66

Romance Series 93218

Seperti yang telah dijanjikan, hari ini Aayra dan Harraz bakal menerima kunjungan dari teman - teman dan saudara mereka masing - masing. Seawal jam 7 pagi, Aayra sudah mula sibuk menyiapkan hidangan di dapur. Bau aroma nasi lemak yang dimasak oleh Aayra sudah mula dapat dihidu hingga ke seluruh pelosok rumah. Hal ini membuatkan Aayra semakin teruja untuk menerima kunjungan Dania dan Sofya ke rumahnya. Apatah lagi ini merupakan kunjungan pertama mereka ke kediaman rasminya itu.

“Ya Allah, sedapnya bau sayang. Berkeroncong terus perut abang ni dibuatnya." Tegur Harraz sambil mengendong Nufael dan Nuffan di kiri dan kanan tangannya.

Aayra tersenyum manis. Mangkuk yang berisi ayam goreng itu langsung diletakkan di atas meja. Semua hidangan sudah siap terhidang di atas meja. Mujurlah semuanya dapat disiapkan sebelum tiba waktunya. Ini kerana pada bila - bila masa sahaja Dania dan Sofya akan tiba sebentar lagi.

“Abang nak makan sekarang ke? Kalau nak, sayang hidangkan dulu untuk abang. Kalau nak tunggu dia orang, tak tahu lagi bila dia orang akan sampai." Soal Aayra penuh hormat.

“It's ok, sayang. Kita tunggu semua sekali sampai ok? Lagipun tak manis pula rasanya kalau tuan rumah makan dulu sebelum tetamu sampai." Tolak Harraz sopan.

Aayra mengangguk faham. Sebaik menanggalkan apron, Aayra pantas mengambil Nuffan dari kendongan Harraz. Pipi montel Nuffan dicium bertalu - talu. Bau wangian losyen dan bedak telah bersatu. Ianya sungguh menenangkan jiwanya yang sedikit kepenatan. Jauh di sudut hati, Aayra sangat memuji dengan sikap suaminya yang pandai dalam menguruskan perihal anak - anak. Jika tiada Harraz, pasti Aayra akan menjadi lebih terkejar - kejar dalam menguruskan segala - galanya.

Sedang asyik mereka berbual, tiba - tiba loceng di dalam rumah mereka telah berbunyi. Ini menandakan tetamu yang mereka nanti - nantikan telah pun tiba. Harraz bergegas menuju ke hadapan pintu. Dari jauh kelihatan Ezmal dan Yasir sedang menapak masuk ke dalam perkarangan rumahnya. Harraz tersenyum gembira. Nampaknya hubungan Ezmal dan Yasir sudah kembali jernih. Keakraban yang terjalin diantara mereka memang tidak dapat disangkalkan lagi. Betapa Harraz sangat bersyukur dengan perubahan baru itu.

“Finally, sampai juga Yasir ke rumah Abang Raz kan? Eh, jemputlah masuk." Pelawa Harraz ramah.

“Cantik gila rumah Abang Raz ni. Pandai Kak Aayra jaga. Untunglah ada isteri." Balas Yasir teruja.

Sejujurnya Yasir berasa sedikit kekok untuk membahasakan Harraz dan Aayra dengan panggilan 'abang' dan 'kakak' memandangkan selama ini mereka sudah terbiasa dengan hanya memanggil panggilan nama. Namun demi menghormati hubungan kekeluargaan itu, Yasir akur. Lagi pula tidak salah jika dia ingin mengubah semua itu demi meneruskan azam barunya untuk lebih menghormati keluarga besar mereka itu.

Aayra yang dilihat baru turun dari tingkat atas bersama selendang di kepala benar - benar mengejutkan semua yang berada di situ. Terutama Harraz, suaminya sendiri. Tidak berkelip - kelip Harraz memandang ke arahnya. Sungguh dia benar - benar terkejut dengan perubahan isterinya kerana sebelum ini tidak pula Aayra menyatakan hasratnya untuk bertudung. Namun begitu, Harraz tetap menyambut berita gembira itu dengan hati yang terbuka. Bahu Aayra dipaut erat sambil bibirnya membisikkan sesuatu di telinga isterinya.

“You are so beautiful! Thank you, sweetheart."

Aayra tersenyum simpul. Ternyata kejutannya ini telah membuahkan hasil yang baik buat dirinya sendiri. Aayra memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana segala - galanya telah dipermudahkan olehNya. Secara jujurnya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berhijab. Namun pada ketika itu, hatinya belum cukup kuat untuk memulakannya. Kini setelah mendapat petunjuk dari Allah, Aayra bertekad untuk mengubah segala - galanya ke arah kebaikan dan alhamdulillah niatnya ini juga telah diterima baik oleh suaminya sendiri. Doa Aayra semoga dirinya akan terus beristiqomah dengan niatnya itu.

“Ehem.. Mmm. Kot ya pun nak beromantik suami isteri, janganlah tunjuk depan kita orang yang bujang ni. Terseksa jiwa dan raha kita orang ni tau. Betul tak Abang Ez?" Usik Yasir nakal.

“Betul. Setuju!! Simpan - simpanlah romantis korang tu kejap. Nanti kita orang dah balik, tataplah muka masing - masing sampai puas. Sekarang kita orang datang nak makan. Kata ada menu special untuk kita orang. Mana?" Sampuk Ezmal pula dengan wajah yang selamba.

Aayra dan Harraz masing - masing tersenyum malu. Mereka hampir terlupa di mana mereka sedang berada pada ketika ini. Sepantas kilat Aayra menjarakkan sedikit tubuhnya dari dakapan Harraz.

“Err.. Sorry! Sorry! By the way, makanan dah siap terhidang pun dekat ruang makan sana. Tapi boleh tak kita tunggu kawan - kawan Aayra kejap? Dia orang cakap dia orang dah nak sampai. Lepas ni kita makan sama - sama ya?" Ujar Aayra memohon maaf.

Ezmal dan Yasir dilihat mengangguk setuju. Seketika kemudian, mereka berdua dilihat begitu rabung berbual bersama - sama Harraz. Sesekali Nufael dan Nuffan diagah manja. Tidak sampai 10 minit mereka menanti, akhirnya Dania dan Sofya tiba jua di hadapan rumah agam itu. Setelah memberi salam, Aayra menjemput Dania bersama suami dan anaknya masuk ke dalam. Manakala Sofya pula hanya menurut langkah Dania dari belakang.

Aayra membawa teman - temannya menuju ke ruang tamu. Mereka langsung diperkenalkan kepada Harraz, Ezmal dan Yasir. Namun sebaik sahaja Sofya bertentang mata bersama - sama Ezmal dan Yasir, wajah mereka masing - masing kelihatan berubah. Terutamanya Sofya.

“Err.. Ini bukan ke perempuan yang kita tengok mengelamun dekat bawah pokok semalam tu Abang Ez?" Bisik Yasir perlahan namun sejujurnya ianya masih mampu didengari oleh semua yang berada di situ.

Rona wajah Sofya berubah kemerahan dek menahan malu. Dia tidak menyangka doanya agar tidak bertemu dengan dua jejaka itu lagi langsung tidak termakbul. Akhirnya Sofya menunduk malu.

“Ehemm.. Actually what's going on? Ada apa - apa yang aku tak tahu ke ni?" Soal Aayra separuh berbisik di tepi Sofya.

“Err.. Se.. Se.. Sebenarnya.." Sofya seakan tidak mampu untuk meneruskan ceritanya.

Sofya dilihat gelisah. Jari jemarinya diramas berkali - kali. Aayra dan Dania masih jua menanti penjelasan teman mereka itu dengan penuh sabar.

“.... sebenarnya kita orang pernah terserempak dengan kawan Kak Aayra ni dekat Tasik Putrajaya tu semalam. Itu yang kita orang macam terkejut sikit bila terjumpa dia lagi sekali dekat sini." Celah Yasir sepantas kilat sekali gus memotong percakapan Sofya.

“Wow!! Macam menarik je? Mesti ada apa - apa yang terjadi yang aku tak tahu ni kan? Wanna share?" Soal Aayra bernada mengusik sambil menyiku bahu Sofya.

Sofya sekali lagi dihimpit perasaan malu. Namun begitu dia tetap bersyukur kerana lelaki yang bernama Yasir itu tidak menceritakan segala - galanya kepada mereka. Jika tidak pasti dirinya akan menjadi bahan ketawa semua yang berada di situ.

“Takde apa - apalah. Kau jangan nak fikir yang bukan - bukan sangat eh? Aku tarik hidung tu nanti." Ugut Sofya bersama wajah yang masih kemerah - merahan.

Aayra tertawa geli hati. Sebaik semua sudah bersedia, Aayra dan Harraz mula menjemput para tetamu mereka ke ruangan makan. Sofya yang sejak tadi hanya menunduk segera mengangkat wajahnya secara perlahan - lahan. Namun tiba - tiba pandangannya bertembung dengan sepasang mata milik Ezmal. Lama mereka bertatapan sebelum masing- masing mengatur langkah mengekori teman - teman yang lain.

Entah mengapa jantung Sofya berdegup kencang. Selama ini dia belum pernah merasai perasaan seperti itu dengan mana - mana lelaki. Namun semuanya berbeza apabila melibatkan Ezmal. Renungan lelaki itu benar - benar memukau perasaannya. Dalam diam - diam Sofya mula tersenyum sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience