HAMKA
"Abang Hamka." Tegur satu suara.
Aku memalingkan wajah ke arah empunya suara itu. Bukannya aku tidak mengenali siapa dia. Gadis yang pernah digosipkan bercinta denganku.
Aku membalas sapaannya lembut. Senyuman manis terukir di bibirnya dapat menggetarkan jiwaku.
Petang ini, Ainun mengajakku berjumpa dengannya di Taman Alor Limbat. Katanya ingin memberitahu sesuatu. Aku hanya bersetuju memandangkan tiada apa yang hendak dilakukan petang ini.
Ainun mengambil tempat yang bertentangan denganku di bawah pondok itu. Tasik yang menghijau dengan jambatan gantung itu menjadi penghias latar belakang kami. Burung burung yang berkicauan ibarat menyapa kami berdua.
"Ainun nak cakap apa?" Tanyaku sekadar mematikan suasana kekok antara kami berdua. Bukannya kami tidak pernah duduk bersama seperti ini tapi petang ini agak berlainan kerana keadaan di sini yang lenggang. Hanya sesekali sebuah motor melalui kawasan taman itu.
Walaupun taman ini cantik, namun jarang sekali kanak kanak datang bermain di sini kerana kebanyakan permainan di sini sudah rosak. Burung burung yang sepatutnya berada di dalam sangkar besar juga sudah tiada kerana dicuri orang.
Ainun bermain main dengan jari jemarinya yang runcing. Kelihatan dia masih kekok untuk berbicara. Hairan juga dengan gadis di hadapanku, beria ria hendak berjumpa tapi bila bertentangan mata macam ini pula jadinya.
"Cakaplah Ainun." Aku mula mendesak. Keadaan sekeliling diperhatikan. Risau juga jika ada orang memandang serong kepada kami. Nanti mulalah timbul fitnah. Sudahlah keluarga aku dibenci penduduk kampung. Tak ke naya apabila ada yang menimbulkan fitnah? Kasihan orang tuaku terpaksa menanggung malu.
"Er maaf buat abang tertunggu tunggu. Ainun sebenarnya sukakan abang." Dia meluahkan perasaannya. Dia hanya menundukkan wajahnya. Malu mungkin.
Aku terdiam mendengar luahan hatinya. Tidak menyangka dia boleh menyimpan perasaan terhadapku. Sedangkan aku hanya menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan. Sejak kecil lagi kami bermain bersama sama jadi perasaan cinta itu langsung tidak wujud. Mungkin Ainun fikir aku rapat dengannya kerana aku sukakannya.
Untuk mematikan suasana kekok, aku bersuara. "Habis tu? Takkan Ainun nak benci abang kan? Mestilah kena suka. Kitakan kawan." Aku berpura pura tidak faham. Tidak mungkin aku hendak menolaknya mentah mentah.
"Kawan? Abang cuma anggap Ainun kawan abang? Jadi selama ni, apa maksud semuanya tu? Bukan ke abang rapat dengan Ainun sebab abang cintakan Ainun?" Air mata mula bergenang di tubir matanya.
Aku serba salah apabila melihatkan keadaannya. Baru saja dia hendak berlalu pergi, aku sempat memaut lengannya. Dia memberhentikan langkah.
"Maafkan abang, Ainun." Aku berkata sebelum melepaskan pegangan tangan.
Meskipun aku tidak pernah memegang mana mana perempuan sebelum ini, aku jadi berani untuk memegang Ainun. Mungkin kerana aku terlalu gementar apabila melihatnya menangis. Ainun berlalu pergi dengan linangan air mata.
Malam itu ketika aku sedang duduk di dalam bilik bersama Zahra, ayah tiba tiba datang mengetuk pintu dengan kuat. Bagai hendak roboh pun ada.
"Hamka!"
"Hamka!"
"Buka pintu ini, Hamka!"
Aku lantas membuka pintu. Risau jika sesuatu yang buruk berlaku. Belum sempat aku berkata apa apa, satu tamparan hinggap di pipiku.
"Apa yang kamu dah buat?!" Ayah bertanya. Matanya sudah merah menahan amarah.
Aku yang tidak mengerti apa apa memandang emak yang berada di belakang ayah untuk meminta penjelasan. Aku lihat emak hanya diam sambil menangis.
Zahra diam tidak berkutik. Mungkin takut dengan suasana tegang ini.
Ayah menayangkan telefon bimbitnya. Aku melihat gambar aku sedang memegang tangan Ainun di taman petang tadi terpapar di skrin.
"Apa yang kamu dah buat pada Ainun sampaikan budak tu menangis nangis balik rumah tadi? Aku didik kamu, tapi macam ni jadinya." Ayah menengking aku.
Aku yakin, semua ini sudah salah faham.
"Ayah, dengar dulu penjelasan Hamka." Aku memegang tangan ayah. Memohon agar dia membenarkan aku untuk memberi penjelasan.
Namun, ayah hanya diam. Dadanya berombak kencang. Mungkin kerana terlalu marahkan aku.
"Abang, dengarlah dulu apa Hamka nak cakap. Cakaplah Hamka." Kata emak. Dia melemparkan aku satu senyuman. Aku yakin senyuman itu hanya dibuat buat.
Selepas menceritakan apa yang berlaku, ayah mengurut dada. Lega mungkin. Tapi dia tidak meminta maaf kerana menampar aku, katanya kerana aku memegang tangan Ainun.
Aku mendapat tahu daripada ayah bahawa orang menuduhku mencabul Ainun. Kebetulan seorang lelaki melihat Ainun bersamaku di taman. Jadi bila Ainun pulang dalam keadaan menangis, Cik Da menjadi hairan. Selepas mendapat pesanan bergambar menunjukkan aku sedang memegang tangan Ainun, Cik Da membuat andaian bahawa aku telah mengapa apakan Ainun.
"Ainun tahu ke tentang ni?" Tanya aku kepada ayah.
"Tahu. Cik Da kamu tanya pada dia betul ke kamu mengapa apakan dia. Ainun diam je." Ayah menjawab sambil mengeleng kepala. Mungkin kesal dengan perangai Ainun.
Hairan juga. Mengapa Ainun tidak mengatakan perkara yang sebenarnya.
Keesokan harinya, aku pergi ke rumah Ainun. Kedatanganku itu sudah diberitahu kepada Taufiq. Aku hanya ditemani Zahra. Malas pula hendak melibatkan orang tuaku.
"Cik Da, Ainun mana?" Tanya aku kepada Cik Da, ibu tiri Ainun apabila kami tiba di serambi rumahnya.
"Kejap lagi dia datanglah tu." Kata Cik Da sambil menatang sedulang minuman kepada kami. Terdapat beberapa keping biskut kering Hup Seng di atas pinggan.
Tidak lama kemudian, Ainun datang dan menyertai kami. Taufiq pula tiada di rumah. Kata Cik Da, dia pergi ke kedai.
"Ainun, apa yang dah berlaku sebenarnya?" Aku memulakan bicara.
Ainun diam sambil menundukkan wajah.
"Apa kamu dah buat sebenarnya, Hamka?" Sampuk Cik Da apabila Ainun hanya mendiamkan diri.
"Apa yang Ainun beritahu Cik Da?" Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan. Nasib baik aku masih mendiamkan diri.
"Kamu dah mencabul Ainun?" Tanya Cik Da. Kali ini Ainun sudah mengangkat wajahnya. Aku memandang Ainun dengan amarah.
"Cik Da tanyalah Ainun." Kataku. Malas hendak menjawab. Aku hendak lihat kejujuran Ainun.
"Kakak?" Cik Da memandang Ainun.
Mulanya Ainun tidak memberikan apa apa reaksi. Tetapi tidak lama selepas itu, dia menganggukkan kepalanya. Aku amat terkejut dengan jawapannya. Zahra di sebelah sudah membutangkan mata apabila Ainun menjawab seperti itu.
"Sampai hati Ainun tuduh abang macam ni. Apa salah abang? Ainun nak marahkan abang sebab tak terima cinta Ainun ke?" Aku bertanya kepada Ainun. Nada suara cuba dikawal. Dadaku berombak kencang. Muka pula terasa membahang.
"Kenapa abang nak putar belitkan cerita?" Tanya Ainun. Dia memandang tepat ke dalam anak mataku.
"Apa yang aku belitkan?" Aku menjawab. Intonasi suaraku naik satu oktaf.
Ainun mendiamkan diri. Namun matanya masih tepat memandang aku.
"Cik Da, boleh tak kalau saya nak bercakap berdua dengan Ainun?" Aku memandang Cik Da.
Selepas Cik Da menganggukkan kepalanya, aku melangkah ke tempat yang agak jauh daripada mereka. Ainun membontotiku dari belakang.
"Apa agenda kau sebenarnya?" Tanyaku kepada Ainun. Amarahku sudah tidak dapat ditahan lagi.
"Ainun nak abang kahwin dengan Ainun." Kata Ainun.
"Aku dah agak. Kau nak sangat kahwin dengan aku sampai sanggup timbulkan fitnah?"
Namun, pertanyaanku tidak terjawab.
"Kalau kau nak sangat kahwin dengan aku, bagi aku masa. Kau boleh miliki jasad aku, tapi bukan hati aku." Kataku. Aku tak sangka Ainun sanggup menimbulkan fitnah seperti ini hanya untuk memiliki aku.
Aku meninggalkan Ainun sendiri. Malas hendak melayan perempuan yang telah memalukan aku.
Share this novel