Bab 2

Drama Completed 20250

Malam itu aku dimarahi dan dileteri Mama. Sesuatu yang sudah aku duga. Walid, tidak berkata apa-apa. Semasa makan malam, Walid sekadar merenung tajam wajahku. Aku tunduk, tidak berani membalas renungan Walid. Dari matanya, aku tahu dia marah. Aku tiada jawapan kepada pertanyaan dan bebelan Mama. Aku takkan membocorkan rahsia, kenapa kotak muzik itu sangat istimewa. Memangpun ia nampak mahal dan eksklusif. Bagaimana aku hendak menyatakan bahawa kotak muzik itu adalah pemberian insan yang sangat istimewa dalam hidup aku? Mengundang padah. Mama tentu bertanya lebih lanjut. Sedikit demi sedikit, rahsia mahal akan terkeluar. Bahawa sudah lebih empat tahun aku dan Syed Zain berhubungan melalui FB rahsia menggunakan nama samaran yang tidak diketahui sesiapa.

Aku diam seribu bahasa tidak menjawab sepatahpun soalan-soalan bersulam radang yang ditanya Mama sehingga akhirnya Mama pun terdiam. Tiada guna membela diri sebab aku memang bersalah. Terlalu beremosi menangani kesilapan Alia. Cuma, terlintas di hati, kalaulah Mama faham perasaan yang bergolak dalam jiwa remaja seperti aku. Katakan, orang lain yang memecahkan kotak muzik itu. Contohnya, Bibik Tini. Aku takkan mengamuk seperti itu. Tetapi, Alia yang bertanggungjawab merosakkan barang milik aku. Yang paling aku sayangi.

“Aina, ada berita baik yang Mama nak beritahu…” Begitu kata-kata Mama, empat tahun lalu. Ketika aku bercuti penggal pertama persekolahan di Tingkatan Satu. Kali pertama pulang ke rumah untuk satu tempoh yang lama setelah memasuki sekolah berasrama penuh. Sekolah Tun Mahathir di Bukit Kayu Hitam. Aku tercengang. Berita baik? Walid naik pangkat menjadi Timbalan Dekankah?

Ataupun Mama yang bakal naik pangkat menjadi Juruaudit Kanan? Ataupun, entah-entah kami sekeluarga akan bercuti ke Istanbul? Itu angan-angan dan keinginan yang sentiasa subur dalam hati. Keluarga kami, keluarga sederhana. Percutian keluarga kali terakhir, di luar negara ialah ke Krabi, semasa aku masih di Tahun Lima. Selepas itu tidak pernah. Kami bercuti cuma di dalam negara. Langkawi dan Pulau Tioman. Hanya itu yang kami termampu. Aku enggan mendesak. Aku pun faham kewangan Mama dan Walid. Ketiga-tiga abangku menuntut di luar negara dan aku tahu biayanya. Kononnya mendapat biasiswa tetapi setiap bulan Mama dan Walid masih perlu menghulur duit poket.

“Berita apa Ma?” Aku mula dilanda rasa ingin tahu. Kami akan menghadiri konvokesyen Along di Cardiff Universitykah? Bunyinya menarik. Boleh menjejakkan kaki di Wales. Biarpun tidak bertaraf percutian keluarga, namun masih boleh melihat negara orang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience