Bab 47

Romance Series 106380

BERTINDAK dari hasil maklumat yang diterima. Pihak polis menyerbu kediaman Maisara. Haris, Junaidi dan Zailani hanya memerhati dari luar. Tidak mahu mengganggu kerja pihak polis.

"Call ambulan." Terdengar laungan dari dalam.

Lima belas minit menunggu, ambulan tiba. Kelihatan tubuh Juwita diusung keluar. Mulutnya berbuih. Junaidi hampir rebah melihat keadaan Juwita begitu. Mujur saja Zaitun tidak turut sama ke situ.

"Jom, kita follow ambulan." Haris menarik Junaidi masuk ke dalam kereta. Zailani masuk keruangan memandu. Tanpa sebarang kata, mereka terus memecut laju menuju ke hospital.

Juwita dimasukkan ke zon merah. Tak putus doa yang mereka panjatkan. Masing-masing buntu dengan apa yang berlaku. Apatah lagi tiada kekecohan yang berlaku semasa serbuan dibuat tadi. Junaidi telah lembik di depan pintu wad kecemasan. Gusar hatinya ketika itu. Apatah lagi Juwita adalah tempat mereka sekeluarga bergantung.

"Kita kena maklumkan pada ibu. Kesian ibu tunggu berita." Dalam kepayahan Junaida mengutarakan hasratnya. Zailani dan Haris saling berpandangan. Mereka tidak pasti perlu ke dimaklumkan sekarang.

"Ibu ada sakit jantung tak?" soal Zailani ingin kepastian. Dia tak mahu perkhabaran itu akan memberikan tamparan hebat buat Zaitun.

"Ibu sihat. Tak ada sebarang masalah kesihatan." Haris terdiam lama sebelum akhirnya dia membuat keputusan untuk memaklumkan kepada Tuan Mansur.

"Abang minta papa yang bagitahu ibu Idi ye. Tak nak ibu terkejut walaupun ibu tak ada masalah kesihatan." Junaidi mengangguk.

Mereka sabar menanti. Hampir dua jam Juwita di zon merah sebelum dia akhirnya dipindahkan ke wad biasa.

"Pesakit telah disuntik dengan sejenis dadah. Dos yang diberikan juga terlalu berlebihan. Mujur cepat dibawa ke hospital. Jika lambat sikit tadi, kami mungkin tak dapat selamatkan pesakit. Buat masa ni, kami akan tahan pesakit sehingga kesan dadah bebas dari tubuh pesakit."

Itulah kata-kata doktor yang merawat Juwita setelah Juwita dipindahkan ke wad biasa. Zailani menghampiri tubuh Juwita yang kelihatan lesu dan tak bermaya. Tangan Juwita digenggam lembut.

"Maafkan Lan, Ju. Lan gagal melindungi Ju. Kuatkan semangat ye. Lan akan tunggu sampai Ju sedar. Lan akan jaga Ju." Haris dan Junaidi hanya memerhati dari tepi.

Jelas terpancar betapa sayangnya Zailani kepada Juwita.

Benar, rasa sayang itu telah lama tumbuh. Hanya perlu disemai dan dijaga rapi. Walapun bertahun mereka berpisah, rasa sayang itu tidak pernah pudar walau sesaat pun.

Betapa utuhnya kasih dan sayang Zailani terhadap Juwita. Hanya Juwita yang tidak tahu.

Bertahun nama Juwita menjadi tawanan hatinya. Selama bertahun juga dia tetap setia kepada Juwita kerana dia tahu dia akan kembali pada Juwita bila tiba masanya.

"Zai..." Bahu Zailani disentuh lembut. Zailani berpaling seraya tersenyum.

"Zai pergi rehat. Balik hotel dulu dengan Haris dan Idi." Zaitun memujuk.

"Tak apa. Zai nak tunggu Ju sedar." Zaitun mengangguk.

"Kalau macam tu, pergi makan dulu. Mak cik temankan Ju dulu ye." Akhirnya Zailani akur.

Betapa tabahnya Zaitun melihat keadaan Juwita. Tidak ada setitik pun air mata. Keraskah hati wanita itu?

Sebaik saja mereka meninggalkan Zaitun bersendirian dengan Juwita, Zaitun memeluk erat tubuh Juwita yang terbaring kaku.

"Tabah ye Ju. Ibu tahu Ju kuat. Ibu rindukan Ju. Ju bangun cepat ye." Tangan Juwita digenggam erat. Dia berharap dapat menyalurkan sedikit kekuatan kepada anaknya.

Hati ibu mana tak sedih melihat anak sendiri terbaring kaku begitu. Entah apa dosanya sehingga anaknya menerima nasib sebegitu sekali.

"Kak..." Tuan Nabihah mengusap lembut bahu Zaitun. Zaitun tersenyum.

"Apa dosa Ju, Bihah?" Zaitun menyoal. Wajah lesu Juwita dipandang lama.

"Ni ujian buat Ju, kak. Kita kena bagi semangat dekat Ju. Tapi Bihah yakin Ju seorang yang sangat kuat." Tuan Nabihah cuba menenangkan Zaitun.

"Akak takut. Takut kalau akak kehilangan Juwita. Juwita kekuatan kami, Bihah. Juwita tulang belakang kami." Suara Zaitun semakin sebak.

Ya... sejak pemergian suaminya, Juwitalah kekuatannya. Jika tiada Juwita, patahlah sebelah sayapnya.

"Kita doakan yang terbaik buat Ju, kak. Doa ibu tiada hijab. Kita sama-sama berdoa ye." Tuan Nabihah mengusap lembut bahu Zaitun.

Dia yang melihat keadaan Juwita sudah merasa hiba. Apatah lagi Zaitun, ibu yang melahir dan membesarkan Juwita.

Tidak lama selepas itu, mereka yang lain muncul. Junaida turut serta bersama mereka. Melihat keadaan Juwita, Junaida memeluk erat tubuh Juwita bersama linangan air mata.

"Kak long... bangunlah. Kak long janji nak bawa Ida pergi jalan-jalan. Kalau kak long macam ni, macam mana nak bawa Ida makan angin. Bangunlah kak long." Junaida mengoncang tubuh Juwita.

Tangisannya memecahkan kesunyian wad itu. Suasana terus menjadi hiba. Zaitun yang sedari tadi menahan rasa sebak, akhirnya mengalirkan air mata melihat tangisan Junaida.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience