15

Romance Series 10716

Fiona membantu Ed berkemas. Sepupunya itu perlu keluar dari Ireland secepat mungkin sebelum polis datang menangkapnya.

"Aku takkan menginjakkan kaki aku keluar dari sini." tangan Fiona yang sibuk memasukkan pakaian Ed ke dalam beg terhenti.

"Kau dah gila ke!? Macam mana kalau atuk tahu tentang semua ni? Dan macam mana pula kalau kau ditangkap?" Fiona betul-betul tidak faham dengan perangai sepupunya ini.

"Aku tak kisah tentang semua tu. Aku akan hadap semua ni sendirian. Semua yang berlaku kerana salah aku sendiri. Aku yang culik Fea dan kurung dia di pondok apung." luah Ed tenang.

"Kau cakap tak kisah? Kalau atuk tahu tentang perkara ni, atuk jatuh sakit bagaimana? Kau tak fikir ke semua tu?" Fiona mula beremosi. Dia geram dengan sikap berlagak tenang Ed.

"Aku nak kau bawa atuk dan nenek ke rumah ladang awal pagi esok"
Fiona terkejut.

Ed menatap Fiona. Bahu Fiona dicengkamnya.
"Janji dengan aku, esok sebelum matahari terbit, aku nak kau bawa atuk dan nenek ke rumah ladang." arah Ed bersungguh-sungguh.

"Bagaimana kalau atuk tak mahu tinggalkan hotel ni?" soal Fiona bimbang. Tubuhnya menggigil ketakutan. Dia belum pernah rasa takut sampai begini sekali.

"Beritahu atuk, nanti ada orang yang akan datang melakukan renovation. Sebelum ni aku dah janji dengan atuk untuk baiki bahagian yang dah rosak. Aku pasti, atuk akan faham." jelas Ed tenang.

"Baiklah" Fiona akhirnya terpaksa akur dengan keputusan Ed.

Ed berharap sangat, takkan ada sesiapa yang akan sampaikan berita ini kepada atuknya. Dia tahu, tidak ada sesiapa pun yang tahu mengenai rumah ladang itu kecuali keluarga mereka. Lagi pula, Balbriggan ke Kerry mengambil masa yang agak jauh. Tak mungkin akan ada orang yang akan temui atuk dan neneknya.

**

Seperti yang dikatakan Drake semalam, ada dua orang pegawai polis datang ke rumah penginapan mereka.

"Kami ada terima laporan mengenai kes penculikkan Cik Aradea Fae Reynard. Betul ke ini rumahnya?" soal salah seorang polis lelaki bertubuh tegap dan besar.

"Ya betul. Saya abangnya, Drake. Saya yang buat laporan mengenai kes penculikkan ni" sambut Drake seraya memberi laluan untuk kedua polis itu masuk.

"Silakan duduk" pelawa Drake.
Drake duduk di sofa satu bersebelahan dengan dua orang pegawai polis itu.

Rey dan Taylor menghampiri kedua orang polis yang duduk di ruangan tengah sambil menanti Fea keluar.

"Boleh saya tahu, Tuan ni siapa dengan cik Aradea Fae Reynard?" soal salah sorang dari mereka.

"Saya Reynard, papa kepada Aradea Fae Reynard dan ini pembantu peribadi dan juga pekerja kepercayaan saya, Taylor." jelas Rey ramah.

Fea yang sudah maklum mengenai kedatangan dua orang pegawai polis, keluar dari bilik lalu menghampiri mereka semua.

"Ini anak gadis saya, Aradea Fae Reynard. Panggil saja Fea" jelas Rey ramah.

Fea mengambil tempat duduk disebelah Rey. Ditengah-tengah antara Rey dan Taylor.

Drake memandang tepat ke wajah adiknya.
Fea perasan dengan tatapan abangnya seraya memandang sekilas sebelum memandang semula ke arah kedua pegawai lelaki tersebut.

"Baiklah. Seperti yang kami sedia maklum, semalam Tuan Drake datang ke balai dan menyerahkan video cctv dari hospital. Kami dah lihat dan siasat mengenai video ini. Kakitangan hospital yang bertugas pada hari itu juga sudah kami soal siasat. Cuma, tujuan kami datang ni untuk mendengar pengesahan dari Cik Fea dan kami mahu Cik Fea beri kerjasama." ujar salah seorang dari pegawai tersebut.

Fea memandang Rey. Rey mengangguk lalu menggenggam tangan anaknya erat, dia cuba memberi semangat dan kekuatan kepada Fea.

Fea akhirnya mengangguk. Drake tersenyum puas.

"Baiklah. Kami dapat tahu yang Cik Fea diusir oleh Fiona yang merupakan rakan baik Cik Fea sendiri pada malam 20 haribulan 8, 2022. Betul?"

Fea memandang polis tersebut lantas mengangguk.
"Boleh saya tahu, jam berapa Cik Fea keluar dari rumah?" soal polis tersebut.

"Dalam jam 8.30 malam" Jawab Fea tenang.

Seorang dari polis tersebut mengambil keterangan Fea lalu dicatat di dalam buku.

"Boleh saya tahu, kenapa Fiona sanggup mengusir rakan baiknya sendiri?"

Fea memandang sekilas ke arah Drake sebelum menjawab,
"Fiona marah lepas dapat tahu tujuan asal saya ke sini sebenarnya mahu menjual Kana Hotel dan mahu merobohkannya untuk melakukan pembinaan di kawasan tersebut." jawab Fea jujur.

"Benarkah?" soal polis itu lagi.

Fea terdiam.
"Tidak." Fea menjeling sekilas ke arah Drake.
Abangnya kelihatan tenang.

"Saya sebenarnya tidak berniat mahu merobohkannya. Fiona telah salah anggap lalu mengusir saya sebelum mendengar penjelasan saya dahulu" balas Fea cuba mempertahankan dirinya.

"Cik Fea ada bukti?" tanya pegawai itu lagi.
Fea mengangguk.

"Boleh kami lihat?" pintanya.

Taylor yang sedia maklum, bangun lalu mengambil proposal yang telah disiapkan lalu diserahkan kepada pegawai itu untuk rujukan dan bukti.

"Kami terpaksa ambil proposal ni sebagai bahan bukti" ujarnya.

Mahu atau tidak, Fea terpaksa menerimanya.

"Baiklah, berbalik pada pertanyaan saya awal tadi, ke mana Cik Fea pergi lepas diusir?"

"Saya ke perhentian bas, lebih kurang 100 meter dari rumah Fiona dengan beg pakaian. Saya mahu pulang ke New York malam tu juga"

Semua yang berada disitu mendengar cerita Fea dari awal sebelum kejadian buruk menimpanya.

"Ada bas waktu Cik Fea menunggu disitu?" soalnya lagi.

Fea menggeleng.

"Jadi, apa yang berlaku ketika itu? Cik Fea tak cuba hubungi teksi?"
Fea menggeleng.

"Selang beberapa minit menunggu, sebuah kereta Mitsubishi Triton berhenti secara mengejut betul-betul di hadapan perhentian bas."

"Cik kenal pemilik kereta tersebut?"

Fea mengangguk.
"Kenal. Ia milik Ed, sepupu kepada Fiona, pemilik Kana Hotel" Drake, Rey dan Taylor mendengar cerita Fea dengan kusyuk.

"Jadi, Cik Fea sudah kenal dengan pemilik hotel tu?" Fea mengangguk.

"Cuma, dia belum tahu tujuan kedatangan saya ke sini." jelas Fea yakin.

"Apa yang berlaku selepas itu?" soal pegawai polis itu lagi.

"Dia turun kereta dalam keadaan marah lalu menarik dan mengarahkan saya masuk ke dalam keretanya."

"Jadi, cik menurut apa yang dikatakannya?"

"Tuan rasa saya ada pilihan lain waktu itu?" bidas Fea tenang.

Rey mengeluh berat. Keadaan jadi sunyi buat seketika.

"Dia memandu sangat laju." Fea terdiam sebelum airmatanya mengalir perlahan. Drake dan Rey faham maksud Fea. Rey dan Drake tahu, Fea fobia dengan kelajuan dan dia masih trauma dengan kemalangan yang pernah berlaku sehingga mengorbankan ibunya, Laura.

Fea menundukkan wajahnya. Bibirnya bergetar.
Hanya suara esakkan yang kedengaran. Rey bertindak memeluk bahu anak gadisnya sambil mengusap belakang tubuh Fea dengan lembut.

Taylor bangun mencapai tisu lalu diberikan kepada Fea. Taylor sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Fea.

Fea mengambil lalu mengesat airmata diwajahnya. Fea mendongak sehingga matanya bertatapan dengan pegawai tersebut.

"Saya menangis, merayu, menyuruh dia perlahankan kereta kerana saya sangat trauma dengan kelajuan. Saya takut sangat waktu tu" tangis Fea lagi. Tangannya bergetar sewaktu menceritakan kejadian yang berlaku.

"Ketika anak saya masih berusia 9 tahun, dia dan ibunya menaiki kereta pulang ke rumah setelah isteri saya pergi mengambilnya pulang dari sekolah. Kereta mereka dikejar penjahat. Sewaktu kejadian, isteri saya sempat menghubungi saya memaklumkan hal ini. Tapi perbualan kami agak terganggu dengan keadaannya isteri saya yang kedengaran cemas. Isteri saya cuba melarikan diri dari perompak tersebut, malangnya, kereta yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan. Kereta mereka terbalik ke tengah jalan. Isteri saya mengalami kecederaan parah di kepala dan dia terkorban disaat itu juga" cerita Rey panjang lebar. Keadaan sekali lagi menjadi sunyi sepi. Terlihat Rey mengesat pantas buliran jernih yang terbit di bucu matanya.

Taylor turut bersedih dengan apa yang telah menimpa keluarga majikannya. Baru sekarang dia tahu, punca kematian isteri Rey. Dia turut berduka cita dengan apa yang telah berlaku kepada Fea sehingga menyebabkan gadis itu trauma yang teruk.

Pegawai polis itu mengangguk faham.
Setelah keadaan agak tenang, pegawai itu mengajukan pertanyaan yang seterusnya.

"Ed membawa Cik Fea kemana selepas itu?" semua mata kembali tertumpu kepada Fea. Mereka yang lain juga ingin tahu kemana Fea menghilang.

"Saya tak tahu" Fea menelan ludahnya kasar. Keadaannya kelihatan sedikit tenang.

"Saya pengsan waktu tu sehinggalah saya sedar yang saya tidak lagi berada di dalam kereta." cerita Fea cuba mengingat semula peristiwa yang terjadi padanya.

"Cik Fea berada dimana?" soal pegawai polis itu dengan dahi berkerut.

"Saya ditempatkan di sebuah bilik. Lantai dan dindingnya diperbuat dari kayu. Saat saya tersedar, waktu itu saya terbaring di atas sebuah katil kayu. Keadaan biliknya agak kecil tetapi kemas dan bersih.

Pertama sekali, saya periksa diri saya dahulu, pakaian saya. Kemudian saya turun dari katil berjalan menghala ke pintu dan mahu membukanya. Pintu itu berkunci. Saya menjerit minta pertolongan, tapi tiada sahutan. Saya dikurung.

Disisi katil ada satu tingkap kaca. Tapi, dibahagian luarnya sudah terpasang jeriji besi. Mungkin dia takut saya melarikan diri."

Dahi Fea berkerut. Dia cuba mengingat lagi kejadian pada waktu itu.
Kemudian bersuara.

"Laut! Ya, laut. Pondok yang saya duduk tu, terasa bergoyang dan beralun seperti kita menaiki bot. Dari cermin tingkap tu juga saya lihat laut. Baru saya sedar kenapa saya pening dan terasa mahu muntah. Mungkin kerana saya mabuk laut." cerita Fea bersungguh-sungguh. Dia pasti, waktu itu dia berada di tengah laut.

Rey dan Drake berpandangan. Mereka terkejut saat mendengar cerita dari Fea.

Bersambung...

Perompak yang dimaksudkan Reynard merupakan teman lelaki kepada Laura sebelum mereka kenal dan berkahwin. Fea langsung tidak tahu menahu tentang hal ni sehingga sekarang kerana Reynard menggenggam kemas rahsia ini dari pengetahuan Fea.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience