"BETUL... baju tu baju Awis. Kan Wis? Tadi dia tukar baju sebab baju dia kotor."
Aku akhirnya mengangguk juga biarpun dengan perasaan yang sangat kecewa. Rupa-rupanya, perasaanku yang tadi terlalu jauh mengharap. Mengharap pada sesuatu yang sangat tidak mungkin. Sakit untuk aku terima tetapi dalam masa yang sama, aku juga sedar tidak mungkin suamiku akan kembali setelah berbulan-bulan menghilangkan diri. Aku tahu, aku tidak boleh terus hanyut dan tewas dengan perasaanku ini. Hakikat tetap sahaja hakikat, Rayyan Hakimi tidak mungkin akan kembali.
Awis terangguk-angguk seperti kebodohan, namun aku sudah malas untuk memikirkan semua itu lagi. Biarlah, yang pasti baju kuning itu bukan kepunyaan Rayyan Hakimi.
"Tak apalah. Mungkin... saya yang salah tengok. Macam baju... Abah Hannah," ujarku seraya tersenyum nipis. Baju itu aku letakkan kembali ke tempat asalnya sebelum hatiku memutuskan untuk pergi dari situ. "Saya minta diri dulu. Nak pergi rumah mak ambil Hannah. Raya nanti jangan lupa datang rumah ye?" pesanku semula dalam berpamitan.
"Baik, Wa. Jangan risau, sebelum tengah hari kami grenti akan datang punya! Tak sabar nak makan masakan Awa." Awis segera menyahut dengan riak yang sangat bersemangat.
"Insya-Allah, kami mesti datang. Terima kasih juga untuk biskut raya tu, Wa." Hussien turut mencelah.
"Sama-sama. Saya minta diri dulu ye?" Aku angguk bersama senyuman yang kekal terukir pada bibir. Berat langkah kakiku terhayun, seberat hatiku untuk meninggalkan kawasan itu. Entah mengapa saat itu aku merasakan seperti ada sesuatu yang tertinggal di situ, tetapi apa?
'Ya Allah, rindunya aku pada dia! Perasaan rindu yang hampir reda tiba-tiba sahaja kembali kuat terasa! Aku berjanji pada Engkau, jika Engkau mengembalikan dia pada pangkuanku, aku akan melayan dia selayakknya seorang suami. Aku akan hormat dan taat pada dia, aku janji.'
Aku kembali memasuki kereta sebelum memecut laju meninggalkan kawasan penternakan itu. Fokus pada pemanduan, aku masih diam sendirian tetapi untuk saat itu juga setitis demi setitis air mataku mula mengalir. Air mata tanda kerinduan aku pada dia. Aku tidak mampu membuang rasa itu walau segigih apapun aku berlagak tabah.
"Baliklah, Yen. Aku rindukan kau! Aku rindu nak peluk kau! Aku janji kalau kau balik, aku tak akan lawan cakap kau lagi. Aku akan panggil kau... abang. Balik, please... " Meluah dalam perasaan sedu, tetapi entah mengapa tiba-tiba sahaja aku merasakan hangat pada kulit wajahku. 'Abang?' Ishhh, segan pulak aku!
'BAGI menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 22 April 2023.'
"Alhamdulillah, taklah mengejut sangat."
Aku turut tersenyum mendengar kata-kata Mak Zainab saat merespons suara yang kedengaran dari televisyen di ruangan tamu rumahnya itu. Maklumlah, dalam seminggu ini, masing-masing tak tenang memikirkan bila nak raya. Mujurlah tersisa sehari lagi, sempatlah aku mengajak Iza pergi membeli barang esok. "Tak macam tahun lepas kan mak? Kelam-kabut dibuatnya. Tahun 2020, tak boleh raya. Tahun 2021, takut-takut nak raya, dan tahun lepas pula tiba-tiba je raya," ujarku lagi seraya tertawa kecil.
Ketika itu, aku dengan Mak Zainab sedang duduk berbual sambil minum kopi. Bersantai melepaskan rasa kenyang setelah habis berbuka tadi. Malam ini ibu mentuaku meminta agar aku dengan Hannah menemaninya lagi kerana Iza sekeluarga tak jadi pula balik.
"Haaa, tu lah. Tahun ni, kita pulak 'komfius' nak raya!"
Meledak tawa kami anak beranak, sehinggakan Hannah yang sedang bermain sendirian di atas lantai juga terus menoleh ke arah kami.
"Jadi ke mereka balik esok mak? Kata nak balik hari ni, tapi tak timbul-timbul juga." Aku lantas menyoal tentang Iza sekeluarga.
"Jadi. Mak dah pesan kat Iza suruh jemput keluarga mentua dia tu datang sekali beraya kat rumah kamu raya pertama nanti. Lama dah mak tak jumpa dengan Mimah tu. Kali terakhir masa... arwah ayah kamu meninggal tu je."
Aku mengangguk. Saat perihal arwah Pak Leman yang disebut, sebak pula rasa hatiku. Arwah memang bapa mentua yang sangat baik. Sampai bila-bila pun aku tak akan lupa pada pertolongan kepadaku sebelum ini. "Kalau Iza balik esok, saya ingat nak ajak dia pergi beli barang untuk raya. Mak boleh jaga Hannah?"
"Eh, kenapa pulak tak boleh? Bukannya susah pun jaga Hannah ni. Baik budaknya," kata Mak Zainab seraya tersenyum kecil. "Banyak lagi ke barang yang kamu belum beli?"
Aku diam seketika, mengira apa yang sudah ada dan apa yang belum ada. "Hrmmm rasa-rasanya barang untuk memasak dengan air je mak sebab kuih raya memang dah sedia ada dah," kataku.
"Haaa, eloklah tu. Nanti kita bahagikan kerja biar tak penat sangat. Mak dah pesan kat Hisyam suruh cari buluh kat kampung orang tua dia tu. Kat sana, cantik-cantik buluhnya Wa."
"Tapi, siapa pula yang nak bakar lemang nanti mak? Saya... " sengaja aku menggantung kata sambil tersengih nakal. Tersengih, dan sambil-sambil itu juga aku berpura-pura mengusap kulit tanganku.
"Tak payah risau, Wa. Mak tahu dengan Iza tu jaga kulit. Tak adanya mak suruh kamu berdua bakar lemang tu. Mak ada, Hisyam ada, laki ka... "
Aku segera menoleh ke arah ibu mentuaku. Anehnya, wanita itu pula sakan menekup mulut bersama riaknya yang kalut. "Apa tadi mak?" soalku, hairan. Tetapi Mak Zainab pula laju menggeleng.
"Tak ada apa. Dahlah, mak nak bawa Hannah ke depan dulu. Kejap lagi drama tu nak mula dah." Mak Zainab laju bangkit sebelum terburu-buru membawa Hannah ke arah ruang tamu.
Aku sekadar mengangguk biarpun berasa penasaran dengan tingkah pelik ibu mentuaku itu. Entah apalah yang dia kalutkan sangat? Tapi tak apalah, asalkan bukan tugas aku membakar lemang.
AKU menarik nafas lega ketika menyambut kepulangan Iza, Hisyam dengan Fifi pada pagi itu. Hampir sahaja aku mahu pergi ke pekan sendirian tadi kerana bimbang akan terlewat. Hari ini banyak yang perlu aku lakukan; untuk persiapan memasak esok, juga mengemas rumah untuk kali terakhir sebelum menjelangnya raya.
"Sorry kak. Tunggu lama ye? Fifi ni lah, mengamuk tak nak balik." kata Iza dengan tampang yang serba salah.
Aku toleh ke arah Fifi, memang masam mencuka wajahnya. Ketika itu dia sedang berada di dalam dakapan Hisyam. "Nape Kak Fifi tak nak balik? Hannah nak main dengan awak tahu tak? Rindu nenek sana ye? Raya nanti suruhlah nenek balik sini." kataku sambil mengusap belakang tubuh kecil Fifi tetapi anak kecil itu tetap sahaja merengek manja.
"Dia nak tidur ni, agaknya Kak Awa. Kita yang drive, dia pula yang penat." Hisyam mengadu sebelum tertawa kecil. "Awak kalau nak pergi sekarang dengan Kak Awa, pergi je yang. Biar abang yang uruskan Fifi," ujar Hisyam kepada Iza membuatkan aku pula yang menjadi serba salah.
"Eh, tak apa. Korang rehatlah dulu. Baru sampai kan? Mesti penat." kataku setelah menoleh ke arah Iza.
"Tak apa kak. Bukannya jauh sangat pun. Lagipun takut tak sempat pula. Jom kak."
"Haaa, betul tu. Nanti tak sempat pula, masa-masa macam ni mesti dah ramai orang. Bukan kita je yang nak beraya." Mak Zainab yang baru memunculkan diri di ruangan tamu itu turut mencelah.
"Ye lah, jom Za. Kami jalan dulu ye mak?"
"Elok-elok bawa kereta tu, Wa." Mak Zainab sempat melaung pesan sambil memerhatikan kepergian kami dari arah muka pintu utama rumah itu.
"Akak dah beli baju raya? Ke akak tempah khas? Maklumlah, akak kan bini tauke kambing yang paling berjaya kat kampung ni. Mesti mewah sikit, kan kak?" Iza menyoal dalam usikan sebaik sahaja kereta yang aku pandu itu mula bergerak laju di atas jalan raya besar.
Aku toleh ke arahnya sekilas sebelum turut tertawa perlahan. "Hrmmm... baru nak beli nanti. Memang mula-mula tu ingat nak tempah, tapi... rasa malas pula nak cari tukang jahit. So, beli yang memang dah siap je lah." kataku.
"Haaa, cantik-cantik! Kalau akak beli nanti, akak beli baju yang warna ungu muda ye kak? Hehe... Ingat, ungu muda. Sesuai dengan kulit akak yang putih melepak ni." ujar Iza bersungguh-sungguh membuatkan aku berasa sedikit hairan.
"Laaa, dah kenapa pula nak warna ungu? Akak baru ingat nak beli warna... "
"Alaaa... belilah je lah yang warna ungu muda. Please, ikut cakap saya kali ni je. Ungu muda, ye kak? Ingat, ungu muda." Berkali-kali Iza mengulang kata-katanya itu dengan riak yang sangat mendesak dan aneh. Memang aneh, tak pernah-pernah dia bersikap seaneh ini.
"Ishhh, macam-macamlah awak ni Za."
"Jangan lupa tau, ungu muda."
Aku terus menjeling geram, Iza pula sakan mengekek menang. "Akak ikut je cakap saya. Percayalah kak, masa raya pertama nanti, saya jamin hari tu akan menjadi hari yang palinggg bahagia untuk akak dan Hannah."
"Selama ni awak tengok akak sengsara ke Za? Akak ni walaupun hidup kena tinggal laki, tapi akak bukan seorang yang lemah tahu tak?" kataku dengan angkuh.
"Ye lah, mulut je kata kuat tapi sebenarnya akak selalu rindukan abang kan?" selamba Iza mengusik.
"Tipulah kalau akak nak kata akak tak rindu cuma akak dah penat nak berharap, Za. Berbulan-bulan akak tunggu abang awak tu, tapi awak tengoklah, jangankan balik, telefon pun tak. Dia hilang macam tu je, Za. Akak bukannya nak meminta benda yang tak baik, tapi kalaulah betul dia dah meninggal, mana kuburnya? Akak nak tengok! Lepas tu baru akak akan percaya, Za," ungkapku dalam nada yang sangat menggeletar. Ya, aku memang sedang gigih mengukir senyum, tetapi tiada yang tahu perasaan sebenarku ketika itu. Sakit, dan aku sangat merindukan Rayyan Hakimi.
"Dahlah, kak. Akak sabar ye? Kita sama-sama berdoa semoga suatu hari nanti, Abang Ayen akan balik dalam keadaan yang elok dan sihat."
"Tak pernah sekalipun akak lupakan dia dalam doa akak, Za. Akak sedar, akak dah banyak buat salah pada dia. Akak hampir-hampir nak duakan dia dulu tapi kesilapan tu jugalah buat akak sedar yang akak cuma sayangkan abang awak tu sorang je."
"Saya yakin, abang pun tak pernah tak sayangkan akak. Abang memang setia pada akak je. Cuma... "
"Tak payahlah nak menangkan abang awak tu sangat, Za. Ingat, siapa yang selalu sokong awak setiap kali awak dengan abang awak tu bergaduh. Akak juga kan?" Aku terus mencantas sebelum keadaan pilu tadi kembali bertukar lucu.
"Hahaha, saya tak menangkan abang pun lah. Saya cuma cakap benda yang betul je."
"Kalau dia memang setia, memang sayangkan akak, dia takkan tinggalkan akak macam tu je Za. Nasiblah ada mak, ada awak, ada Hisyam, ada Hussien tu. Kalau tak, akak sendiri pun tak tahu akak akan kuat ke tak untuk teruskan hidup dengan Hannah je." Kata-kataku itu mengakhiri perbualan sedih kami pada pagi itu. Bukan merungut, tetapi itulah yang sedang aku rasa selama ini. Memang sakit ditinggalkan tanpa pesan oleh seorang insan yang bergelar suami tetapi aku tetap berjanji, jika Allah berkenan membawa dia pulang ke pangkuanku, aku akan selalu taat dan melayani dia sebaik mungkin.
biri/biri
Share this novel