Semalam penat dengan majlis nikah. Hari ini tibalah pula hari kendurinya. Wieyda tak kurang sibuknya ke sana ke sini. Tetamu sudah ada yang mula datang. Tidak lama lagi pengantin lelaki akan sampai. Dia mengenakan jubah moden yang ringkas tapi menarik yang berwarna biru muda dihiasi manik-manik di sepanjang belahan depan baju dan lengan baju. Jubah biru hitam itu kelihatan cantik pada tubuh langsingnya, sesuai dengan warna kulitnya yang tidak terlalu cerah, tidak terlalu gelap. Tudung berwarna senada dikenakan di kepala, kemas dan sopan.
Dia turun ke halaman. Agak ramai tetamu yang sudah ada di bawah khemah, sedang menjamu selera. Dia mendekati ibunya di khemah yang dikhaskan untuk golongan wanita. Ibunya yang turut berpakaian dengan tema warna yang sama tersenyum melihatnya.
“Kejap lagi rombongan sampai. Bila mereka nak makan, Kak ngah tolong tengok-tengokkan mereka makan dekat khemah pengantin ye dengan Che Su. Ibu kena duduk sini, dengan tetamu. Tak boleh selalu ada di khemah pengantin.” ujar ibu. Wieyda mengangguk walaupun berat hati. Pasti lelaki malam tadi akan ada lagi. Lelaki itu tidak pernah memandangnya bila berhadapan, tapi bila jauh dia terasa macam ada orang yang curi-curi pandang.
******
“Terima kasihlah Mah, Man, Wieyda. Kenyang ha makannya.” Encik Ghani, bapa pengantin lelaki bersuara setelah mereka mahu berangkat pulang. Wieyda sekadar mengangguk saja bersama senyuman.
“Wieyda bila balik Perak?” soal Puan Azah.
“Lusa mak cik…” Ujarnya sopan. Dia bukan mesra alam sangat tapi bila dengan orang tua, nak kena jaga adab juga.
“Alah Wieyda ni.. panggil mak saja. Kita dah jadi keluarga juga.” sela Puan Azah. Wieyda angguk. Sejak lepas majlis nikah malam tadi dia ada perasan Puan Azah yang lebih suka membahasakan diri sebagai mak.
“Kami berangkat dululah ye Mah, Man. Dah petang sangat dah ni. Nanti nak bertolak balik sana lagi..” ujar Encik Ghani smabil menyalami Encik Azman. Mereka mengiringi keluarga pengantin lelaki ke kereta.
Sebelum wanita itu masuk ke dalam kereta lelaki yang sering memandang curi kepadanya, Wieyda tersentak bila Puan Azah menyentuh lengannya lembut namun bibirnya bercakap dengan Puan Zaimah.
“Nanti ada rezeki, cepat la pulak kita boleh jumpa, ye Mah. Kalau ada rezeki, kena datang lagi la Kak Azah ke sini..” Wieyda tidak mengerti maksud kata-kata itu, tapi yang pasti serasa macam ada satu keanehan bila memandang cara Puan Azah merenungnya.
Di saat Wieyda menyalami tangan wanita itu pun, tepukan mesra turut singgah di bahunya. Ah, mungkin wanita ini memang mesra alam sejak azali.
Share this novel