu.” Adam dengan nada lembut meminta diri. Wah wah wah, pertama kali aku dengar dia cakap lembut macam tu. Mana diri kau yang selalu suka menyakat tu hah? Mana? Muncullah dikau wahai Adam yang sebenar!

Adam memberikan senyuman sebelum keluar. Geram pula aku tengok kau senyum macam tu tau.

“Buat perangai betul eh. Akak baru nak..”

“Jodohkan Mia dengan dia? Takkan berhasil. Bye, Mia balik dulu.”

Kepalaku diketuk Kak Syaf. Nilah dia, bila plan tak menjadi, sekarang kepala aku yang jadi mangsa. Bagus, sampai bila aku nak kena hadap benda ni? Oh, sampai aku dapat jodoh yang memuaskan hati Kak Syaf.

Mungkin aku yang patut jodohkan Kak Syaf dulu. Baru aku selamat dari semua ni.

Tanganku mengapai beg tangan dan juga buku lukisan Adam yang berada di atas meja. Patutnya aku pulangkan balik kat dia tadi. Tapi Kak Syaf asyik dengan plan jodoh dia, hmmm memang terbantutlah jadinya.

Bayangkan kalau tadi aku bagi kat Adam depan Kak Syaf. Memang aku kena soal siasat lah jawabnya. Lagi – lagi, anak buah dia mesti pelik macam mana buku tu ada kat aku kan?

Dahlah, serabut pula aku jadinya bila asyik berfikir benda ni. Dari hari tu aku asyik fikirkan dia jer. Hari ni aku kena berhenti buat sementara. Urgh, tak boleh, tak boleh. Karang tak jadi kerja pula.

‘Beep!’

Astaghfirullahalazim, manusia mana pula horn tiba – tiba ni. Terkejut aku jadinya. Mataku segera mencari pesalah tersebut. Dari dalam kereta aku ternampak sengihan Adam. Dia ni lagi. Aku baru buat keputusan nak lupakan apa jer yang berkenaan dengan kau. Asallah kau ni tak boleh hilang kejap walaupun cuma untuk lima minit. Susah sangat ke?

“Apa?” tanyaku ketika melihat Adam keluar dari keretanya. “Nak apa?” aku menghampiri kereta milik Adam ketika jarinya menginsyaratkan aku untuk datang dekat. Jatung aku ni boleh berhenti berfungsi lagi sekali kalau dia buat macam tu lagi. Sabar jer dengan dia ni.

“Jadi macam mana? Pendapat awak tentang tu?”
Jari runcing Adam mengetuk buku lukisan yang berada dalam dakapanku. Sebelum aku terlupa, aku kena pulangkan buku ni semula kepada empunya. Nanti aku terbawa balik lagi.

Tanganku laju menghulur buku tersebut kepada Adam.

“Macam biasa, lukisan awak yang awak lakarkan tu cantik sangat. Pemandangan dari pantai tu lagi ke?” soalku.

Adam mengambil bukunya dari tanganku. Dia kini membelek – belek setiap helaian tanpa mempedulikan aku. Nak abaikan aku lagi ke ni? Seronok kan jadi kau, ikut suka jer nak abaikan orang lain.

“Tengok dari semua yang awak lukis tu, memang banyak saya terlepas. Saya tak dapat nak bandingkan lukisan awak dengan objek realiti awak lukis tu. Saya tak dapat nak tahu gambaran sebenar yang aku lukis ni. Saya terlepas proses melukis awak. Saya terlepas nak dapat makanan dan minuman percuma dari awak setiap minggu. Okey, bukan tak mampu nak beli sendiri, tapi benda percuma siapa tak suka kan? Dan…”

Adam memotong kataku, “dan aku terlepas nak tengok kau.” Dia memandang aku. Matanya merenung aku. Aku pula tak dapat mengelak dari memandang semula matanya. “Aku kesal tak dapat tengok setiap reaksi kau bila kagum tengok lukisan aku.”

“Adam.”

“Aku mengaku, aku rindukan semua tu.”

Segera aku mengalihkan pandangan dari terus merenung dirinya. Jantung aku. Berdegup laju. Terlalu pantas. Aku cuba menenangkan diri aku. Mataku mencari benda lain untuk dilihat.
Rayyan.

Si kecil itu leka bermain telefon sambil makan coklat. Dia kelihatan taksub dengan video yang ditontonnya. Ada masa dia tertawa, kemudian meletakkan telefon pada pehanya untuk membuka plastik coklat ke bawah. Senangnya jadi kanak – kanak. Tak perlu nak sarat berfikir macam aku sekarang ni.

“Tak baik kalau terlalu banyak bagi dia makan coklat dan ajar dia selalu main gadjet.” Aku cuba mengubah topik perbualan. Mataku memandang dia semula. Kini dia tersenyum.

“Dia tak selalu dapat.” Adam memandang anak buahnya dari dalam kereta. “Tu hadiah untuk dia sebab buat kerja yang baik untuk aku.”

Huh? Amboi, kau sogok anak buah kau untuk buat apa?

“Kerja apa yang awak suruh dia tu?”

“Kalau tahu kau mesti mengamuk.”

Macam mana dia boleh pasti sangat aku mengamuk? Bukan urusan aku kalau dia nak upah anak buah dia buat sesuatu untuk dia. Itu hak dia kan?

“Aku upah dia jangan bagitahu kau apa – apa pasal aku.”

Membulat mata aku mendengarinya. Sampai tahap macam tu dia buat? Semata – mata tak nak aku tahu pasal dia! Melampau. Berharga sangat ke maklumat pasal kau ni Adam? Terasa pula aku jadinya.

“Saya takkan buat macam tu. Kalau nak sangat tahu, saya akan tanya awak sendiri tau. Saya takkan pakai orang lain semata – mata awak. Eh, saya tak hadap sangat maklumat pasal awak tau!”

Ambil sebiji bom dari aku. Ingat aku ni senang kau nak permainkan? Tak kenal lagi siapa aku sebenarnya.

“Aku tahu kau marah. Jadi aku nak betulkan balik. Aku nak minta maaf, dan aku akan jawab satu persoalan kau. Jadi boleh maafkan aku?”

Licik. Dia tahu aku memang nak sangat tanya dia. Lagipun tak ada guna aku marah dia lama – lama kan? Jadi apa salahnya. Win – win situation. Tak ada sesiapa yang rugi, dan aku pun boleh tahu tentang dia. Pandai dia ni nak tarik minat aku.

“Okey setuju! Jawab ni. Kejap soalan berharga. Mia nak fikir betul – betul!”

Jangan bazirkan peluang ni. Apa yang patut aku tanya. Tentang keluarga dia? Tak, jangan, nanti mesti dia ni jawab Rayyan dengan Puan Qaisara jer. Bukan soalan yang bagus. Tak pun pasal kerja dia? Tapi berbaloi ke aku bazirkan macam tu jer hanya sebab nak tahu pasal kerja dia? Sebenarnya, apa yang aku nak sangat tahu pasal dia ni eh? Aku pun tak faham.

“Kejap!” aku memberi amaran. Aku tak habis fikir lagi ni.

“Atau pilihan kedua.” Perhatianku tertumpu pada Adam semula. “Keluar date dengan aku. Sepanjang hari tu kau boleh tanya apa sahaja kau nak. Tak ada had, sampai kau puas hati.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience