Chapter 12

Thriller Completed 13723

Bab 12

‘Kesiannya, kenapa tak ada orang percaya kat dia,’ desis hati Maria lagi terbawa-bawa kesedihan yang dialami oleh watak itu.

Namun sekali lagi pembacaannya terganggu. Maria memusatkan pandangannya ke arah pintu bilik Siti lagi. Lagi sekali, sebentar tadi dia terdengar pintu itu berkeriut, begerak. Dan memang benar, daun pintu itu yang tadinya terbuka luas, kini amat rapat dengan bingkainya.

“Pelik…?” ujar Maria sambil mengerutkan dahi dan keningnya.

“Apehal?” bisiknya lagi lantas menupang dagunya dengan tangan kanan.

Maria mengeluh kehairanan lalu mengangkat bahu. Dia menggerakkan tetikus untuk mengaktifkan skrin laptop itu semula. Dan Maria mengambil keputusan untuk meneruskan pembacaannya.

Tiba-tiba dia terbangun. Sah! Daun pintu bilik Siti terkatup!
Memang Maria melihat daun pintu itu sudah pun tertutup.
Kedua-dua tangan Maria yang berada di meja di bawa ke mulut untuk menutup mulutnya yang terlopong. Kemudian kedua-dua tangannya dibawa ke dada untuk menenangkan jantungnya yang mula berdegup pantas. Maria menarik nafas berat. Sepasang matanya tajam merenungi pintu bilik Siti.

“Bismillahirrahmanirrahim.”

Maria melangkahkah kaki ke bilik Siti.

“Rasa-rasanya semua orang dah keluar. Ke… Siti belum keluar lagi? Tapi tadi rasa-rasanya Siti dah keluar? Peliknya…?” katanya sambil melangkah.

“Siti!”

Maria memasang telinga. Senyap.

“Siti!” serunya lagi.

Sebaik langkah kakinya berhenti di hadapan pintu, tangannya terus memulas tombol pintu itu dan membukanya seluas yang boleh. Tanpa membuka suis lampu, Maria menjenguk ke dalam. Dia memerhati ke kiri dan ke kanan.

“Tak ada sesapa pun kat dalam ni. Apehal ni?”

Kemudian dia ke bilik tengah. Maria mengulangi perlakuannya tadi di situ. Seperti tadi, dia tidak menemui apa-apa yang ganjil di situ. Tiada Siti, Emi ataupun Zira yang bersembunyi di situ untuk menakut-nakutkannya. Kemudian dengan degupan jantung yang bertambah kencang, Maria ke biliknya pula dan terus mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas katil.
Sambil mencari nombor Zira, Maria terus berjalan ke pintu utama apartment itu.

“Zira! Balik sekarang!”

“Kenapa? Roti canai aku baru sampai…”

“Balik je. Cepat. Aku nak kau balik sekarang!”

“Apehal ni? Kau gaduh dengan balak kau ke?” tebak Zira.

“Cepatlah!” Maria menjerit lalu memutuskan panggilan.

*****

Keempat-empat orang gadis itu telah meminta pertolongan Cik Zaiton untuk menangani masalah yang mereka hadapi. Kesemua mereka tidak tahu apa puncanya, tahu-tahu sahaja, mereka sudah diganggu seorang demi seorang dan kini, mereka sudah tidak tahan lagi.

“Korang budak-budak ada terasa tak macam ada orang kat dalam rumah ni?”

“Entahlah, Cik Ton, Pak Sudin. Nak kata ada, tak ada pun rasanya. Tak biasa pun nampak kelibat ke apa ke,” jawab Emi, seolah-olah bertindak sebagai juru cakap bagi rakan-rakan serumahnya yang lain.

Kenyataan itu dikhabarkan dengan yakin selepas Pak Sudin menerangkan tentang ciri-ciri rumah yang ada gangguan jin. Antaranya, nasi di rumah sering basi walaupun baru dimasak dan penghuni berasa seram kerana sering terlihat kelibat berwarna kehitaman lalu-lalang di dalam rumah.

Masalahnya, gangguan sebenar yang mereka terpaksa hadapi ialah bunyi lantunan guli yang masih berterusan saban malam. Kadangkala, terlalu galak bunyinya. Kadang-kadang macam tidak ada langsung. Adakalanya yang kedengaran ialah bunyi serakan pasir atau bunyi lantunan bola hoki.

Cuma hari itu, ya, saat mereka diganggu, mungkin juga diuji silih berganti. Memang amat menakutkan dan disebabkan oleh itulah mereka meminta bantuan Cik Zaiton dan suaminya untuk memulihkan semangat mereka. Mungkin juga untuk memulihkan keadaan apartment itu.

“Mungkin main-main je tu. Maklumlah, jin tu pun, kalau ada, seronok tengok anak-anak dara ramai-ramai dok kat rumah ni,” ujar Pak Sudin lalu ketawa.

Tapi hanya seketika kerana cepat sahaja cubitan ketam Cik Zaiton sampai ke paha suaminya.

“Ih, Pak Sudin kamu ni, main-main pulak.”

“Betullah apa saya cakap ni, jin memang suka orang perempuan atau orang lelaki yang lawa, kacak. Jadi, kenalah jaga diri. Pagar diri. Dalam dunia ni ada berlapis-lapis alam. Mata kita memang tak nampak tapi itulah yang benar.” Pak Sudin memulakan sesi nasihatnya.

Itulah, kenapa dibuka cerita tadi. Sekarang semua yang ada di situ, terpaksa mendengar ceramah percuma daripada Pak Sudin dahulu.
“Ha, seelok-eloknya jangan mandi berbogel. Tapi sekarang bilik air dah bertutup. Baca doa dulu sebelum masuk ke bilik air tu.
Bismillah jangan dilupakan. Sentiasa baca bismillah untuk setiap perbuatan. Nak basuh pinggan, nak pakai baju, nak mandi, nak tidur, nak tepek bedak, apa pun, mesti bismillah.”

“Ya, Pak Sudin,” jawab Siti, perlahan.

Memang dia takut sungguh-sungguh saat terkenangkan makhluk ganjil yang dilihatnya dahulu. Tidak mahu melihatnya lagi, Siti menyimpan azam.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah Maria juga terlihat kelibat lembaga hitam di apartment itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience