AI 4 - ANAK ANGKAT

Romance Completed 784640

MALAM itu, Ajib dan Sakinah tiba di rumah Aleesya, setelah dia menghubungi anak saudaranya itu tadi.

Aleesya menatang satu dulang berisi dua cawan kopi untuk ibu bapa saudaranya. Dia berasa pelik, apabila mereka berdua tiba-tiba sahaja mahu berjumpa dengannya pada waktu malam begini.

“Jemput minum pak ngah, mak ngah.”

Ajib dan Sakinah mengangguk.

Aleesya melabuhkan punggungnya di kerusi, berhadapan dengan mereka berdua. “Hmm, ada apa pak ngah dengan mak ngah datang ni? Ada perkara penting ke?”

“Ayah kamu dah tidur ke?” soal Ajib.

“Sudah. Baru aje tadi.”

“Pak ngah nak cakap sikit ni.”

“Apa dia tu pak ngah?”

“Maaflah kalau kami datang malam-malam buta ni. Tapi, pak ngah kena sampaikan juga pada kamu.” Ajib memandang Sakinah, seakan meminta izin. Sakinah terus sahaja mengangguk.

 Ajib memandang Aleesya semula. “Hmm, kamu nak tak duit, untuk tampung kos rawatan ayah kamu?”

“Duit? Maksud pak ngah?”

“Okey, lelaki ni dia kata, dia sanggup beri kamu duit. Tapi, ada satu syarat.”

“Syarat?”

“Ya. Syarat.” Ajib terdiam seketika.

“Apa syarat dia?”

“Syarat dia, kamu kena kahwin dengan lelaki ni.”

Wajah Aleesya sedikit berubah. “Kahwin? Esya kena kahwin dengan lelaki tu? Tapi siapa pula dia? Dia kenal Esya ke?”

“Dia tak kenal Esya. Dan lelaki itu sebenarnya, majikan pak ngah.”

“Majikan pak ngah? Pak ngah ni biar betul?”

“Ya, betullah. Dia sekarang ni memang tengah mencari calon isteri. Dia cakap, kamu perlu kahwin dengan dia aje. Nanti dia akan beri kamu duit, bila kamu dah sah jadi isteri dia.”

“Kahwin dengan dia, baru dia bagi Esya duit? Macam pelik pula.”

“Tak ada peliklah. Dia memang tengah cari calon isteri sekarang ni.”

“Dia orang kaya, takkanlah dia nak pandang perempuan macam Esya ni?”

“Dia tak kisah. Dia memang ikhlas terima sesiapa pun yang sudi berkahwin dengan dia.”

“Dia dah tua ke pak ngah?” Aleesya masih menyoal. Dia tidak mahu memberi keputusan yang terburu-buru.

“Eh, dia muda lagilah. Dah 28 tahun, umur dia.”

“Tapi macam mana rupa dia? Tak ada gambar ke? Esya kena jumpa dia dulu.”

Ajib terdiam lama. Dia memandang wajah isterinya. Dia pun tidak tahu, betulkah tindakannya ini.

“Kenapa pak ngah diam?”

“Pak ngah tak dapat nak bagi jawapan pada Esya. Kalau Esya setuju, minggu depan Esya akan bernikah dengan dia.”

“Minggu depan? Kenapa macam kelam-kabut? Esya tak boleh nak terima macam tu aje. Sekurang-kurangnya Esya kena jumpa dia dulu. Takkan Esya tak boleh tahu macam mana rupa dia?”

“Sekarang ni Esya nak ke tak nak?”

“Sekurang-kurangnya Esya kena jumpa dia dulu, kan? Dan Esya tengok sekarang ni, pak ngah nampak macam terburu-buru. Esya kena tanya ayah dulu.”

“Bukan macam tu. Lelaki ni baik Esya. Sebab itu pak ngah tak nak Esya fikir terlalu lama. Pasal ayah Esya, biar pak ngah yang beritahu pada dia. Cuma pak ngah nak tahu jawapan kamu sekarang ni. Pak ngah kena beritahu dia esok. Dan dia pun dah cakap, dia akan terima Esya seikhlas hatinya.”

Aleesya benar-benar buntu. Tetapi dia juga memerlukan wang untuk rawatan ayahnya. Lama dia berfikir. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

“Baiklah, kalau pak ngah dah cakap macam tu, Esya setuju.”

Ajib tersenyum. “Baiklah, nanti pak ngah beritahu dia.”

 

 

KEESOKAN harinya, Ajib bertemu dengan abangnya Ajmal, setelah memastikan Aleesya sudah pun keluar pergi bekerja.

“Ada apa angah datang pagi-pagi ni?” Ajmal memandang wajah adiknya.

“Angah nak cakap sikit dengan along.”

“Angah nak cakap apa?”

“Sebenarnya angah nak cakap pasal Aleesya.”

“Aleesya? Kenapa dengan dia?” Ajmal berasa pelik. Kenapa tiba-tiba sahaja, adik lelakinya mahu bercakap tentang anaknya pula?

“Along izinkan tak, kalau Esya nak kahwin?”

“Kahwin? Esya nak kahwin ke?”

“Ya. Ada orang nak masuk meminang. Kalau nak diikutkan minggu depan dia nak langsungkan pernikahan.”

“Minggu depan?  Kenapa cepat sangat? Esya tak beritahu along pun.”

“Along tahukan, Esya sekarang tengah buat overtime cari duit lebih untuk tampung kos rawatan along dengan Amira di universiti?”

Ajmal menganggukkan kepalanya.

“Jadi angah fikir, lebih baik Esya kahwin dengan lelaki tu. Lelaki tu juga akan tampung kos rawatan along nanti.”

“Tapi kenapa sampai macam tu? Dah macam nak jual anak aje.”

“Habis tu along nak ke Esya setiap hari balik lambat sebab nak buat overtime? Kadang-kadang sampai tak cukup duit nak makan. Angah kalau ada duit lebih ada juga membantu, tapi sampai bila? Sebab angah pun ada tanggungan juga.”

Ajmal mengeluh perlahan. “Siapa lelaki tu?”

“Majikan angah.”

“Majikan angah? Baik ke orangnya? Angah baru kerja dengan dia, kan? Boleh percaya ke lelaki tu? Dan angah dah kenal ke hati budi dia?”

“Insya-Allah along. Jangan risau. Lelaki tu baik. Memang dia nak cari calon isteri.”

Ajmal mengeluh perlahan. “Esya setuju ke?”

“Dia cakap dia setuju.”

“Kalau dia dah cakap macam tu, along tak boleh nak cakap apa.”

“Jadi, along setujulah ya, Esya kahwin?”

Ajmal mengangguk perlahan, walaupun di dalam hatinya berat untuk bersetuju.

“Dan lagi satu. Along jangan lupa ya? Along kena beritahu Esya, yang sebenarnya dia hanya anak angkat along. Lagipun nikah nanti, dia perlu berwalikan hakim.”

“Along tahu. Nanti malam along beritahu pada dia.” Ajmal menundukkan kepalanya. Ya, dia perlu memberitahu kepada Aleesya, bahawa Aleesya hanyalah anak angkatnya sahaja.

 

 

MALAM itu Aleesya pulang dengan membawa dua bungkus nasi yang dibungkus dari kedai makan tadi, berserta dengan barangan dapur yang lain. Setelah meletakkan barang-barang di atas meja, dia terus mencapai tualanya untuk membersihkan diri.

“Esya, mari sini nak,” panggil Ajmal dari dalam bilik.

“Ada apa ayah?” laung Aleesya dari dalam bilik.

“Ayah nak cakap sikit dengan Esya.”

Aleesya terus berjalan menuju ke bilik ayahnya. “Ayah nak cakap apa?”

“Sini...” Ajmal mengeluarkan satu kotak kecil dari bawah bantalnya. Dia terus menghulurkan kotak kecil tersebut kepada Aleesya.

“Kotak apa ni?”

“Bukalah.”

Tanpa menunggu, Aleesya terus membuka kotak kecil tersebut. Di dalamnya ada satu utas rantai emas, dan buahnya berbentuk daun, berwarna hijau zamrud.

“Itu Esya punya rantai.”

“Esya punya?”

“Ya.”

Aleesya merenung rantai emas yang berada di dalam kotak kecil tersebut.

“Esya sebenarnya ayah nak cakap sikit.”

Aleesya menghalakan pandangannya ke arah ayahnya. “Ayah nak cakap apa?”

“Kamu sebenarnya bukan anak ayah.”

Aleesya tersenyum. Dia sedikit pun tidak terkejut.

“Kenapa kamu senyum?”

“Esya dah tahu, Esya bukan anak ayah.”

Berkerut dahi Ajmal saat ini. Bagaimana pula Aleesya boleh mengetahuinya?

“Sebabnya muka Esya dengan muka mak dan ayah tak sama. Apatah lagi nama. Aleesya binti Abdullah, kan?”

“Ayah, ayah minta maaf sebab tak beritahu awal-awal.”

“Tak apa ayah. Esya tak kisah pun. Dari umur Esya 10 tahun lagi, Esya dah tahu, yang Esya bukan anak kandung ayah dengan mak. Esya pun tak nak tanya, kenapa binti Abdullah? Kenapa bukan Ajmal? Walaupun Esya berbintikan Abdullah, Esya dah anggap ayah dengan arwah mak, macam keluarga kandung Esya sendiri. Dan Esya bersyukur, ada ayah dan arwah mak yang sudi besarkan Esya. Sebab tu Esya tak ambil kisah pasal semua tu.” Aleesya tersenyum.

“Ayah minta maaf...”

“Jangan minta maaf ayah. Ayah tak salah apa-apa pun dengan Esya. Esya bahagia hidup dengan ayah, mak, Mira...” Air mata Aleesya mula bertakung, tetapi dengan pantas dia menyekanya.

Ajmal mengusap kepala Aleesya dengan lembut.

“Ayah. Ni rantai arwah mak punya ke?”

“Tak. Tu bukan arwah mak punya. Rantai tu memang ada pada leher kamu masa kami jumpa kamu dulu. Ayah pun tak tahu siapa yang letakkan kamu dekat depan rumah kosong dulu. Masa tu pula, arwah mak kamu baru dua bulan mengandungkan adik kamu Amira.”

“Esya dijumpai depan rumah kosong?”

“Ya.”

“Jadi ayah tak tahu siapa keluarga Esya?”

“Ayah memang tak tahu. Masa tu dah malam. Kami berdua baru pulang dari pasar malam. Kebetulan terdengar suara bayi menangis. Dan waktu tu juga, ada anjing yang cuba nak terkam Esya. Nasib baik ayah sempat selamatkan Esya. Esya kecil lagi masa tu. Umur Esya dalam 6 bulan. Ayah minta maaf Esya, sebab lambat beritahu kamu.”

“Tak apalah ayah. Esya dah redha. Mungkin ada sebab kenapa keluarga Esya buang Esya. Mesti dia orang pun tak perlukan Esya.”

“Eh, jangan cakap macam tu Esya. Tak elok. Tak mungkin keluarga kamu nak buang kamu. Takkanlah dia orang nak buang masa umur kamu dah 6 bulan. Pasti ada sebab yang kita tak tahu. Ayah ada pergi buat report polis. Tetapi tiada siapa yang tampil. Sehinggalah, ayah dan arwah mak buat keputusan untuk ambil Esya jadi anak angkat kami.”

Aleesya memandang rantai di tapak tangannya. Umur 6 bulan dia sudah dibuang. Pasti ada sebab, kenapa dia dibuang ketika umur dia sebegitu.

“Pagi tadi, pak ngah kamu ada datang rumah. Kamu setuju ke bernikah dengan lelaki yang nak tolong kita tu?”

“Ya ayah. Esya dah bersetuju. Esya nak bantu ayah, nak bantu Mira. Kalau tak, siapa lagi nak bantu keluarga kita, kan?”

“Ayah rasa, ayah dah menyusahkan kamu. Ayah minta maaf nak. Ayah minta maaf. Ayah langsung tak berguna. Sepatutnya Amira yang harus bantu ayah. Bukannya Esya.”

“Ayah, walaupun Esya ni hanya anak angkat, Esya tetap bersyukur, sebab ayah sudi ambil Esya jadi anak ayah. Entah-entah Esya dah mati dah kut, dibunuh anjing liar tu, kalau ayah dan arwah mak tak jumpa Esya. Sekarang ni, biarlah Esya bantu keluarga kita. Esya tak kisah langsung berkorban untuk ayah, dan juga untuk Mira.”

Ajmal berasa sebak. Tangan Aleesya digenggam erat. “Ayah minta maaf ya nak?”

“Jangan minta maaf. Esya ikhlas bantu ayah. Esya ikhlas...” ulang Aleesya.

Ajmal tersenyum sayu. Dia bersyukur, walaupun Aleesya hanyalah anak angkat, tetapi anaknya itu tetap menganggapnya sebagai ayah kandungnya.

 

 

“KAU serius ke nak kahwin ni?” soal Nurul.

“Yalah, aku serius. Kenapa?”

“Macam mana rupa lelaki tu? Ada gambar dia?”

“Tak ada. Aku pun tak pernah tengok muka dia.”

“Kau gila ke? Tak tengok muka. Sudahlah esok kau dah nak nikah. Kau ni agak-agaklah. Last minute tahu tak, kau beritahu nak nikah. Tak ada angin, tak ada ribut. Aku betul-betul terkejut.”

“Pak ngah aku pun tak tunjuk. Aku pun malaslah nak tanya lebih-lebih. Yang penting, ada orang nak tolong keluarga aku pun, aku dah bersyukur.”

“Kau ni sah gila. Ada ke nak nikah tanpa tengok muka. Entah-entah buruk ke muka dia. Kau tu dah la cantik.”

“Kau juga yang suruh aku kahwin dengan orang kaya, kan? Ni aku dapat orang kayalah.”

“Kaya tapi tak tengok muka macam mana?”

“Biarlah. Aku malas nak fikir.”

“Aku risaukan kau, kau tahu tak? Kaya sangat ke laki tu? Kerja apa? Entah-entah orang jahat ke?”

“Aku tak tahu. Pak ngah aku tak nak cerita apa-apa pun. Aku tak kisah rupa dia pun. Buruk ke handsome ke aku tak peduli. Aku redha dan aku ikhlas terima dia. Biarlah. Yang penting aku dapat bantu ayah aku dengan adik aku.”

“Eh, Esya. Sekarang ni, kau dah gadai maruah kau dekat lelaki tu, semata-mata untuk keluarga kau, kau tahu tak? Kau fikir tak tentang diri kau? Nampak sangat, keluarga kau tak pedulikan kau langsung. Dah macam nak jual anak! Keluarga kau tu, nak pergunakan kau aje, Esya!” marah Nurul.

“Nurul! Kau jangan nak cakap keluarga aku macam tu! Kalau tak aku, siapa lagi yang nak tolong! Aku tak sangka kau macam ni Nurul. Sepatutnya kau sokong aku, dan bagi aku kekuatan. Bukannya tuduh keluarga aku macam-macam.” Aleesya terus berjalan meninggalkan Nurul di situ.

Nurul terdiam. Dia sudah melukakan hati rakannya itu. Aleesya sudah jauh meninggalkannya. Dia pantas mengejar Aleesya.

“Esya tunggu. Maafkan aku. Aku tak ada niat nak cakap kau macam tu. Aku tahu aku salah. Maafkan aku Esya.” Tangan Aleesya ditarik.

Aleesya berhenti. Dia memandang wajah rakan baiknya itu. “Kau tak faham Nurul. Kau tak faham.”

“Esya aku tak sedar apa yang aku cakap tadi. Aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Aku tak patut cakap macam tu. Tapi aku kesiankan kau. Aku takut apa-apa jadi dekat kau nanti. Aku betul-betul takut. Lagipun kau kawan baik aku. Aku tak nak apa-apa jadi pada kau. Dan lelaki  tu pun kau tak kenal dia siapa. Aku takut laki tu akan buat apa-apa pada kau nanti.”

“Nurul, aku ni anak angkat aje Nurul. Sebab tu aku nak balas balik budi  ayah aku, sebab dia sudi besarkan aku sampai sekarang ni. Sebab tu aku setuju nikah dengan lelaki tu.”

“Ha? Kau anak angkat?”

Aleesya menganggukkan kepalanya.

“Sekarang ni, aku hanya berserah pada Allah sahaja. Aku harap, lelaki yang aku akan nikah esok ni, bukanlah seperti lelaki yang kau fikirkan. Aku tahu, mungkin ada sebab tertentu kenapa lelaki itu sorokkan identiti dia.” Aleesya terdiam seketika.

“Esok, aku akan nikah di homestay dia. Dia takkan datang ke rumah aku. Dan tiada jemputan. Hanya aku, dan ibu bapa saudara aku sahaja yang akan pergi ke sana. Aku minta maaf tak dapat jemput kau Nurul. Sebab itulah, last minute aku baru beritahu kau. Aku harap kau faham. Tolong Nurul, berikan aku sokongan.”

Nurul terus memeluk erat tubuh Aleesya. “Aku harap kau bahagia Esya. Aku akan sentiasa berada di sisi kau. Kalau kau perlukan apa-apa pertolongan, beritahu aku ya?”

“Terima kasih Nurul. Terima kasih.” Tubuh Nurul dipeluk dengan erat.

 

 

WAJAH Aleesya sudah siap disolek oleh mak andam tadi. Dia kini sedang mengenakan busana nikah berwarna putih. Lain benar wajahnya apabila disolek. Sejak dari malam tadi, dia langsung tidak dapat melelapkan matanya. Benarkah keputusan yang dibuatnya? Ikhlaskah dia untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya?

Kedengaran satu pesanan ringkas masuk. Aleesya terus mengambil telefon bimbitnya di atas katil. Tertera satu mesej dari sahabat baiknya Nurul.

 

Nurul : Semoga dipermudahkan segala urusan. Sedih rasanya, tak dapat nak tengok kau nikah.

 

Aleesya mula berasa sebak.

“Dah ready ke Esya?” Sakinah muncul di muka pintu.

Aleesya tersentak. Dia memandang wajah ibu saudaranya. “Dah mak ngah.”

“Jom kita pergi. Pihak lelaki dah on the way ke homestay. Jam pun, dah nak pukul 8 malam ni. Kita kena sampai sana sebelum pukul 9.”

“Kejap ya mak ngah. Esya nak jumpa ayah.”

Sakinah mengangguk.

Aleesya terus sahaja menuju ke bilik ayahnya. Kelihatan ayahnya yang sedang termenung memandang siling.

“Ayah, Esya dah nak pergi ni.”

Ajmal memandang Aleesya. “Esya, betul ke keputusan yang Esya buat ni?”

“Ya ayah, Esya dah buat keputusan. Esya tetap akan bernikah dengan lelaki tu.”

“Ayah minta maaf Esya, sebab susahkan Esya.”

“Sudahlah ayah. Esya ikhlas ayah.”

“Baiklah. Kamu jaga diri baik-baik ya?”

“Ya ayah. Nanti Esya balik sini ya, bila semuanya dah selesai. Esya akan bawa bakal suami Esya sekali.”

Ajmal menganggukkan kepalanya.

Aleesya terus sahaja menyalami tangan ayahnya, lalu dia berlalu keluar dari bilik tersebut. Air matanya mengalir perlahan di pipi.

“Kamu okey ke tak ni Esya?” tegur Ajib, yang sedang berdiri di pintu kereta.

“Okey. Cuma Esya sedih sikit aje. Ayah tak dapat nak tengok Esya nikah.” Air mata dilap perlahan dengan menggunakan tisu di tangan.

Ajib mengeluh perlahan. Dia mula berasa serba salah.

“Hmm, pak ngah. Macam mana rupa bakal suami Esya ya? Sampai ke hari ini, Esya tak tahu langsung rupa dia. Tak boleh ke kalau Esya nak tahu? Pak ngah ada gambar dia?” soal Aleesya tiba-tiba.

“Esya tengok ajelah nanti ya? Maaf, pak ngah tak ada gambar dia.”

Aleesya mengeluh perlahan.

“Dah jom kita gerak. Nampak macam dah nak hujan ni.” Ajib terus melangkah masuk ke dalam perut kereta begitu juga dengan isterinya Sakinah.

Aleesya sempat memandang sekilas rumahnya, sebelum dia melangkah masuk ke dalam kereta.

Dadanya mula berdebar-debar. Siapakah bakal suaminya? Dan apa yang begitu rahsia sangat tentang lelaki itu?

Novel Aku Isterinya kali ini, versi Unlock Chapter ya. Untuk next chapter, memerlukan Ncoins untuk baca. Sebabnya novel ni, pernah dibuat bacaan percuma pada tahun 2020 - 2021. Untuk tahun 2022, Alin buat versi baru, yang telah siap diedit tatabahasa dan ada penambahan di setiap chapter. Terima kasih.

Share this novel

Rasyidah Hamid
2020-07-12 09:38:37 

omg gurlssssssss


NovelPlus Premium

The best ads free experience