Bab 5

Short Story Series 55831

Malam itu seperti kebiasaan malam-malam yang lain apabila Rina terjaga dari tidurnya, dia akan bangun bermunajat kepada Allah. Malam itu lain rasanya, kesunyian malam dan terkadang suara cengkerik di luar yang menemani sungguh membuatkan Rina rapuh dan bersujud lama dari kebiasaannya. Air matanya mengalir deras, dia mengadu dan merintih kepada Allah dengan ujian demi ujian yang dihadapinya. Satu-persatu orang yang dicintainya pergi meninggalkannya. Ayah, ibu dan nenek semua pergi meninggalkan dirinya menjadi sebatang kara di dunia ini.

Ayah yang tidak pernah dikenalinya kerana ayahnya pergi menghadap Ilahi ketika dia di dalam kandungan ibunya akibat lemas di lautan kerana perahu yang dinaikinya terbalik diterajang ombak ketika menangkap ikan. Ibunya meninggal akibat serangan jantung selepas mendengar khabar buruk dari dirinya dan Nek Jah pula meninggal dunia genap dua minggu Puan Mawar meninggal akibat sakit tua. Percaya atau tidak itulah yang terjadi kepada dirinya dalam sekelip mata.

Sekarang, satu lagi ujian yang harus ditanggunginya iaitu tentang kehamilan dirinya. Rina membayangkan bagaimana reaksi Aqilah dan Jun jika mereka mendapat tahu bahawa dirinya sedang hamil muda. Apakah mereka akan turut sama meninggalkan dirinya? Bagaimana pula reaksi orang sekelilingnya apabila mendapat tahu tentang perkara ini? Otaknya buntu memikirkan jalan keluar, hanya Allah tempatnya meminta petunjuk.

Rina mengakhiri solat witir satu rakaatnya dengan salam. Air matanya masih mengalir tidak mahu berhenti. Jun dan Aqilah masing-masing sedang pulas tidur tidak menyedari tangisan Rina di ruang tengah bilik mereka.

Rina mengangkat kedua-dua tangannya ke atas selayaknya orang berdoa.

"Ya Allah, hamba ini lemah tanpa kekuatan yang Kau berikan kepada hamba. Pinjamkan hamba secebis kekuatan-Mu untuk meneruskan perjalanan hidup yang penuh pancaroba ini. Ya Rahman, kasihi hamba sebagaimana Kau mengasihi hamba-hamba-Mu yang beramal soleh. Ya Rahim, sayangi hamba sebagaimana Kau menyayangi hamba-hamba-Mu yang berkasih sayang atas rahmat-Mu. Ya Rauuf, pujuklah hati ini yang semakin hari semakin lemah dan berputus asa kerana ujian yang melanda diri yang hina ini. Hamba tiada sesiapa lagi di dunia ini untuk mendengar keluh kesahku kecuali-Mu, Ya Allah.

Ya Ghaffaar, ampuni hamba yang penuh dengan dosa-dosa. Baik dosa yang kecil atau dosa yang besar. Dosa yang hamba sengajakan atau dosa yang tidak hamba sengajakan. Ampuni abi yang rela berkorban demi kami sekeluarga, ampuni ibu yang sudah melahirkan dan membesarkan hamba. Ampuni nenek yang banyak mendidik hamba dengan ilmu agama. Ampuni suamiku... walau dimanapun dia berada. Ampuni muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang sudah meniggal dunia.

Ya Allah, hamba hanya berharap Kau lindungi hamba dan anak hamba ini daripada kecelakaan dan panahan mata syaitan walau dimanapun kami berada. Permudahkan urusan hamba dunia dan akhirat. Sesugguhnya hamba serahkan hidup dan mati hamba kepada-Mu."

Rina meraup wajahnya selepas selesai berdoa. Dia bangkit semula mengangkat takbir dan langsung sujud. Dia bersujud lama tanda mensyukuri nikmat yang diberikan Allah iaitu merupakan kandungan pertamanya.

Selesai menyelesaikan solat sunat, Rina tidak langsung tidur tetapi dia menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah kepada mereka. Itulah rahsianya mengapa dia sering menyelesaikan tugasan yang diberikan awal berbanding sahabatnya yang lain. Ketika waktu pagi, sel-sel otak mudah berhubung berbanding di waktu malam kerana tenaga sudah dihabiskan sepanjang hari. Rina menyelesaikan tugasnya sehingga selesai dan ketika itu azan subuh berkumandang daripada Pusat Islam.

Rina membangunkan Jun dan Aqilah untuk membersihkan diri dan menunaikan solat subuh berjemaah di dalam bilik mereka. Kerana waktu masih gelap, pelajar perempuan tidak digalakkan keluar menunaikan solat subuh berjemaah di Pusat Islam jika jumlahnya sedikit. Rina sudah berlalu pergi mengambil tualanya untuk membersihkan diri kerana tidak mahu berebut dengan pelajar lain untuk masuk ke tandas jika dia terlewat.

Pejam celik pejam celik sudah tiga bulan usia kandungan Rina tetapi masih tiada siapa yang menyedarinya kerana faktor pakaian yang dikenakan Rina dan juga perutnya yang kecil. Malam itu semua pelajar dijemput untuk memeriahkan majlis kebudayaan yang dilaksanakan oleh kelab kebudayaan universiti di dewan terbuka. Aqilah dan Jun sudah bersiap-siap mahu ke dewan manakala Rina masih belum menukar pakaiannya. Sebenarnya Rina begitu malas hendak keluar kerana waktu malam tidak baik untuk dirinya yang sedang mengandung takut nanti masuk angin tetapi untuk dia tinggal di asrama sendirian juga bukan perkara yang baik kerana terdapat beberapa kes histeria sebelum ini.

"Kenapa tak tukar pakaian lagi ni?" Aqilah sudah mula membebel apabila melihat Rina yang masih duduk di meja belajarnya sambil melihat mereka.

"Malaslah. Boleh tak kalau aku tak nak pergi?" Rina menunjukkan wajah malasnya hendak ke dewan utama.

"Jangan nak ngada-ngada duduk sendiri. Asrama sunyi ni, semua pelajar pergi dewan utama nak tengok persembahan. Mana baju kau?" Jun menjeling Rina dan mula membuka almari pakaian Rina. Diambilnya baju muslimah dan seluar sukan sebelum diberikan kepada Rina untuk menyalin pakaian.

Rina mengambil malas baju dihulurkan dan membelakangkan Aqilah dan Jun ketika mahu menukar baju yang dipakainya dengan baju yang diberikan oleh Jun sebentar tadi. Jun yang sibuk memerhati melihat buncitan di perut Rina daripada tepi. Setahunya Rina tidak mempunyai perut yang buncit atau boroi kerana gadis itu membuat kawan-kawan mereka cemburu melihat perutnya yang kempis. Apakah dia tersalah lihat atau memang perut Rina sudah membuncit?

Rina berpaling apabila selesai menyalin pakaian. Wajahnya hanya dihiasi bedak tipis sebelum memakai tudung sarung bewarna hitam. Nampak wajahnya yang masih belia apabila mengenakan tudung kokurikulum sekolah menengahnya dahulu. Rina sempat mengambil purdahnya dan diikat menutupi hidung dan mulutnya. Sudah sebulan dia mengenakan purdah selepas mendapat keizinan daripada pihak universiti.

Mereka berjalan beriringan menuju ke dewan terbuka. Mereka sengaja memilih jalan yang terdekat untuk ke sana supaya mereka tidak perlu melepasi asrama lelaki. Ketika mereka sampai di dewan terbuka, dewan itu sudah dipenuhi oleh para pelajar. Kedudukan mereka berterabur, lelaki dan perempuan duduk bercampur. Seharusnya kedudukan mereka harus dipisahkan, pasti pelajar kelab kebudayaan lupa dengan peraturan universiti dimana lelaki dan perempuan tidak boleh duduk bercampur. Rina mencari tempat duduk yang sedikit lenggang daripada kaum lelaki sebelum tiba-tiba Syahiran menegur mereka.

"Wei sini, aku dah copkan tempat duduk korang." Syahiran menunjukkan tiga tempat duduk yang kosong kepada mereka.

Aqilah dan Jun terus menarik tangan Rina menuju ke tempat duduk yang ditunjukkan oleh Syahiran tadi. Disebelah tempat duduk mereka ada Syuhada dan kawan-kawan gadis itu. Rina menyepetkan matanya menunjukkan bahawa dia sedang tersenyum kepada Syuhada tetapi Syuhada hanya memandang sekilas sebelum berbual lagi dengan kawan-kawannya. Aqilah yang terperasankan kejadian itu mencebik, dia memang kurang senang dengan teman wanita Syahiran yang sombong tidak kena tempat itu.

Rina memilih duduk di hujung sekali agar mudah untuknya keluar bila-bila masa agar tidak mengganggu sahabatnya yang menonton persembahan. Rina hanya memandang kosong persembahan itu kerana tidak mampu menarik minatnya seperti pelajar yang lain. Rina menggeliatkan badannya yang lenguh beberapa kali sebelum telefon bimbitnya bergetar.

'Assalamualaikum wbt, Rina sudah mengantuk ke? Macam tak fokus saja pada persembahan.' – Aqil

Rina membaca berulang kali mesej daripada Aqil itu. Dia tidak tahu sama ada dia mahu membalas mesej Aqil itu atau tidak kerana sudah tiga bulan dia tidak pernah membalas mesej lelaki itu. Rina mengeluh dan memasukkan semula telefonnya ke dalam poket seluar. Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.

'Rina, Aqil ada buat salah ke? Sudah lama Rina tidak balas mesej Aqil. Aqil ingat mungkin Rina sibuk dengan tugasan memandangkan ini semester terakhir Rina sebelum latihan industri, tapi nampaknya Rina memang sedang menjauh dari Aqil. Kenapa?' – Aqil

Rina membaca sambil menahan rasa di hati. Jika dulu dia dengan mudah membalas mesej lelaki itu tetapi kali ini dia sudah tidak boleh melakukan hal itu. Mungkin benar salah satu sebabnya dia sudah berkahwin jadi tidak mungkin dia berbalas mesej dengan lelaki lain walaupun dia yakin suaminya itu tidak memperdulikan tentang dirinya tetapi salah satu sebab juga ialah sejujurnya dia mempunyai perasaan terhadap Aqil. Dia harus menjauhi lelaki itu sementara perasaannya masih boleh dikawal. Inilah yang terbaik untuk mereka berdua.

Rina sudah lama jatuh cinta dengan lelaki itu sejak di awal semester. Kewibawaan lelaki itu mencuri tumpuannya. Setiap kali Aqil muncul di hadapan matanya dia tidak melihat orang lain kecuali hanya lelaki itu. Inilah yang dikatakan cinta itu buta. Merasakan Aqil juga seperti mempunyai rasa yang sama seperti dirinya membuatkan dia benar-benar bahagia. Disetiap doanya, Rina sering mendoakan agar lelaki itu adalah lelaki yang dinanti selama ini.

Mereka tidak pernah berbual tentang perasaan. Cukup diri masing-masing merasakan tanpa perlu mengucapkan. Rina benar-benar menjaga hatinya untuk Aqil sebelum ini. Tetapi Allah berkehendak lain, dia ditakdirkan berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dikenali atau dicintai oleh dirinya. Walaupun pahit dirasakan, Rina sudah mula belajar menerima kenyataan itu sikit demi sedikit sehingga ke hari ini. Kini Rina hanya menumpukan seluruh cintanya kepada Allah dan anak yang dikandung.

Disisi lain Rina begitu bersyukur kerana Allah menahan dirinya daripada meluahkan perasaan kepada Aqil kerana Allah Maha Mengetahui apa yang akan berlaku kepada dirinya pada masa hadapan. Rina tidak mahu Aqil berharap kepadanya jadi dia mengambil jalan untuk menjauhi Aqil dengan tidak lagi membalas mesej lelaki itu. Jika ini dikatakan pengorbanan cinta, maka itulah yang dilakukan saat ini. Aqil berhak mendapatkan wanita yang lebih baik berbanding dirinya.

'Rina, sampai hati awak mendiamkan Aqil seperti ini. Rina betul-betul sudah tidak mahu berkawan dengan Aqil ke?' – Aqil

Rina tersedar dari lamunannya apabila telefonnya bergetar sekali lagi. Rina masih tidak membalas mesej Aqil. Dimatikan telefon bimbitnya dan dimasukkan semula ke dalam poket seluarnya. Rina memandang ke hadapan cuba memfokuskan dirinya dengan persembahan tarian zapin ketika itu agar dia tidak memikirkan soal itu lagi.

Selesai saja majlis kebudayaan, perlahan-lahan semua pelajar mula meninggalkan dewan utama untuk balik ke asrama masing-masing. Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Rina, Jun dan Aqilah berjalan beriringan sambil bercerita tentang keseronokan penampilan yang dipersembahkan sebentar tadi sebelum tiba-tiba langkah Rina terhenti apabila melihat Aqil bersama beberapa orang sahabatnya berada di jalan hadapan mereka.

"Kenapa?" Jun bertanya menyedari Rina yang berhenti daripada berjalan.

Rina menggelengkan kepalanya dan mengejar semula langkah kedua sahabatnya itu. Rina menunduk memandang jalan tidak mahu memandang Aqil yang semakin mereka hampiri. Tiba-tiba daripada belakang terdengar suara seorang pelajar perempuan menegur Aqil.

"Abang Aqil, kenapa jalan kat sini? Bukan jalan kat sana lebih dekat dengan asrama lelaki ke?" Areen menegur Aqil dengan senyuman manis menggodanya.

"Saja, nak cari angin malam. Tasik ini malam-malam nampak cantik juga." Aqil seperti sengaja menguatkan suaranya agar boleh didengar oleh Rina. Rina masih memandang ke bawah tidak mahu mengangkat wajahnya.

"Eh, Jun. Iqmal mana?" Aqil sengaja memanggil Jun dan bertanyakan soalan yang tidak masuk akal apabila Rina masih tidak memperdulikan dirinya.

"Manalah saya tahu dia di mana." Jun tersipu malu apabila Aqil bertanyakan tentang Iqmal kepada dirinya.

"Areen, kau ni tak habis-habis nak berdating je." Aqilah mengacau Areen yang terkenal sebagai gadis paling cantik di jabatan mereka. Juga bukan lagi rahsia bahawa gadis itu tergila-gilakan Aqil walaupun Aqil tidak melayani dirinya lebih dari seorang kawan.

"Sekejap je, lepaskan rindu." Areen tanpa segan silu menunjukkan perasaannya kepada Aqil. Biar Aqil tahu bahawa dia benar-benar menyukai lelaki itu.

Mereka yang mendengar kata-kata Areen ketawa geli hati. Kawan-kawan Aqil saling menyiku satu sama lain. Rina tidak membuat apa-apa reaksi kerana wajahnya ditutupi purdah jadi tiada siapa yang dapat melihat riak wajahnya ketika itu.

"Apa lagi Qil? Khitbahlah jadikan calon isteri." Zaim salah satu kawan Aqil pula mengusik untuk memeriahkan suasana yang sudah gamat itu.

"Maaflah, Areen. Tapi Areen terlambat sikit je. Abang dah ada calon sendiri, InsyaAllah habis saja kuliah abang nak lamar bakal zaujah abang." Aqil membalas usikan Zaim itu dengan kata-kata yang serius tetapi masih sengaja dibunyikan seperti satu jenaka. Matanya mencuri pandang ke arah Rina tanpa orang lain perasan.

"Eleh, Areen tak payah percaya sangat dengan Aqil ni. Mulut je cakap lain entah-entah hati dia berbunga indah. Mana tahu bakal zaujah yang nak dikhitbah itu Areen." Zaim mencebik merasakan Aqil hanya bercanda untuk melepaskan diri daripada Areen.

"Sudah lewat malam, saya minta diri dulu untuk balik ke asrama." Rina menegur secara hemah kerana takut dikatakan perosak suasana gembira. Dia dengan segera meninggalkan kumpulan kecil itu diikuti Aqilah dan Jun. Areen dengan hati yang berat itu sama melangkah pergi meninggalkan Aqil dan kawan-kawannya.

Aqil dan kawan-kawannya memandang pelajar-pelajar perempuan itu selamat masuk ke dalam pagar asrama perempuan sebelum mereka turut berlalu pergi. Bukan saja sudah lewat malam tetapi mereka terlupa adab dan akhlak pergaulan lelaki dan perempuan. Memang mereka tidak melakukan apa-apa selain daripada berbual-bual tetapi syaitan juga tidak kenal erti berputus asa untuk menyesatkan manusia.

Disisi lain, Areen masih teringat akan kata-kata Aqil yang telah merobek hatinya. Walaupun kedengaran seperti berjenaka dia yakin Aqil tidak pernah bermain-main dengan kata-katanya. Jelas dilihat wajah kesungguhan untuk memperisterikan wanita pujaan hatinya.

Siapakah gadis bertuah itu yang dapat menakluki hati lelaki yang disukainya? Adakah gadis itu satu universiti dengan mereka? Atau adakah gadis itu adalah kenalannya?
Rina Altafunisa?!

Nama itu tiba-tiba muncul di dalam benaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience