BAB 5

Humor Completed 631

SEPERTI yang ibu janjikan, malam ke 28 Ramadan selepas balik dari surau
ibu terus masuk ke dapur. Tanpa berlengah ibu mula membancuh bancuhan
Kuih Goyang Ros dan aku hanya duduk memerhati dengan teliti.

Aku biarkan sahaja ibu melakukannya tanpa gangguan. Aku faham, bancuhan
itu amat istimewa bagi ibu. Ternyata, ingatan ibu masih utuh. Dia
membancuh tanpa menyukat atau membaca resepi bagaikan segala-galanya
sudah sebati dalam dirinya seperti sebatinya kasih dia dan arwah ayah.

Hampir pukul 1.00 pagi, semua bancuhan siap aku goreng. Kuih Goyang Ros
sudah ada dua bekas plastik yang besar di tepi dinding. Aku lega kerana
ibu sedikit pun tidak kelihatan sedih ataupun bersungut semasa
menyediakannya.

“Dah siap ke?” tanya Noni yang baru masuk ke dapur.

“Dah siap baru nak ke dapur?”

“Noni nak minum airlah.” Noni buka peti ais lalu mengeluarkan sebotol air
sejuk. Botol itu dibawa ke meja makan, lalu dia duduk. “Nak pula mak
buat kuih ni ya?”

“Shh…” Aku jeling ke pintu dapur. Mujur ibu tidak ada di situ, aku rasa
ibu sudah pun masuk ke biliknya berehat.

“Ooops!” Noni tutup mulut.

“Jangan cakap macam tu, nanti mak sedih,” kataku. Aku juga sudah duduk
di sisi Noni melepaskan lelah berdiri beberapa jam kerana menggoreng Kuih
Goyang.

“Kalau Noni tanya along, along nak jawab tak?”

“Tengoklah pada soalannya.” Aku sendiri mula mengunyah Kuih Goyang
perlahan-lahan. Entah kenapa, rasa dan bau kuih itu tidak dapat tidak
memanggil ingatanku terhadap arwah abah. Aku mula rasa sedih dan rasa
bersalah kepada ibu. Entah bagaimanalah perasaan ibu agaknya….

“Noni tak fahamlah.”

“Apa yang Noni tak faham?”

“Along ni bercinta dengan siapa? Atau along bercinta dengan dua orang
sekaligus?”

“Fasal itu ke?” Aku faham Noni tidak memahami situasiku. Aku yakin ibu
pun sama cuma ibu tidak pula bertanya.

“Dua-dua along tak cinta,” jawabku sejujurnya. Memang itulah
kenyataannya. Baik Haikal, mahupun Mukhriz, kami tidak pernah bercinta
seperti pasangan lain. “Kami cuma rapat. Kawan.”

“Kalau setakat berkawan, takkan sampai nak datang rumah jumpa mak?
Takkan nak kahwin dengan along pula?”

Aku tersengih. Memang bagi Noni , kalau mahu berkahwin mestilah bercinta
dan berpasangan dahulu seperti pasangan lain. Bagaimana boleh terus
berkahwin tanpa bercinta dahulu?

“Dah mereka ajak kahwin,” balasku. “Dan along tak ada sebab untuk
menolak mereka. Dua-dua along sayang sebagai kawan. Dua-dua baik dari
segi agama dan akhlak. Dua-dua layak jadi suami dan masih bujang.”

“Tapi kan… yang mana satu along rasa along nak buat suami?”

Aku angkat bahu. “Biar mak pilih. Along rasa mak pun mesti tak boleh pilih.”

Noni tidak menyoal lagi. Aku yakin Noni masih tidak boleh memahami apa
yang aku buat. Aku tidak percaya kepada cinta yang beria-ia sebelum
berkahwin kerana aku yakin perkahwinan itu bukan semata-mata kerana
cinta. Ia satu perjalanan dan aku perlukan seorang yang aku selesa untuk
bersama di sepanjang perjalanan hidup itu….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience